Lazatkah Dosa?

Sejak kecil lagi, saya sering ditakut-takutkan dengan dosa. Buat salah je, dosa. Tapi tak mengapalah. Kebiasaan tersebut membuatkan saya membesar dalam keadaan membenci dosa dan sedaya-upaya cuba mengelakkan perkara-perkara yang berdosa. Terima kasih kepada ibu bapa dan guru-guru saya. Disebabkan didikan merekalah, saya bangga membesar sebagai umat Islam. Saya bangga menjadi seorang daripada umat yang terpilih.

 

Pelik juga jika ada dalam kalangan kita yang tidak takut dosa. Tak tahulah, mungkin kerana masa kecil dahulu mereka tidak pernah diajar tentang hinanya dosa di sisi Allah Yang Maha Perkasa. Mungkin masa kecil dahulu, waktu cikgu mengajar tentang dosa, mereka anggap pelajaran tersebut tidak penting.

 

Apa-apapun, dosa ada banyak peringkatnya tergantung kepada si pelakunya.

Dosa Peringkat Pertama adalah apabila seseorang membuat dosa serta lambat menyesali perbuatannya ataupun lambat bertaubat atas dosanya. Ini adalah peringkat awal bagi orang yang berbuat dosa. Jika seseorang pada peringkar ini berterusan berbuat dosa, maka secara automatik akan naik ke dosa peringkat kedua.

 

Dosa Peringkat Kedua adalah apabila seseorang itu membuat dosa dan tidak merasai apa-apa terhadap perbuatannya. Peringkat ini amat berbahaya kerana ia adalah bibit-bibit permulaan yang boleh menggugurkan iman seseorang.

 

Dosa Peringkat Ketiga berlaku apabila orang yang melakukan dosa berbangga dengan dosanya. Peringkat ini akan sampai kepada satu situasi di mana orang yang membuat dosa mula berasa sombong, bongkak dan riyak. Ucapannya juga sudah mula membawa kepada unsur murtad.

 

Dosa Peringkat Keempat terjadi apabila seseorang yang melakukan dosa berasa bangga akan perbuatannya dan mula memandang hina terhadap kebaikan atau kebajikan. Pada peringkat ini, dia mula mencabar al-Quran dan As-Sunnah kerana sifat sombong, bongkak dan riyak sudah menguasai diri secara sepenuhnya.

 

Astaghfirullah…dosa itu, tak kiralah pada peringkat mana sekalipun, wajib dipandang besar oleh setiap orang Islam. Walaupun satu sebenarnya tak terbilang dan tak mampu ditanggung manusia. Makhluk Allah seperti gunung yang gagah itupun takut menanggug dosa. Mengapa manusia berani? Mungkin kerana kita tidak nampak bentuk dosa tersebut, apakah ia ringan atau berat, tebal atau nipis, besar atau kecil. Jika kita nampak, tentulah tiada sesiapapun atas dunia ini yang berani melakukannya.

 

Para sahabat Nabi, jika dibacakan kepada mereka azab seksa akibat dosa, pasti mereka akan menangis berhari-hari dan tak boleh tidur. Begitulah ketakutan mereka terhadap dosa dan seksa Allah Azzawajalla. Bagaimana pula dengan kita???

 

Ayuhlah…pulanglah ke jalan yang benar…

 

 

Ya Tuhan

 

Judul : Ya Tuhan

Penulis : Hajah Maimunah Haji Mohamad, Dr. Noor Azniza Ishak

Penerbit : Buku Prima

Harga : RM18.50

Halaman : 320 m/s

 

Perkahwinan sering menghadapi konflik dan dilema. Seseorang selalu mengharapkan perkahwinan yang dibina akan menjadi jambatan ke syurga bahagia ketika di dunia. Malangnya, belum pun sampai ke syurga, perkahwinan sudah dilanda badai ketika atas dunia lagi.

Masalah yang ditimbulkan akibat personaliti pasangan, masalah orang ketiga, ipar-duai, mertua, sahabat baik, rakan sekerja…semua ini dan banyak lagi faktor lain boleh  menyebabkan  sesebuah perkahwinan goyah, goncang lalu berada di hujung tanduk.

Semua orang tidak mahu perkahwinannya bermasalah. Walau bagaimanapun, siapalah kita untuk menduga  konflik apa yang menanti sebaik sah  ijab dan kabul. Perkahwinan wajib dipertahankan, hubungan sesama manusia  tidak boleh tercalar apatah lagi hubungan kita dengan Yang Maha Esa ketika menghadapi konflik-konflik tersebut.

Buku ini menawarkan beberapa jalan penyelesaian bagi konflik dan dilema yang dihadapi sepanjang laluan perkahwinan. Penyelesaian yang diberi tidaklah sesuai kepada semua pasangan. Sekurang-kurangnya buku ini ada jalannya bagi meredakan tekanan perasaan dalam mempertahankan perkahwinan.

Selamat membaca!

 

 

Membuktikan Cinta

 

Ramadhan sudah tiba ke pertengahannya. Bagaimana dengan prestasi kita semua sepanjang 15 hari yang sudah berlalu?

Puasa, jika sekadar tidak makan dan minum, semua orang boleh buat, apatah lagi kepada insan-insan yang target hendak kurus melalui terapi ‘tak makan’ selama sebulan.

Tetapi, itu sahajakah yang kita kejar? Dari sudut kesihatan, puasa memberi peluang kepada organ dalaman untuk berehat buat seketika. Disebabkan anggota badan perlu sihat supaya tuan punya badan ‘dapat hidup lama’, maka wajarlah kita memberi kerehatan kepadanya selama sebulan. Bukan lama pun, sebulan sahaja berbanding 11 bulan lagi untuk memaksanya bekerja.

Ramadhan adalah bulan rahmat (kasih sayang) Tuhan turun mencurah-curah. Rugilah jika kita membiarkannya turun tidak ditakung. Sama seperti hujan, jika tidak ditakung, ia akan mengalir ke tempat lain yang lebih memerlukan. Allah kasih kepada hamba-Nya dengan memberi peluang merebut pahala berganda-ganda. Tawaran yang  hanya ada dalam bulan mulia ini. Jika Allah kasih, mengapa tidak kita membalas kasih tersebut? Jika Allah memberi peluang dengan merantai semua syaitan, menutup pintu neraka dan membuka pintu-pintu syurga, mengapa kita tidak merebut peluang tersebut? Ruginya…

Buktikanlah cinta kita semua kepada Tuhan Yang Mencipta kita dengan sempurna. Berpuasa dengan jujur tak kiralah di hadapan khalayak atau ketika sendirian. Berpuasa dengan niat paling ikhlas yang pernah kita lafazkan. Berpuasa dengan harapan yang paling tinggi terhadap iman diri sendiri. Kita tak perlukan orang lain untuk menilai. Kita hanya perlukan kejujuran diri sendiri semata-mata. Siapa tahu apa niat sebenar kita berpuasa? Siapa tahu apa yang kita mahu di sebalik puasa ini? Hanya diri kita dan Allah sahaja yang tahu.

Buktikanlah cinta melalui kesan puasa selama sebulan ini, sebaik sahaja fajar Syawal menjelma. Jika sewaktu Ramadhan kita rajin mengaji sampai dapat khatam pada hujung bulan, masihkah amalan sama kita praktikkan di luar Ramadhan? Jika sewaktu Ramadhan kita ada masa untuk makan berjemaah dengan ahli keluarga, masihkah keadaan sama, berlaku selepas Ramadhan? Jika sewaktu Ramadhan kita sangat rajin berulang ke masjid, apakah masjid masih lagi dekat selepas bulan tersebut? Jika sewaktu Ramadhan, Allah sungguh dekat di hati, apakah selepas Ramadhan kita masih menjadikan Allah itu dekat di hati dan matlamat hidup yang terutama?

Itulah cara membuktikan cinta pada Yang Maha Esa. 

Pada bulan Ramadhan, semua orang automatik jadi baik. Nak buat jahat pun sorok-sorok. Tudung yang sudah jauh terperosok dalam gerobok pun digeledah sampai dapat. Tapi, apa jadi sebaik Syawal tiba? 

Semua kita…walaupun tidak sempurna tetapi sangat dituntut untuk menuju kesempurnaan. Jika setiap saat mulut mengucapkan, “apa nak buat, manusia tu kan lemah dan selalu buat silap,” sampai bila baru orang Islam akan maju?

Tak perlu riyak ketika beribadah dalam bulan Ramadhan. Buat-buat rajin pergi masjid atau menunjuk-nunjuk waktu bersedekah hanya akan mengundang pujian manusia yang bersifat sementara. Apa yang penting adalah penilaian Allah Yang Maha Mengetahui lintasan hati kita. Jadi, setakat hari ini, di manakah tahap cinta kita semua???

 

 

Supaya Gelisah Bernilai Ibadah

Judul : Supaya Gelisah Bernilai Ibadah

Penulis : Dr. Ibrahim Fiqhy

Penerbit : Kemilau Publika

Harga : RM 15

Halaman : 177 m/s

Sebahagian kesedihan dapat melebur dan menghancurkan anda seperti lilin atau menggulung anda seperti ombak laut.

 

Sebahagian kesedihan dapat mengeringkan anda bagaikan daun-daun yang berguguran dari pohon.

 

Sebahagian kesedihan dapat menghancur dan meledakkan diri anda seperti gunung menembus permukaan bumi, menerbangkan anda seperti pasir dan menjatuhkan anda seperti hujan.

 

Sebahagian kesedihan dapat membakar anda bagaikan kayu bakar atau meninggalkan anda seperti kerikil dan membuang anda seperti abu.

 

Sebahagian kesedihan dapat mematikan lampu-lampu anda, mencuri cahaya yang anda miliki dan meninggalkan anda dalam kegelapan malam.

 

Sebahagian kesedihan dapat menakut-nakutkan anda seperti hantu, mengikut anda seperti syaitan dan mengancam anda seperti kematian.

 

Sebahagian kesedihan dapat mencekik anda, menyempitkan dada, mencuri nafas dan menahan tiupan nafas anda.

 

Sebahagian kesedihan dapat mematahkan anda seperti dahan, memecahkan anda seperti kaca dan merobohkan anda seperti dinding.

 

Sebahagian kesedihan dapat menghancurkan akal anda, menghilangkan jati diri dan melenyapkan ingatan.

 

Sebahagian kesedihan dapat menipu anda, memalsukan kenyataan, menampakkan fatamorgana dan memberikan kebimbangan tanpa batas.

 

Sebahagian kesedihan boleh menjadi teman bagi anda, saling berkasih-sayang dan ia tak pernah meninggalkan anda selama-lamanya.

 

Sebahagian kesedihan boleh memberikan manfaat, memberikan cahaya menerangi jalan, menyelamatkan anda daripada kegalauan fikiran dan menunjukkan anda hakikat yang sebenarnya.

Buku ini membuka jalan untuk mengubat kesedihan dan mengurus depresi…selamat membaca!

Santun Berbahasa

 

Penulis : Awang Sariyan

Penerbit : DBP

Harga : RM10

Halaman : 90 muka surat

 

Kesantunan bahasa diukur dengan berdasarkan kepatuhan pengguna bahasa kepada peraturan yang terdapat dalam bahasa sesuatu masyarakat. Setiap masyarakat atau bangsa mempunyai peraturan bahasa masing-masing.

Pelajari kesantunan bahasa kita dalam segenap aspek, di antaranya kesantuan dari sudut agama dan warisan budaya, urusan rasmi dan urusan tidak rasmi, sistem bahasa, sistem sapaan (kata ganti nama diri) dan sistem sapaan (panggilan hormat) melalui buku yang ringkas tetapi padat ini.

Cara penyampaian buku ini sangat mudah difahami, sesuailah untuk kita mempelajari dan mengamalkan ilmu yang terdapat di dalamnya.