Fragile

fragile 001

Penulis:Syira Lokman

Penerbit: Komrad Buku

Harga: RM20.00

Jumlah Halaman: 95

Melalui buku ini, penulis terjun begitu dalam untuk mengungkapkan sesuatu. Sebilangan besar perasaan yang diluahkan adalah mengenai kehidupan mahasiswa. Apa yang dikejar dalam hidup?

Jika ketika  di sekolah menengah kita mampu ikut peraturan sekolah, mengapa ketika menjadi mahasiswa, tidak lagi?

Apakah ijazah itu segala-galanya?

Dalam mengejar cita-cita, jangan ketepikan peranan doa dan ibadah kepada Tuhan. Jangan juga kesampingkan kemanusiaan.

Paling utama, tak kira di manapun tahap kita, jangan pernah lupa Allahlah yang paling setia. Membantu jatuh-bangun hamba-Nya.

Saat aku jatuh terduduk tanpa sesiapa membantu

Allah setia bersamaku.

Saat jiwa ini sakit hingga aku rapuh dalam sendu

Allah alirkan rasa tenang demi mengubatiku.

Saat aku mula mengalah dengan langkahku

Allah papah aku hingga mampu bergerak perlahan selangkah demi selangkah menuju kiblatku.

Syabas, penulis!

Advertisements

Aku Nabi Isa

 

 

aku nabi isa 001

Penulis: Dr. Rozanizam Zakaria

Penerbit: Puteh Press

Harga:RM15.00

Jumlah Halaman:202

Buku ini sangat menarik apabila seorang doktor mendedahkan pengalaman dirinya menyantuni pesakit jiwa ketika bertugas di luar negara.

Amat banyak pengajaran boleh kita ambil daripada 10 kisah benar yang dinukil di dalam buku ini. Paling utama, rasa syukur kita kerana diberikan kesihatan jasmani dan emosi. Ramai yang pandang enteng terhadap nikmat ini, bahkan mudah pula memandang rendah terhadap mereka yang diuji dengan penyakit mental.

Hakikatnya, ada penyakit mental masuk ke dalam tubuh seseorang bukan kerana salah dirinya. Faktor persekitaran turut memainkan peranan. Tekanan hidup, masalah keuarga, malah masalah negara juga boleh menjadi penyebab penyakit mental boleh dihidapi oleh sesiapa sahaja.

Pada pendapat saya, ajaran Islam adalah penawar terbaik untuk membimbing emosi kita. Tak mampu buat banyak, istiqamahlah walaupun kecil. Membaca al-Quran, solat dan zikir, ia memainkan perana yang cukup besar untuk membelai emosi kita.

Pesan penulis:

Buku ini bukan ditulis khusus untuk bakal doktor, pesakit mental atau keluarganya. Buku ini hakikatnya ditujukan untuk setiap insan yang memiliki kewarasan dan bercita-cita mahu melakukan sesuatu yang bermakna dalam kehidupan daripada kewarasan yang mereka miliki.

Syabas, penulis!