Biografi Syaitan

judul: Biografi Syaitan

penulis: Dr. Ahmad H Sakr

penerbit: inteampublishing

harga: RM18.00

halaman: 210

Syaitan ialah musuh yang nyata bagi manusia meskipun kita tidak dapat melihatnya. Syaitan sentiasa berusaha menyelinap ke dalam hati manusia untuk menimbulkan perasaan ragu-ragu dan waswas. Disebabkan syaitan dilaknat hingga ke hari kiamat dan sudah pasti akan masuk neraka, syaitan tidak akan jemu menghasut manusia untuk menjadi sekutunya.

Buku banyak menukilkan ayat-ayat al-Quran yang berkaitan dengan syaitan dan iblis. Oleh sebab itu ia dapat membantu kita memahami dengan lebih jelas jika menemui dan membaca ayat-ayat berkenaan di dalam al-Quran.

Dikatakan bahawa anak-anak syaitan ialah:

1. Tsabr – menggoda manusia supaya membuat maksiat ketika berada dalam kesedihan atau kesusahan.

2. A’war – menghasut manusia supaya mendekati zina dan melakukannya dengan apa cara sekalipun.

3. Miswath – menyampaikan berita dusta atau penipuan yang mampu menimbulkan fitnah besar dan pergaduhan.

4. Dasim – menyebarkan sifat emosi yang keterlaluan, mudah marah dan permusuhan.

5. Zaknabur – memastikan dunia ekonomi dan perniagaan tergugat.

6. Khanzab – menghalang dan mengganggu manusia melakukan solat.

7. Walhan – mengganggu umat Islam ketika berwuduk, supaya mereka berasa waswas.

Nota saya:

i. Kita sudah tahu peranan syaitan dan kejahatannya, jadi janganlah  membiarkan diri diperdayakan sewenang-wenangnya. Mesti berjihad!

ii. Amat penting mengetahui nama-nama tersebut adalah nama-nama anak syaitan supaya anda tidak tersalah memilih nama-nama ini sebagai nama baby anda. Maklumlah, sedap-sedap pula nama anak-anak syaitan ni!

 

Martabat Ilmu dan Ulama

 

 

judul: Martabat Ilmu dan Ulama

penulis: Syeikh Muhammad Nuruddin Marbu

penterjemah: Ust Mohammad Subki, Abdul Rahman Al-Hafiz

penerbit: PSN Publications

harga: RM28.00

halaman: 167

Buku ini merupakan himpunan hadis yang mulia berkaitan ilmu dan ulama. Allah s.w.t menganjurkan hamba-hamba-Nya agar menuntut ilmu. Ilmu agama atau ilmu yang ada dalam al-Quran dan as-Sunnah akan menjadi benteng buat diri seseorang untuk mencegahnya daripada melakukan perkara yang dilarang syariat. Justeru, orang yang ingin menuntut ilmu digalakkan untuk berguru dengan orang-orang alim. Sesungguhnya ulama ialah pewaris para Nabi yang membimbing umat manusia ke arah hidup yang bahagia di dunia dan akhirat.

 

Kesan-kesan Amalan Nabi Ibrahim a.s Dalam Sunnah Nabi s.a.w

 

 

judul: Kesan-kesan Amalan Nabi Ibrahim a.s dalam Sunnah Nabi s.a.w

penulis: Abdullah Al-Qari b Hj Salleh

penerbit: Al-Hidayah

harga: RM14.00

halaman: 184

Selain nama Nabi Muhammad s.a.w, nama Nabi Ibrahim juga tidak pernah lekang disebut oleh umat Islam seluruh dunia. Di dalam solat lima waktu, kita menyebut nama Nabi Ibrahim ketika tahiyat akhir. Selain itu ibadah korban juga dikaitkan dengan baginda dan anaknya Nabi Ismail a.s. Malah bangunan Kaabah di Mekah juga telah dibina oleh baginda berdua. Begitu juga dengan sejarah pembukaan Mekah yang amat berkait rapat dengan baginda.

Islam adalah agama yang paling sempurna, lengkap, mulia dan tinggi. Asasnya telah dibina oleh Nabi Ibrahim dengan ajaran tauhid, iaitu mengesakan ALLAH S.W.T. Asas ini dilengkapkan lagi dengan ibadah, amalan soleh dan akhlak terpuji. Asas ajaran tauhid ini kemudiannya diteruskan oleh nabi-nabi sesudah baginda.

Bacalah buku ini untuk mengetahui kesan-kesan amalan yang dirintis oleh Nabi Ibrahim yang masih kita amalkan hingga ke hari ini.

 

 

Kepastian Sakaratulmaut

judul: Kepastian Sakaratulmaut

penulis: Abu Zharif Zihan

penerbit: Global Aksara Communication Sdn Bhd

harga: RM15.00

halaman: 163

Sakaratulmaut adalah perkara yang wajib dilalui semua orang, tak kiralah Muslim atau kafir, taat atau fasik. Selain sakaraulmaut, wajah malakulmaut juga merupakan perkara yang wajib dilihat oleh orang yang akan menghadapi kematian. Bagi orang yang beriman, malakulmaut datang dengan wajah yang indah dan berbau harum. Bagi orang kafir atau fasik, malakulmaut akan datang dengan wajah yang buruk, bengis dan berbau busuk.

Sakarulmaut berbeza mengikut iman seseorang. Seringan-ringan sakaraulmaut adalah apa yang dilalui oleh baginda s.a.w. Walaupun ringan, masih terasa amat sakit oleh baginda. Bagaimana dengan kita? Apakah amalan yang mampu membantu meringankan beban sakarat?

Buku ini amat menarik kerana menceritakan kisah-kisah salafussoleh dan ulama silam ketika menghadapi kematian mereka. Sekurang-kurang dapatlah kita jadikan iktibar melalui kisah-kisah tersebut.

Selain itu, buku ini turut membincangkan amalan-amalan yang terus-menerus mengalirkan kebaikan walaupun pembuatnya sudah meninggalkan alam fana ini, antaranya sedekah, ilmu yang diajar yang masih diamalkan, membina masjid, mengalirkan sungai, doa anak yang soleh dan wakaf al-Quran. Turut dibahaskan ialah apa yang berkekalan buat si mati adalah usaha yang dilakukan sebelum mati (seperti yang disebutkan tadi). Adapun pahala berdoa untuk si mati, si pendoa yang mendapat pahala sedangkan si mati mendapat rahmat dan keampunan, bukannya pahala.

Selain itu, ada ulama berpendapat bahawa sedekah yang apabila dilakukan oleh orang yang hidup pahalanya akan diberikan juga kepada orang yang sudah meninggal dunia, tetapi sedekah tersebut hendaklah dilakukan oleh anak si mati. Walau bagaimanapun, hutang si mati boleh diselesaikan oleh sesiapa sahaja, tak semestinya anak si mati sahaja.

Bacalah buku ini untuk mengetahui tentang ciri-ciri kematian husnul khatimah dan suul khatimah. Semoga kita mendapat petunjuk tentang apa yang terbaik untuk ‘dunia abadi’ yang bakal kita lalui nanti.

 

Bagaimana Wajahku Di Padang Mahsyar Nanti?

 

judul: Bagaimana Wajahku Di Padang Mahsyar Nanti?

penulis asal: Lukman Santoso

penterjemah: Nur Thairah Syamsuddin

penerbit: Al-Hidayah House of Publishers

harga: RM15.00

halaman: 211

Padang Mahsyar adalah perkara ghaib yang wajib kita yakini. Setelah melalui kehidupan dunia dan alam barzakh, seseorang itu akan dibangkitkan semula di Padang Mahsyar untuk menghadapi balasan amalan masing-masing. Dan keadaan diri serta wajah kita semua ketika dibangkitkan di Padang Mahsyar adalah berdasarkan amalan yang pernah kita lakukan ketika hidup.

Rasulullah s.a.w merupakan orang yang risau akan keadaan umatnya meskipun umatnya telah ditakdirkan menjadi umat pertama yang dihisab. Rasulullah s.a.w sering tunduk sayu dan menangis pilu setiapkali para sahabat bertanya kepadanya tentang kedahsyatan hari kiamat dan hisab. Sering sekali baginda tersenyum bahagia ketika membaca ayat-ayat suci al-Quran tentang nikmat syurga dan penghuninya. Namun wajahnya bertukar serta-merta pabila sampai ke ayat-ayat yang menceritakan tentang ancaman dan azab neraka kepada umatnya yang derhaka.

Padang Mahsyar itu suatu perkara yang hak. Lama masa berada di situ bergantung kepada amalan kita. Bagi orang yang baik, yang taat dan menjaga semua hak Allah, tempoh berada di Padang Mahsyar dirasakan amat singkat sekali. Begitulah sebaliknya.

Imam Ghazali pernah berkata: Fikirkanlah suasana panjang dan beratnya penungguan pada hari itu, agar dengan itu terasa ringan bagimu dalam bersabar meninggalkan maksiat sepanjang hidupmu yang singkat ini.

Nabi s.a.w bersabda: Seseorang itu akan berteduh di bawah naungan sedekahnya hingga waktu pengadilan (hisab) tiba.

Ibnu Mas’ud pula berkata: Setiap manusia dibangkitkan pada hari kiamat dalam keadaan telanjang, sangat lapar, sangat haus dan sangat penat. Sesiapa yang pernah memberi pakaian kerana Allah, maka Allah akan memberinya pakaian. Sesiapa yang pernah memberi makan kerana Allah maka Allah akan memberinya makanan. Sesiapa yang pernah memberi minum kerana Allah makan Allah akan memberinya minuman. Seterusnya sesiapa yang pernah memaafkan kerana Allah, maka Allah akan memaafkannya.

Sufyan bin Uyainah berkata: Tidak ada nikmat yang Allah beri kepada hamba-Nya melebihi kebesaran kalimah tauhid (la ilaaha illallaah) kerana kalimah ini di akhirat kelak ibarat air sejuk ketika di dunia.

Buku ini memaparkan perbahasan tentang wajah-wajah manusia ketika dibangkitkan di Padang Mahsyar kelak berdasarkan al-Quran dan hadis, contohnya wajah orang yang suka menyakiti tetangganya, orang yang enggan membayar zakat, orang yang suka mengadu domba, penguasa yang zalim dan lain-lain lagi. Selain itu, orang yang dibangkitkan dengan wajahnya bercahaya dan indah ialah orang yang membaca dan menghafal al-Quran, orang yang sentiasa mengekalkan wuduk, orang yang suka azan, orang yang menahan amarah meskipun mampu membalas kejahatan orang lain dan lain-lain lagi.

Bacalah buku ini untuk mendapat ilmu yang selebihnya. Semoga kita semua mendapat manfaat daripadanya.

 

Cara Rasulullah s.a.w Menegur Kesilapan

 

 

judul: Cara Rasulullah s.a.w Menegur Kesilapan

penulis: Ustaz Johari Yaman

penerbit: Pustaka Ilmuwan

harga: RM10.00

halaman: 90

Sinopsis: Sebagai orang Islam, kita semua ialah daie. Dan sebagai daie, kita bertanggungjawab menyeru manusia ke jalan yang diredhai. Untuk menyeru manusia ke jalan yang diredhai, kita hendaklah mengetahui cara yang betul, sama ada ketika menyampaikan dakwah, atau membetulkan kesilapan sesama umat Islam.

Melalui buku ini kita didedahkan cara-cara Rasulullah s.a.w menegur kesilapan yang dilakukan oleh umat Islam pada zaman baginda. Antara cara yang pernah dipraktikkan oleh baginda adalah:

1. Membetulkan anggapan yang menjadi penyebab berlakunya kesilapan,

2. Membetulkan kesilapan dengan nasihat dan mengkhabarkan ancaman bahaya kesilapan,

3. Belas kasihan terhadap pelaku kesilapan,

4. Tidak cepat menyalahkan seseorang,

5. Menerangkan fitnah daripada kesilapan yang dilakukan,

6. Memberi panduan supaya tidak meneruskan kesilapan,

7. Membuat teguran secara umum,

8. Mengembalikan hak kepada tuannya dan menjaga maruah pelaku kesilapan,

9. Meminta pelaku kesilapan memohon maaf kepada pihak yang dizalimi,

10. Menzahirkan kemarahan terhadap kesilapan yang dilakukan,

11. Meninggalkan pelaku kesilapan serta perdebatannya agar kesilapan disedari,

12. Melemahkan pengaruh mereka yang sombong,

13. Berbincang dengan pihak yang bermasalah,

14. Menghormati tabiat semulajadi manusia,

15. Menghindari fitnah syaitan.

Sesungguhnya buku ini amat berguna untuk kita jadikan panduan ketika menegur kesilapan orang lain. Kita tidak sempurna, begitu juga dengan orang lain. Walau bagaimanapun, ada masa-masanya seseorang itu mesti tegas membanteras kemaksiatan supaya maruah Islam terbela. Oleh itu, untuk mengetahui cara menegur yang betul mengikut keadaan yang berbeza, bacalah buku ini.