…Untuk Sehari Lagi…

 

judul: Untuk Sehari Lagi (For One More Day)

penulis asal: Mitch Albom

penterjemah: Ab Rahman b Ahmad

penerbit: PTS

harga: Rm17.50

Semasa kecil, Charley Benetto diberi pilihan oleh ayahnya, “Kamu boleh menjadi anak ibu ataupun anak ayah, tetapi tidak boleh menjadi kedua-duanya.” Dengan itu Charley memilih untuk menjadi anak ayah. Dia amat menyanjungi ayahnya sehinggalah pada suatu hari, ayahnya meninggalkan keluarganya tanpa sebarang pesan.

Charley yang ketika itu berusia 11 tahun terpaksa beralih menjadi anak ibu pula. Ibunya yang bergelar janda, dipecat daripada pekerjaannya sebagai jururawat dengan alasan statusnya mengganggu ketenteraman doktor-doktor lelaki muda. Lantas wanita itu berusaha gigih mencari pekerjaan untuk menyara kehidupan Charley dan adiknya, Roberta.

Dalam banyak ketika, Charley sangat rimas akan perhatian yang diberikan ibunya, terutama kesukaan ibunya menyelitkan surat ke dalam kotnya dari kecil hinggalah ke hari perkahwinannya. Malah, dia pernah menghalang ibunya memasuki asrama kolejnya pada hari pertama pendaftaran kerana takut malu diketawakan senior dan pernah berasa malu selepas mengetahui ibunya menjadi tukang cuci untuk membayar yuran kolejnya.

Namun seorang ibu tetap dengan keibuannya. Walaupun ditinggalkan suami, walaupun terpaksa meneruskan kehidupan di desa sama ketika berkahwin dan berdepan dengan umpat caci masyarakat, sang ibu tetap teguh di situ, untuk memberikan keselesaan yang sebanyak-banyaknya kepada anak-anak yang dikasihi.

Meskipun begitu, Charley masih tega mengkhianati ibunya. Dia masih gagal menyayangi ibunya walaupun pada hari ke-79 ibunya menyambut ulangtahun kelahiran. Pada malam tersebut, dia membuat helah ketika party belum berakhir, kononnya dia mendapat pangiglan penting dan perlu keluar dengan segera. Dan detik itulah yang paling dikesali seumur hidupnya. Jika boleh, detik itu mahu diulang semula agar dia dapat menyelamatkan ibunya daripada serangan jantung, atau sekurang-kurangnya dapat memangku wanita mulia itu pada hembusan nafasnya yang terakhir.

Namun, semuanya sudah terlambat. Dan dia teramat menyesal!

Nota saya (1): Novel ini ringkas namun sarat dengan pengajaran. Antaranya, jika kita tidak menghargai orang yang hadir dalam hidup kita, terutama sekali ibu bapa dan ahli keluarga, tentu kita akan menyesal suatu hari. Pada ketika itu, barulah kita merayu supaya masa dapat diundur semula, supaya dapat melaluinya semula dengan cara yang lebih baik lagi.

Nota saya (2):  Antara kata-kata Posey Benetto (ibu Charley) yang berjaya meninggalkan kesan dalam jiwa saya adalah: berbalik kepada sesuatu yang kamu tinggalkan tidak semudah yang kamu sangka.

Nota saya (3): Antara isi kandungan surat Posey Benetto yang begitu menonjolkan keibuannya adalah: Charley, hormatilah guru-guru kamu. Sentiasa panggil mereka Tuan dan Puan. Walaupun ibu dapat tahu pelajar-pelajar kolej memanggil guru mereka dengan menyebut nama pertama.

Nota saya (4):Seorang ibu, walau bagaimana besar sekalipun masalah yang dihadapinya, masih tetap akan mampu tersenyum di hadapan anak-anaknya…

Sesungguhnya novel ini mampu meninggalkan ‘sesuatu’ dalam jiwa saya.

Selamat membaca 🙂

 

Untungnya Jika Mampu…

 

Untungnya jika mampu…menjadi anak yang tidak membebankan ayah bonda.

Untungnya jika mampu…menjadi ayah bonda yang tidak menyusahkan anak-anak.

Untungnya jika mampu…menjadi pelajar yang menghormati gurunya.

Untungnya jika mampu…menjadi guru yang menyayangi dan mendoakan para pelajarnya.

Untungnya jika mampu…menjadi suami yang memahami kepenatan isterinya.

Untungnya jika mampu…menjadi isteri yang tidak meminta-minta.

Untugnya jika mampu…menjadi pekerja yang amanah terhadap majikannya.

Untungnya jika mampu…menjadi majikan yang belas terhadap pekerjanya.

Untungnya jika mampu…menjadi ahli masyarakat yang menegakkan makruf, membanteras munkar.

Untungnya jika mampu…membangunkan ummah yang sejahtera.

Untungnya jika mampu…memaafkan mereka yang pernah menzalimimu tanpa belas.

Untungnya jika mampu…menjadi hamba yang selalu bersyukur kepada-Nya…setiap detik setiap masa.

Untungnya kita…kerana diberi kesempatan hidup atas dunia…untuk mengukur semua kemampuan yang ada.

…Ramadhan mengukur keimanan kita…

 

Biblioholisme: Menelusuri Pesona Dunia Buku dan Pencintanya

 

judul: Biblioholisme: Menelusuri Pesona Buku dan Pencintanya

penulis: Shaharom TM Sulaiman

bil. halaman: 106

penerbit: ITBM

harga: RM15

Sinopsis:

Buku yang hebat merupakan bahan bacaan yang mampu mempengaruhi manusia dan zamannya, benar-benar mengusik dan menyentuh jiwa serta berupaya memaknakan hidup pembaca. Sejarah juga membuktikan buku mempunyai magis luar biasa yang mampu mengalirkan air mata, mencetuskan keceriaan, menimbulkan kegembiraan bahkan menggerakkan proses penentangan terhadap ketidakadilan.

Biblioholisme adalah kecintaan terhadap buku manakala pencinta buku digelar bibliofil. Seorang bibliofil bukan sekadar pembeli atau pembaca yang membeli atau membaca buku sebagai hobi . Bibliofil mengamalkan budaya membaca sebagai sumber pendidikan sepanjang hayat.

Jika biblioholisme dianggap sebagai penyakit, ia tetap penyakit yang positif kerana seorang bibliofil tidak akan mampu mengubat penyakitnya dan akan terus membeli, mengumpul, mengagumi dan amat mencintai ilmu. menjadi bibliofil sebenarnya menjadi seorang yang berilmu. James Bacon pernah berkata, “Membaca menjadikan seseorang itu berisi”, manakala Imam Ghazali pula pernah berpesan, “Jadilah manusia yang tamak dan rakus terhadap ilmu”.

Berisi seperti yang disebut james Bacon bererti berisi dengan ilmu pengetahuan, cara berfikir dan pandangan hidup yang luas, kritis dan rasional, kemampuan membezakan antara yang tidak benar dan yang benar. Biasanya orang yang berisi tidak banyak bercakap, atau jika bercakap, mereka tidak bercakap tentang perkara remeh-temeh…

Pada pendapat saya, buku ini mesti dibaca oleh orang yang amat mencintai buku. Di dalam buku ini ada banyak kisah keajaiban pencinta buku. Di dalamnya juga ada pembongkaran rahsia-rahsia besar yang dimiliki tokoh-tokoh terkemuka dunia seperti Oprah Winfrey, Albert Einstein, Alfred Nobel, Galileo dan lain-lain lagi.

Banyak juga kata-kata nasihat yang boleh dimanfaatkan melalui buku ini, antaranya kata-kata Barbara Tuchman: Buku ialah pengusung peradaban. Tanpa buku, sejarah menjadi sunyi, sastera bisu, ilmu pengetahuan lumpuh dan fikiran menjadi kaku.

Nak tahu lebih banyak lagi? Segeralah dapatkan buku ini di kedai-kedai berhampiran. Selamat membaca…

 

 

Dunia;Macam-macam Ada.

Betapapun kita cuba menjadi orang yang baik, betapapun kita berusaha melayan orang lain dengan baik, pasti akan ada halangan dan gangguannya. Halangan dan gangguan itu membukakan kita jalan penyelesaian yang kita pilih sendiri, sama ada mengikut ilmu atau mengikut nafsu.

Dan sudah menjadi lumrah, kita pasti akan diuji jika ingin menjadi baik. Jika buat jahat, tak ada pula yang berani melarang. Aneh, kan?

Bagi saya, buat baik hendaklah dibalas baik. Kenapa pula hendak buat musuh dengan orang yang pernah berbuat baik dengan kita, pernah membantu ketika kita buntu, yang selalu ada di samping ketika kita tiada sesiapa?

Namun, prinsip murni ini janggal sekali bagi masyarakat kota. Ada yang menganggap manusia memang wajib membantu sesama manusia tapi jangan pula mengharapkan bantuan tersebut dihargai atau dikenang. Allahumma…prinsip apa ni???

Kepada Tuhan kita wajib berterima kasih setiap hari, takkanlah kita tidak perlu menghargai insan yang pernah berbuat baik kepada kita?

Lantas, ada yang akan menuduh dunia ini tidak adil. Adil atau tidak adil, itu hanya hukuman kita sebagai manusia yang cetek ilmu, cetek akal dan cetek iman. Allah s.w.t ada perancangannya sendiri. Jika kita pernah menolong orang, bersyukurlah kerana kita sudah selangkah menjadi orang yang baik. Jika kita pernah ditolong orang, bersyukurlah kerana ada yang sudi bersimpati kepada kita. Dan, jika kita pernah menjadi orang yang ‘tak kenang budi’, masih ada masa untuk memohon maaf. Bayangkan betapa hodohnya perangai tersebut…

Dan nanti jika dibentangkan di Padang Mahsyar, sanggupkah kita mendengarnya? Hendak menafikannya, sudah mustahil. Janganlah suka sangat menjadikan orang lain sebagai stepping stone kita. Apa salahnya kita pula yang menjadi stepping stone untuk orang lain pula.

Lagipun, bukannya susah sangat nak hargai budi orang lain, atau sekurang-kurangnya mengucapkan terima kasih. Jika tak mampu buat baik, duduk diam sudahlah, jangan buat musuh pula…

Jom fikir 🙂

Akukah Jiranmu Di Syurga?

 

Jiran…orang yang paling hampir dengan kita. Bangun pagi, celik mata, buka tingkap, yang pertama kita nampak adalah rumah jiran kita. Kita dekat dengan mereka, begitu juga dengan mereka. Namun, apakah istilah ‘dekat’ itu hanya jarak semata-mata…tetapi hati jauh?

Rasulullah s.a.w sangat menggesa umat Islam berbuat baik dengan jiran disebabkan hubungan yang rapat sesama mereka. Diriwayatkan daripada Aisyah r.ha: Nabi s.a.w pernah bersabda: Jibril menganjurkan aku bersikap baik terhadap tetangga sedemikian rupa sehingga aku berfikir dia menyuruh aku menjadikan mereka sebagai ahli warisku. (HR Bukhari)

Renung-renung dan fikir-fikir kembali, apakah selama ini hubungan kita dengan jiran baik, sangat baik, amat baik atau biasa-biasa sahaja? Jika di kampung, hubungan erat sesama jiran dijelmakan ketika musim perayaan mahupun kenduri-kendara. Waktu kenduri terutamanya, jiran-jiran tak kisah datang membantu siang dan malam; membawa hadiah seperti beras, gula, kelapa, kopi, kayu api dan sebagainya; dan menolong tuan rumah hinggalah kenduri siap sempurna. Di kampung, silaturahim sesama jiran juga amat terserlah. Pantang ada yang sakit demam, banyak saja tangan yang ingin membantu.

Namun, bagaimana pula dengan kehidupan masyarakat bandar? Tidak dapat dinafikan, silaturahim sesama jiran masih erat, terutama mereka yang sering pergi ke masjid. Melalui masjidlah jiran-jiran ini berkenalan.

Walau bagaimanapun, tidaklah menghairankan sangat jika ada di antara kita yang tak pernah kenal siapa penghuni sebelah rumahnya. Malah tak mahu ambil endah pun. Prinsip yang dipegang adalah; datang ke kota untuk bekerja. Jika kecemasan berlaku, ada telefon bimbit dan ada nombor-nombor tertentu untuk dihubungi. Jadi, ada jiran atau tak ada sama saja. Kenal jiran atau tak kenal, tiada beza.

Salah satu sebab kemungkaran makin berleluasa adalah kerana kejiranan yang tidak berfungsi dengan baik. Dalam Islam ada prinsip kemungkaran hendaklah dicegah, bukan dibiarkan. Jika hubungan sesama jiran tidak rapat, tentulah sukar untuk menegur anak orang sebelah yang buat jahat. Manalah tahu, takut dikata sibuk jaga tepi kain orang pulak.

Itulah persepsi kebanyakan masyarakat bandar, yang kebanyakannya terlalu sibuk bekerja hingga tanpa sedar, makin mengabaikan anak-anak sendiri. Sebab itulah kita memerlukan jiran. Bukan untuk mencari kesalahan kita, tapi sekurang-kurangnya mereka boleh melihat-lihat anak-anak kita ketika kita pergi bekerja.

Bolehkah kita jamin, anak-anak kita selamat dan berkelakuan baik sepeninggalan kita setiap pagi? Saya sering melihat pelajar-pelajar sekolah menengah ponteng sekolah dan menyorok dalam semak pada waktu pagi. Pada waktu petang pula saya melihat anak-anak muda berpeleseran dan bergaul bebas. Di mana ibu bapa mereka? Barangkali masih di tempat kerja. Jadi, siapa yang nak tengok-tengokkan mereka? Tentulah jiran, bukan?

Satu hal lagi, pernahkah kita tahu bahawa kita perlu meminta izin, atau sekurang-kurangnya memaklumkan kepada jiran jika kita hendak mengubah suai rumah? Terutama jika hendak menaikkan bumbung rumah lebih tinggi daripada rumah jiran. Jika binaan rumah kita lebih tinggi daripada rumah jiran, bimbang angin tidak sampai ke rumahnya. Itu sudah dinamakan gangguan terhadap jiran. Dan jika kita meminta izin atau memberitahu hasrat untuk membina/ mengubah suai rumah, tentulah jiran akan faham jika ada bunyi bising datang dari rumah kita.

Rasulullah s.a.w sangat melarang kita mengganggu jiran, walaupun apa yang kita ubah suai itu, rumah kita sendiri, hak milik kita sendiri.

Diriwayatkan daripada Abu Syuraih r.a, Rasulullah s.a.w pernah bersabda: “Demi Allah, dia tidak beriman! Demi Allah, dia tidak beriman! Demi Allah, dia tidak beriman!” Seseorang bertanya, “Siapa ya Rasulullah?” “Orang yang membuat tetangganya tidak berasa aman dari kejahatannya.”

Kejahatan di sini tidaklah hanya tertakluk kepada bunyi bising atau gangguan fizikal sahaja. Jika kita orang yang berada dan mampu membina rumah bertingkat-tingkat sedangkan jiran sebelah rumah miskin, nak bina rumah tak bertingkat pun tak mampu…bagaimana? Tidakkah dia akan berasa ‘terganggu’ setiap kali membuka tingkap lalu matanya terpandang rumah agam kita?

Ya, rumah kita hak milik kita. Begitu juga dengan tapak rumah yang kita beli dengan titik peluh sendiri. Namun, Islam tidak suka kita hidup sebagai individualistik. Islam mengajar kita meraikan perasaan orang lain, lebih-lebih lagi orang yang kurang bernasib baik daripada kita.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w pernah bersabda: “Siapapun yang beriman kepada Allah dan hari akhirat tidak boleh menyakiti tetangganya…” (HR Bukhari)

Hendak ubah suai rumah, janganlah santak ke pagar jiran. Lepas itu tinggal batu-bata yang menghadap rumah jiran tidak diplaster. Rumah awak cantik tapi biar mata jiran sakit. Hmm…agaknya apa perasaan anda jika setiap pagi, setiap kali buka pintu dapur, akan terpandang dinding begini? Sedikit sebanyak pasti hati akan berbicara juga. Kan dah tambah dosa…tapi, siapa yang memulakan dosa tersebut?

Lebih teruk lagi, ketika ubah suai rumah, sisa simen dan batu-bata yang jatuh ke sempadan jiran tidak dikutip semula. Oh Tuhan, sanggupnya buat begitu…

Dan ada juga yang ubah suai pagar dengan membina tiang  yang besar sampai menghalang pandangan orang yang hendak keluar simpang. Macam mana tu? Setiapkali nak keluar simpang, pasti akan ada yang merungut sebab pandangan terhalang. Dah tentunya bukan seorang. Setakat merungut saja tak mengapalah. Bagaimana jika sambil merungut, sambil maki? Hmm…tak ‘selamat’ tuan rumah tu nanti…

Agaknya mahukah si jiran yang teraniaya ini mahu berjumpa lagi dengan jiran yang sama ini di syurga nanti? Dah serik, katanya. Kalau dulu kat dunia, sempadan akupun tak dihormati, faham-fahamlah sendiri. Syurga memang besar dan luas. Tapi, hanya orang yang tahu menghormati sesama jirannya sahaja yang layak menikmati syurga yang besar dan luas itu.

Oleh sebab itu, sebelum terlambat, sebelum datang ketikanya setiap penyesalan tidak berguna lagi, timbang-timbanglah beribu-ribu kali sebelum buat apa-apa yang melibatkan jiran, kerna Nabi kita amat mengambil berat tentang hubungan dengan jiran. Siapa tahu, dengan hubungan rapat itulah rezeki kita digandakan, kebahagiaan berpanjangan dan paling indah lagi, menjadi penyebab kita dapat masuk syurga.

Kalaupun tak dapat buat baik kepada jiran, janganlah menyakiti mereka. Jom fikir… 🙂

 

 

 

BAHAGIA MELIHATMU BAHAGIA

 

Selasa, 24 Julai 2012

Alhamdulillah, di teduh Ramadhan kali ini, saya masih bernafas untuk mengecapi sekian banyak nikmat Ilahi. Syukur sebanyak-banyaknya, meskipun saya banyak menangis akhir-akhir ini, namun saya masih berasa bahagia. Bahagia kerana diberikan ujian yang bertimpa-timpa. Dengan itu barulah saya ketahui tahap kesabaran dan keimanan saya.

Sukar sekali nak memujuk hati. Tetapi saya gagahi jua. Maklumlah, jika bukan diri sendiri, siapa lagi yang akan memujuk? Saya kata pada hati, mujurlah atas dunia ni dah menangis, lalu kesabaran dan semangat pun tercipta. Mudah-mudahan nanti di akhirat nanti air mata inilah yang akan menjadi penyelamat dan kaffarah segala dosa. Mudah-mudahanlah di akhirat nanti Tuhan mengizinkan saya ketawa pula.

Membaca status rakan-rakan tentang kebahagiaan yang mereka kecapi, saya turut berasa bahagia, meskipun saya masih jauh untuk mengecapi kebahagiaan yang sama seperti mereka. Ya. Kita semua ada persepsi sendiri tentang bahagia. Namun, jika namanya dunia, tentulah kebahagiaan masih akan diukur mengikut ukuran duniawi…terserahlah.

Kediaman yang besar, mewah lagi selesa; moga kita banyak masa untuk beribadah di dalamnya. Kenderaan yang berjenama dan mahal harganya; moga dapat membawa kita ke tempat yang diredhai-Nya dengan mudah. Anak-anak; semoga mereka menjadi penyambung legasi kita yang soleh dan semoga mereka menjadi penyelamat kita dari api-Nya yang menyala-nyala.

Jangan ya Allah, kami hamba-Mu yang lemah ini terpalit atau cemburu melihat rakan-rakan yang bahagia dalam murka-Mu. Jadikanlah mereka pengajaran dan sempadan buat kami mencari redha-Mu. Kesederhanaan juga salah satu jalan bahagia yang jarang dinikmati manusia.

Salam Ramadhan buat semua…

 

Duit oh Duit…

Selasa, 10 Julai 2012

Hari ini, saya dan dua orang rakan membuat keputusan untuk menyiapkan sedikit tugasan di tempat yang lain daripada biasa. Kami memilih Masjid Negeri. Lokasinya sesuai, lagipun amat menenangkan. Ketika saya tiba, ada ramai orang di situ. Kemudian, rakan memberitahu bahawa hari ini ada agihan zakat.

Oooo…bagusnya fungsi masjid ini dipelbagaikan. Bukan hanya untuk solat. Malah program bantuan untuk golongan asnaf turut diadakan di masjid. Saya memilih sebuah meja di ruang legar. Dan saya duduk di kerusi yang membolehkan saya ‘menikmati’ pemandangan pengunjung yang lalu-lalang.

Ketika menunggu laptop ‘panas enjin’, macam biasalah, pandangan saya menerawang ke segenap ruang tersebut. Macam-macam sungguh karenah manusia, meskipun di dalam masjid. Saya ini bukanlah baik sangat, tapi tanpa dipinta, hati saya akan berkata-kata dengan spontan tanpa dipinta. Tentang karenah merekalah.

Pada firasat saya, program hari ini bukanlah hanya agihan zakat. Mana tidaknya, saya melihat mereka yang lalu-lalang, berlegar-legar di sekitar meja yang saya duduk dan yang duduk di meja berdekatan tidak menggambarkan mereka ini termasuk dalam golongan asnaf, tak kiralah fakir, miskin atau muallaf. Malah, bukan miskin bandar pun. Mana tidaknya, pakaian mereka kelihatan lebih mahal daripada apa yang kita pakai. Beg tangan mereka nampak ‘mewah’. Malah, ada anak gadis yang duduk di hadapan meja saya berposing ceria dengan tablet jenama Samsungnya.

Tiba waktu makan. Saya melihat katering tiba dan menyusun makanan yang sudah dibungkus. Di suatu sudut lain, air mineral dan epal hijau disediakan. Bisik hati saya, untungnya mereka. Diraikan sungguh, baru sahaja dapat bantuan, makan tengah hari pun diberi percuma.

Rupa-rupanya tidak. Mata saya tidak menipu. Program hari ini hanya satu, iaitu agihan zakat. Sekumpulan demi sekumpulan sampai di ruang legar tempat makanan disediakan. Dalam banyak-banyak kumpulan itu, ada satu kumpulan duduk di meja gadis yang bergaya dengan tablet Samsung tadi. Hmm…mungkin ibu atau bapanya yang datang mengambil bantuan zakat. Soalnya, jika anak gadis ini mampu membeli tablet yang berharga ribuan ringgit, sebenarnya masihkah ibu bapanya layak menerima zakat? Mengapa tidak anaknya sahaja yang memberi zakat kepada mereka berdua?

Di meja hadapan saya juga saya melihat kaum hawa yang berpakaian serba kemas. Pada pandangan saya, jika mereka benar-benar golongan asnaf, tentulah mereka tidak mampu berbaju mahal berkerawang siap labuci bagai. Sebab itulah golongan asnaf layak terima zakat. Jika mereka golongan asnaf, tentu mata orang biasapun dapat membezakannya. Tapi lagaknya mereka seperti wanita-wanita berkerjaya. Oh, barangkali mereka orang berniaga. Mereka menggunakan wang zakat tersebut sebagai modal. Tapi, jika taraf hidup sudah meningkat, mengapa mereka masih mengharapkan wang zakat? Saya tak habis fikir tentang perkara ini. Barangkali ada banyak aspek tentang pengurusan zakat moden yang saya tidak tahu…

Dan, saya rasa pelik juga. Yang datang ambil duit zakat mungkin ibu atau bapa tapi mengapa seluruh ahli keluarga dibawa bersama? Senang cakap, satu meja untuk 10 orang tu penuh untuk satu keluarga. Semua pakat tumpang makan percuma. Dari ibu bapa itu sendiri, anak, cucu dan cicit pun ada. Dan disebabkan makanan yang disediakan terlalu lazat (agaknya), cucu jatuh kerusi pun tak diendahkan…

Pada pendapat saya, jika anak-anak sudah bekerja, anak-anaklah yang sepatutnya menyara ibu bapa mereka. Jangan terlalu mudah ‘mengizinkan’ ibu bapa sendiri menadah tangan memohon bantuan. Pada pandangan saya, melalui pemerhatian senario tadi dan situasi yang banyak berlaku sebelum ini, masih ada terlalu ramai umat di luar sana yang lebih layak menerima zakat tersebut. Bukannya tidak pernah terjadi, orang yang paling layak, tak dapat tapi orang yang tidak layak pula dapat.

Hmm…sekali lagi, saya minta maaf. Saya mengaku, saya tidak tahu tentang hakikat  apa yang berlaku pada hari ini. Mungkin kerana tidak tahu pokok pangkalnya lah maka sungguh banyak telahan saya pada kali ini. Apa-apapun, saya akan berusaha memastikan ibu bapa saya tidak termasuk dalam golongan ini. Biarlah saya dan adik-adik menyara ibu bapa kami walaupun kami tidaklah kaya sangat. Yang penting, zakat tidak boleh disalah gunakan. Lagipun, apa gunanya ada anak jika ibu bapa masih merempat dan meminta-minta…

Duit oh duit…walaupun zakat memang disyariatkan, tolonglah janganlah  menggunakan zakat sebagai alasan malas bekerja. Apa-apapun, umat kita hanya akan maju dengan kerajinan dan usaha. Bukan mengharap belas simpati zakat semata-mata.

 Selepas dapat menyenarai iktibar yang sangat banyak daripada senario hari ini, saya meneruskan kerja saya hinggalah ke pukul tiga petang…