Lebam di Lengan (ii)

Semalam adalah tarikh keramat. Kerana mimpi ngeriku menjadi kenyataan…

Rutin ke hospital tidaklah melelahkan kerana ia berlaku hanya sekali setiap bulan.  Bak kata orang, kalau kita rasa kita susah, ada orang lain yang lebih susah. Meskipun saya tak suka buat perbandingan begini. Tak semestinya ujian besar yang kita hadapi boleh kita anggap lebih kecil daripada ujian orang lain.

Tuhan beri ujian pada kadar yang berbeza. Maka, perbandingan sesama manusia sebenarnya sangat tidak sesuai! Tabah atau tidak, bukan pada mata yang menilai tetapi pada empunya tubuh yang menanggungnya. Jadi, jika berniat nak beri nasihat yang menunjukkan kita ini perfect, eloklah kita fikir ribu-ribu kali dulu.

Okey, berbalik kepada cerita semalam.  13.03.17, tarikh akhir yang tercatat pada ‘kad’ berkenaan.

Maka, paginya lengan dicucuk untuk mengambil darah.

“Satu tiub je. Tapi penuh tau,” kata sang staf yang bertugas.

Aku buat-buat kuat. Sebenarnya takut.

Sang pegawai beruniform putih cucuk lengan aku. Berkali-kali jarum digerak ke kanan ke kiri namun darah enggan keluar juga. Hujung jari sudah mula kebas. Aku pejam mata menahan ngilu kerana ini bukan kali pertama rasa sedemikian.

Akhirnya selesai.

Petang. Dapat panggilan ketika sedang makan tengah hari di Subang. Ingatkan temujanji jam 2.30 itu ditepati pihak hospital. Rupa-rupanya tidak. Aku dapat panggilan pada pukul 12.20 tengah hari yang meminta aku datang ke hospital sekarang juga!

Okey, letih la nak tulis. Lebam di tangan tak pulih lagi akibat kerja doktor pukul 4.30 petang semalam. Jika pada tahun 2014 lebam ini tak hilang lebih kurang seminggu, aku nak tengok lebam kali ini ‘bertahan’ sampai bila. Dapat cuti sakit sehari saja untuk lebam ni…

 

Bersawang

 

Bersawang adalah bahasa orang kampong saya bagi rumah yang lama tidak dibersihkan dan banyak sarang labah-labah. Dan itu jugalah yang menggambarkan blog saya ini. Setahun saya tidak bersihkan dan hiasinya disebabkan ujian duniawi yang membuatkan saya agak sibuk atau menyibukkan diri.

Walau bagaimanapun, tempoh setahun itu tak pernah saya kesali. Semuanya adalah pengalaman yang cukup bermakna.

Pengalaman sebagai ibu yang menguruskan anak sulungnya pergi haji. Malah saya mula sibuk sebaik sahaja anak saya mendapat surat tawaran mengerjakan haji. Kursus mingguan sehingga bulan April, menyediakan passport dalam tempoh yang sangat singkat, menghantar anak ke kursus perdana, menyediakan kelengkapan, menguruskan rayuan ibu yang akan menemani anak di Mekah, membawa anak untuk suntikan, kenduri doa selamat hinggalah ke saat terakhir sebelum saya berpisah sementara dengannya. Alhamdulillah ALLAH membantu urusan saya. Dan saya merinduinya selama 45 hari. Dan syukur dia pulang dengan selamat ke pangkuan keluarga pada November 2016.

Pengalaman seorang ibu menguruskan anak bongsunya yang menduduki dua peperiksaan besar, iaitu UPSR berformat baharu dan PSRA. Oh, penat juga ya apabila ada anak yang perlu hadiri kelas tambahan sebanyak enam kali seminggu. Namun, siapa menduga, dapat juga saya hadapinya, walaupun rasa penat tak dapat dihindari. Alhamdulillah, anak bongsu saya berjaya dalam kedua-dua peperiksaan tersebut dan pada hari ini sedang belajar di sekolah berasrama penuh.

Pengalaman seorang pekerja yang sudah agak lama dalam kerjaya tetapi masih dianggap emntah oleh sang ketua. Maka dia dibuli sesuka hati dan tenaganya dikerah seperti dia buruh tanpa pelajaran. Saya tak mampu bertahan. Maka saya mendapatkan nasihat daripada sahabat-sahabat yang banyak pengalaman. Akhirnya, saya buat satu keputusan yang besar. Dan saya juga perlu berusaha keras. Pada mulanya, jatuh jua air mata. Tetapi, syukur teramat kerana perjalanan yang sempit itu terhenti di situ. Saya diberi jalan yang lain yang saya sering merintih dalam hati agar ia menjadi jalan yang luas dan lapang buat diri saya.

Apa-apapun, saya tak pernah kesali semua yang telah berlaku. Syukur untuk segala-galanya.

Dan, semoga 24 jam saya selepas ini sentiasa ada peluang untuk menghias blog ini.

 

Peniaga Yang Masuk Syurga

Minggu lepas, Panitia Pendidikan Islam mengadakan Kem Cemerlang Jawi. Makanan peserta diuruskan oleh suami kepada guru di sekolah ini. Pertama sekali ketika dia bersetuju menguruskan makanan peserta, saya ada bertanya kepada isterinya, yang guru itu, “Ada untung tak, Ida?” Ida tersenyum. “Abang saya kata tak apa, kak,”

Saya rasa terharu. RM7 untuk dua kali makan, bukanlah jumlah yang besar. Entah-entah cukup untuk modal sahaja. Tapi suaminya sanggup.

Pada hari kejadian, kami sempat berbual-bual. Lalu terkeluarlah cerita orang berniaga air yang boleh untung banyak.

“Guna air paip je,” kata Cikgu Noor.

“Saya memang tak beli air bancuh macam tu. Dah tau dah guna air paip. Kadang-kadang tarik dari tepi gerai dia berniaga je,” katanya.

Fahamlah saya, dia mementingkan kebersihan, status halal dan keberkatan. Mana tidaknya, jika peniaga guna air paip awam, tentulah modalnya lebih kecil. Maksudnya, peniaga itu untung atas angin.

“Nampak untung besar, tapi nanti jawablah kat sana.”

Allahu akbar! Sesungguhnya saya sangat kagum. Inilah yang kita mahu. Ramai yang mencanang, 9/10 dari sumber rezeki adalah perniagaan. Dan lelaki ini sanggup memilih perniagaan yang kelihatan sangat kecil keuntungannya (entah ada untung ke tidak?) kerana dia tidak sanggup berdepan dengan soalan TUHAN di akhirat kelak.

Sungguh saya bangga. Saya teringin hendak lihat ada ramai lagi peniaga yang sebegini.

Dengan tangan saya yang hina ini, saya berdoa kepada TUHAN agar dia kekal buat kerja halal begitu. Dan semoga anak-anak dan isterinya menumpang keberkatan yang dirintisnya. Dan semoga dia menjadi salah seorang peniaga yang masuk syurga kelak.

Saya

 

Entri ini tidak bertujuan menunjukkan kelebihan diri saya. Tetapi apa yang saya rasa, secara spontan, mengenai diri saya yang sudah hidup selama 40 tahun atas dunia ini.

Suatu hari, seorang penulis terkenal mengekod nama saya sebagai penulis yang proaktif menghasilkan karya dengan banyak walaupun sibuk sebagai wanita bekerjaya dan berkeluarga. Alhamdulillah, saya rasa bersyukur kerana ada yang sudi memandang saya begitu. Sesiapapun tidak tahu mengapa saya menulis. Sesiapapun tidak pernah memberi sokongan kepada saya untuk menjadi penulis. Malah suatu ketika dahulu, ada yang mempersendakan hobi saya ini. Ada yang berkata, buat apa menulis, buang masa saja. Bukannya boleh kaya pun.

Ya, itulah pandangan orang yang menganggap saya menulis untuk mengumpul kekayaan. Ya, saya ada banyak karya dan hakikatnya saya tak kaya juga. Hakikatnya, gaji bulanan yang saya terima jauh lebih banyak berbanding bayaran bagi hasil penulisan saya.

Tak mengapa. Saya belum menukar niat asal saya menulis. Insya-ALLAH niat asal itu akan kekal dalam diri sehinggalah saya mati.

Terima kasih kepada penulis terkenal itu yang sudi  memandang sisi proaktif diri saya.

Kedua, saya ini memang jenis yang mengikut peraturan. Tetapi saya bukanlah jenis yang jumud mengikut peraturan tanpa menyesuaikannya mengikut keadaan. Saya tahu, peraturan dicipta bukannya untuk menyusahkan sesiapa. Salah satu daripada tujuan peraturan adalah untuk mendisiplinkan manusia. Jadi, saya ambillah sisi kebaikan itu. Jadi seorang yang berdisiplin tetapi tidak berasa terikat.

Ketiga, saya ini jenis yang bersungguh-sungguh jika buat kerja. Tetapi, dalam bersungguh-sungguh, saya tidak suka menyusahkan atau mengarahkan orang lain. Ketika menjadi Ketua Panitia, saya yang lebih banyak buat kerja berbanding setiausaha panitia. Bukan nak tunjuk bagus atau apa. Tapi saya tahu setiausaha saya itu jenis manusia yang bagaimana. makna kata, saya yang akan kecewa jika suruh dia buat kerja kerana saya sudah maklum pada akhirnya saya juga yang terpaksa siapkan kerja bahagian setiausaha.

Atau mungkin saya ini jenis ketua yang tak pandai agih tugas. Suka hatilah nak gelar apapun. Yang penting, saya takut nak arah-arah orang. Saya takut di akhirat nanti saya tak mampu jawab depan Tuhan. Yang sebenarnya saya lebih takut jika saya terlebih arah orang buat kerja sampaikan bahagian kerja sayapun saya suruh orang buat. Ah, parah nak jawab depan Tuhan nanti. Jadi kesimpulannya, biarlah saya susah sikit tak apa.

Disebabkan saya berpegang kepada prinsip susah sikit tak  apa, akibatnya hari ini saya memang disusahkan dengan banyak sekali.

Semua kerja saya kena buat.

Hari ini saya tidak lagi jadi ketua panitia. Saya haya jadi setiausaha. Tetapi, saya kena buat kerja setiausaha yang sangat banyak berbanding setiausaha yang saya sebut di atas tadi, dan juga kerja ketua panitia.

Oh, dugaan apakah ini?

Saya buat kerja bersungguh-sungguh kerana itu memang diri saya. Prinsip saya. Tak ada niat untuk tunjuk pandai dalam semua perkara. Akibatnya, saya diberikan kerja yang over banyak. Padan muka.

Kemampuan kita biasanya akan diambil kesempatan oleh rakan sekerja. Itulah yang saya fikirkan sekarang. Sedangkan orang yang tidak buat kerja, selamatlah. Mereka kurang mendapat kerja. Tapi anehnya apabila tiba hari memberi anugerah, yang malas itulah yang mendapat anugerah.

Tak kisahlah.

Saya tetap akan menjadi diri saya selama-lamanya. Setahu saya, tidak salah menjadi orang yang proaktif, rajin dan cemerlang dalam kerjaya. Kerana itu ciri-ciri baik yang diajar oleh agama kita.

Kau orang nak ambil kesempatan, terpulanglah. Di akhirat nanti saya akan berlepas tangan. Kau orang mengadaplah Tuhan dan jawablah.

Media Sosial

Memang, kita berasa sangat susah untuk merahsiakan apa-apapun sejak ada media sosial ni. Bagi kita yang suka bercerita, kita anggap semua yang kita tayangkan itu, hak kita. Pembaca tak perlu berasa tersinggung.

Memang, media sosial menyebabkan hati kita jadi lebih keras kerana kita hanya berpegang kepada pendapat peribadi. Tak perlu jaga hati orang. Paling mudah, kalau tak suka, unfriend saja…habis cerita!

Memang, kita banyak peroleh ilmu sejak ada media sosial ni. Cuma yang kita bimbang, kita jadi cepat percaya sampai tak nak selidik dulu.

Memang, ada kasih yang bersatu, ada cinta yang terlerai sejak ada media sosial ni. Rasa cinta menautkan kembali kasih yang lama terpisah. Rasa cemburu memisahkan terus ikatan yang sudah lama terjalin.

Oh, macam-macam ada.

Dan saya masih percaya, apa yang kita tulis di media sosial, itulah keperibadian kita. Kita tak mampu menyorok perasaan kita. Adakalanya kita cuba berlakon jadi baik, tapi, tetap boleh dikesan. Adakala kita sengaja provoke, tapi orang tahu siapa kita sebenarnya. Mereka akan bertanya, “ini novel baru ke?”

Akhirnya, semuanya kembali kepada diri kita yang sebenar. Yang suka tayang-tayang tu, memang sejak tak ada media sosial lagi dia dah suka menunjuk-nunjuk. Tunjuk kepada orang kampung, tunjuk kepada rakan asrama.

Yang perangai baik tu, memang sejak tak ada media sosial lagi dia sudah baik. Hatinya murni.

Tapi yang paling saya salute, orang yang berubah jadi baik disebabkan oleh media sosial. Kamulah yang paling win!

Kematian Itu Pasti

Bercakap tentang kematian memang mudah. Sesiapapun boleh, sebab al-Quran sudah menyebutnya dengan jelas. Tetapi menghadapi kematian, adakah semudah memberi ceramah tentangnya?

Sesiapa yang pernah berdepan dengan kematian, tentulah faham akan kepedihannya. Apatah lagi jika yang pergi buat selama-lamanya itu, dia yang amat kita kasihi. Cinta pertama contohnya. Ataupun pergantungan kita selama kita hidup.

Apatah lagi jika yang pergi buat selama-lamanya itu, tidak menderitai sebarang penyakitpun! Perginya secara tiba-tiba. Baru pagi tadi kita melihatnya pergi kerja, petang ini dia pulang dalam keadaan tidak bernyawa. Baru seminit tadi dia whatsapp kita dengan ikon sayang dan cinta, tidak lama selepas itu kita mendapat panggilan memberitahu pemergiannya.

Sedih sungguh! Sakit sungguh!

Saya pernah rasainya. 16 tahun yang lalu. Dan kesan itu masih berbekas lukanya. Tidak akan sembuh. Rindu yang berpanjangan.

Semoga Allah terus mengasihimu, sayang.

 

 

 

 

Another Syukur

 

Mendapat berita baik bahawa anak sulung saya terpilih mengerjakan haji pada musim 1437H merupakan kegembiraan yang tak mampu digambarkan. Selama ini memang saya sedaya upaya melakukan yang terbaik untuk anak-anak. Semoga yang ini, membuktikan kesungguhan saya melaksanakan tanggungjawab sebagai ibu.

Ada beberapa masalah yang agak memeningkan kepala mengenai urusan haji ini. Namun, harap-harap Allah akan berikan jalan penyelesaiannya secepat mungkin.

Syukur alhamdulillah.