Kecukupan Yang Disalah Guna

 

Hari ini, alhamdulillah kebanyakan daripada kita telah dianugerahi nikmat yang banyak dari sudut wang dan harta-benda. Dengan itu, mereka yang beruntung ini menggunakan semua kecukupan tersebut untuk membahagiakan anak isteri. Mereka membeli rumah agam untuk dihuni oleh 4 orang ahli keluarga, membeli kereta mewah supaya dapat berlumba di jalan raya, melancong ke sana-sini tetapi tidak terfikir untuk pergi haji dan macam-macam lagi. Pendek kata mereka mampu lakukan apa sahaja mengikut naluri hati tanpa kekangan kerana telah memegang kuasa ekonomi.

Hakikatnya, bukan itu yang telah dilakukan oleh Nabi kesayangan kita. Baginda pernah ditawarkan dengan gunung emas oleh malaikat tetapi baginda menolaknya. Baginda boleh pejam mata dan minta macam-macam daripada ALLAH SWT tetapi baginda tak mahu. Sedangkan sedikit makanan yang ada di rumahpun sanggup baginda sedekah kepada orang yang lebih memerlukan. Begitu juga dengan sahabat-sahabat baginda. Mereka sanggup keluar bekerja untuk mendapatkan upah yang mana upah tersebut mahu digunakan khusus untuk bersedekah. Hasilnya, mereka tidak jatuh miskin pun. Malah ALLAH sentiasa mencukupkan keperluan mereka kerana mereka sedar, setiap harta yang dimiliki bukan milik mutlak. ALLAH jualah yang memberi. Jadi, apa salahnya berbakti.

Ketika mengkaji ayat 21 Surah Al-Ahzab sewaktu menulis buku Surat Daripada TUHAN, menitis air mata saya melihat kecukupan yang ALLAH beri kepada Nabi dan umat Islam ketika mereka sedang menghadapi getirnya peperangan Khandak. Dalam cuaca yang dingin dan perut yang lapar, Nabi dan tentera Islam tetap setia berjuang mempertahankan kalimah-NYA. Mereka menggali parit sehingga selesai. Nabi mengikat perutnya dengan batu. Baginda menyanyikan syair-syair semangat kepada tentera Islam. Tawakal baginda berada pada tahap tertinggi. Dengan izin-NYA, baginda dan tentera Islam dapat menikmati makanan dengan puas sedangkan pada asalnya, mereka hanya ada bekalan segenggam kurma, seekor kambing  dan sedikit gandum. Subhaanallaah…

Lihatlah pula pada tingkah laku kita. Apakah kecukupan yang kita nikmati hari ini sama caranya dengan Nabi? Mungkin ya dan mungkin tidak. Ramai yang akan memberi alasan – dah penat bekerja masa muda dulu untuk dapat semua kemewahan ni, takkanlah senang-senang nak beri pada orang pula? Sekurang-kurangnya biarlah anak isteri yang rasa kemewahan tu dulu. Dah puas rasa mewah, barulah bersedekah.

Jika baginda masih ada, tentu jawapan baginda tetap berbeza dengan jawapan kita. Kita hanya mementingkan kemewahan untuk ahli keluarga sahaja. Kononnya malu jika anak isteri hidup melarat. Tapi bayangkan, kemewahan itu sudah lebih daripada cukup untuk ahli keluarga. Ternyata, track kita masih jauh daripada cara kehidupan baginda.

Untuk membanding beza cara kehidupan kita dan baginda, bacalah karya saya yang terbaru ini. Uswah hasanah baginda dalam peperangan Khandak sahaja sudah boleh buat kita jatuh cinta kepadanya, apatah lagi jika kita menelusuri seluruh kehidupan baginda. Sesungguhnya amat benar, bagindalah contoh teladan yang wajib kita ikuti, walaupun setiap insan itu ada caranya yang tersendiri.

 

cover penuh SDT

 

Surat Daripada TUHAN: Perjalanan Yang Bermakna

 

Alhamdulillah. Dalam keterbatasan masa dan tenaga, akhirnya dapat juga saya menyiapkan karya terbaru ini. Surat Daripada TUHAN merupakan satu perjalanan yang agak panjang. Pernah suatu ketika, seorang rakan ketawa sewaktu melihat folder ‘Surat daripada TUHAN’ di laptop saya. Saya tidak mengetahui erti tawanya itu. Bila dia tanya, “Kenapa surat daripada TUHAN?” Saya senyum sahaja. Idea tentang isi buku ini sudah lama tersusun kemas dalam kepala, namun tiada booster yang memaksa saya memecut laju untuk menyiapkannya.

sdt cover

Bagi sesetengah orang, surat daripada TUHAN adalah suatu istilah yang ganjil. Ada pula yang mencadangkan kepada saya supaya meletakkan judul Surat Daripada ALLAH sebagai judul karya terbaru ini. Alasan mereka, bukankah nama ALLAH sedang direbut-rebut semua bangsa dan agama?

Terpulanglah kepada persepsi masing-masing. Bagi saya, bagi sesiapapun yang beragama, tak kira apa agamanya, layak untuk membaca buku ini. Kerana setiap agama pasti ada Tuhan. Lagipun, saya amat berharap semoga non-Muslim yang membaca buku ini tergerak hati untuk lebih mendalami ketuhanan yang ada dalam agama kita.

Saya lebih jelas mengenai perkara ini setelah membaca buku-buku sirah, begitu juga dengan buku-buku yang mengungkapkan kehidupan masyarakat bukan Islam di negara lain.

Folder ini agak terperap lama. Namun apa yang menyebabkan saya mula memecut laju untuk menyiapkannya sehingga terpaksa meninggalkan skrip yang lain? Ada sebabnya dan sebab itu merupakan maruah umat Islam. Hendak tahu? Jangan lupa dapatkan buku ini di PBAKL atau kedai-kedai buku yang  berhampiran dengan anda.

Selamat membaca surat cinta ini yea 🙂

 

Jom Berubah

ghayyir nafsaka

judul: Ghayyir Nafsaka (Perubahan Diri)

penulis: Amru Khalid

penerbit: Blue-T

harga: RM50.00

bil. halaman: 406

Seperti sebelumnya, buku Amru Khalid tidak pernah mengecewakan. Beliau berupaya mengungkapkan sesuatu dengan terperinci dan mampu mencetus perubahan dalam diri pembaca. Cara beliau menulis sangat menarik. Tidak rugi membeli buku ini jika anda benar-benar mahu berubah.

 

Rahsia Di Sebalik Huruf Hijaiyah

 

huruf hijaiyah

judul: Adakah Wujud Rahsia dan Makna Di Sebalik Huruf Hijaiyah?

penulis: M Fauzi Rachman & Atikah Suhaimi

penerbit: Synergy Media

harga: RM25.50

bil. halaman: 295

Sinopsis:

Huruf hijaiyah ternyata mempunyai makna falsafah yang mendalam. Secara global, rahsia itu adalah cara dan usaha  agar kita menjadi Muslim sejati dan manusia yang berguna. Di antara cara dan usaha yang dibincangkan dalam buku ini adalah bagaimana kita memperoleh keseimbangan dan kebahagiaan di dunia dan akhirat, bagaimana kita mampu mencapai titik keseimbangan hidup sebagai makhluk individu dan sosial serta bagaimana kita dapat meraih titik keseimbangan antara material dan spiritual. Hebat sekali kerana cara tersebut datangnya daripada ALLAH SWT sendiri.

 

Islam Amat Indah

 

 

travelog syahadah

Judul: Travelog Syahadah

Penulis: Muhammad Rashidi Abdullah

Penerbit: PTS

Harga: RM14.00

Bil. halaman: 128

Orang yang hebat biasanya akan diuji terlebih dahulu, itulah kesimpulan yang dapat saya buat setelah membaca buku ini. Buku ini digarap dengan ringkas namun mampu menitiskan air mata dan menitikkan keinsafan buat hati-hati yang sangat biasa bergelumang dengan maksiat. Pada pendapat saya, jika buku ini ditulis dengan lebih terperinci, nescaya akan lebih ramailah non-Muslim mengucap dua kalimah syahadah setelah membacanya.

Antara fragmen-fragmen yang menyentuh hati saya adalah:

i. Hampir seminggu berada di kampung. Saya benar-benar merasa bahagia. Mulder yang pada mulanya takut mendampingi saya, akhirnya menjadi rapat dengan saya. Waktu pagi, saya menghantar beliau ke sekolah. Tengah hari saya menjemput beliau dari sekolah. Pengalaman itu benar-benar mengajar saya erti tanggungjawab. Terasa tanggungjawab itu sesuatu yang indah. Indah apabila kita benar-benar menyedarinya.

ii. Ayah menyatakan kerisauan hatinya apabila mendengar berita penahanan saya di penjara. Sukar melelapkan mata katanya. Ayah juga melahirkan kekesalan kerana tidak sempat menemui saya ketika saya meninggalkan kampung halaman. Ternyata, di sebalik ketegasan ayah, kemarahan yang selalu dizahirkan kepada saya, terselit perasaan kasih sayang yang amat mendalam.

Tidak dapat dinafikan, saya terpaksa mengetepikan rasa tidak selesa tentang pembinaan ayat-ayat dalam buku ini dek kerana mahu mendalami pengalaman penulis. Kisah beliau unik dan menarik. Pengalaman penulis ini yang perlu kita jadikan iktibar. Semoga lebih ramai lagi yang akan dapat ‘melihat’ keindahan Islam di sebalik keperitan hidup yang dialami. Allah sentiasa ada dan bersedia membantu, tak kira siapapun kita asalkan kita sentiasa membuka hati untuk menyambut kebenaran.

 

Bohong Di Dunia

 

bohong di dunia

judul: Bohong Di Dunia

penulis: Prof Dr. Hamka

penerbit: Pustaka Dini

harga: RM15.00

bil. halaman: 108

Sinopsis:

Bohong satu kali adalah laksana nila setitik dimasukkan ke dalam susu sebelanga. Bohong satu kali kerap menjatuhkan harga diri seseorang di hadapan sesama manusia untuk selama-lamanya.  Jujur dan benar adalah sifat semulajadi manusia. Suara hati yang asli adalah jujur dan tidak mahu berbohong.

Orang yang berani berkata terus-terang, adalah orang yang mendidik jiwanya sendiri untuk merdeka. Dan orang yang berani menerima perkataan terus terang adalah orang yang membimbing jiwanya kepada kemerdekaan. Sebab itu dapatlah dikatakan bahawa, kebenaran itu adalah kemerdekaan.