Mengapa?

 

Mengapa kita sering kalah di tangan orang jahil?

Walaupun tahu ilmu agama mereka cetek, dan mereka melakukan sesuatu hanya mengikut kehendak hati dan kehendak akal (sekali-sekala) tanpa ilmupun, kita tetap berasa jauh hati, sedih dan cemburu.

Contohnya apabila mereka bercakap besar tentang harta kekayaan yang mereka miliki. Walaupun tahu kita lebih kaya, mengapa kita tetap terkesan oleh cakap-cakap besar mereka?

Contohnya apabila mereka bercerita tentang seusuatu perkara yang kita tahu faktanya tidak tepat, mengapa kita pula yang rasa keliru dan mula berkira-kira untuk mempercayainya?

Contohnya apabila mereka mengaku mereka alim ilmu agama sedangkan kita tahu mereka tak pernah memasuki pengajian ilmu agama di mana-mana kolej pun, mengapa kita yang rasa tercabar?

Mengapa tidak kita pertahankan apa yang kita ada? Mengapa tidak kita ceritakan kebenaran berdasarkan fakta? Mengapa tidak kita banteras maksiat kerana kita lebih tahu tentang hukum-hakam agama?

Hari ini, orang agama sendiri sudah takut untuk bersuara. Salah satu tanda kiamat ialah orang jahil mula berleluasa dan berkuasa. Dan inilah yang berlaku sekarang. Wajarkah kita membiarkannya…? …sedangkan kita orang yang dipilih TUHAN untuk diberikan kebaikan, kerana sesiapa yang dikehendaki TUHAN untuk diberikan kebaikan maka orang itu akan diberikan kefahaman yang mendalam dalam agama.

Jadi, janganlah rendah diri lagi. Biar rendah hati jangan rendah diri. Gunakan ilmu yang dimiliki untuk membela agama dan diri sendiri. Jangan izinkan orang-orang jahil mentertawakanmu lagi. Hakikatnya orang jahil bukanlah istimewa sangat di sisi TUHAN. Yang istimewa ialah orang yang berilmu kerana kemuliaan orang berilmu telah disebut khusus dalam al-Quran.

Cuma jangan megah sangat, itu saja. Menunjukkan yang kita ini berilmu, tidak salah. Tak perlu biarkan orang jahil bermaharajalela lagi.

 

Advertisements

Kasih Ibu

Semalam, seorang rakan sekerja datang ke kelas saya untuk meminta sedikit pertolongan. Seperti biasa, saya menolongnya dengan rasa besar hati. Selepas itu, sebelum balik, dia singgah sekejap di kelas saya. Rupa-rupanya dia hanya ingin berkata, “Saya nampak muka u bersih saja, macam orang yang tiada masalah.”

Saya terpinga-pinga. Waktu itu dia sudah pergi. Saya hanya sempat mengucapkan terima kasih dan syukur…di dalam hati.

Hari ini, dia datang ke kelas saya lagi, dengan sehelai sapu tangan di tangan. Saya lihat matanya merah. Ya TUHAN, tentu ada sesuatu yang tak kena.

Saya tak berani bertanya. Dia yang buka mulut dahulu.

“Susah la…saya ni orang tak kesian langsung. Dengan status macam ni, saya susah nak didik anak. Anak-anak pun tak mau dengar cakap saya,” katanya.

Saya terkedu. Tak tahu bagaimana sebaik-baik cara untuk memujuk dia bercerita lebih lanjut dalam keadaan dia tidak berasa tersinggung. Saya dapat lihat matanya makin merona merah namun air mata belum tumpah.

Dia mula bercerita. Saya mendengar sahaja. Tak berani nak beri apa-apa pendapat.

Katanya, semalam anak sulungnya telah melukakan hatinya. Hendak isi minyak keretapun minta wang ibu sedangkan anaknya itu sudah bekerja. Lagi, anaknya mahu menggunakan kad kreditnya pada hari bekerja dan akan memulangkannya pada hujung minggu. (Sebelum ini dia pernah bercerita bahawa dialah yang membayar wang pendahuluan ketika anak sulungnya itu mahu membeli kereta) 

Spontan saya merespon: “Kalau dalam Islam tak boleh macam ni.” Dia juga respon dengan serta-merta: “Saya tau dalam Islam tak macam ni.”

Dia bertegas untuk tidak mahu membantu anaknya lagi. Sebaik sahaja bertegas begitu, anaknya mengugut untuk keluar dari rumah dan tinggal sendirian. Katanya, biarlah. Biar anaknya itu belajar hidup sendiri. Dia sudah dewasa, sudah bekerja pulak tu. Tak kira gaji besar atau kecil, pandai-pandailah dia urus wang.

“Saya sedih tau. Sebelum ini anak saya tak pernah melawan cakap saya. Dia selalu bandingkan saya dengan ibu kawannya. Ibu kawannya selalu minta duit daripada anak tapi ibunya tak pernah begitu. Ibunya semua guna wang sendiri. Saya sudah banyak habiskan wang untuk dia tau, tapi ini saja balasan dia pada saya,” rintih rakan saya ini.

“Orang yang tak pernah jadi balu tak akan boleh faham apa yang saya lalui ini tau. Tanpa suami saya besarkan anak-anak. U bayangkan sejak suami saya meninggal, saya tak dapat menyimpan banyak tau. U tengok ha, orang lain boleh simpan banyak duit. Tapi, duit saya habis untuk anak-anak. Itupun mereka tak boleh fikir. Tiap-tiap hari saya yang kemas bilik mereka, masak untuk mereka. Kesian saya tau,” ujarnya lagi.

Ya, saya kesian. Teramat kesian. Dengan statusnya itu, terasa beban sungguh berat. Maklumlah, tiada suami tempat bergantung dan mengadu masalah. Wang boleh dicari tetapi hati yang luka, siapa mahu ubati?

Tengahari. Selepas dia mengadu, diapun balik. Kebetulan loceng akhir sudah berdering. Sebagai seorang manusia yang punya hati dan perasaan, saya mendoakan dia selamat dan tabah.

Oh! Teramat banyak pengajarannya. Paling utama, saya bersyukur kerana saya seorang Muslim. Islam mewajibkan kita taat dan berbakti kepada ibu bapa pada setiap masa, bukannya menyusahkan mereka. Tak terkira banyaknya hadis yang menyebut tentang perkara ini, terutama kewajipan berbakti kepada ibu. Pada pendapat saya, jika Islam tidak mewajibkannya, nescaya umat Islam juga lebih  kurang sama dengan agama lain yang tidak meletakkan ibu di tempat paling teratas selepas ALLAH dan Rasul-NYA.

Saya sendiri, ketika dia bercerita tadi, terus terbayang wajah ayah bonda. Jika saya, tak tergamak langsung untuk memperlakukan ayah bonda begitu, walaupun saya berada dalam keadaan amat terdesak. Saya tahu, ayah bonda telah banyak bersusah-payah ketika membersarkan anak-anak, dahulu. Takkanlah anak-anak sudah bekerja pun mahu menyusahkan ayah bonda lagi. Sepatutnya, bila sudah bekerja, inilah masanya untuk membalas jasa pula.

Alhamdulillah. Dengan adanya ajaran tersebut, saya yang kini bergelar ibu tidaklah risau sangat tentang anak-anak. Insya-ALLAH mereka yang sudah diberi didikan di rumah dan sekolah tidak akan menghala ke arah penderhakaan. Atau sekurang-kurangnya mereka ada rasa kasihan lalu tidak menjadikan ibu mereka sebagai kuli dalam kehidupan mereka.

Lebih penting lagi, mereka ada rasa kasih terhadap ibu bapa. Secara normalnya setiap ibu bapa tidaklah mengharap sangat anak-anak membantu dari segi harta benda atau wang ringgit. Dapat jaga hati merekapun sudah cukup.

Indahnya menjadi orang Islam. Semakin hari saya menemui semakin banyak kelebihan menjadi umat Islam. Anda pula bagaimana? Bersyukurlah dan peganglah Islam kuat-kuat.

 

Jaga Dirimu…

Wahai suami, sebaik sahaja kamu keluar dari rumah, syaitan akan menghias dirimu menjadi teramat kacak di hadapan para wanita ajnabi.

Wahai isteri, sebaik sahaja kamu keluar dari rumah, syaitan akan menghias dirimu supaya kelihatan cantik di mata para lelaki ajnabi.

Jadi, jagalah dirimu baik-baik. Lindungilah hati dan perasaanmu dengan ayat-ayat ILAHI. Kenanglah segala kebaikan pasanganmu. Walaupun kononnya kebaikan itu sedikit, pasanganmulah orang yang paling banyak berdoa untukmu. Pasanganmulah insan paling dekat untuk membantumu masuk syurga dengan mudah.

Janganlah mempersiakan pasanganmu itu demi keseronokan yang diumpan syaitan melalui para manusia ajnabi yang ada di sekelilingmu ketika bekerja. Syaitan memang sengaja hendak memecakhbelahkan hubunganmu dengan pasanganmu…seperti yang telah disebut dalam firman-NYA:

Yang dibacakan oleh puak-puak syaitan dalam masa pemerintahan Nabi Sulaiman, padahal Nabi Sulaiman tidak mengamalkan sihir yang menyebabkan kekufuran itu, akan tetapi puak-puak syaitan itulah yang kafir (dengan amalan sihirnya); kerana merekalah yang mengajarkan manusia ilmu sihir dan apa yang diturunkan kepada dua malaikat: Harut dan Marut, di negeri Babil (Babylon), (sedangkan mereka berdua tidak mengajar seseorang pun melainkan setelah mereka menasihatinya dengan berkata: “Sesungguhnya kami ini hanyalah cubaan (untuk menguji imanmu), oleh itu janganlah engkau menjadi kafir (dengan mempelajarinya).” Dalam pada itu ada juga orang-orang mempelajari daripada mereka berdua: ilmu sihir yang boleh menceraikan antara seorang suami dengan isterinya, padahal mereka tidak akan dapat sama sekali memberi mudarat (atau membahayakan) dengan sihir itu seseorang pun melainkan dengan izin ALLAH. Dan sebenarnya mereka mempelajari perkara yang hanya membahayakan mereka dan tidak memberi manfaat kepada mereka. Dan demi sesungguhnya mereka (kaum Yahudi itu) telahpun mengetahui bahawa sesiapa yang memilih ilmu sihir itu tidaklah lagi mendapat bahagian yang baik di akhirat. Demi sesungguhnya amat buruknya apa yang mereka pilih untuk diri mereka, kalaulah mereka mengetahui

Janganlah melakukan sesuatu yang hanya nikmat di dunia tetapi sengsara di SANA…

Carilah bahagia yang dirahmati-NYA, bukan bahagia yang kamu tafsirkan sendiri dengan akal singkatmu itu…

Salam Jumaat.

 

Diari Mat Despatch (Sudah Bekerja)

 

judul: Diari Mat Despatch (Sudah Bekerja)

penulis: Bahruddin Bekri

penerbit: PTS

harga: RM9.90

bil. halaman: 155

“Kepada sesiapa yang menjumpai buku ini, ini bukanlah buku laporan sains sekolah walaupun ia memang sepatutnya buku laporan sains. Tetapi ini adalah diari. Oleh kerana aku tidak mampu beli diari, aku beli sahaja buku laporan sains. Jadi, apa yang aku mahu beritahu adalah, jangan baca diari ini dan jangan pulangkannya. Buang ataupun bakar kerana apabila membaca diari ini anda akan mengetahui rahsia aku dan aku akan malu. Jadi tolonglah jangan baca.”

Seorang rakan saya pernah cakap, akhir-akhir ni macam-macam boleh tulis. sampai diari mat despatch pun ada orang tulis. Saya senyum mendengar kata-katanya, yang saya fahami, menulis tidak terhad genrenya dan tidak memerlukan isu yang berat.

Lama selepas itu barulah saya berpeluang membeli novel di atas. Kulit luarnya sangat luar biasa kerana terlalu ‘simple’. Novel yang saya beli ini adalah cetakan yang ke-4. Ini bermakna, sambutan terhadap novel ini sangat luar biasa!

Saya percaya novel ini ada auranya yang tersendiri. Sambil membayangkan wajah watak ‘aku’ dalam novel ini, saya tak henti-henti tersenyum ketika membacanya. (Bukan hanya sekali saya membayangkan novelis ini sendiri amat layak memegang watak ‘aku’ jika novel ini didramakan. Maaf ye tuan Bahruddin Bekri 🙂 )

Diari biasanya bersifat ‘flashback’. Begitu juga dengan diari ini. Penulisnya mampu memutar semula kenangan hidupnya dengan berkesan sekali. Antaranya:

Apabila aku sampai sahaja tadi di rumah, kontraktor yang wajahnya bengis sudah menunggu di hadapan pintu. Aku masih terbayang-bayang lagi caranya memandang aku, seperti harimau yang melihat anak rusa. Sudah lama juga aku tidak dipandang sebegitu.

Kali terakhir aaku dipandang begitu, lebih kurang 10 tahun lepas. Waktu itu aku masih berada di sekolah menengah dan aku tidak menyiapkan kerja sekolah. Aku diarahkan berdiri di luar kelas dan mencabut rumput-rumput yang panjang. Pada waktu itulah aku menerima pandangan yang cukup bengis daripada tukang kebun sekolah kerana aku sudah mencabut sekali bunga-bunga yang baru ditanamnya. Waktu itu, aku manalah tahu yang mana bunga dan yang mana rumput.

Tadi juga buat pertama kalinya aku mendengar suara jiran aku itu. Selama ini kami cuma jeling-menjeling. Paling kerap, aku buat-buat tidak nampak dan aku yakin dia juga sering buat-buat tidak nampak.

Buat pertama kali juga tadi aku berasa satu kelegaan yang menyejukkan hati aku. Kelegaan yang sama aku peroleh apabila aku selesai bersunat. Aku lega kerana aku tidak mati. Bagaimanalah aku boleh berfikir aku akan mati apabila bersunat.

Asal-usul sebab-musabab ‘aku’ menulis diarinya adalah untuk menggilap kemahirannya dalam BMT. Namun, pengajarannya bukan hanya setakat BMT. Saya merasakan bahawa novelis ini amat luas pengetahuannya kerana dapat menghuraikan sesuatu perkara dengan mendalam dan berilmu. Tak rugi baca diari ini…saya suka!