Bertemu Husnul Khatimah

Kejadian yang berlaku di Tanah Haram pada tahun 1436 ini banyak memberi kesan kepada umat Islam, terutama mereka yang pernah menjejakkan kaki di sana. Banyak persepsi. Besar hikmahnya, kata mereka. Namun yang paling memberi kesan kepada rakyat Malaysia ialah kematian wanita berusia 37 tahun itu. Ramai yang mengambil pengajaran. Ramai yang insaf.

Bagi saya, hadis Nabi yang pernah saya pelajari dalam kumpulan hadis 40 itu ternyata sangat benar. Apabila seseorang itu sudah ditetapkan sebagai ahli syurga, maka dia akan beramal sebagai ahli syurga. Media sosial ada menndedahkan bahawa wanita itu seorang guru yang penyayang, tidak pernah meninggalkan solat duha dan sebagainya. Jelas sekali, ketika menjalani hidupnya, dia sudah membuat persiapan sebagai ahli syurga.

Persoalannya, kita yang mengetahui kejadian itu, menonton videonya berkali-kali dan meratap tangis sama seperti ahli keluarga mangsa, adakah kita benar-benar insaf? Atau mungkin kita teruja mahu bercerita kepada kawan-kawan, “aku pernah duduk di tiang itu. Aku pernah solat di situ.”

Pada hemat saya, ada sebilangan masyarakat kita yang pergi ke Mekah supaya balik dapat bercerita itu-ini. Sedangkan takuk takwa masih tidak meningkat. Riyak bermaharajalela. Tak mungkin takwanya meningkat seandainya balik dari Tanah Haram, ada yang giat mengejar dunia. Mengumpul harta padahal tiada zuriatpun. Untuk apa? Bukankah lebih baik duduk buat amal ibadat sahaja. Mati nanti, bukannya perlu risau tentang anak yang hidup merempat. Sepatutnya lebih risau terhadap rumah akhirat yang belum dibina.

Macam-macam manusia ada di keliling kita. Asalkan balik dari Mekah, kononnya sudah mulia.

Tuan-puan,

Bagaimana cara kita melaluinya tak penting. Yang penting adalah kesudahannya. Mati di mana-manapun, asalkan husnul khatimah, sudah dijamin alam barzakh menjadi taman syurga.

Wallaahu a’lam.

Advertisements

HIkmah untuk Aku, Musibah Kamu

 

Adalah sangat tidak adil apabila kita sedang menghirup hikmah pada sesuatu hal yang berlaku, menguar-uarkannya kepada khalayak sedangkan hal yang sama menjadi musibah kepada orang lain. Barangkali sebab inilah juga Nabi pernah berpesan supaya kita menyembunyikan kebaikan sendiri.

Orang lain berhak dijaga hatinya walaupun kita sangat teruja bahawa kita ini hidup dalam istana emas. Kelebihan bukan untuk dibanggakan, tetapi untuk membina rasa simpati dan kasihan kepada orang yang nasibnya lebih rendah daripada kita.

Wallaahu a’lam.

Ragam Pengawas UPSR

UPSR 2015 telah selesai. Sehingga hari ini, belum ada cakap-cakap mengenai soalan bocor. Syukurnya. Sebab, jika peperiksaan diulang seperti kes tahun 2014, yang susah bukan hanya calon. Yang susah ialah para pengawasnya, sedangkan tuntutan perjalanan bukanlah banyak sangat. Dan tuntutan sidang peperiksaan juga ikut nasib. Jika ada, barangkali hanya RM1.00. Sudahlah tak relevan, jika tidak mahu tuntut, kena isi borang. Sangat-sangat menyusahkan!

Seperti tahun-tahun sebelumnya, nama saya tetap terpilih untuk menjadi pengawas UPSR. Di ketiga-tiga sekolah tempat saya pernah dan berkhidmat kini, pentadbir sangat suka memilih borang yang bertulis nama Ruhana binti Md Zaki, walaupun tempoh saya mengajar di sekolah berkenaan melayakkan saya direhatkan daripada tugas tersebut. Mengapa agaknya? Sebab saya sentiasa kelihatan mudakah? Mungkin juga…apabila mereka beranggapan saya masih muda, maka tenaga saya banyak. Saya mampu berdiri lama sekurang-kurangnya 50 minit atau paling lama mengikut masa peperiksaan:90 minit. Barangkali yang terlepas daripada menjadi Pengawas UPSR itu, tua-tua atau ada penyakit. Barangkali saya ini jenis sihat walafiat.

Tak mengapalah. Sudah lama saya sedar, dunia yang bulat ini sering sampai kepada giliran saya. Giliran buat kerja lebihlah. Bukannya giliran duduk berehat. Giliran orang lain selalu terlepas. Giliran orang lain selalunya sampai untuk nasib baik dan rezeki lebih.

Juga, tak mengapalah. Saya serahkan kepada DIA. Dunia ini tempat bekerja. Dan sangat letih. Cuma saya tak sangka DIA masih mengizinkan saya hidup di celah-celah kesibukan dan kepenatan yang tak terhingga.

Saya, seperti biasalah. Mengambil peluang daripada segala yang saya lalui. Sekurang-kurangnya sebagai idea untuk berkarya.

Sebenarnya, banyak pengalaman pengawas lain yang dapat dikongsi apabila bertugas sewaktu UPSR. Yang membuatkan kita lebih dan semakin insaf. Seteruk manapun keadaan kita,  rupa-rupanya ramai lagi yang dilanda musibah yang lebih teruk daripada kita.

Contohnya tahun lepas, ada seorang Pengawas UPSR yang berulang-alik sangat jauh ke tempat kerja. Rumahnya di Banting manakala sekolahnya di Damansara. Selain itu, pentadbirnya pula bukanlah jenis yang mahu memahami masalah guru-guru. Kasihan, beliau tidak seronok bekerja. Sama tarikh dengan saya, beliau mengisi borang pertukaran antara daerah. Saya dapat, beliau tak dapat. Tahun ini, setahun selepas kami berkenalan, barulah saya diberitahu tentang kejayaan bertukar ke Banting. Syukur.

Tahun ini, saya berkenalan pula dengan dua orang Pengawas UPSR yang mempunyai pengalaman hidup yang mengharukan. Seorang, kematian anaknya yang berusia 13 bulan akibat penyakit jantung. Seorang lagi, sudah berkahwin selama 10 tahun tetapi tahun kelima barulah dikurniai cahayamata.

Alangkah hebatnya ALLAH yang menyusun kehidupan manusia. Benarlah hakikat bahawa setiap manusia tidak terlepas daripada ujian, dugaan mahupun musibah. Cuma, cara mendepaninya sahaja yang membezakan kita.

Sentiasa dipilih menjadi Pengawas UPSR, itulah dugaan yang berterusan untuk saya. Sampai bila? Sampai pencen agaknya!

Saya tetap bersyukur.

Minta Pada Yang Satu

Tahun ini, murid beragama Islam yang akan menghadapi UPSR hanya tiga orang. Namun Ketua Panitia tetap mahu mengadakan majlis bacaan Yaasin dan Solat Hajat. Agenda tahunan katanya. Tak mengapalah. Bagi pihak sekolah, kami membuktikan bahawa kami mengambil berat terhadap peristiwa besar yang bakal dihadapi oleh tiga orang calon tersebut. Kami berusaha mengadakan majlis khusus untuk mendoakan mereka.

Dan bagi pihak ibu bapa, semoga mereka menghargainya, khususnya ibu bapa bagi tiga orang calon berkenaan. Namun apa yang amat mendukacitakan, musibah yang melanda umat Islam mutakhir ini adalah tentang sikap kita. majlis ini bertujuan menyatukan hati kita ketika berdoa dan memohon kejayaan. Apa yang berlaku ialah, ibu bapa calon itu sendiri membiarkan anak kecil yang mereka bawa bersama, mengganggu jemaah yang sedang solat. Siap panjat, tumbuk dan tarik jemaah sampai jatuh. Manakala jemaah itu (murid tahun empat) tetap meneruskan solatnya. Barangkali dia tidak tahu bahawa solat sudah batal disebabkan pergerakannya sudah melebihi tiga kali berturut-turut.

Anehnya sang bapa kepada kanak-kanak itu masih boleh khusyuk. Manakala ibu dan kakaknya yang solat di belakang saf lelaki sudah barang tentu dapat melihat kejadian itu dengan jelas, namun hanya membiarkan.

Puan, kami solat untuk anak puan. Tapi pada masa yang sama anak kecil puan menyepak-nyepak jemaah. Apakah puan rasa kami mampu khusyuk? Apakah puan rasa hati kami tidak berkata-kata?

Persoalannya, mengapa anak kecil itu tidak ditegah daripada mengganggu jemaah? Adakah kerana dia masih kecil maka tingkah lakunya boleh dibiarkan? Hakikatnya, itulah biasan didikan kita terhadap anak-anak kita. Anak lelaki yang dibiarkan ada ekor rambut yang panjang, apakah itu gambaran ibu bapanya yang soleh?

Dan persoalan yang lain, adakah  solat hajat itu jatuh ke tahap prioriti berbanding menjaga anak daripada mengganggu jemaah? Bagi saya, lebih baik menjaga anak supaya tidak mengganggu jemaah yang sedang solat hajat. Tak mengapalah jika ibu tidak solat hajatpun. Sebab ibu sudah berdoa setiap hari. Sebab ibu sudah banyak kali buat solat hajat sendiri. Jadi, untuk malam ini, lebih afdhal jika duduk menjaga anak kecilnya yang sangat nakal itu. Supaya jemaah termasuk anaknya yang akan menghadapi UPSR itu boleh solat dan berdoa dengan khusyuk tanpa gangguan.

Jujur saya akui, saya tidak khusyuk. Namun, semoga ada ramhat Ilahi yang akan menutup kelalaian saya itu dan memberikan kejayaan kepada calon berkenaan. Saya halalkan ilmu-ilmu saya kepada calon itu kerana saya tahu, dia berhak berjaya. Dia murid yang baik dan cerdik.

Terima Kasih Cikgu

18-19 September 2015 merupakan hari yang amat menggembirakan kerana dapat bertemu dengan para pensyarah yang pernah mengajar saya pada tahun 2003. Sesungguhnya, jasa mereka tidak mampu dibalas sepenuhnya. Semoga Allah akan menggandakan kebaikan dan memberikan kebahagiaan kepada mereka di akhirat kelak.

Paling mengharukan, mereka masih mengenali saya walaupun sudah lama meninggalkan MPI (kini IPIS). Malah, mereka masih ingat kisah-kisah saya sewaktu belajar di situ. Dan alhamdulillah sehingga ke detik ini mereka masih sudi mendoakan keselamatan, kesejahteraan dan kejayaan saya. Syukurnya kerana cerita-cerita baik tentang saya berlegar-legar di dalam IPG itu, dalam kalangan pensyarah-pensyarah baharu.

Cikgu, sesungguhnya kamu semua memang hebat! Dan terbaik!

20150818_085357

20150819_103042

ALLAH, Hidup Matiku Hanya Untuk-MU by Ruhana Zaki

Syukur, alhamdulillah. Ini buku keenam saya dengan Karya Bestari.

COVER ALLAH HIDUP MATIKU HANYA UNTUKMU

Secuit Kenangan @ Karya Bestari

20140907_141818

20150501_171705

20150501_181605