Hikmah Yang Tersirat

Pakistan diungkap dengan terperinci seperti kita sedang berada di sana. Bumi yang bergolak itu membuatkan kita terlalu amat bersyukur kerana lahir, tinggal, mencari rezeki dan berkeluarga di negara Malaysia yang aman makmur ini. Namun bukan itu yang menjentik hati saya tatkala membaca buku ini. Tidak pernah saya menghabiskan bacaan sesebuah buku sebegini cepat. Bab akhirnya yang menjentik jiwa saya, terutama sekali ayat terakhir yang diungkap oleh isteri penulis. Bunyinya begini:

“Sesungguhnya jalan pulang kali ini benar-benar membawa dia pulang kepada Yang Hak.”

Hakikatnya, penulis buku ini tidak sempat menatap tulisan di blognya yang akhirnya dibukukan…al-fatihah buat beliau.

hikmah yg tersirat

Judul: (Diari Seorang Diplomat) Hikmah Yang Tersirat

Penulis: (Al-Marhum) Wan Ahmad Fadzil Wan Mohd

Penerbit: Galeri Ilmu

Bil. Halaman: 193

Harga: RM19.00

 

 

Advertisements

Kaya Jiwa

 

Sesungguhnya dunia ini sedang menghampiri penghujungnya; bergerak pantas menuju kehancurannya.

Ia kini hanyalah setitis dua madu dalam sebiji cawan untuk kamu nikmati.

Kamu akan berangkat ke sebuah tempat kamu akan hidup selama-lamanya, jadi bersiaplah untuknya dengan bekalan kebaikan dan kemuliaan.

Kita diberitahu bahawa sebiji batu akan dijatuhkan ke neraka, tetapi ia akan hanya mencecah dasarnya dalam masa 70 tahun.

Demi Allah, ruang besar penuh seksa itu akhirnya akan dipenuhi oleh orang yang berdosa.

Apakah kamu meraguinya?

Kita diberitahu bahawa jarak antara dua sudut syurga adalah 40 tahun perjalanan, dan ia juga akan sesak suatu hari nanti.

Saya masih ingat hari-hari ketika kita tidak mempunyai apa-apa makanan selama beberapa minggu melainkan pucuk dan daun kayu, dan bibir kita luka kerananya.

Suatu ketika, saya memiliki sehelai cadar yang terpaksa dibahagi dua; satu saya beri kepada Said ibn Malik dan satu lagi untuk diri saya sendiri.

Kini kedua-dua kami adalah gabenor kota-kota, namun saya memohon perlindungan Allah s.w.t daripada memberi kelebihan kepada diri saya kerana saya sesungguhnya tidak bermakna apa-apa di mata-Nya.

~Ucapan Utbah ibn Ghazwan (Gabenor Basrah)~

 

Sikap Saidina Ali k.w Tentang Dunia

 

Telah berkata Dirar ibn Damurah:

Ali berpandangan jauh, gagah dan sihat cergas.

Dia hanya berkata yang benar dan sentiasa bersikap adil.

Dia seumpama lautan ilmu atau lubuk kebijaksanaan.

Dia sentiasa takutkan dunia dan keseronokannya.

Malam dan kegelapan menggembirakannya.

Demi Allah s.w.t, matanya sering bergenang dengan air mata dan dia selalu tampak keletihan.

Dia suka memakai pakaian yang diperbuat daripada kain kasar dan makan makanan biasa seperti rakyat awam.

Dia juga tidak membezakan dirinya dengan orang lain.

Apabila kami menanyainya sesuatu, dia akan menjawabnya.

Apabila kami mendatanginya, dia terlebih dahulu memberi salam.

Apabila kami menjemputnya, dia tidak pernah menolak.

Biar betapa dekatnya dia, rasa kagum kami terhadap dirinya tidak pernah menjadi penghalang untuk kami bercakap di hadapannya atau menyertai perbualannya.

Dia menghormati orang warak dan mengasihi yang miskin.

Mereka yang berkuasa tidak akan mendapat kelebihan yang tidak layak bagi mereka daripadanya.

Sementara yang lemah tidak akan berputus harap untuk mendapat keadilan.

Demi Allah, sering saya lihat, sebaik sahaja malam menjelang, dia akan berada di atas sejadah.

Dan dengan memegang janggutnya dia akan menangis teresak-esak seperti orang dipatuk ular.

Sering juga, pada tengah malam, kami akan terdengar dia meminta dunia supaya meninggalkannya sendirian.

Saya masih dapat menggambarkan dia berkata: Wahai dunia, keseronokanmu hanyalah sementara; kehidupannya singkat, perhiasanmu tidak kekal dan berbahaya sedangkan aku harus melalui jalan yang sukar, jauh dan penuh pancaroba.

~Kitab Safwat as-Sofwah~

p/s: alangkah bahagianya jika kita juga sedang melalui jalan ini…

 

Berfikir Berlandaskan Agama

 

Suatu ketika, Nabi s.a.w berbaring di atas sebidang tikar, yang kesan-kesannya berbekas di tubuh baginda. Ibnu Mas’ud berkata: Jika tuan benarkan, saya boleh meletakkan alas di atasnya.

Jawab baginda, “Apa yang perlu saya buat dengan dunia ini…bagi saya, ia adalah seperti sebatang pokok yang teduh, yang di bawahnya pengembara berehat sebentar dan selepas itu dia pergi dengan urusannya.” (HR Ahmad, Tirmizi dan Ibnu Majah).

Rasulullah s.a.w telah menunjukkan teladan dan sudut pandang yang betul mengenai dunia yang sedang kita huni ini. Baginda juga pernah bersabda: Demi Allah, kehidupan dunia jika dibandingkan dengan akhirat tidak lebih daripada setitik air yang lekat di jari yang dicelup ke dalam lautan.” (HR Muslim)

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut, buku ini ada membicarakan tentangnya. Semoga kita semua dapat mengubah sudut pandang kita selama ini jika kebendaanlah yang menjadi fokus utama. Banyak kisah dalam Surah Al-Kahfi yang boleh diambil iktibar lalu  diadaptasik ke dalam kehidupan seharian. Sesungguhnya ayat-ayat al-Quran adalah petunjuk yang nyata buat kita semua.

manusia & kemaruk kebendaan

Judul: Manusia & Kemaruk Kebendaan (Teks & Komentar Surah Al-Kahfi)

Penulis Asal: Sayed Abul Hasan Ali Nadwi

Penterjemah: Syed Putra Syed Ahmad

Penerbit: Unit Buku Harakah

Harga: RM18.00

Jumlah Halaman: 134

 

Sekitar Keputusan SPM Semalam

 

Debaran sudah berakhir. Teka-teki sudah menemui jawapannya. Sewaktu calon-calon SPM 2012 mengambil keputusan peperiksaan mereka dengan ditemani ibu bapa, ada ibu bapa yang terlebih sudu daripada kuah. Namun wajarlah begitu kerana ibu bapa mana yang tidak bangga pabila anak yang dilahirkan itu mendapat keputusan cemerlang?

Bagi anda, ibu bapa yang anaknya mendapat keputusan yang cemerlang, TAHNIAH diucapkan. Kejayaan tersebut merupakan salah satu daripada pencapaian terbaik dalam hidup mereka. Namun, perjalanan mereka baru hendak bermula. Berdoalah semoga mereka kekal cemerlang juga selepas ini.  Bukan hendak menakut-nakutkan tetapi keadaan memang boleh berubah mengikut izin ILAHI. Berapa ramai yang cemerlang tetapi kecundang ketika mula melangkah ke alam universiti. Begitu juga, ramai yang tidak cemerlang tetapi berjaya dengan bergaya dalam hidup mereka. Ini kerana kejayaan dan kecemerlangan seseorang itu tidaklah bergantung sepenuhnya kepada bilangan A yang mereka dapat dalam SPM.

Sebenarnya apa yang ingin saya highlightkan ialah sikap ibu bapa yang terlalu berbangga apabila anak mereka berjaya mendapat 10A. Bagi mereka, inilah berita yang paling bahagia untuk dicanang-canangkan. Awas yea, jangan terlalu bangga sehingga terlupa untuk bersyukur kepada-NYA. Ada beberapa perkara yang perlu kita fikir-fikirkan tentang sikap kita apabila menghadapi kegembiraan ini. Anak itu berjaya kerana usahanya, usaha guru-gurunya dan doa ibu bapanya. Namun begitu, jika tiada izin ILAHI, tidak mungkin mereka mampu mendapat keputusan sebaik itu.

Walau bagaimanapun, kita melihat bahawa anak yang ibu bapanya taat beragama, mendapat 10A. Begitu juga dengan anak yang ibu bapanya suka cakap besar. Sebagai ibu bapa yang taat, kejayaan itu adalah nikmat yang amat besar buat mereka kerana anak itu boleh diharapkan untuk membela nasib mereka kelak.

Bagi ibu bapa yang suka cakap besar pula, kejayaan anaknya itu cukup untuk menjadi modal dia bercakap lebih besar lagi, bahawa keturunannya sememangnya bijak-bijak, mereka pandai mendidik anak dan bla…bla…TUHAN sengaja memberikan kejayaan tersebut untuk menguji ibu bapa berkenaan, sama ada mereka akan terus bercakap besar, atau berhenti bercakap besar lalu kembali ke jalan TUHAN.

Terfikirkah, pada saat anda bermegah-megah dengan kejayaan tersebut, ada ibu bapa yang memendam perasaan. Begitu juga dengan calon-calon yang belum mendapat hidayah ketika menduduki peperiksaan, tetapi menemui jalan hidayah tidak lama selepas itu. Lalu mereka bersedih kerana keputusan mereka tidaklah terlalu hebat tetapi masih ada A disebabkan usaha sebelum peperiksaan tidak mencukupi.

Apa-apapun, TAHNIAH kepada semua ibu bapa yang anak-anaknya mengambil keputusan SPM pada kali ini. Ternyata anda semua ibu bapa yang sangat hebat. Sekali lagi, bukan bilangan A yang akan dipersoalkan TUHAN, tetapi tahap kesolehan anak-anak kita. Dan tahap kesolehan itu bergantung kepada kita, ibu bapa untuk mendidik mereka semua.

Semoga ALLAH sentiasa membimbing kita semua.

 

Terjemah atau Tafsir?

Sewaktu mengunjungi MPH Bookstore semalam, saya terdengar perbualan di antara dua orang gadis.  Mereka sedang berada di seksyen al-Quran. Gadis yang tidak berhijab bertanya, “Apa bezanya terjemahan dan tafsir al-Quran?”

Jawab rakannya yang berhijab labuh, “Sama je,”

Saya yang berada berdekatan hanya boleh pasang telinga. Maaf kerana ‘tercuri’ dengar perbualan tersebut.  Namun saya berasa agak sedih kerana saya tahu bukan hanya dua orang gadis ini sahaja yang keliru. Tentu masih ramai yang keliru atau tidak tahu bahawa terjemahan dan tafsir al-Quran adalah dua perkara yang berbeza.

Nampaknya saya perlu buat sesuatu…

Sukarnya Mendidik Umat

Sukarnya mendidik umat apabila hati mereka keras secara beramai-ramai. Bagaimana hidayah mahu masuk ke dalam hati yang keras? Selepas lebih 50 tahun negara ini merdeka dan Islam menjadi agama rasmi sejak itu, Islam hanya tinggal pada nama.

Umat kita menuju jahiliah semula, tidak seperti sepatutnya, Islam berkembang mekar dan dibanggai umatnya. Beberapa orang rakan ada berkata, kita ni perlu  menulis buku pada tahap masyarakat Islam Mekah saja. Umat Islam Malaysia belum sampai tahap masyarakat Islam Madinah. Hah? Begitu rendahkah taraf kita? Masih perlu memperbetulkan tingkah laku sahaja selepas lebih 50 tahun merdeka?

Sedihnya…

Tapi halangan itu pasti berada dalam diri individu itu sendiri. Jika dia sendiri yang membuka pintu hatinya untuk dididik, tentulah tarafnya sudah tinggi sedikit.

Ketika kita melihat saf solat maghrib agak banyak, lebih banyak pula yang  jahil masih melata di luar masjid. Ayah ibu hanya membiarkan anak-anak mereka tidak pulang ke rumah walaupun azan maghrib sudah berkumandang. Ayah ibu itu sendiri masih bersantai di halaman rumah walaupun TUHAN sudah memanggil untuk bercanda dengan-NYA.

Alahai…

Mengapa manusia enggan buka hatinya untuk Penciptanya sendiri? Sudah amat banyak nikmat yang dimakan, tapi hati masih belum terbuka untuk mendekati-NYA juga. Itulah. Manusia mendapat penghormatan malaikat ketika dicipta. Tetapi dirinya sendiri yang merendahkan kedudukan itu mengikut nafsunya…

Kononnya isu agama isu sensitif. Memanglah sensitif sebab Nabipun menangis kerana tidak mahu umatnya masuk neraka beramai-ramai. Waktu sedang sakaratulmaut pun baginda masih menyebut nama kita, umatnya. Baginda sampai minta derita sakaratulmaut umatnya dipindahkan kepadanya oleh sebab sakitnya sakaratulmaut tersebut. Alangkah kasihnya baginda kepada kita semua tapi manusia masih tidak sedar…manusia umpama tidak kasih dirinya sendiri juga apabila terus-menerus melawan arus agama fitrah.

Ya ALLAH, bukakanlah hati umat ini untuk berubah sebelum ENGKAU menutup pintu taubat, sebelum ENGKAU mentakdirkan sesuatu yang lebih parah.

Amin.