Salam Aidilfitri untuk semua…

 

Marilah kita memohon dari Ilahi, semoga Ramadan kali ini memberi kesan yang besar untuk peningkatan kualiti iman dalam diri. Selama sebulan kita mampu berjimat cermat, menahan lapar dan dahaga, meningkatkan ibadah, mengasihi fakir miskin, meninggalkan perbuatan maksiat dan dosa, suka pergi ke masjid, suka membaca al-Quran, suka berqiamullail dan macam-macam lagi. Semoga semua kebaikan itu tidak terhenti pada malam 1 Syawal kelak. Semoga kebaikan itu akan berkekalan pada bulan-bulan selepas Ramadan 1431H ini. Ramadan tahun hadapan mula dirindui. Semoga sempat ketemu lagi.

Selamat Menyambut Aidilfitri. Kususun 10 jari, salah dan silap kumohon diampuni.

 

Mangkuk yang Cantik, Madu dan Sehelai Rambut

 

Rasulullah s.a.w. dan sahabat-sahabatnya Abu Bakar r.a., Umar r.a., Uthman r.a., bertamu ke rumah Ali r.a. Di rumah Ali r.a., isterinya Saidatina Fathimah r.ha. puteri Rasulullah s.a.w. menghidangkan mereka madu yang diletakkan di dalam mangkuk yang cantik. Ketika semangkuk madu itu dihidangkan, sehelai rambut terikut di dalam mangkuk itu. Rasulullah s.a.w. kemudian meminta kesemua sahabatnya untuk membuat suatu perbandingan terhadap ketiga-tiga benda tersebut (mangkuk yang cantik, madu, dan sehelai rambut). 

Abu Bakar r.a. berkata, “Iman itu lebih cantik daripada mangkuk yang cantik ini. Orang yang beriman itu lebih manis daripada madu dan mempertahankan iman itu lebih susah daripada meniti sehelai rambut.”

Umar r.a. berkata, “Kerajaan itu lebih cantik daripada mangkuk yang cantik ini. Seorang raja itu lebih manis daripada madu, dan memerintah dengan adil itu lebih sulit daripada meniti sehelai rambut.”

Uthman r.a. berkata, “Ilmu itu lebih cantik daripada mangkuk yang cantik ini. Orang yang menuntut ilmu itu lebih manis daripada madu, dan beramal dengan ilmu yang dimiliki itu lebih sulit daripada meniti sehelai rambut.” 

Ali r.a. berkata, “Tetamu itu lebih cantik daripada mangkuk yang cantik ini. Menjamu tetamu itu lebih manis daripada madu dan membuat tetamu senang hati sampai dia kembali ke rumahnya adalah lebih sulit daripada meniti sehelai rambut.”

Fatimah r.ha. berkata, “Seorang wanita itu lebih cantik daripada sebuah mangkuk yang cantik. Wanita yang berpurdah itu lebih manis daripada madu dan mendapatkan seorang wanita yang tak pernah dilihat orang lain kecuali mahramnya lebih sulit daripada meniti sehelai rambut.”

Rasulullah s.a.w. bersabda, “Seorang yang mendapat taufik untuk beramal adalah lebih cantik daripada mangkuk yang cantik ini. Beramal dengan amalan yang baik itu lebih manis daripada madu dan berbuat amal dengan ikhlas adalah lebih sulit daripada meniti sehelai rambut.” 

Malaikat Jibril a.s. berkata, “Menegakkan sendi agama itu lebih cantik daripada sebuah mangkuk yang cantik. Menyerahkan diri; harta; dan waktu untuk usaha agama lebih manis daripada madu dan mempertahankan usaha agama sampai akhir hayat lebih sulit daripada meniti sehelai rambut.”

Allah s.w.t. berfirman, “Syurga-Ku lebih cantik daripada mangkuk yang cantik itu. Nikmat syurga-Ku lebih manis daripada madu dan jalan menuju syurga-Ku adalah lebih sulit daripada meniti sehelai rambut.”