Encik Abangku Tak Romantik?

 

Soalan pertama: Pentingkah suami yang romantik?

Jawapannya ya! Iaitu bagi isteri yang suka bercerita tentang suaminya kepada orang lain. Suami aku rajin, suami aku kaya, suami aku kacak dan…suami aku romantik!

Nampak sangat kebaikan suami hanya dinilai secara luaran semata-mata. Penilaian yang boleh dibangga-banggakan ketika bersembang. Jika tak rajin, tak kaya, tak kacak, tak romantik, tak bolehlah nak bermegah-megah ye?

Berbalik kepada tujuan asal pernikahan kita, apa? Tidak dapat dinafikan, manusia bernikah kerana sebab yang berbeza-beza. Namun biasanya sebab tersebut disorok di sebalik tujuan pernikahan yang kudus, iaitu sunnah Rasulullah.

Siapa tahu, kerana sudah terpikat dengan fizikalnya, maka pasangan tersebutpun bernikah? Apa, hanya kerana fizikal? Ya. Ada lagi. Kerana nafsu. Sama ada kerana tak mampu menahan nafsu atau sudah terlanjur. Dan pasangan yang sebegini dengan muluknya menyandarkan alasan pernikahan kepada sunnah Rasulullah. Waktu bercinta, berpegan-pegangan, bermesra-mesraan, waktu itu sesaatpun tak ingat kepada Rasulullah.

Okey, dah nikah.

Kemudian, nak hebah-hebahkan cerita bahawa, “Suamiku romantik amat…semua kerja rumah dia buat. Aku duduk menonton TV je tau tak…masak pun dia yang masak. Pergi pasar, dia yang pilih ikan. Romantik, kan?”

Jadi, banggalah ye, dapat suami romantik?

Memangpun. Sebab wanita memang suka menayang-nayang bahawa dirinya dimanjai lelaki di khalayak ramai. Itu yang penting sangat nak dapat suami romantik.

Tak dapat dinafikan, dalam masyarakat Melayu, lelakinya tidak ramai yang romantik. Oleh sebab itu, wanita yang terpilih mendapat lelaki romantik, tentulah mereka berasa bangga.

Persoalannya, adakah romantik itu segala-galanya?

Bagi wanita yang tidak mendapat suami romantik, usahlah berduka. Kita bernikah bukan untuk romantik tu. Sama seperti lelaki, jika berkahwin dengan wanita kerana kecantikannya, nescaya dia akan kecewa. Sifat dan sikap boleh berubah. Dan romantik juga boleh bertukar daripada apa kepada tiada dan daripada tiada kepada ada.

Percayalah, jika kita bernikah kerana Allah, Allah akan mengatur yang terbaik buat kita. Pada permulaannya jika suami itu tidak sempurna, insya-Allah dia akan memperbaiki dirinya kerana Allah sedang merestui pernikahan tersebut. Yang penting, pergantungan kita kepada-Nya. Banyak atau sedikit atau mengikut keperluan…

Hakikatnya, apabila pernikahan sudah berusia 10 tahun, romantik bukan lagi isunya. Tak perlu romantikpun untuk bahagia. Kadang-kadang pasangan romantik pun jodohnya tak kekal juga. Bukan untuk mengajar pesimis ya. Cuma berfikir secara kedua-dua belah pihak – positif dan negatif, sebab Tuhan tidak menciptakan sesuatu dengan sia-sia.

Apabila sudah lama tinggal bersama, kehadiran pasangan itulah yang penting, bukan sifat dan sikapnya. Cukup jika dia ada. Jika suami keluar daerah untuk bekerja selama sehari suntuk sahaja pun isteri sudah berasa kehilangan, itu tandanya perasaan romantik sudah meresap dalam pernikahan tersebut. Itu lebih bermakna, bukan?

Percayalah. Jika pernikahan sudah melepasi 10 tahun, perasaan kita semakin berbeza. Begitu juga dengan persepsi kita. Waktu itu, kita akan melihat betapa gediknya pasangan muda yang sengaja nak tayang mereka romantik!

 

 

 

Sepatu di Tangga Masjid

 

3 September 2013

Saya memandu ke sebuah masjid yang terletak 30 km dari rumah. Berada di tempat yang tenang, rumah Allah, hati saya turut berasa tenang. Tambahan pula saya pergi ke masjid itu untuk memenuhi tugasan penting yang diarahkan oleh Jabatan Pelajaran Selangor.

Sewaktu hendak memasuki masjid, saya jeling sepatu ungu di kaki. Saya buka sepatu tersebut dan masuk ke dalam masjid. Saya memulakan tugas, menekuninya sehinggalah ke waktu tengah hari. Berhenti sekejap untuk makan tengah hari kemudian sambung kerja lagi.

Hati tergerak seketika untuk mengambil buku di kereta. Saya keluar dari masjid.

“Allah…!” Mata saya menerawang ke merata-rata. Mana sepatu unguku??? Hati tertanya-tanya, benarkah aku masuk melalui pintu ini? Ya, betul. Yakin. Pintu inilah. Saya buka mata besar-besar.

Sah! Confirm! Sepatu unguku sudah lesap!!! Aduhai…

Alkisahnya…

Sangat susah saya nak dapatkan sepatu berwarna ungu. Berbulan-bulan saya keluar masuk kedai kasut dengan satu niat itu – untuk membeli sepatu ungu. Sebelum raya, akhirnya dapat juga bertemu sepatu idaman hati, yang berwarna ungu.

Sepatu yang sempat dipakai semasa raya puasa bulan lalu hanya tinggal dalam gambar sahajalah. Mujur juga sempat posing raya di halaman rumah ayah bonda di kampung. Jika tidak, sepatunya hilang, kenanganpun tiada.

Sampai hari ini, sudah banyak kedai kasut saya lawati. Tiada yang menarik hati.  Bukan apa, susah sungguh kedai kasut nak jual sepatu berwarna ungu. Hampir tiada. Jika ada, tidak sepadan dengan kaki saya yang kecil molek ini.

Hampir setiap hari saya terfikir untuk pergi semula ke masjid itu untuk melihat sama ada orang yang ‘meminjam’ sepatu itu menghantarnya kembali ke situ. Ada kah? Akan berlakukah?

Apa yang kita sayang, apa yang susah diperoleh, itulah yang paling mudah hilang. Falsafah yang sangat mendalam untuk saya hayati. Dan apa yang kita suka, itulah yang menjadi idaman orang lain. Mungkin kerana sepatu itu comel saiznya, maka ia sepadan dengan kaki murid-murid yang singgah bersolat zuhur.

Tak mengapalah. Sepatu itu mustahil akan kembali ke sisi saya semula. Namun saya boleh mencipta kenangan untuknya. Saya membayangkan orang yang meminjamnya tidak senang duduk setiap hari. Atau mungkin juga dia akan pergi letak sepatu itu di tangga masjid dan menunggu tuan punya sepatu ungu datang mengutipnya…

Jadi, kenangan ini perlu saya garap menjadi cerpen atau skrip drama?

 

Berilah Salam Dahulu…

 

Lebih kurang pada tahun 2009, saya menyaksikan seorang menantu yang masuk ke dalam keluarga mertuanya ‘tanpa memberi salam’. Saya menggunakan istilah ‘tanpa memberi salam’ kerana dia tidak berusaha untuk mengenali ahli keluarga suaminya. Dia masuk ke dalam rumah suaminya, berdiam diri di situ dengan menaruh harapan supaya ahli keluarga suamilah yang datang menghulurkan salam perkenalan.

Bagi saya, kelakuan ini memang tidak wajar. Jika kita masuk ke rumah orang, kitalah yang kena buat baik dengan orang walaupun kita tetamu. Kita sebagai orang baru, tidak seharusnya tunjuk lagak dan buat tak tahu sahaja…takkanlah nak tunggu wanita tua datang beri salam, hulur tangan dan berkata, “Saya ibu mertua kamu.”

Di manakah agaknya menantu itu meletakkan adab sopannya sebagai menantu yang ‘diterima’ oleh keluarga suaminya? …apatah lagi menantu perempuan. Setiap tingkahnya memang diperhati. Namun saya tak rasa pelik lagi. Tahun demi tahun saya mendapati dia rupa-rupanya memang jenis hati kering. Dia tak kisahpun untuk menjalin hubungan mesra dengan keluarga mertua. Disebabkan dia dan suaminya banyak duit, maka secara automatik ahli keluarga suamu akan ‘buat baik’ dengannya. Jadi, yang hal ‘tanpa memberi salam’ boleh dilupakan begitu sahaja.

Baru-baru ini, dalam satu bengkel, kumpulan saya mendapat ahli baharu. Bukan kami yang minta. Dia yang masuk dalam kumpulan ini kerana bertukar negeri. Tingkah lakunya juga sama. Masuk dalam kumpulan baharu namun tak ambil endahpun tentang taaruf. Sudahlah begitu, dia pula yang lebih sudu daripada kuah. Sedangkan kami yang sudah lama berada dalam kumpulan ini, sudah lama mengharungi suka duka bidang ini, tidaklah seteruk itu perangainya.

Entah. Yang memandang rasa jelek. Entah-entah tuan punya diri tidak terasa apa-apa. Ataupun dia memang jenis yang begitu, yang tak reti beri salam kalau masuk dalam kumpulan.

Tanggapan pertama sebegini amat mengecewakan. Mudah-mudahan keadaan akan berubah. Mudah-mudahan dia sedar dalam kumpulan apa dia berada sekarang. Kumpulan ini bukan jenis nafsi-nafsi. Jika hendak cari nama secara sendirian, bergeraklah sendirian. Jangan guna nama kumpulan untuk bina kemasyhuran peribadi.