Contoh Hadis Palsu (Maudhu’)

 

1. Akulah kota ilmu dan Ali adalah pintunya.

2. Melihat kepada muka yang cantik itu satu ibadat.

3. Tiada sesiapapun yang berpuasa pada hari Khamis awal bulan Rejab kemudian solat antara Isyak dan 1/3 malam, 12 rakaat, ia memisahkan tiap-tiap dua rakaat dengan satu salam, ia membaca Fatihah dan surah Al-Qadr (3 kali) kemudian surah Al-Ikhlas (12 kali), maka demi Allah yang diriku di dalam tangan-Nya, tiada seorangpun yang mengerjakan solat itu melainkan Allah mengampuni semua dosanya walaupun dosanya sebanyak buih di laut, sebanyak pasir, seberat timbangan gunung-ganang atau sebanyak timbangan dedaunan, dan ia akan memberi syafaat pada hari kiamat kepada 700 ahli rumahnya yang telah diwajibkan masuk neraka.

4. Tiada pertaruhan kecuali pada anak panah, unta atau kuda atau burung.

5. Sesiapa mengucapkan ‘laailaaha illallah’ nescaya Allah menjadikan setiap kalimahseekor burung, paruhnya dari emas dan bulunya dari marjan (bunga batu karang).

6. Aku mengadu kepada Jibril kerana tidak kuat bersetubuh, maka ia menyuruhku supaya memakan bubur Harisah.

7. Anak zina tidak akan memasuki syurga sampai 7 keturunan.

8. Barangsiapa melahirkan anak lelaki kemudian menamakannya Muhammad, maka dia dan anaknya akan memasuki syurga.

9. Sesuap makanan yang diberi kepada orang yang lapar lebih baik daripada membinaa seribu masjid.

10. Sesiapa melakukan solat dhuha (sekian) rakaat akan akan diberi kepadanya pahala 70 orang nabi.

11. Cintakan tanah air sebahagian daripada iman.

12. Sesiapa mengenal dirinya, maka kenallah dia akan Tuhannya.

13. Iman itu dua bahagian. Satu bahagian terletak pada sabar dan sebahagian lagi terletak pada syukur.

14. Bencana agama itu tiga: ahli fekah yang jahat, imam yang zalim dan mujtahid yang jahil.

15. Kemuncak iman ialah warak. Maka barangsiapa yang merasa cukup dengan apa yang telah direzekikan Allah nescaya ia masuk syurga, dan barangsiapa yang menghendaki syurga dan tiada syak maka ia tidak akan merasa takut di jalan Allah akan celaan orang yang mencela.

* hadis palsu sengaja direka kemudian disandarkan  sebagai sabda  Nabi s.a.w  atas kepentingan tertentu seperti politik, fadilat amal, melariskan perniagaan,  menyanjung sabahat Nabi dan sebagainya. Hadis palsu tidak boleh digunakan dalam pensyariatan hukum sama ada hukum itu wajib mahupun yang sunat*

-bersambung-

Baca, Fikir dan Tanyalah Hati…

 

1. Dalam hati ‘mereka’ ada penyakit syak dan hasad dengki, kemudian Allah tambahkan lagi penyakit ke dalam hati mereka…

2. Dunia ini tempat untuk berpenat-lelah, semoga akan dapat berehat dengan aman dalam kubur nanti. Jangan pula bersenang-lenang atas dunia, tetapi tiada masa untuk berehat dalam kubur kerana sibuk mencari-cari amalan manakah yang boleh dibawa untuk menempah syurga Ilahi…

3. SABAR  adalah kemampuan untuk meyakini bahawa setiap yang berlaku itu ada hikmahnya…

4. Harta itu tetamu yang akan berangkat, kesenangan itu satu masa yang akan ditinggalkan.

5. Sebanyak mana kita mengingati Allah s.w.t  pada setiap nadi yang berdenyut dan kelopak mata yang berkelip?

6. Orang-orang yang beriman dan beramal soleh, maka Allah tidak akan memberatkan mereka selain sekadar yang terdaya…

7. Setiap hari, kita makin menghampiri kubur dan makin menjauhi dunia…

8. Nikmatilah harta dunia sekadarnya kerana harta dunia boleh jadi akan membuka jalan ke syurga, boleh jadi juga akan mencampakkan pemiliknya ke neraka.

9. Balaslah kebaikan orang dengan kebaikan juga…sebagai tanda bersyukur atas nikmat yang dihantar kepada kita melalui orang itu…

10. Iman boleh bertambah dan boleh berkurang.

11. Sebenarnya, iman hendaklah dicari, bukan hanya menanti ia datang sendiri.

12. Sudahkah mengamalkan istighfar  ini ? Jika belum, marilah memulakannya sekarang juga.

اللهم أنت ربي لا اله إلا أنت خلقتني وأنا عبدك وأنا على عهدك ووعدك ما استطعت أعوذبك من شر ما صنعت أبوءلك بنعمتك علي وأبوء بذنبي فإنه لا يغفر الذبوب إلا أنت

Semoga renungan ini mampu melembutkan hati yang keras dan menumpahkan air mata dengan insaf…

Laris Di Pasaran

 

Pada hari Jumaat yang lalu (22 April 2011), saya menerima sms daripada seorang rakan. Bunyinya begini: Tahniah, buku top 5 di MPH. Nanti nak g cari.

Rupa-rupanya, berita tersebut beliau baca di akhbar Berita Harian. Saya yang agak sibuk pada hari tersebut mulalah mencari ruang dan peluang untuk singgah di kedai membeli surat khabar. Pada kolum laris di pasaran, MPH menyenaraikan buku saya di tempat yang ke-5 pada carta buku bukan cereka. Carta tersebut merupakan statistik hingga 17 April 2011. Di atas buku saya, buku lain yang paling laris ialah:

1. A Doctor In The House (Tun Dr. M)

2. Ikhtiar Penyembuhan Penyakit Dengan Ayat-ayat Dan Doa Mustajab (T.G. Dato’ Dr. Harun Din)

3. 101 Rekreasi Hati (Dr. Zahazan)

4. Passport Muhammad Rasulullah (Mohd Khalil Haji Nordin)

Bagi sesiapa yang belum pernah melihat  buku saya, inilah buku yang saya maksudkan:

Seorang lagi rakan sempat berseloroh dengan menukar tajuknya kepada: Aku Berubah Keranamu Ana…saya senyum simpul. Tak kisahlah bagaimana tajuknya dikreatifkan asal matlamatnya sampai ke hati pembaca. Peminat buku motivasi islamik yang belum membaca buku ini, kunjungilah Pesta Buku Antarabangsa yang berlangsung sekarang hingga 1 Mei 2011 di PWTC. Nak khusus lagi, di Grup Buku Karangkraf, dalam Dewan Tun Dr. Ismail. Di sana, anda berpeluang membeli buku ini dengan harga diskaun yang menarik. Jangan terlepas ya…masih ada banyak hari untuk ke pesta tersebut…

Sebelum buku Kerana-Mu Aku Berubah, saya telah menghasilkan buku ini:

Kasihmu Semerbak Firdausi memberi panduan mengasihi, menghormati dan adab-adab kepada ibu bapa. Di dalamnya juga diselitkan kisah-kisah bermotivasi, juga kisah benar tentang ketaatan dan penderhakaan kepada ibu bapa.

Apa-apapun, diharapkan pembaca sudi menyelitkan kedua-dua buku saya di dalam senarai pembacaan anda…

PESTA BUKU DATANG LAGI!

 

Rupa-rupanya, sudah setahun berlalu sejak saya mengunjungi PESTA BUKU ANTARABANGSA KUALA LUMPUR 2010. Pada waktu itu, saya sangat teruja kerana dapat membeli kitab-kitab tafsir dan hadith dengan harga yang amat berpatutan. Tak puas rasanya jika hanya mencuci mata. Disebabkan sudah agak lama meninggalkan pengajian, saya merasakan ilmu saya tidak ‘berkilau’ lagi. Sebab itulah saya memerlukan semua kitab tersebut untuk refresh ilmu yang pernah saya pelajari. Dan pesta bukulah tempat yang paling sesuai untuk mengilaukan semula ilmu-ilmu saya…

Tahun ini, saya berazam untuk mengunjungi pesta buku lebih daripada sekali. Jika boleh, saya mahu mengunjungi semua booth. Bukan apa, saya merasakan ilmu yang dimiliki tidak banyak. Lagipun, takkan hendak biarkan level ilmu kita setakat itu sahaja, tanpa penambahan betul tak? Ilmu sekadar peringkat sarjana, bagi saya memang belum cukup. Apatah lagi jika digali, semakin banyak pula rupa-rupanya yang belum kita ketahui. Bagi saya, selain menuntut ilmu secara berdepan dengan guru, membaca dan membuat rujukan melalui buku-buku yang berkualiti juga merupakan salah satu daripada jambatan menambahkan ilmu…

“Tuntutlah ilmu dari dalam buaian hingga ke liang lahad”

Maksudnya, selagi kita masih bernyawa, selagi itulah kita dituntut untuk mencari, menambah dan mengamalkan ilmu. Dan membaca merupakan salah satu jambatannya. Jadi, sesiapa yang sebelum ini tidak gemar membaca, apa salahnya mengubah tabiat tersebut? Umat yang berjaya ialah umat yang membaca . Cuba-cubalah jenguk apa yang ada di pesta buku kali ini. Manalah tahu, hati yang tertutup itu akan terbuka sedikit demi sedikit. Percayalah, pasti ada bahan bacaan yang mampu menarik minat anda.

Salah satu daripada penerbit yang pasti membuat anda ‘alah membeli menang membaca’ ialah Grup Buku Karangkraf. Selain terkenal dengan majalah-majalah yang pelbagai dan novel yang mengancam, penerbit ini melangkah gagah ke hadapan dengan menerbitkan buku-buku keagamaan pula. Percayalah, buku-buku genre Islamik terbitan Karya Bestari @ Grup Buku Karangkraf pasti mampu mencuit hati anda, sama ada reka bentuk kulitnya yang menarik, juga isi kandungannya yang sungguh bermanfaat. Carilah penawar bagi hati yang berduka, sedih, kecewa dan sebagainya di dalam buku-buku tersebut. Dan jika anda sedang berbahagia, buku-buku Karya Bestari ada panduannya untuk gembira, suka dan berbahagia dengan cara yang diredhai.

 

 

Jadi, jangan lepaskan peluang ini. Selain dapat membeli buku dengan harga pakej yang murah, pembeli juga berpeluang memenangi banyak hadiah tajaan yang menarik, juga berpeluang beramah mesra dengan penulis-penulis Karya Bestari…3 dalam 1…tawaran yang sukar dilepaskan!

 

 

Happy Shopping!

Salam Sayang,

Ruhana Zaki.