Mensyukuri Jasa Ibu

Bulan Mei, bulan yang penuh dengan sambutan. Hari ibu, Hari Belia, Hari Guru dan bonus: Hari Lahir bagi mereka yang turut lahir dalam bulan ini.
Saya ingin menyentuh tentang Hari Ibu. Setahu saya, hanya akhir-akhir ini sahaja negara kita mewar-warkan sambutan Hari Ibu. Bagus juga, sekurang-kurangnya, anak-anak yang tak pernah terfikir untuk mengharagai ibunya, kecoh sekejap memikirkan apa yang perlu dibuat untuk menghargai ibunya pada hari tersebut.
 
Ya, sekurang-kurangnya ada sehari dalam setahun, seseorang anak akan memberi lebih perhatian terhadap ibunya. Memberi hadiah, ambil cuti untuk meluangkan masa bersama ibu, atau belanja ibu makan di restoren yang lebih mahal daripada biasa.
 
Penghargaan memang mesti dizahirkan. Walaupun ibu tahu anak-anak menyayanginya, tetap juga penghargaan dan kasih sayang mesti dizahirkan. Lafazkan rasa kasih itu. Jangan biar rasa itu berlegar-legar dalam hati sahaja, dengan harapan ibu akan faham sendiri.
 
Ibu manusia ‘miracle’. Dia akan faham. Tetapi dia juga mahu mendengarnya dari mulut anak-anaknya sendiri. Mulut yang disuap dengan makanan ‘keramat’ yang membesarkan anak-anak lalu menjadi insan yang berguna. Dari mulut itulah perlu keluar suara yang menggambarkan penghargaan dan seluruh perasaan.
Tidak salah menyambut Hari Ibu, dengan cara dan budaya kita. Sebab ibu ialah insan yang wajib kita taati dan hormati selama-lamanya. Jika sekalipun kerajaan tidak mewar-warkan sambutan Hari Ibu, apa salahnya penghargaan itu kita beri tanpa sebab atau alasan.
 
Ziarahi ibu sekerap mungkin jika tidak tinggal bersamanya. Kadangkala, apa yang ibu mahukan, bukanlah wang ringgit kita. Ibu hanya mahu anak-anak sentiasa hampir. Kalau boleh, ada di depan mata setiap ketika. Ibu masih merindui bau badan anak-anak. Setiap anak ada bau yang berbeza. Setiap anak ada perangai tertentu yang membezakan setiap orang daripadanya. Dan perbezaan itu, apabila dikumpulkan, membentuk sebuah kesempurnaan yang tidak terungkapkan. Itulah yang setiap ibu mahu.
 
Ayah dan ibu membesarkan kita dengan keringat dan wang ringgit yang tak terkira. Bagi anda yang berasal daripada keluarga miskin, anda pasti memahami kesukaran itu. Oleh itu, cubalah seboleh mungkin, untuk menghargai jasa pengorbanan mereka itu dengan sehabis daya usaha kita pula. Membesar sebagai anak yang berbudi, belajar, mengejar cita-cita dan mempunyai kerjaya yang terjamin. Untuk membalas jasa mereka berdua 100%, tak mungkin. Tetapi untuk membantu dan menjadi anak yang berbudi, insya-Allah pintunya terbuka luas.
 
Jika boleh, bajetkan sedikit daripada pendapatan kita setiap bulan itu, untuk ayah dan ibu. Sedikitpun tak mengapa, asalkan bantuan tak putus setiap bulan. Sesiapapun tahu, kos sara hidup di bandar sangat tinggi sedangkan pendapatan tidak sebanyak mana. Tetapi, ingat pula tentang tanggungjawab sebagai anak terhadap ayah ibunya. Dahulu, mereka juga orang susah sewaktu membesarkan kita. Lagilah pula tidak berpendapatan tetap. Tidak pula mereka merungut untuk memberi makan sebanyak-banyak mulut anak mereka. Dapat juga kita membesar dengan sempurna.
 
Sebab itulah, jangan sesekali beralasan pabila sudah dewasa. Tugas kita pula membantu mereka. Dengan kasih sayang, dengan sedikit sebanyak harta yang kita ada.
 
Suatu hari, sewaktu sedang menulis di kelas, saya ditegur seorang guru berbangsa Cina. Mula-mula dia puji kelas saya yang cantik dan kemas seperti rumah sendiri. Saya gelak dan rasa teruja sebab, ada juga yang sudi memerhati dan menghargai apa yang saya lakukan di sekolah baru ini.
Dia ramah berbual dengan saya. Cerita punya cerita, terkeluarlah kisah yang mengharukan. Rupa-rupanya dia seorang balu. Sudah tiga tahun dia menjadi balu. (Saya faham perasaannya itu). Katanya, dia ada dua orang anak yang sudah besar dan akan bekerja. Anaknya melarang dia bekerja. Kata anaknya, dia boleh sara mummy bila dia kerja nanti.
 
Tetapi naluri si ibu sangat berbeza. Apa yang dia kata kepada anaknya? Tak apalah, biar mummy kerja. Mummy boleh cari duit belanja sendiri. Mummy tak mau susahkan anak-anak.
 
Terharu saya mendengarnya. Seorang ibu seboleh-bolehnya mahu menolak kebaikan anak sendiri. Dia tidak mahu menyusahkan anak sendiri meskipun waktu membesarkan anak-anak, ramai ibu yang susah dan menderita. Itulah kemuliaan seorang ibu, tak kira apa bangsa dan apa agamanya.
 
Anak-anak, hargailah ibu anda jika mereka masih hidup. Ibu adalah manusia paling mahal nilainya dalam jiwa kita. Tidak tahu betapa besarnya kekosongan dalam hati jika ibu tiada. (Mereka yang sudah kematian ibu tahu perasaan ini). Jika rasa sukar hendak mengucapkan sayang, ucapkanlah melalui kebaikan yang mampu anda lakukan terhadap ibu anda.
 
Kenang semula, apa yang ibu telah dan masih buat untuk anda. Waktu anda bersekolah, ibulah yang mengejutkan anda dari tidur setiap hari. Jika tidak, alamat lewatlah atau ponteng sekolah lah jawabnya. Bayangkan berapa lama rutin itu berlangsung? Dari sekolah rendah, sekolah menengah dan kolej??? Ibu yang memasak setiap hari sejak dia mula berkahwin hinggalah selama-lamanya…masakan ibulah yang paling sedap kan? Masakan hotel ternama pun tak boleh lawan masakan ibu. Bila berjauhan, air tangan ibulah yang paling dirindui. Pernahkah anada terfikir tentangnya? Rutin inilah yang kita anggap biasa, tetapi sangat besar maknanya jika sudah tiada.
 
Ibu yang menjahitkan baju kita…(seperti ibu saya). Setiap minggu hantar kain untuk ibu jahit. Hinggakan tidak ada pakaian siap yang dijual dapat menandingi baju yang dijahit ibu sendiri…
 
Ibu yang membasuh kasut sekolah walaupun anaknya sudah besar panjang, ibu yang menseterika baju sekolah setiap hari, ibu yang mengemas bilik tidur seramai-ramai anaknya, ibu yang menemani anak-anak buat kerja sekolah sebab tak sanggup anak-anaknya dimarahi guru, ibu tidak tidur semalaman bila anaknya sakit, ibu itu, ibu ini. Ibu yang buat semuanya!
 
Bila anak sudah dewasa, ibu jugalah orangnya yang susah hati jika anak mahu menghadiri temuduga. Ibu yang baca Yaasin dan buat solat hajat minta urusan temuduga anaknya dipermudahkan Tuhan. Waktu anak hendak kahwin, ibulah yang ke sana ke sini menguruskan majlis tersebut. BIia anak sakit nak bersalin, ibu jugalah yang risau. Ibu akan jaga anak dan cucunya dengan baik dalam masa berpantang. Bila anak sakit, ibu yang bimbang walaupun anaknya sudah ada pasangan sendiri.
 
Begitulah, dalam dunia, hanya ada seorang insan sahaja yang sanggup buat semuanya untuk kita. Itulah ibu kita. Hal dapur, hal rumah tangga, hal anak-anak, hal suaminya, hal kerjaya…dari sekecil-kecil urusan hingga sebesar-besar urusan, kudrat dan otak ibu boleh ingat dan uruskan semuanya. Bukankah ibu kita hebat? Masih adakah insan serba-boleh atau superwoman lain dalam hati anda selain ibu anda?
 
Kepada anda yang sudah menjadi ibu, anda pasti sudah tahu, nikmatnya menjadi ibu. Dan sukarnya menjadi ibu. Bermula seawal anak membenih dalam kandungan lagi. Pahit, getir, sakit, sedih, susah, sedaya-upaya akan dikesampingkan demi anak-anak tercinta. Yang terlihat pada zahir hanyalah harapan dan kegembiraan membesarkan anak dengan sempurna.
 
Sebab itulah, sebagai seorang ibu, kita tahu, jauh di sudut hati, apa rasanya pabila tidak dihargai anak-anak sendiri…bukan rasa kesal. Tetapi rasa sayu kerana tidak dijadikan insan terutama dalam hati mereka.
 
Setiap hari adalah Hari Ibu. Namun Ahad kedua bulan Mei setiap tahun lebih bermakna kerana pada hari itu, Hari Ibu disambut di seluruh negara kita.
 
Selamat Hari Ibu buat mak, Rogayah binti Hj Shaari. Terima kasih, kerana mak, kami berjaya. Kami tak mampu membalas jasa mak. Tetapi kami berusaha sedaya-upaya untuk sentiasa buat mak restu pada kami. Restu itu penting untuk kebahagiaan dan masa depan kami semua…
 
 
Note:
 
Berikut adalah tarikh Hari Ibu bagi seluruh dunia:
 
9 Mei 2010 (Ahad minggu kedua dalam bulan Mei) bagi negara MALAYSIA, Anguilla, Aruba, Australia, Austria, Bahamas, Bangladesh, Barbados, Belgium, Belize, Bermuda, Bonaire, Brazil, Brunei, Bulgaria, Canada, Chile, China, Colombia, Croatia, Cuba, Curaçao, Cyprus, Czech Republic, Denmark, Ecuador, Estonia, Finland, Germany, Ghana, Greece, Grenada, Honduras, Hong Kong, Iceland, India, Italy, Jamaica, Japan, Latvia, Malta, Myanmar, The Netherlands, New Zealand, Pakistan, Peru, Philippines, Puerto Rico, Singapore, Slovakia, South Africa, St. Lucia, Saint Vincent and the Grenadines, Suriname, Switzerland, Taiwan, Trinidad and Tobago, Turkey, Ukraine, United States, Uruguay, Venezuela, Zimbabwe
 
1 Mei 2010 (Ahad pertama dalam bulan Mei) bagi negara Hungary, Lithuania, Portugal, Spain
 
29 Mei 2010 (Ahad terakhir dalam bulan Mei) bagi negara Algeria, Dominican Republic, France,Haiti, Mauritius, Morocco, Sweden, Tunisia.
 
22 Mac 2010 bagi negara Ireland, Nigeria, United Kingdom
 
12 Ogos 2010 bagi negara Thailand yang juga merupakan tarikh lahir Queen Sirikit
 
22 Disember 2010 bagi negara Indonesia.

In Loving Memories…We MISS You So Much

 

 

Hari ini hatiku diburu sedih, sayu, pilu, syahdu. Aku mengenang seseorang yang sungguh bermakna. Pemergiaannya tiada ganti. Dirinya terlalu istimewa. Kerana dia adalah seorang yang lain daripada yang lain.

Dia penyayang, dia rajin, dia unik. Dia juga penyabar. Hanya orang yang mengenalinya sahaja yang mengetahui betapa sabar dan tabahnya dia menghadapi kehidupannya yang berliku. Fitnah dan tohmahan ditelan tanpa keluh. Berapa banyak beban yang disimpan, hanya Allah s.w.t sahaja Yang Maha Mengetahui.

Dia periang. Dia…sangat baik.

 

Dia…yang tabah dan unik

 

Masih kuingat lagi, kali pertama dia menawarkan diri menjaga anak bongsuku. Ketika itu kami sekeluarga hendak pergi bercuti di Melaka. Anak bongsuku masih kecil, dua bulan. Aku dan suami bercadang hendak membawa kedua-dua orang anak bercuti bersama. Tetapi melihatkan anakku itu yang masih merah, katanya, biarlah dia yang jaga. Anak itu masih tak sesuai dibawa berjalan jauh.  Tentu akan menangis. Bersungguh-sungguh dia menawarkan diri.

Jadi, dengan rasa berat hati, aku dan suami bersetuju akhirnya. Dia sangat gembira. Dia mendukung anakku dan mengambil baju yang sudah kami letak dalam kereta. Maka, dua malamlah dia menjadi ‘ibu’ kepada anak bongsuku.

Balik dari bercuti, dia banyak bercerita. Anakku berjaga tengah malam, menangis dan sebagainya. Tapi dia gembira. Walaupun terpaksa bangun tengah malam untuk membancuh susu, tak lena tidur sampai ke pagi dan perlu menukar pampers, itulah pengalaman yang mengujakan dirinya. Kerana dia tidak pernah ada anak walaupun sudah berkahwin lebih 10 tahun.

Itulah Along, birasku. Sejak pengalaman pertama menjadi ‘ibu’ itulah dia menggelarkan dirinya pada kedua-dua orang anakku. Anak-anakku sangat rapat dengannya. Mereka selalu dibawa keluar, dibawa pergi makan, pergi pasar malam, pergi shopping dan sebagainya. Pendek kata, anak-anakku sangat dimanjakannya.

Disebabkan hubungan rapat ini, kami banyak berkongsi rahsia. Dia dan aku saling menasihati. Dan semuanya menjadi ‘rahsia kami berdua’.

 

Geng biras kepoh semasa bercuti di Terengganu

 

Walau bagaimanapun, suasana berubah. Along mula menyendiri. Aku cuba memahami perubahan itu walaupun terasa janggal. Kupujuk diri dengan mengatakan Along kurang sihat, sebab itu dia banyak berkurung dalam rumah. Along memang ada banyak penyakit. Darah tinggi, antaranya. Jadi, perubahan diri Along aku cuba terima. Badan Along mula susut. Along makin bergaya.

 

Fasa buang tabiat sudah bermula waktu ini

 

Pernah dia mengadu, “Penat la kerja. Rasa nak berhenti je.” Ungkapan itu penuh makna. Namun ketika dia mengucapkannya, aku ketawa mendengarnya. Kataku, rugi berhenti kerja nanti tak  ada duit nak belanja. Kami ketawa.

Kami semakin kurang bersembang. Bila sakit dan tidak pergi kerja, Along akan duduk dalam rumah dan menonton televisyen. Sesekali dia akan pergi ke rumah mertua yang terletak di depan rumahnya.

Pagi itulah! Kali terakhir aku melihat wajah cerianya. Ketika itu aku hendak ke sekolah sebab ada Kem Bestari Solat. Aku bawa kedua-dua anakku, tidak seperti selalu. Selalunya, jika aku ada hal di sekolah, anak bongsuku akan tinggal dengan ibunya. Tetapi tidak kali ini. Fikirku, biarlah Along berehat. Sempat kusapa Along seperti biasa sebelum aku pergi ke sekolah.

Kem Bestari Solat berlangsung dengan jayanya namun badanku sangat penat. Selepas balik dari sekolah, aku berehat agak lama. Malamnya, aku terlena di hadapan televisye, agak awal daripada biasa. Kerana terlalu penat, movie menarik di TV pun tidak erjaya menongkat kelopak mataku.

Sedar-sedar sahaja suami menggoncang badanku sambil berkata, “Yang, Along masuk wad,” suara itu sayup-sayup kudengar. Mungkin mimpi sebabnya…mustahil Along masuk wad? Badanku terasa bergoncang lagi. Malas-malas saja kubuka mata.

Hakikatnya, aku tidak bermimpi! Waktu itu, jam menunjukkan tepat angka 12:30 malam.

“Along koma.”

“KOMA?” Rasa terputus nyawaku mendengar kalimah itu. Mustahil! Mustahil! Baru paga tadi saja aku bersembang dengan dia!!!

“Kenapa?”

“Entah, tadi dia jatuh masa makan,”

Kami tiba di Hospital Sungai Buloh sebelum pukul satu pagi. Susah pula hendak masuk ke bilik kecemasan. Entah apa-apa prosedur tak masuk akal ditetapkan oleh attendan yang bertugas pada ketika itu.

Agak lama juga selepas itu, aku dapat masuk melihat Along. Benar, Along koma. Matanya terpejam rapat. Along, apa dah jadi…rintihku. Wayar berselirat di kepalanya. Kepala Along sudah botak. Along…air mataku mengalir laju.

Tak pernah kusangka perkara sedahsyat ini akan berlaku. Along sahabat baikku. Along ‘ibu’ kepada anak-anakku. Along penghidup suasana. Jika ada jamuan, Alonglah orang penting yang paling sibuk memasak. Kini?

 

Along memang ringan tulang

 

Apa yang sedang kuhadapi adalah tubuh Along yang kaku tidak sedarkan diri. Koma itu kondisi yang sangat membimbangkan. Dan ia jarang berlaku untuk penyakit yang biasa-biasa.

Kata suaminya, Along akan dibedah untuk membuang darah beku. Aku berasa sayu. Darah beku? Aku pernah menulis banyak cerita tentang kemalangan atau penyakit yang membawa kepada terjadinya darah beku. Dan keadaan ini tidaklah baik sangat…kecuali ada miracle dan semangat yang kuat.

Kubisik pada diri, Along kuat. Sebanyak-banyak dugaan dihadapi waktu sedar dahulu dengan senyuman manis di wajahnya. Along boleh bertahan. Along akan buka mata semula.

Bilik pembedahan masih penuh. Maksudnya, Along kena tunggu. Kenapalah begini keadaannya? Doktor kecemasan tak cukup, bilik bedah tak cukup, jururawat banyak songeh? Bukankah pesakit ini sedang meniti benang halus antara hidup dan matinya?

Oh…barangkali sebab mereka sudah terbiasa menghadapi macam-macam karenah pesakit, malah kematian. Sebab itulah mereka lengah-lengah sahaja buat kerja!

Sebelum Along ditolak ke bilik pembedahan, suami mengajakku pergi minum. Aku akur. Mungkin boleh segarkan mata dan badan yang masih penat ini. Di warung tepi hospital, kukunya berbungkus-bungkus kacang tanah tanpa kusedari (waktu itu). Bimbang sangat akan keadaan Alaong…

Suami membawa anak-anak balik ke rumah, setelah lama menunggu tetapi along belum ditolak ke bilik pembedahan. Pada mulanya anak-anak tidak mahu balik tetapi kupaksa juga kerana memang tidak selesa tidur dalam kereta. Lagipun kereta terpaksa parkir jauh dari bilik kecemasan. Aku berdegil untuk menunggu. Jadi, aku menunggu di bilik tetamu bersama ibu, ayah, nenek dan suami Along.

Hampir 4:00 pagi barulah Along ditolak ke bilik pembedahan. Kami beredar pula untuk menunggu di hadapan bilik pembedahan. Sangat tidak selesa. Kerusi menunggu hanya ada sedikit, tidak cukup untuk bilangan kami. Lagi pula, kerusi itu rosak. Dugaan, dugaan.

Dalam debar dan takut, kami terus menunggu, hinggalah siang. Pembedahan bagai tiada gunanya kerana Along tidak sedar-sedar juga. Dia dihantar ke ICU.

Harapan masih ada. Semua orang mahu Along ‘kembali’ semula. Pelawat Along sangat ramai, saudara mara dan sahabat handai. Itu buktinya Along orang yang baik…

Air mata tidak mahu kering! Suratan sudah ditetapkan. Dua hari Along berada di ICU. Sampai akhirnya, masa dia pergi menghadap Penciptanya, pada hening Subuh yang sepi.

Along disemadikan dengan sempurna. Kami bermandi air mata. Namun…setelah dia tiada dan apabila kufikirkan semula, Along memang patut ‘pergi’. Aku tahu penderitaannya. Zahir nampak bahagia dan gembira tetapi sebenarnya Allah mahu menyelamatkannya daripada fitnah yang lebih besar jika dia masih hidup.

Alhamdulillah, walaupun kami menangisinya…hingga ke hari ini, kami percaya, rahmat Ilahi lebih besar melebihi segala-galanya.

 

Sewaktu menghadiri perkahwinan adikku di Perak

 

Hingga saat ini, aku dan adik iparku selalu menyebut-nyebut kebaikan Along. (Semuanya tentang Along adalah baik belaka). Kami mula menilai tabiat Along sebelum dia ‘pergi’. Antaranya, patutlah dia mengubah kerusi taman yang diletak antara rumahku dan rumahnya, rupa-rupanya dia sudah tahu, dia akan dimandikan di situ…

Sedih, pedih, hilang…

 

Percutian akhir bersama… di Kuantan

 

Anak-anakku masih ‘taat’ membelek album gambar yang ada foto mereka bersama ‘ibu’ mereka. Foto sejak anak-anak itu masih kecil hinggalah ke tahun 2009. Banyak kenangan indah dengan ibu…

 

Singgah di Gua Kelam selepas balik dari Langkawi

 

Tahun ini, kurang satu hadiah hari lahir buat anak-anak sebab ibu tiada. Ibu tak pernah lupa membeli hadiah untuk mereka sejak dia rapat dengan mereka.

Hari ini, 18 Mei 2010 genap setahun Along pergi meninggalkan kami semua. Banyak yang masih tak terluah. Namun aku sentiasa mendoakan Along bahagia di sana kerana sewaktu di sini, sudah banyak kebaikan dilakukan walaupun bersulam keperitan. Aku sangat merinduinya. Begitu juga dengan anak-anakku. Mereka pernah ada seorang ‘ibu’. Kini ‘ibu’ sudah tiada, tak mungkin ada lagi ‘ibu’ lain yang serupa. Bagi mereka, ‘ibu Along’ tiada galang gantinya. Kata anak saya, ‘ibu Along’ sudah masuk syurga…Alhamdulillah.

 

Di samping suami tercinta pada pagi raya

 

 

Hari Raya terakhir buat Along… tahun 2009

 

Jasad Along sudah tiada, namun Along tetap hidup dalam jiwa dan memori kami buat selama-lamanya. Begitu juga dengan rahsia Along yang terlalu banyak itu. Aku dan adik iparku akan menyimpannya teguh dalam kenangan kami. Rahsia yang, ‘hanya kami yang tahu dan kami yang faham’. Kami sentiasa mendoakan Along tenang dan bahagia di sana…

7 Things to Stop Doing Now on Facebook

 

Using a Weak Password
Avoid simple names or words you can find in a dictionary, even with numbers tacked on the end. Instead, mix upper- and lower-case letters, numbers, and symbols. A password should have at least eight characters. One good technique is to insert numbers or symbols in the middle of a word, such as this variant on the word “houses”: hO27usEs!
 
 
Leaving Your Full Birth Date in Your Profile
It’s an ideal target for identity thieves, who could use it to obtain more information about you and potentially gain access to your bank or credit card account. If you’ve already entered a birth date, go to your profile page and click on the Info tab, then on Edit Information. Under the Basic Information section, choose to show only the month and day or no birthday at all.
 
 
Overlooking Useful Privacy Controls
For almost everything in your Facebook profile, you can limit access to only your friends, friends of friends, or yourself. Restrict access to photos, birth date, religious views, and family information, among other things. You can give only certain people or groups access to items such as photos, or block particular people from seeing them. Consider leaving out contact info, such as phone number and address, since you probably don’t want anyone to have access to that information anyway.
 
 
Posting Your Child’s Name in a Caption
Don’t use a child’s name in photo tags or captions. If someone else does, delete it by clicking on Remove Tag. If your child isn’t on Facebook and someone includes his or her name in a caption, ask that person to remove the name.
 
 
Mentioning That You’ll Be Away From Home
That’s like putting a “no one’s home” sign on your door. Wait until you get home to tell everyone how awesome your vacation was and be vague about the date of any trip.
 
 
Letting Search Engines Find You
To help prevent strangers from accessing your page, go to the Search section of Facebook’s privacy controls and select Only Friends for Facebook search results. Be sure the box for public search results isn’t checked.
 
 
Permitting Youngsters to Use Facebook Unsupervised
Facebook limits its members to ages 13 and over, but children younger than that do use it. If you have a young child or teenager on Facebook, the best way to provide oversight is to become one of their online friends. Use your e-mail address as the contact for their account so that you receive their notifications and monitor their activities. “What they think is nothing can actually be pretty serious,” says Charles Pavelites, a supervisory special agent at the Internet Crime Complaint Center. For example, a child who posts the comment “Mom will be home soon, I need to do the dishes” every day at the same time is revealing too much about the parents’ regular comings and goings.
 
 
(Source: Yahoo)

Tentang Fadilat Surah Yaasin

 

Membaca Surah Yaasin sudah menjadi tradisi pada malam Jumaat. Di mana-mana sahaja, masjid, surau dan rumah-rumah, bacaan Surah Yaasin bergema selepas solat Maghrib. Banyak buku diterbitkan tentang fadilat surah ini. Ramai orang membacanya untuk merebut fadilat yang ditawarkan.

Hakikatnya, apa yang selalu kita dengar, tidak semestinya benar. Ada hadis yang selalu disebut-sebut dalam ceramah tentang Fadilat Surah Yaasin tidak bertaraf sahih atau hasan. Oleh sebab itu, sepatutnya, kita membaca ayat suci al-Quran untuk merebut tempat yang lebih dekat dengan Allah s.w.t, bukan untuk merebut fadilat surah-surah tertentu. Bimbang pula niat hati akan terpesong, bukan mencari keredhaan Allah s.w.t, tetapi mencari keistimewaan yang tidak wujud.

Penerangan ini tidak bermaksud larangan melazimi bacaan Yaasin. Penerangan ini hanya untuk memberitahu tentang kesalahan menyandarkan fadilat Surah Yaasin kepada Rasulullah s.a.w.
Hadis Dhaif dan Maudhu’ sering dijadikan dasar tentang fadilat Surah Yaasin adalah:

Hadis 1

Maksud hadis: “Siapa yang membaca surat Yasin dalam suatu malam, maka ketika ia bangun pagi hari diampuni dosanya dan siapa yang membaca surat Ad-Dukhan pada malam Jum’at maka ketika ia bangun pagi hari diampuni dosanya.” (Ibnul Jauzi, Al-Maudhu’at, 1/247).

Keterangan: Hadis ini Palsu (Maudhu’).

Ibnul Jauzi mengatakan, hadis ini dari semua jalannya adalah batil, tidak ada asalnya. Imam Daruquthni berkata: Muhammad bin Zakaria yang ada dalam sanad hadis ini adalah tukang memalsukan hadis. (Semak: Al-Maudhu’at, Ibnul Jauzi, I/246-247, Mizanul I’tidal III/549, Lisanul Mizan V/168, Al-Fawaidul Majmua’ah hal. 268 No. 944).

Hadis 2

Maksud hadis: “Siapa yang membaca surah Yasin pada malam hari karena mencari keredhaan Allah, nescaya Allah mengampuni dosanya.”

Keterangan: Hadis ini Lemah (Dhaif).

Diriwayatkan oleh Thabrani dalam kitabnya Mu’jamul Ausath dan As-Shaghir dari Abu Hurairah, tetapi dalam sanadnya ada rawi Aghlab bin Tamim. Kata Imam Bukhari, dia munkarul hadis. Kata Ibnu Ma’in, dia tidak ada apa-apa (tidak kuat). (Semak: Mizanul I’tidal I:273-274 dan Lisanul Mizan I : 464-465).

 

Hadis 3

Maksud hadis: “Siapa yang terus menerus membaca surat Yasin pada setiap malam, kemudiand ia mati maka dia mati syahid.”

Keterangan: Hadis ini Palsu (Maudhu’).

Hadits ini diriwayatkan oleh Thabrani dalam Mu’jam Shaghir dari Anas, tetapi dalam sanadnya ada Sa’id bin Musa Al-Azdy, seorang pendusta dan dituduh oleh Ibnu Hibban sering memalsukan hadis. (Semak: Tuhfatudz Dzakirin, hal. 340, Mizanul I’tidal II : 159-160, Lisanul Mizan III : 44-45).

Hadis 4

Maksud hadis: “Siapa yang membaca surat Yasin pada permulaan siang (pagi hari) maka akan dikabulkan semua hajatnya.”

Keterangan: Hadis ini Lemah (Dhaif).

Ia diriwayatkan oleh Ad-Darimi dari jalur Al-Walid bin Syuja’. Atha’ bin Abi Rabah, pembawa hadis ini tidak pernah bertemu Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam. kerana dia lahir sekitar tahun 24H dan wafat tahun 114H.

(Semak: Sunan Ad-Darimi 2:457, Misykatul Mashabih, takhrij No. 2177, Mizanul I’tidal III:70 dan Taqribut Tahdzib II:22).

Hadis 5

Maksud hadis: “Siapa yang membaca surat Yasin satu kali, seolah-olah ia membaca Al-Qur’an dua kali.” (Hadits Riwayat Baihaqi dalam Syu’abul Iman).

Keterangan: Hadits ini Palsu (Maudhu’).

(Lihat Dha’if Jamiush Shaghir, No. 5801 oleh Syaikh Al-Albani).

Hadis 6

Maksud hadis: “Siapa yang membaca surat Yasin satu kali, seolah-olah ia membaca Al-Qur’an sepuluh kali.” (Hadits Riwayat Baihaqi dalam Syu’abul Iman).

Keterangan: Hadits ini Palsu (Maudhu’).

(Lihat Dha’if Jami’ush Shagir, No. 5798 oleh Syaikh Al-Albani).

Hadis 7

Maksud hadis: “Sesungguhnya tiap-tiap sesuatu mempunyai hati dan hati (inti) Al-Qur’an itu ialah surat Yasin. Siapa yang membacanya maka Allah akan memberikan pahala bagi bacaannya itu seperti pahala membaca Al-Qur’an sepuluh kali.”

Keterangan: Hadits ini Palsu (Maudhu’).

Hadits ini diriwayatkan oleh At-Tirmidzi (No. 304 8) dan Ad-Darimi 2:456. Di dalamnya terdapat Muqatil bin Sulaiman. Ayah Ibnu Abi Hatim berkata: Aku mendapati hadis ini di awal kitab yang disusun oleh Muqatil bin Sulaiman. Dan ini adalah hadis batil, tidak ada asalnya. (Semak: Silsilah Hadits Dha’if no. 169, hal. 202-203). Imam Waqi’ berkata: Dia adalah tukang dusta. Kata Imam Nasa’i: Muqatil bin Sulaiman sering dusta.

(Periksa: Mizanul I’tidal IV:173).

Hadis 8

Maksud hadis: “Siapa yang membaca surat Yasin di pagi hari maka akan dimudahkan (untuknya) urusan hari itu sampai petang. Dan siapa yang membacanya di awal malam  maka akan dimudahkan urusannya malam itu sampai pagi.”

Keterangan: Hadits ini Lemah (Dhaif).

Hadis ini diriwayatkan Ad-Darimi 2:457 dari jalur Amr bin Zararah. Dalam sanad hadis ini terdapat Syahr bin Hausyab. Kata Ibnu Hajar: Dia banyak memursalkan hadis dan banyak keliru. (Semak: Taqrib I:355, Mizanul I’tidal II:283).

Hadis 9

Maksud hadis: “Bacakanlah surat Yasin kepada orang yang akan mati di antara kamu.”

Keterangan: Hadits ini Lemah (Dhaif).

Di antara yang meriwayatkan hadis ini adalah Ibnu Abi Syaibah (4:74 cet. India), Abu Daud No. 3121. Hadis ini lemah kerana Abu Utsman, di antara perawi hadis ini adalah seorang yang majhul (tidak diketahui), demikian pula dengan ayahnya. Hadis ini juga mudtharib (goncang sanadnya/tidak jelas).

Hadis 10

Maksud hadis: “Tidak seorang pun akan mati, lalu dibacakan Yasin di sisinya (maksudnya sedang naza’) melainkan Allah akan memudahkan (kematian itu) atasnya.”

Keterangan: Hadits ini Palsu (Maudhu’).

Hadis ini diriwayatkan oleh Abu Nu’aim dalam kitab Akhbaru Ashbahan I :188. Dalam sanad hadis ini terdapat Marwan bin Salim Al Jazari. Imam Ahmad dan Nasa’i berkata, dia tidak boleh dipercaya. Imam Bukhari, Muslim dan Abu Hatim berkata, dia munkarul hadis. Kata Abu ‘Arubah Al Harrani, dia sering memalsukan hadis. (Semak: Mizanul I’tidal IV : 90-91).

Penting!!!

Abdullah bin Mubarak berkata: Aku berat sangka bahwa orang-orang zindiq (yang pura-pura Islam) itulah yang telah membuat riwayat-riwayat itu (hadis-hadis tentang fadilat surah-surah tertentu).

Ibnu Qayyim Al-Jauziyah berkata: Semua hadis yang mengatakan, barangsiapa membaca surat ini akan diberikan ganjaran begini dan begitu ADALAH PALSU. Sesungguhnya orang-orang yang memalsukan hadis-hadis itu telah mengakuinya sendiri. Mereka berkata, tujuan kami membuat hadis-hadis palsu adalah agar manusia sibuk membaca surah-surah tertentu dari Al-Qur’an dan menjauhkan mereka dari isi Al-Qur’an yang lain, juga kitab-kitab selain Al-Qur’an. (Semak: Al-Manarul Munffish Shahih Wadh-Dha’if, hal. 113-115).

KESIMPULAN

Disebabkan hadis di atas lemah dan palsu, maka ia tidak dapat dijadikan hujjah untuk menyatakan keutamaan surah ini.

Ampuni Anakmu, Ibu…

 

Nadiha mengangkut beg mendaki tangga rumahnya dengan susah payah tanpa memberi salam. Hamidah dan Sulaiman yang sedang minum petang di meja makan terkejut melihat Nadiha yang tiba-tiba terjengul di muka pintu.

“Terkejut mak dibuatnya, Diha. Kau ni tak reti bagi salam ke?” bebel Hamidah. Terkocoh-kocoh dan dan suami mendapatkan Nadiha. Sulaiman menyambut beg troli dari tangan Nadiha.

“Diha balik terus ni, mak, ayah. Tak nak duduk KL lagi dah,”

“Maksudnya?” tanya Hamidah.

“Maksudnya, Diha nak jadi anak mak dan ayah semula. Diha tak jadi kawin,” buntang mata ayah dan ibunyal,.

“Biar betul, Diha. Mak dah siapkan semuanya. Dah jemput satu kampung tau.” kata Hamidah.

“”Diha kata batal, batal je lah. Apa yang susah sangat?” bentak Nadiha. Suaranya meninggi.

“Kamu ingat, senang ke nak batalkan saat akhir, Diha? Ini kerja kawin tau,” kata ayahnya.

“Ini keputusan Diha mak, ayah…”

“Kenapa, Datuk kamu tu dah jumpa orang lain pulak ke?” Nadiha mengeluh. Dia sudah putus dengan Muhaiman Ashraf. Jadi dia tidak betah tinggal di kondominium lelaki itu lagi.

“Tu, kenapa bawak kereta Datuk tu lagi?” Panjang bibir ayahnya terarah ke kereta di halaman rumah.

“Dia hadiahkan pada Diha. Mak ayah buatlah macam manapun. Diha tak jadi kawin. Diha penat la…Diha masuk bilik dulu, nak tidur.” Tanpa rasa bersalah terhadap ayah dan ibunya, Nadiha meninggalkan mereka berdua termangu-mangu di meja makan. Mereka memerhati langkah Nadiha dengan hati yang kecewa.

“Hari tu nak kawin tak sempat-sempat. Ni, tak jadi kawin pun tak sempat-sempat jugak. Macam mana kita nak bagitau orang kampung ni…”

“Nadiha, Nadiha. Sampai sekarang nak kena ikut cakap dia saja,”

(sedutan Novel Sanubari Pujaan)

p/s: Dunia sudah terbalikkah? Sebenarnya siapa yang mesti taat kepada siapa?

Pabila ada sesuatu berlaku nanti, percayalah, Nadiha pasti akan merintih begini…

Mak,

aku malu untuk mengucapkannya

tapi percayalah

ucapan itu sentiasa berlegar dalam sanubariku.

Teruknya anakmu ini

waktu kecil mak tak pernah jemu cakap,

mak sayang anak mak ni.

Melalui semua yang pernah mak buat untuk aku

aku tau, diriku tiada galang gantinya melainkan nyawa mak.

Mak sanggup buat apa saja

demi kebaikanku

walaupun aku membentak

selalu membantah

selalu tak setuju.

Mak pernah merajuk

bukan sekali bahkan berkali-kali

pernah mak mengaku…

“yalah mak ni kolot”

bila aku tarik muka tak setuju dengan mak.

Tapi bila dah besar ni

bila aku dah pandai fikir

bila dah matang sikit

baru aku tau

mak sikitpun tak kolot

mak sebenarnya insan paling hebat

yang Allah utuskan buat aku dan hidupku.

Jika mak tak ada

tak taulah sama ada aku hari ini

manusia atau apa?

Aku tau

mak langit yang sentiasa memayungi

mak bumi yang senitasa melindungi

mak mentari yang sentiasa memberi harapan

mak bulan yang sentiasa mengasyikkan.

Saat ini

aku rasa rindu sangat pada mak.

Aku teringin sangat nak peluk mak.

Aku nak minta ampun dari mak.

Aku tau dosa aku banyak

sedangkan jasa aku pada mak tak banyak.

Aku tau

walaupun dosaku banyak pada mak

walaupun aku ini seteruk-teruk manusia

Mak tak pernah tolak aku.

Mak masih juga sayang aku.

Mak masih juga anggap aku anaknya.

Mak memang manusia mulia.

Aku harap masih ada peluang untuk…

aku dakap mak,

aku aku cium mak,

aku luahkan…AKU SAYANG MAK!!!

Kisah Sebenar Tentang Perintah Solat

 

Anas bin Malik berkata bahawa Abu Dzar r.a pernah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Ketika aku sedang berada di Makkah, atap rumahku terbuka dan Malaikat Jibril turun menemuiku, membelah dadaku, lalu membasuhnya dengan air zamzam.

Setelah itu Jibril membawa sebuah nampan emas yang isinya penuh dengan kebijaksanaan dan keimanan dan sehabis menuangkan seluruh isi nampan itu ke dalam dadaku, iapun menutup dadaku kembali.

Kemudian Jibril menggenggam tanganku dan menuntunku ke langit. Jibril berkata kepada penjaga langit, “Buka.” Penjaga langit berkata, “Siapa itu?” Jibril menjawab, “Jibril,” Penjaga langit bertanya, “Adakah seseorang bersamamu?” Jibril menjawab, “Ya. Muhammad s.a.w bersamaku.” Si penjaga bertanya, “Apakah ia telah diutus?” Jibril menjawab, “Ya.”

Maka pintu langit pun dibuka dan kami pergi ke langit terdekat dan di sana kami melihat seorang lelaki sedang duduk dengan aswidah (sejumlah besar orang) di sebelah kanannya dan aswidah di sebelah kirinya. Ketika lelaki itu melihat ke sebelah kanannya, dia ketawa dan ketika dia melihat ke sebelah kirinya, dia menangis. Kemudian lelaki itu berkata, “Selamat datang! Wahai Nabi dan anakku yang soleh.”

Aku bertanya kepada Jibril, “Siapa lelaki ini?” Dia menjawab, “Lelaki itu adalah Adam, orang yang di kanannya adalah roh keturunannya (anak cucunya). Mereka yang berada di sebelah kanan adalah para penghuni syurga dan mereka yang berada di sebelah kiri adalah para penghuni neraka. Manakala dia berpaling ke arah kanannya dia ketawa dan manakala dia berpaling ke  arah kirinya dia menangis.”

Kemudian dia menuntunku hingga tiba di langit kedua dan Jibril berkata kepada penjaganya, “Buka.” Penjaga langit mengatakan hal yang sama seperti yang dikatakan penjaga langit sebelumnya lalu membuka pintu langit kedua.

Anas berkata, “Abu Dzar menambah bahawa Nabi s.a.w bertemu dengan Adam, Idris, Musa, Isa dan Ibrahim a.s. Beliau (Abu Dzar) tidak menjelaskan berada di langit yang mana mereka (para Nabi itu) berada (pada masa berjumpa dengan Nabi s.a.w.), tetapi mengatakan bahawa Nabi s.a.w berjumpa dengan Adam di langit terdekat dan dengan Ibrahim di langit keenam.”

Anas berkata, “Ketika nabi s.a.w dan Jibril berjumpa dengan Idris, yang disebut terakhir ini berkata, “Selamat datang wahai Nabi dan saudaraku yang soleh.”

Baginda menambah, “Aku bertemu dengan Musa dan dia berkata kepadaku, “Selamat datang Nabi dan saudaraku yang soleh.” Lalu aku bertemu dengan Isa dan dia berkata, “Selamat datang Nabi dan saudaraku yang soleh.” Kemudian aku bertemu dengan Ibrahim dan dia berkata, “Selamat datang Nabi dan anakku yang soleh.”

Ibnu Abbas dan abu Habbah Al-Anshari berkata: Nabi Muhammad s.a.w menambah, “Kemudian aku dan Jibril naik ke sebuah tempat dan aku mendengar bunyi pena (dari tempat itu).” Anas bin Malik r.a berkata: Nabi Muhammad s.a.w bersabda, “Kemudian Allah Azza wa Jalla memerintahkan solat 50 waktu kepada umatku. Ketika aku kembali dengan perintah ini, aku bertemu Musa yang bertanya kepadaku, “Apa yang Allah perintahkan kepada para pengikutmu?” Aku menjawab, “Dia memerintahkan solat 50 waktu kepada umatku,” Musa berkata, “Kembalilah kepada Tuhanmu sebab para pengikutmu tidak akan sanggup menjalankan perintah itu,”

Maka akupun kembali menemui Allah dan meminta keringanan untuk umatku dan Dia memberi keringanan hingga separuhnya. Ketika aku bertemu kembali dengan Musa dan memberitahu hal itu kepadanya, dia berkata, “Kembalilah pada Tuhanmu sebab para pengikutmu tidak akan sanggup mengerjakan perintah itu.”

Maka akupun kembali menemui Allah dan meminta keringanan dan Dia mengurangi perintah itu hingga separuhnya lagi. Aku kembali bertemu dengan Musa dan dia berkata kepadaku, “Kembalilah kepada Tuhanmu sebab para pengikutmu tidak akan sanggup mengerjakan perintah itu.”

Maka akupun kembali menemui Allah dan Dia berfirman: “Ini (perintah) solat lima waktu dan solat lima waktu ini setara dengan solat 50 waktu sebab Kalam-Ku tidak akan berubah.”

Aku kembali bertemu dengan Musa dan dia menyarankan aku kembali sekali lagi (menemui Allah dan meminta keringanan bagi umatku). Aku menjawab, “Sekarang aku berasa malu untuk meminta keringanan kepada Tuhanku.”

Setelah itu, Jibril membawaku ke Sidratul Muntaha yang diselimuti berbagai-bagai warna yang tak dapat dilukiskan dengan kata-kata. Kemudian aku diizinkan masuk ke dalam syurga tempat aku menemui tembok-tembok kecil daripada mutiara dan tanahnya mengeluarkan wangian misk (kasturi).”

Sumber: Kitab Tentang Solat, Ringkasan Sahih Bukhari