Tika Hati Berbisik…

 

Gadis

Kau cantik pada pandangan

Lahirmu menjadi permata

Belahan jiwa ayah bonda.

 

Gadis

Tika kau memandang dunia indah

Kau hiburkan jiwa raga

Hingga hampir ternoda.

 

Gadis

Berhiburlah seadanya

Kerana dunia persinggahan cuma

Pelabuhan sementara buat perantau

Yang duduk melepaskan lelah

Menyediakan bekal, menyemai benih

Kemudian berlepas pergi

Ke alam abadi persinggahan abadi

 

Gadis

Duniamu indah

Namun jangan kau terpedaya jauh

Lalu membiarkan dirimu

Menjadi habuan nafsu bermaharaja

Pergunakanlah akal dan hati untuk berfikir

Mata dan telinga untuk berwaspada

Kutiplah sebanyak-banyak bekalan amal

Untuk persinggahan abadi

Persinggahan yang maha indah, maha segala

Itulah syurga-Nya.

 

***seuntai puisi dalam karya terbaru:KERANA-MU AKU BERUBAH***

Mencari Mutiara Iman

 

1. Allah sentiasa memperkenankan doa seseorang hamba, selama doa itu tidak mengandungi dosa, tidak memutuskan silaturahim dan tidak diminta cepat diperkenankan. Apa maksudnya minta cepat diperkenankan? Maksudnya, seseorang itu berkata dalam doanya: aku telah berdoa, aku telah berdoa tetapi aku belum melihat doaku diperkenankan lalu dia berputus asa dan berhenti berdoa.

2. Rasulullah s.a.w berdiri di pintu syurga. Baginda melihat orang yang masuk ke dalam syurga kebanyakannya orang miskin. Dan baginda berdiri pula di pintu neraka. Baginda melihat orang yang masuk ke dalam neraka kebanyakannya wanita.

3. Sesungguhnya dunia itu manis (hulwah hadirah). Kemudian Allah menunggu (memperhatikan) apa yang kamu kerjakan di atas dunia itu. Disebabkan itu takutlah tentang dunia dan wanita kerana sesungguhnya seawal-awal punca bencana Bani Israel ialah wanita.

4. Allah s.w.t sangat gembira menerima taubat seseorang kamu melebihi kegembiraan seseorang yang menemui kembali barangnya yang hilang.

5. Perumpamaan hidup orang mukmin bagaikan pohon yang lemah, ditiup angin kanan dan kiri. Pada suatu ketika dia terbanting bongkok tetapi pada masa lain dia tegak lurus kembali. Demikianlah keadaannya (ia dapat bertahan hidup) sampailah pohon itu mati. Dan perumpamaan hidup orang kafir seperti pohon yang keras berdiri di atas akarnya, tidak terumbang-ambing ditiup angin. Tetapi apabila ia tumbang, tamatlah riwayatnya.

6. Sesungguhnya syaitan telah putus asa mengharapkan orang-orang yang solat akan menyembahnya. Sebab itulah syaitan berusaha mengadu domba sesama mereka (orang yang solat) agar selalu bermusuhan.

Sumber: Shahih Muslim.

Renungan Menambah Amal

 

Seorang peserta Mari Menari dihambat isu panas berkaitan tudung. Isu ini timbul kerana dia lebih dulu dikenali bertudung apabila menjayakan program terbitan Astro seperti Tangkap Muat, Glamor Raya dan Macam-macam Aznil. Tetapi untuk Mari Menari, ibu lima anak ini membuka tudungnya.

Dia akui membukanya atas kerelaan sendiri selepas berbincang dengan suami. Alasannya, kerana tidak mahu mengecewakan anak mereka yang mahu melihatnya muncul dalam program itu.

“Kami masuk MM bukannya nak menang semata-mata. Cukuplah sekadar dapat menunaikan impian anak kami yang mahu melihat ibu bapa mereka masuk TV,” katanya.

Tidak cukup dengan kenyataan itu, dia mendakwa orang bertudung tidak semestinya mempunyai perilaku yang baik.

“Saya bukan nak riak atau nak cakap saya ni baik. Hakikatnya, orang yang tak tinggal solat lima waktu pun belum tentu masuk syurga. Sesungguhnya bagi saya, siapalah kita sebagai manusia biasa untuk menilai seseorang berdasarkan luaran saja,” katanya.

Sumber: Harian Metro 14.11.2010

Nota saya: Renung-renungkan dan carilah pengajaran daripada manusia ‘perfect’ ini…

Suatu Hari Yang Kita Lalui…

 

Suatu hari ketika bersendirian di rumah, saya terdengar bunyi air paip. Lalu saya menjenguk ke luar. Jantung berdegup kencang. Macam mana mamat ni boleh masuk ke kawasan rumah saya? Setahu saya, saya tidak mendengar sesiapa memberi salam. Setahu saya juga, dia tidak berhak masuk melebihi pintu pagar. Setahu saya, saya menyelak pintu pagar ketika balik dari kerja tadi. Macam mana dia boleh berada dekat dengan paip air luar rumah dan dengan senang hati sedang menadah air ke dalam tong yang besar? Saya buka pintu. Apa yang dilakukan oleh lelaki Bangla tersebut? Dia hanya sengih kepada saya seakan-akan tidak buat apa-apa kesalahan.

Berderau darah saya melihat tingkah lakunya. Ke mana pergi budi-bahasa pendatang asing kepada  rakyat Malaysia yang selama ini sangat baik hati kepada para pendatang? Di tanah ini mereka mencari rezeki tanpa gangguan. Di tanah ini mereka membina kekayaan. Di tanah ini mereka bebas buat apa sahaja tanpa rasa malu. Tidak patutkah mereka membalas kebaikan tanah Malaysia ini dengan sedikit rasa hormat, budi bahasa dan sedar diri?

Pada saya, jika dia memberi salam dan menceritakan kesulitan untuk mendapatkan air bersih, mustahil saya tidak menolong. Tetapi pabila mereka sudah berani masuk ke kawasan pagar rumah kita sesuka hati, apa yang perlu kita fikir tentang mereka? Masihkah perlu bersangka baik? Masihkah kita boleh duduk dengan tenang di tempat kerja setelah terserempak dengan keberanian sebegini? Agaknya apa yang mereka lakukan di kawasan perumahan kita ketika rakyat Malaysia meninggalkan rumah masing-masing seawal lepas Subuh? Hanya yang mampu dilakukan: bertawakal kepada Allah s.w.t supaya Dia memelihara tempat kita berteduh itu daripada niat buruk orang lain.

Suatu hari ketika menghadiri satu majlis graduasi, hati saya tersentuh melihat kesungguhan seorang bapa. Kesungguhan apa? Kesungguhan bapa tersebut yang mahu berjumpa guru kelas anaknya ketika majlis sudah separuh jalan. Mana tidaknya, dia berasa hairan melihat semua murid memakai jubah graduasi kecuali anaknya seorang. Mengapa begitu? Lalu dia berjumpa dengan guru kelas anaknya.

Barulah dia sedar kelalaian sendiri. Akibat terlalu sibuk dengan bisnes dan akibat menganggap tumbesaran rohani  dan perkembangan persekolahan anak tidak penting, dia merasakan surat yang dihantar pihak sekolah seminggu sebelum majlis tersebut juga tidak penting. Padahal dalam surat tersebut sudah tercatat bahawa ibu bapa dikehendaki membuat bayaran sewa dan dobi jubah graduasi.

Sesudah membayar sejumlah wang yang ditetapkan, barulah anaknya diberikan jubah. Masih beruntung anak tersebut kerana sempat menyarung jubah graduasi sebelum kelasnya dipanggil ke atas pentas. Jika tidak sempat, pasti anak itu akan terkilan seumur hidup kerana tidak dapat merakamkan detik akhir bergelar murid sekolah rendah di sisi Guru Besarnya.

Barulah saya dapat melihat wajah ceria murid tersebut. Dan barulah saya melihat keghairahan bapanya mengambil gambar anak tunggalnya itu dengan menggunakan telefon bimbit popular masakini, iaitu Blackberry. Namun, di suatu sudut, ibunya hanya duduk tanpa ekspresi. Sesekali ketika suaminya datang menceritakan sesuatu tentang anak mereka yang akan menaiki pentas, wanita itu buat muka selamba. Pabila suami duduk di sebelahnya, dia bangun dan pergi mencari kawannya. Dia bersmebang lama dengan kawannya itu. (Hati saya galak bertanya – betulkah mereka masih suami-isteri?)

Ketika majlis hampir tamat, si bapa masih ghairah merakamkan gambar anaknya dengan rakan-rakan dan guru kelasnya. Baru hati saya rasa tenang sedikit kerana si bapa itu sudah mendapat mood majlis yang bersejarah buat anak tunggalnya itu. Namun emosi saya terganggu semula pabila seorang guru di sebelah saya bercerita tentang situasi keluarga murid ini. Katanya, si bapa sangat obses terhadap bisnesnya. Si anak tunggal ditinggalkan di tuition centre hinggalah ibu bapanya pulang kerja, biasanya malam. Balik rumah, mereka tidur. Dan begitulah rutinnya sepanjang murid ini bersekolah rendah. Apa yang anda fikirkan jika pada tahun hadapan, ibu bapanya berhasrat menghantar anak ini ke sekolah menengah yang majoriti pelajaranya berbangsa bukan Melayu? Apa yang saya tahu, anak ini belum habis mengenal huruf hijaiyah. Apa yang saya tahu, anak ini belum pandai solat, tidak pandai mengaji dan belum hafal Rukun Iman dan Rukun Islam. Bagaimana?

Saya beristighfar dalam hati. Lalu mengadu pada Tuhan, janganlah kiranya saya dan suami terlalu mengejar habuan dunia hingga mengabaikan didikan terhadap anak-anak. Mencari nafkah itu penting kerana kita tidak boleh sama-sekali membiarkan zuriat keturunan hidup dalam keadaan meninta-minta. Namun didikan agama jauh lebih penting mengatasi segala. Jika anak dianggap derhaka kerana tidak taat ibu bapa, ibu bapa juga boleh derhaka jika tidak menyediakan keperluan fizikal dan rohani yang sempurna untuk anak-anaknya.

Saya berdoa anak itu tidak diabaikan apatah lagi dia anak tunggal. Jika salah asuhan, siapa yang hendak mendoakan ibu bapanya pabila meninggalkan alam fana nanti?

Suatu hari ketika memandu pulang dari kerja, telefon saya berdering. Pemanggilnya seorang lelaki yang tidak dikenali. Saya rasa berdebar-debar. Suara yang agak kasar pada mulanya saya lembutkan pabila dia menceritakan tujuan dia menelefon saya. Bukan apa, saya sudah jelak mendapat panggilan daripada ejen insuran yang entah apa-apa. Lelaki ini seorang pekerja pos. Dia memberitahu, dia menemui dokumen saya di dalam peti pos. Saya rasa amat bersyukur. Saya berterima kasih kepada Tuhan yang mentakdirkan dokumen saya ditemui lelaki berhati mulia ini. Dia sudah membazirkan bil telefonnya menghubungi saya. Jika dia tidak ikhlas, tentulah dia tidak akan berbuat demikian.

Akhirnya! Saya rasa lega kerana dokumen saya sudah ditemui walaupun dompetnya lesap, begitu juga dengan sejumlah wang di dalam dompet tersebut.  Saya dan suami menemui lelaki pos ini untuk mengambil semula dokumen tersebut. Setelah membelek-belek, saya dapati semua dokumen ada, hinggakan resit cash deposit yang sudah luntur pun dipulangkan semula.

Dompet saya hilang pada majlis perkahwinan sepupu di KL. Sekelip mata sahaja ia hilang. Saya hanya menyedarinya ketika hendak memberi wang bayaran tol  kepada adik-adik, mak dan ayah yang datang jauh dari kampung. Oh, patutlah beg tangan terasa ringan, rupa-rupanya ada barang yang kurang! Pada malam kejadian, saya dan suami pergi membuat laporan di balai polis. Hati saya rasa sesak kerana kehilangan ini amat menyusahkan.

Saya terpaksa mengambil cuti pada keesokan harinya untuk membuat IC, Mykid, lesen memandu dan beberapa kad ATM. Saya sedih  beberapa kad temujanji hospital hilang. Saya rasa terkilan mengenangkan lebih kurang 20 keping kad mata ganjaran yang turut lesap bersama dompet tersebut. Jika hendak diganti, tentu akan dikenakan bayaran pula. Dalam hati saya cuba bina kesabaran.

“Abang, tak ke orang yang ambil barang ni rasa berdebar ke, takut ke waktu nak buat kerja ni?”

“Mesti la ada rasa macam tu, tapi dia nak buat jugak.”

Suami menenangkan perasaan saya dengan berkata: tentu ada bahagian orang yang mengambil tu, takkan terlepas. Jadi saya redha. Jika wang yang diingini, saya halalkan meskipun saya sedar, semua yang berada di majlis tersebut bukan orang lekeh-lekeh. Mereka berbaju cantik lagi mahal. Gaya masng-masing mengalahkan artis. Kata suami, ini kerja orang perempuan sebab mereka juga bawa beg tangan. Jika lelaki, macam mana mereka nak sorok dompet saya yang besar gedabak itu?

Pada waktu lelaki pos menelefon, saya sempat bertanya, dompetnya ada ke? Katanya, tidak. Semua dokumen saya diletakkan dalam plastik sahaja. Saya rasa kecewa juga  mengenangkan dompet itu agak mahal harganya dan dibeli dengan duit simpanan yang sangat sayang untuk dibelanjakan…

Dompet saya hilang pada 7/11/2010 bersamaan dengan ulangtahun kelahiran suami. Semua dokumen ditemui semula seminggu sesudahnya selepas saya melalui hari-hari yang agak sukar ketika hendak memohon IC, Mykid, lesen memandu dan kad ATM baru. Ada sahaja masalahnya ketika hendak menguruskan dokumen-dokumen tersebut. IC, lesen memandu, Mykid dan semua kad ATM lama tidak boleh digunakan lagi. Malah terpaksa keluarkan duit pula untuk membuat dokumen yang sama, yang baru.

“Orang tu memang teringin dompet ayang tu. Tak apa, dia curi dompet  yang harga 369, kita beli yang lebih mahal lagi.” pujuk suami. Jadi, sesudah selesai berurusan dengan lelaki pos berhati mulia itu, kami pergi membeli dompet baru. Rasa saya, inilah hikmahnya kehilangan dompet kesayangan yang berwarna merah tersebut. Saya dapat dompet baru! Warna yang sama sudah habis jadi saya memilih warna lain yang tak kurang cantiknya dan harganya rm80 lebih mahal daripada dompet sebelumnya. Terima kasih abang sayang!!!

Kepada orang yang mengambil dompet saya itu (jika kebetulan dia terjumpa blog ini), saya halalkan wang yang diambilnya kerana saya tak mahu darah-dagingnya tumbuh daripada sumber yang haram. Saya tak rela ibadat wanita sebangsa saya dan seagama dengan saya  ini jadi sia-sia. Apa gunanya hidup lama tetapi tiba-tiba sahaja semua amal ibadat terhapus dengan satu perbuatan dosa ini? Mencuri salah satu dosa besar. Jika sabit kesalahan, hudud menetapkan potong tangan. Orang yang berkenaan sahaja akan terasa  jadi…segeralah minta ampun kepada Allah s.w.t. Dan…apa rasanya jika setiapkali pencuri ini melihat dompet saya yang sudah menjadi hartanya? Hanya dia dan Tuhannya saja yang tahu,’ ini dompet hasil curi. Tak sia-sia, aku berjaya curi dompet mahal.’ Saya ingin bertanya, adakah malaikat Atid sedang tidur ketika dia buat kerja tersebut???

Apa-apapun, saya sangat berterima kasih kepada lelaki pos yang baik budi itu. Tak lupa, saya juga mengucapkan terima kasih kepada pencuri ini kerana sudi memulangkan sekian banyak dokumen penting saya.

Sungguh banyak insiden yang berlaku pada diri kita, atau di sekeliling kita pada setiap masa. Setiap satunya mengandungi iktibar yang besar. Jadi, pandanglah dengan mata hati…

Kerana-Mu Aku Berubah

 

Alhamdulillah, setelah menanti dengan sabar, akhirnya buku saya “Kerana-Mu Aku Berubah” menjadi kenyataan. Saya sangat berterima kasih kepada Allah s.w.t, Tuhan Yang Maha Penyayang kerana merestui kesibukan saya turut diisi dengan menulis buku ini. Saya berasa gembira jika buku ini mampu menyentuh hati-hati pembaca. Semoga buku ini serba-sedikit dapat memberi manfaat kepada yang sudi memilikinya.

Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Team Karya Bestari yang terlalu banyak memberi ruang, peluang dan sokongan sehingga memudahkan setiap fasa dalam penulisan saya ini…

Hati Yang Tenat

 

Ketahuilah, hati sedang sakit tenat jika…

1. Tidak minat mempelajari  ilmu duniawi dan ilmu ukhrawi

 2. Cinta kepada dunia melebihi segala-segalanya (berjuang bersungguh-sungguh untuk mencapai segala tujuan di dunia)

3.  Malas beribadat

 4.  Gemar/seronok  buat maksiat

 5.  Suka dipuji

6. Suka bermegah-megah dengan harta yang dimiliki

 7.  Tidak suka melakukan kebaikan

Meniti Jalan Bahagia…

 

Marilah kita meniti  jalan menuju kebahagiaan dengan cara…

Menjauhkan diri daripada urusan-urusan dunia yang tidak penting  

Membina cinta akhirat

Kuat kemahuan untuk beribadah

Suka membaca al-Quran

Kurang bercakap, lebih banyak bekerja

Sentiasa menjaga solat fardu

Menjaga diri daripada perkara-perkara yang haram dan syubhat

Bersahabat dengan orang yang soleh

Rendah diri, ikut resmi padi

Bersifat dermawan lagi mulia

Belas kasihan kepada makhluk Allah yang lain

Bermanfaat kepada orang lain

Sentiasa mengingati mati