Hentikan Tangisan Nabi

Israk dan Mikraj merupakan sejarah yang sangat besar bagi umat Islam. Setiap tahun, kedatangannya diraikan. Sejarah dikisahkan, tak kira di surau, masjid atau sekolah. Selepas tarikhnya berlalu, ia dilupakan. Bagi saya, pemikiran sebegini wajib diubah.

Israk dan Mikraj bukan hanya sejarah yang dikenang setahun sekali. Pengajarannya wajib kita pegang setiap hari. Iktibarnya kita ingat sepanjang masa.

Apa yang Nabi lalui, ada masanya Nabi gembira dan ada masanya Nabi menangis. Itulah Israk dan Mikraj. Tak lain tak bukan, kerana memikirkan nasib umatnya.

Nabi gembira menghidu harum pusara Masyitah yang syahid kerana mempertahankan keimanannya. Kemudian, Nabi menangis pula tatkala melihat ramai umatnya dari kalangan wanita yang menjadi penghuni neraka.

Bukankah wanita sangat mudah masuk syurga? Asalkan seseorang wanita itu taat kepada suami, melakukan solat dan puasa dengan sempurna, pilih sahajalah pintu mana yang disukai untuk memasuki syurga. Wanita juga dimuliakan kerana darjatnya sebagai seorang ibu. Syurga di telapak kaki ibu. Jika syurga di telapak kaki ibu, mengapa ramai juga wanita masuk neraka? Mengapa??? Adakah syurga di telapak kakinya itu disediakan untuk anak-anaknya sahaja, tetapi bukan untuk dirinya sendiri?

Tidakkah kita turut terasa kesedihan ketika baginda menangis? Peristiwa ini sudah lama berlaku dan sejarah Israk Mikraj juga sudah banyak dikisahkan kepada kita. Mengapa masih ada juga yang tidak mahu ambil iktibar?

Dalam perjalanan tersebut, Nabi melihat wanita diseksa kerana mendedahkan rambutnya kepada lelaki ajnabi. Nabi juga melihat wanita diseksa kerana menyakitkan hati suami melalui kata-katanya. Ada wanita yang diseksa kerana menyusui anak orang lain tanpa keizinan suami. Ada yang diseksa kerana mampu solat dan puasa tetapi sengaja tidak mahu melakukannya.

Kemudian, ada  wanita yang diseksa kerana tidak mandi junub, keluar rumah tanpa izin suami, tidak mandi hadas sesudah haid atau nifas kering, berhias untuk lelaki lain, suka menceritakan keburukan orang, membanggakan diri supaya orang melihat perhiasannya, suka mengadu domba, suka berdusta dan suka memfitnah.

Apakah bentuk seksaan terhadap wanita-wanita ini? Terlalu pedih seksaannya. Sebagaimana sahabat-sahabat Nabi akan menitiskan air mata setiapkali Nabi membacakan mereka ayat-ayat suci al-Quran tentang seksaan neraka.

Jika hati kita keras, percayalah bahawa anda tidak akan berasa apa-apa jika semua jenis seksaan tersebut disebutkan satu-persatu. Hati membatu, lidah kelu dan mata tidak insaf. Itulah yang berlaku. Lebih baik anda cari dan baca sendiri tentang seksaannya…kerana hati yang hidup, lidah yang lembut dan mata yang insaf sahaja yang akan memahami betapa dahsyat dan sakitnya seksaan Allah s.w.t terhadap wanita yang ingkar.

Renungkanlah. Pandanglah jauh ke dalam diri sendiri, bagaimana hati dan jiwa kita ini ketika menerima suruhan Allah s.w.t. Apakah hati dan jiwa redha melakukan suruhan dan meninggalkan semua larangan-Nya?

Percayalah jika hati kita terbuka, anda lihatlah sendiri. Perubahan akan berlaku secara mendadak:wanita akan kembali kepada fitrahnya, iaitu berhias secara sederhana dan makin kuranglah meja bulat yang sibuk berbicara tentang hal orang lain.

Hanya dua perkara inipun, jika mampu dilakukan, akan membawa perubahan yang sangat besar terhadap umat Islam.

Semuanya tentang wanita.

Wahai wanita muslimah, kitalah yang boleh menghentikan tangisan Nabi…

 

 

Dimensi Israk dan Mikraj

 

Begitu cepat masa berlalu, Israk dan Mikraj datang lagi. Mengingatkan kita tentang peristiwa besar yang berlaku dalam kehidupan Junjungan Mulia, Muhammad s.a.w.

Sejak kecil saya sudah mempelajari peristiwa sejarah ini. Dahulu, saya hanya dengar dan ingat. Saya diajar untuk percaya. Iktibarnya, saya masih kurang faham. Apa yang saya dengar, ingat dan percaya itu, saya pegang hingga ke saat ini. Alhamdulillah, semakin matang usia, saya semakin mendalami iktibar yang ingin disampaikan oleh peristiwa besar tersebut.

Aneh sekali, anak-anak pada hari ini ramai yang tidak tahu apa itu Israk dan Mikraj. Malah, apabila diceritakan Nabi menunggang buraq, mereka tercengang. Apabila diceritakan seketul batu mahu ikut Nabi naik ke langit, lagilah mereka sukar untuk percaya.

Ayah ibu, terapkanlah dalam jiwa anak-anak kita bahawa kenabian ialah perkara spiritual yang wajib kita percaya. Memang kita tak mampu hendak membayangkannya, apatah lagi Nabi sudah wafat lebih 1400 tahun yang lalu. Namun, perkara sam’iyyat seperti inilah yang membezakan kekuatan iman kita dengan penganut agama lain.

Bayangkan sahaja, pada masa Nabi masih hidup lagi, ada golongan yang tidak mahu percaya bahawa Nabi s.a.w boleh naik ke langit dalam masa satu malam sahaja. Ini perkara sam’iyyat, ini perkara yang berkait dengan iman. Memang tak dapat disentuh atau dilihat, tetapi dapat dirasa. Pabila al-Quran menyatakannya sebagai BENAR, maka janganlah terlalu banyak bertanya. Terima dan percaya, itu sudah memadai.

 Dalam perjalanan yang agung ini, Nabi  melihat ramai ahli syurga terdiri daripada orang miskin, manakala ramai ahli neraka terdiri daripada wanita. Masya-Allah…jatuh air mata memikirkannya. Jika pun ramai wanita, janganlah kita atau ahli keluarga kita menjadi sebahagian daripadanya. Itulah yang sedang kita usahakan sepanjang hidup ini.

Jangan singgah lama atas dunia hanya untuk jadi penghuni neraka. Dunia dan segala nikmatnya memang mengasyikkan. Yang tiada mahu diadakan. Yang tidak mampu, bekerja sekuat mungkin untuk mendapatkan kehidupan yang mewah dan berada. Dalam usaha tersebut, janganlah sampai tersasar ke simpang yang terlarang. Ingatlah selalu bahawa jalan yang lurus tak semestinya berakhir dengan indah. Dan jangan pula beranggapan jalan beronak duri akan berakhir dengan gaung yang dalam. Siapa tahu, di hujung onak durilah ada syurga. Itu yang dipesan oleh Nabi kita.

Jalan ke neraka penuh dengan kenikmatan dan hawa nafsu. Jadi, berwaspadalah. Apa-apa sahaja kelebihan yang ada pada diri, sandarkanlah kepada Ilahi supaya tidak menjadi riyak atau istidraj. Allah s.w.t memberi  nikmat, harta, kebijaksanaan dan kecantikan kepada semua manusia tetapi Allah s.w.t tidak mengurniakan rahmat-Nya kepada sebarang manusia. Hanya untuk yang terpilih sahaja. Jadi, jangan terlalu alpa jika diri lebih daripada orang lain. Barangkali itu ujian semata-mata.

Ambillah inti daripada peristiwa sebesar Israk dan Mikraj. Kita diharuskan menghibur hati dengan membuat perjalanan yang berfaedah jika hati gundah. Kita boleh menjadikan solat sebagai penguat semangat jika dilanda masalah. Kita boleh menjadi wanita terhebat jika mahu mengambil iktibar daripada seksaan terhadap wanita, yang ditunjukkan kepada Nabi dalam peristiwa tersebut.

Hanya saja, jika hati terlalu keras, Israk dan Mikraj akan tinggal menjadi sejarah. Wanita tetap dengan nalurinya hendak melawa, memikat dan menyusahkan suami. Tak guna Nabi menangis untuk umatnya jika umatnya sendiri tidak mahu menyelamatkan diri mereka sendiri.

Jika tiada peristiwa Israk dan Mikraj, wanita tiada panduan bagaimana untuk mengelakkan seksaan azab neraka yang pedih. Sesungguhnya, kita boleh mengelak. Manfaatkanlah peristiwa besar ini untuk membentuk keperibadian yang besar dalam diri kita. Jangan hanya menjadikannya bahan sejarah yang diceritakan setahun sekali.

Sematkanlah iktibarnya dalam hati, setiap detik setiap masa. Insya-Allah dengan itu kita akan merasakan sunnah Nabi sentiasa hidup dalam jiwa kita. Insya-Allah dengan itu kita akan sentiasa berwaspada setiap kali mahu melangkah. Ingatlah, wanita adalah pendorong semangat yang paling kuat melalui peranannya sebagai ibu dan isteri. Jangan pula menjadi penyebab ketua keluarga diazab dalam neraka.

Perbetulkan niatmu, tundukkan pandanganmu, berhiaslah secara sederhana sahaja. Yang berhak terhadap dirimu ialah Allah, Rasul, suami dan ahli keluargamu sahaja. Jangan dengan sukarelah kau mencampakkan dirimu ke lembah kehancuran.

Jadilah qurrata ain sepanjang zaman…

 

alhamdulillah…it’s Thursday!

 

Pagi tadi saya singgah di sebuah gerai yang menjual makanan pantai timur. Seperti biasa, saya beli nasi berlauk. Dek kerinduan mendalam terhadap negeri pantai timur, selera saya juga meronta-ronta nak makan masakan dari sana.

Saya tanya tuan punya gerai tersebut, pukul berapa start berniaga? Katanya, sebaik sahaja lepas Subuh. Orang bang saja, allahu akbar. Lepas tu, doa pun atas jalan je lah, ujar mak cik yang peramah itu. Walaupun loghatnya agak dalam, saya dapat memahaminya dengan baik.

“Susah dik berniaga ni…tengok orang lain kerja senang je,”

“Tu la mak cik, kita tengok kerja orang senang. Orang pulak kata kerja kita senang. Rezeki masing-masing…” pujuk saya.

“Tu lah…anak-anakpun berjaya masuk universiti dengan duit berniaga ni lah.”

“Ha…kan? Dah ada hasilnya tu…”

Setiap pekerjaan pasti ada kesusahannya, cuma tahapnya sahaja yang berbeza. Setiap kerjaya pasti ada cabarannya. Jika semua berlalu dengan tenang sahaja, barangkali kita tidak ambil iktibar. Ataupun hasilnya tidak seindah mana. Pabila berada dalam zon selesa, biasanya kita tidaklah maju sangat.

Apatah lagi bagi penjawat awam. Sibuk bukan setiap hari. Stress hanya sekali-sekala. Tetapi setiap hari akan melihat kalender kerana tak sabar nak dapat gaji. Itulah sahaja rutin yang berlaku setiap hari, sepanjang bulan, selama beberapa tahun…

Manakala bagi orang yang setiap hari stress, tidak menyukai tempat kerjanya, tidak enjoy bekerja…tentulah di sebalik melihat kalender untuk mengira hari gaji, dia juga mengira hari bekerja dalam seminggu. Oh…malasnya nak pergi kerja (mood hari Isnin). Eh, dah hari Khamislah! Esok Jumaat, lusa cuti dua hari. Leganya…

Subhanallah…ya Allah, semoga kami tidak mensia-siakan masa yang Engkau kurniakan, semoga kami tidak mensia-siakan peluang menambah rahmat melalui kesibukan, semoga kami tidak mensia-siakan masa lapang begitu sahaja…

Semuanya akan dipersoalkan. Semua sekali, tidak terkecuali walaupun sesaat!

 

Ketika Alam Bertahlil

 

 

 

judul: Ketika Alam Bertahlil

penulis: Amin al-Anshari

penerbit: Synergy Media

harga: RM 15.90

Untuk melentur hati yang keras, anda boleh membaca buku ini kerana buku ini menghidangkan kepada kita tentang alam yang tidak pernah berhenti bertasbih dan bertahlil kepada Allah s.w.t. Walaupun mereka dicipta untuk memenuhi kehendak manusia, mereka tidak lupa bahawa Pencipta mereka ialah Allah s.w.t. Jadi, mereka tidak membangga diri.

Ketika matahari beranjak tinggi, tidak satupun makhluk Allah s.w.t yang ada kecuali mereka semua hanya bertasbih dengan memanjatkan pujian kepada-Nya, kecuali syaitan dan manusia yang bodoh. (HR Abu Nu’man).

Kata Abu Dzar: Aku pernah bersama Rasulullah s.a.w di masjid saat matahari tenggelam. iba-tiba Rasulullah s.a.w bertanya, “Abu Dzar, tahukah engkau ke mana matahari tenggelam?”

Jawabku, “Allah dan Rasul-Nya lebih tahu.”

Rasulullah s.a.w. kembali berkata: “Matahari pergi untuk bersujud di bawah Arasy, sebagaimana yang disebutkan dalam ayat yang berbunyi: Dan matahari berjalan menuju persemayamannya. Itulah takdir Zat Yang Maha Perkasa lagi Maha Mengetahui. (HR Bukhari)

Ada seekor semut menyengat salah seorang Nabi. Tidak lama kemudian, nabi tersebut memerintahkan untuk membakar rumah tersebut hingga habis. Akhirnya Allah menegurnya, “Engkau hanya disengat oleh seekor semut sahaja, namun engkau telah membakar salah satu bangsa yang sentiasa bertasbih. (HR Bukhari)

Lihatlah, sebesar-besar makhluk seperti matahari sujud kepada Allah, sekecil-kecil makhluk seperti semut bertasbih kepada-Nya. Tidakkah manusia malu???