Kelebihan Wanita Bekerja

Seronok ke kerja?

Seronok jika minat. Tak seronok jika tak suka buat kerja lebih.

Bekerja adalah cabaran yang kadang kala sengaja dicari. Ada juga wanita bergelar isteri yang terpaksa bekerja untuk membantu ekonomi rumah tangga kerana gaji suami cukup-cukup sahaja untuk menyara keluarga.

Tanpa disedari, ada banyak kebaikan dan kelebihan jika wanita keluar untuk bekerja. Pahala memang banyaklah jika niat asal mahu membantu keluarga.

Tahukah, secara automatik wanita bekerja pandai mengurus masa. Kerana kerja menetapkan masa masuk dan masa balik. Balik lambat tak mengapa tapi masuk lambat? Tak boleh. Oleh itu, jika perlu masuk kerja pada pukul 8.00 pagi misalnya, si isteri perlu bangun awal untuk menguruskan masak sarapan/bekal, menguruskan hantar anak-anak ke sekolah/tadika/nursery, membeli makanan jika tidak masak sarapan/bekal seterusnya bajet masa perjalanan jika tempat kerja jauh dan jalan sesak. Itu baru pengurusan masa pada waktu pagi.

Petang, lepas habis kerja, ambil anak di sekolah/tadika/nursery. Selepas itu masak atau beli makan malam. Lepas itu urus anak-anak membuat kerja sekolah dan mengaji al-Quran. 10.00 malam, anak-anak masuk ke bilik masing-masing untuk tidur.

Fuh, cekap bukan?

Tak dapat dinafikan, wanita bekerja akan mendapat pengalaman yang berbeza semasa menjalankan tugasnya di luar rumah. Dia akan bertemu dan mengenali ramai orang dari status sosial yang berbeza. Hari demi hari, dia akan bertambah matang. Jika berdepan dengan masalah, dia cekap dan cepat menyelesaikannya. Tahukah, wanita bekerja memang kreatif. Mereka akan temui penyelesaian yang pelbagai bagi sesautu masalah yang dihadapi. Nak bersedih? Tak sempat. Nak stress? Tak ada masa untuk perkara-perkara negatif. Yang pasti, setiap masalah mesti ada solusinya. Kadang-kadang diselesaikan seorang diri sahaja. Hebat!

Pernah nampak wanita bekerja yang selekeh?

Mungkin ada tapi jarang-jarang.

Maklumlah, ada duit sendiri untuk ‘membeli’ penampilan. Nampak baju cantik, beli. Pakai baju cantik dapat meningkatkan keyakinan diri. Nampak kasut design baharu, beli. Palai sampai puas. Menjaga penampilan itu wajib ya.

Bagaimana pula dengan wajah dan tubuh?

Jagalah. Study jenama skin care yang bagus dan serasi dengan wajah sendiri. Sesekali manjakan diri di spa dan salon. pergi buat urutan badan. Makan makanan yang berkhasiat. Tapi kita tak risau melihat penampilan wanita bekerja. Walaupun mereka sibuk, mereka bijak curi masa untuk urus penampilan diri. Mestilah kena kelihatan cantik sebab hari-hari akan bergaul dengan masyarakat, kan?

Kebanyakan wanita bekerja berpenampilan ceria. Ini kerana mereka bergaul dengan masyarakat hampir setiap hari. Mereka memerhati persekitaran dan mengambil iktibar daripadanya. Mata mereka memlihat dunia yang lebih luas.

Sering kita melihat, wanita bekerja amat bijak mengurus keluarga. Dalam kesibukan, anak-anak merekalah yang paling berjaya dalam pelajaran. Anak-anak merekalah yang top 5 di sekolah mahupun IPT. Bagaimana kesibukan ibu menyebabkan anak-anak berjaya? Kerana ibu sudah terbiasa aktif. Jadi ibu menyusun atur aktiviti anak-anak tanpa memberi apa-apapun alasan. Ya, ibu sibuk tapi pelajaran kamu tetap penting. Masa depan kamu amat penting kerana nanti kamu akan hidup tanpa ibu pada masa depan. Tanpa usaha hari ini, belum tentu kamu akan senang pada masa depan. Begitulah pandangan dan prinsip ibu bekerja.

Perasan tak, wanita bekerja sebenarnya awet muda?

Di sebalik kesibukan dan tekanan kerja, Tuhan kurniakan wanita bekerja wajah yang ceria dan awet muda. Mahal tu!

Sering saya melihat wanita yang pencen pada usia 60 tahun jelita dan cantik sekali. Tak percaya mereka sudah perlu pencen wajib. Tak sangka mereka sudah 60!

Jika hendak disenaraikan, banyak lagi kelebihan wanita bekerja. Tapi, cukuplah ini dahulu. Anda hebat, wanita bekerja!

Mengapa Wanita Bekerja?

Di Malaysia, wanita berkahwin yang bekerja merupakan fenomena biasa. Kenapa wanita bergelar isteri memilih untuk bekerja?

Alasan biasa yang kerap kita jumpa adalah untuk membantu suami. Bagusnya. Kamu isteri solehah yang memahami betapa susahnya suami membanting tulang mencari rezeki. Oleh itu, amat diharapkan suami menghargai pengorbanan isteri sebegini.

Mutakhir ini, ramai wanita Malaysia yang berpendidikan tinggi. Pekerjaan yang mereka lamar juga seringkali menawarkan gaji yang agak tinggi di samping kelebihan-kelebihan lain yang ditawarkan oleh sektor pekerjaan berkenaan. Alangkah seronoknya dapat membeli barang-barang yang diingini (berbentuk kehendak biasanya) tanpa perlu mengharapan duit suami.

Selain itu, ada dalam kalangan wanita bergelar isteri yang berkerjaya berasa sayang jika ilmu,  pendidikan dan kemahiran yang mereka miliki tidak dipulangkan kepada masyarakat sebagai sumbangan untuk membina bangsa dan negara yang lebih baik.

Wanita bekerja untuk membina lingkungan komuniti yang terbuka dan berfikiran aras tinggi dalam masyarakat. Jarang kita jumpa wanita bekerja yang kolot, berfikiran sempit dan sebagainya. Kebanyakannya pasti memiliki identiti dan personaliti yang bagus.

Bekerja memberikan pengalaman yang lebih besar daripada segi empat rumah sendiri. Lebih baik daripada itu, wanita bekerja mampu membawa balik pengalaman kerjayanya untuk membina rumah tangga yang lebih baik.

Namun tahukah anda, ada wanita bergelar isteri yang bekerja bukan untuk membantu suami jauh sekalii menyumbang kepada masyarakat?

Ya, inilah kelompok wanita yang cukup serba-serbi. Pendapatan suami boleh dinikmati sehingga tujuh keturunan. Jadi kenapa isteri masih mahu bekerja? Memandu kenderaan mewah ke tempat kerja dan memakai pakaian berjenama mahal…kenapa ya? Oh, sebenarnya, mereka hanya mahu buang masa. Kehidupan duniawi mereka sudah cukup baik. Tetapi masa 24 jam itu terlalu banyak untuk dinikmati pada setiap hari. Maka, cara terbaik untuk buang masa tersebut, kerja. Tak perlu ada jawatan pun. Cukup kerja biasa-biasa. Yalah, untuk buang masa sahaja, kan?

Seronoknya bekerja bagi wanita yang suka bekerja dan bergaul dengan masyarakat. Jangan tak tahu, memang ada wanita yang tak suka bekerja. Sangat tak suka. Pernah jumpa?

Sakit Tapi OK

Sakit Tapi OK 2020 001

Judul: Sakit Tapi OK

Penulis: Asmah Hashim dan lain-lain

Penerbit: Tinta Nasuha

Harga: RM15.00

Sakit tapi masih OK? Ye ke?

Ada orang menganggap jatuh sakit sebagai rezeki. Ada yang anggap sebagai musibah. Ada yang anggap sebagai kaffarah. Tak kisahlah apa-apapun, asalkan kita tidak menyalahkan takdir.

Penyakit boleh datang sama ada kita menjaga kesihatan atau tidak. Ia juga boleh berlaku kerana genetik. Banyak perbahasan cerdik pandai tentangnya. Jika kita mendapat penyakit, kita boleh mengkajinya secara profesional dan tenang.

Dan apa tindakan seterusnya selain berubat? Anggaplah ia peluang dan permulaan untuk berubah.

Sakit Tapi OK ialah sebuah buku motivasi ringkas yang mampu menjentik rasa. Hidup kita untuk apa?

 

Sebalik Duga

Sebalik Duga 2020 001

Judul: Sebalik Duga

Penulis: Mar Othman dan lain-lain

Penerbit: Tinta Nasuha

Harga: RM20.00

Diinspirasikan daripada kesakitan dan penyakit yang pernah dilihat mahupun dihidapi, maka lahirlah antologi cerpen ini. Dan sakit pula tak semestinya sakit fizikal. Ada orang ‘sakit’ kerana mahu mencapai sesuatu kejayaan. Ada pula yang ‘sakit’ ketika mahu mengubah diir ke arah yang lebih baik.

Namun kesakitan bukanlah penghalang untuk berjaya, apatah lagi menjadi insan yang lebih baik. Penyakit tak seharusnya menjadikan kita lemah meskipun ada penyakit yang tidak dapat lagi disembuhkan.

Kita harus menjalani takdir dengan baik dan positif walaupun penderitaan yang dilalui tak semestinya menjanjikan pengakhiran yang manis. Ya, tiada yang mudah jika namanya hidup. Kita struggle, kita survive. Pada akhirnya, kita mengharapkan redha dan kasih Tuhan jua.

Mukjizat Kasih di Bumi Kinanah

Mukjizat Kasih 2019

Judul: Mukjizat Kasih di Bumi Kinanah

Penulis: Mahalabiah Mohamad dan lain-lain

Penerbit: Tinta Nasuha

Harga: RM20.00

 

Salah satu daripada antologi cerpen kembar lima yang diuruskan oleh Ruhana Md Zaki ialah buku ini, Mukjizat Kasih di Bumi Kinanah. Tema buku ini ialah remaja. Benarkah remaja mudah memberontak? Benarkah remaja sudah ada hala tuju hidup? Benarkah tak tahu apa yang dilakukan itu salah atau betul?

Cerpen dalam buku ini diolah dengan baik sekali. Kisah remaja yang pelbagai, memberi iktibar kepada kita bahawa remaja masih boleh dibentuk. Dan tak kurang juga dapat disimpulakn bahawa peranai remaja itu bergantung pada didikan ibu bapanya juga.

13 cerpen pelbagai rasa. Tahniah kepada semua cerpenis yang berjaya menghasilkan buku ini.

Semilir Rindu di Tanah Christchurch

Semilir Rindu 2019

Judul: Semilir Rindu di Tanah Christchurch

Penulis:Zul Hafi dan lain-lain

Penerbit: Tinta Nasuha

Harga: RM20.00

Takut hendak membaca kisah ibu tunggal/bapa tunggal? Apa rasanya menjadi balu? Seseorang wanita itu menempah gelaran balu/janda sebaik sahaja dia bersetuju untuk bernikah. Dan, lelaki yang menjadi single parent juga bukan sedikit atas dunia ini. Hakikat dan takdir kehidupan yang tak sesiapapun mampu menjangkanya.

Semilir Rindu di Tanah Christchurch menampilkan cerpen-cerpen yang berkisar tentang kehidupan ibu tunggal/bapa tunggal/balu yang banyak berlaku di sekeliling kita. Sukarnya masyarakat menerima mereka dalam komuniti menjadikan kehidupan mereka agak sukar. Tertekan. Pasangan pergi secara tiba-tiba sedangkan pagi tadi dia masih ceria di samping, ah sukarnya! Apa harta yang mereka tinggalkan untuk anak-anak yang ramai? Tuhan, bantulah. Dan, jikalah ada harta yang ditinggalkan, menjadi rebutan keluarga mentua pula. Susah!

Daripada lima antologi yang diterbitkan, penyelenggara merasakan buku inilah yang paling menyayat hati. Bukan tiada kehidupan single parents yang berakhir dengan happy ending, tetapi sebenarnya menjadi single parents bukannya mudah!

Judul buku ini istimewa sempena satu cerpen di dalamnya yang berkait dengan tragedi pengeboman di New Zealand beberapa tahun yang lalu. Wan Suhana kematian suaminya ketika mereka berada dalam sebuah masjid yang dibom. Sedih, bukan? Bayangkan kehidupannya selepas kematian suami dalam keadaan dia masih mengenali sepenuhnya keluarga suami.

Tahniah para penulis antologi ini.

Rembulan Cinta di Kota Golconda

Rembulan Cinta 2019

Judul: Rembulan Cinta di Kota Golconda

Penulis: Mar Othman dan lain-lain

Penerbit: Tinta Nasuha

Harga: RM20.00

Ini merupakan antologi cerpen bertemakan cinta. Ada apa dengan cinta? Cintalah dambaan manusia ketika hidup. Dunia terasa sempit jika cinta hati menjauh pergi, seakan-akan tidak mengenali lagi. Cinta jualah yang menjadikan alam ini luas…sesaujana mata memandang.

Hasrat awal penyelenggara ketika mahu menerbitkan antologi cerpen tidak menjangkakan genre ini masih diminati oleh penulis yang sudah berkahwin. Ingatkan cinta hanya siulan anak muda, ya tak? Namun penyelenggara seakan-akan tidak percaya. Idea yang terhasil daripada inspirasi cinta (berjaya atau kecewa) amatlah menakjubkan. Jika penyelenggara masih menulis novel, tentu sekali idea cerpenis dalam buku ini dapat ditulis menjadi novel cinta paling asyik.

13 cerpen, 13 cerpenis. Amat mengasyikkan!

 

 

Seharum Cempaka di Langit Doha

Seharum Cempaka 2019

Judul: Seharum Cempaka di Langit Doha

Penulis: Hafizuddin Ghazali dan lain-lain

Penerbit: Tinta Nasuha

Harga: RM20.00

Pernah pergi Doha? Seorang ibu bernama Cempaka akhirnya dibawa oleh anaknya ke Doha kerana mendapat kerja di sana.

Pernah tengok pokok kapas? Ammar dirawat menggunakan pokok kapas oleh guru agama yang pernah dibenci.

Pernah menjadi korban saudara-mara yang zalim? Ainul Mardiah adalah salah seorang mangsanya.

Seharum Cempaka di Langit Doha ialah antologi cerpen bertemakan keluarga. Ada kisah manis, ada kisah sedih. Namun kisah sedihlah yang paling meruntun jiwa.

Buku ini ditulis oleh cerpenis yang begitu menghayati watak yang dibawa. 14 cerpen hasil karya 14 orang penulis baharu dan lama.

Awan Jeda di Padang Kachung

Awan Jeda 2019

Judul: Awan Jeda di Padang Kachung

Penulis: Mariyati Miskon dan lain-lain

Penerbit: Tinta Nasuha

Harga: RM20

 

Menampilkan lapan orang penulis dengan 13 buah cerpen bertema umum. Olahan yang berbeza menjadikan antologi ini unik walaupun isu yang diketengahkan adalah isu-isu biasa seperti pusaka, perebutan tanah, konflik diri dan fardu kifayah.

Idea menerbitkan antologi ini tercetus apabila penyelenggara membuat pengumuman di fb dan ramai rakan fb mahu menyertainya. Antologi ini diterbitkan secara kembar berlima dengan tema yang berbeza.

Tahniah para cerpenis Awan Jeda.

Dekat Dalam Doa

Dekat Dalam Doa 2019

Judul: Dekat dalam Doa

Penulis: Ruhana Md Zaki

Penerbit: Tinta Nasuha

Harga: RM20

 

Dekat Dalam Doa menghimpunkan 35 doa yang terdapat dalam al-Quran yang boleh diamalkan oleh sesiapa sahaja berdasarkan situasi yang dihadapi. Antaranya doa meminta kebaikan dunia dan akhirat: ayat 201 Surah al-Baqarah. Doa memohon kemenangan: ayat 147 Surah Ali Imran. Doa melancarkan ucapan/percakapan: ayat 26-28 Surah Tha Ha. Doa menjadikan diri orang yang bersyukur: ayat 19 Surah an-Naml.

Selain itu, keistimewaan buku ini dapat dilihat melalui sisipan Pedoman Sirah, Isyarat Iman, Impak Maksimum dan Kita Tindakan Saya. Amat sesuai dibawa ke mana-mana untuk dibaca dan diamalkan.

Hidup kita, keseluruhannya adalah usaha, doa dan tawakal. Jadikan doa sebagai mainan lidah dan hati supaya jiwa tidak mati dan pergantungan kita 100% sepenuhnya hanya kepada Ilahi.