Terhibur Hatiku…

 

Seorang rakan seperguruan mahu saya mengepos buku terbaharu, Kerana-Mu Aku Berubah ke pangkuannya yang berada jauh di Negeri Bawah Bayu. Saya berasa amat berbesar hati…

Sebaik menerima buku tersebut, beliau membuat review yang muluk-muluk tentang fizikal buku tersebut di dalam blognya. Kemudian, beliau tayang besar-besar signature saya…melalui blognya http://santai-norazman.blogspot.com/

 Saya amat berharap buku ini akan memberi manfaat kepada sesiapa sahaja yang membacanya.  Saya belumlah mampu untuk menarik hati melalui penulisan seperti penulis-penulis popular masa kini, namun saya juga ada impian. Impian saya, saya bisa menyentuh hati-hati yang ingin berubah. Berubah daripada yang tidak baik kepada yang baik. Berubah daripada baik kepada terbaik. Berubah menjadi individu Muslim yang bermaruah tinggi. Berubah demi kegemilangan agama yang kita junjung, agama rabbani, itulah ISLAM yang teragung.

Advertisements

Akhir Yang Indah

 

Dalam setiap doa selepas solat, kita tidak pernah lupa untuk memohon husnul khatimah di akhirat. Ya, husnul khatimah di akhirat adalah dambaan setiap insan. Semua orang mahu hidup bahagia, apatah lagi di akhirat nanti.

Walau bagaimanapun, janganlah lupa untuk memohon husnul khatimah ketika sedang hidup. Maksud saya, apa salahnya kita memohon supaya Allah s.w.t memberikan kita husnul khatimah bagi setiap apa yang kita lakukan atas dunia ini. Contohnya, kita ingin menjadi anak yang soleh, kita mengharap anak-anak yang kita didik turut menjadi anak-anak yang soleh, berjaya dalam kerjaya, hidup yang bahagia, semua urusan dipermudahkan, hubungan yang baik dengan jiran, persahabatan yang manis dan berkekalan, rezeki yang diusahakan dengan susah-payah itu berkat dan sebagai isteri, kita mahu menjadi isteri yang solehah. Itulah sebahagian daripada husnul khatimah ketika kita masih hidup.

Kita berhak memohon. Mohonlah daripada Tuhan Pemilik Arasy Yang Maha Agung. Akhir yang indah tak semestinya menjadi matlamat ukhrawi semata-mata kerana sebelum sampai ke akhirat, kita perlu terlebih dahulu menjalani kehidupan atas dunia. Biarlah kehidupan atas dunia berakhir dengan indah, semoga khatimah di akhirat nanti, indah juga.