Bertemu Penulis Tangisan Bulan Madu

Sesungguhnya! Saya berasa sangat teruja dapat mengenali Dr. Samsiah Mohd Noor, penulis novel Tangisan Bulan Madu yang sangat terkenal ketika saya remaja dulu.

Teringat lagi ketika di sekolah menengah, novel berkenaan menjadi rebutan. Hendak baca kena ‘beratur’ panjang menunggu giliran. Bukan sebuah novel ye. Tapi ia sudah menjadi helaian-helaian kerana banyak berpindah dari tangan ke tangan. Dahlah begitu, nak dapat bacapun ada tingkat kroni jugak. Junior yang wajahnya tak berapa cantik, atau tak pandai ambil hati senior, besar kemungkinan tak dapat peluangpun untuk pegang helaian novel berkenaan.

Itulah pengalaman.

Saya nak ucapkan terima kasih sebanyak-banyaknya kepada Bahagian Pendidikan Islam, KPM yang menghimpunkan kami dalam satu program 4 hari 3 malam di Sepang. Ia sangat bermakna buat diri saya.

20170908_120914

 

20170908_113841

Beliau seorang yang sangat hebat (dan cantik). Banyak sungguh pengalamannya yang boleh dijadikan panduan dan iktibar.

Semoga kita dapat jumpa lagi, ya Dr.

 

 

Advertisements

Mengenali Ajaran Sesat Melalui Soal Jawab

soal jawab ajaran sesat 001

Judul: Mengenali Ajaran Sesat Melalui Soal Jawab

Penerbit: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS)

Harga: Percuma

Jumlah Halaman: 100

 

Ajaran sesat agak banyak di negeri Selangor. Meskipun ajaran sesat berkenaan tidak begitu meluas dan sudah dipatahkan oleh pihak berkuasa agama, kita tidak boleh memandang remeh akan pengaruhnya.

Buku ini memberi pendedahan mengenai cara untuk kita kenali sesuatu ajaran itu adalah menyimpang daripada ajaran Islam yang sebenar.

Di antara ciri-ciri ajaran sesat adalah:

  1. Memperakui guru mereka menerima wahyu.
  2. Mengakui guru mereka sebagai nabi.
  3. Mempercayai bahawa guru mereka boleh menebus dosa dengan wang.
  4. Mempercayai bahawa semua agama adalah sama.
  5. Mempercayai bahawa orang yang telah mati boleh memberi pertolongan kepadanya.
  6. Memansuh syariat Islam dan mencipta syariat baharu.
  7. Meninggalkan solat Jumaat.
  8. Mempercayai bahawa haji tidak semestinya dilakukan di Mekah.
  9. Mendakwa bahawa tugas rasul diamanahkan kepadanya.
  10. Mengagungkan keturunan Yahudi sebagai kaum yang perlu dicontohi.
  11. Mengaku sebagai Imam Mahdi.
  12. Mengaku diri sebagai wali sedangkan dia bergelumang dengan maksiat.
  13. Menghalalkan pernikahan adik-beradik.
  14. Mendakwa diri atau gurunya mempunyai mukjizat.
  15. Menuntut setiap murid menyerahkan diri, anak, isteri, adik-beradik dan harta kepada guru.
  16. Mengancam pengikut akan ditimpa bala jika tidak menjaga rahsia ajaran yang diikuti.
  17. Pernikahan mengikut syariat hanyalah adat dan  hendaklah diulangi secara pernikahan batin.
  18. Perbuatan maksiat seperti zina dan minum arak boleh dilakukan oleh guru mereka dan mendapat jaminan keampunan daripada Allah.
  19. Ibadah solat berpada dengan memasang niat sahaja.
  20. Mempercayai makhluak seperti batu atau kayu mempunyai kuasa ghaib.

Ajaran sesat amat mudah menyelinap masuk ke dalam individu muslim yang tidak mempunyai asas agama. Ketika mereka tercari-cari pegangan hidup, kumpulan ini mengambil peluang untuk mempengaruhi mereka sambal meyakinkan bahawa ajaran Islam yang asal itu tidak munasabah, atau lebih susah daripada ajaran yang dibawa ini.

Ajaran sesat juga mudah masuk ke dalam kumpulan masyarakat berada tetapi banyak bergelumang dengan dosa. Gerakan ini meyakinkan kumpulan berkenaan bahawa taubat mereka tidak diterima Allah kerana dosa mereka terlalu banyak dan besar. Tetapi jika mereka terima ajaran ini, memadailah mereka bertaubat dengan cara menginfakkan harta mereka kepada pertubuhan tersebut, terutama sekali kepada ketua. Ada juga pertubuhan yang menetapkan bahawa harta yang diberi kepada ketua dianggap sebagai zakat.

Secara keseluruhannya, buku ini memberi penerangan yang jelas mengenai ajaran sesat yang wujud di Malaysia. Sesiapa yang sudah terjebak dengan ajaran sesat diminta untuk bertaubat.

Di antara ajaran sesat dan ciri-cirinya yang disebut di dalam buku ini ialah:

  1. Syiah
  2. Rasul Melayu (Abdul Kahar Ahmad)
  3. Ayah Pin
  4. Ajaran Haji Banuar Roslan
  5. Ajaran Mohd Nordin bin Putih
  6. Ajaran Sulaiman (Bahtera Nabi Noh)
  7. Ajaran Syed Mohd Al-Masyor
  8. Ajaran Martabat Tujuh
  9. Ajaran Tijah

Manakala Ajaran Ahmadiah/Qadiani telah difatwakan sebagai murtad dan diwartakan pada 17 Ogos 2001.

 

Belajar Ikhlas

belajar ikhlas 001

 

Judul: Belajar Ikhlas

Penulis: Al-Harits Al-Muhasibi

Penterjemah: ‘Izzuddin ibn ‘Adbissalam

Penerbit: Penerbit Zaman

Jumlah Halaman: 256

 

Saya membeli buku ini di Wasma Yakin, Kuala Lumpur setelah merasakan sudah lama tidak membeli buku. Disebabkan membelinya bersama-sama beberapa buku lain, saya lupa harga buku ini.

Secara amnya, saya sangat suka membaca buku Indonesia kerana kupasan isinya sangat bernas dan ajaran di dalamnya begitu mudah untuk kita ikuti. Samalah juga dengan buku ini. Ketika membacanya, naluri saya membuak-buak untuk berubah.  Malah, terasa mudah untuk mencapai tahap takwa.

Belajar Ikhlas mengajar kita menjadi mukmin yang bertakwa melalui jalan yang jelas. Islam diambil dengan cara yang betul.

Cara untuk dekat dengan Allah itu mudah. Antaranya, dengan mendahulukan perkara-perkara wajib melebihi perkara sunat. Lebih menjauhi perkara haram. Sebaliknya orang yang bodoh meninggalkan perkara wajib demi menunaikan amalan sunat.

Kepada para pendosa,

Kita hendaklah berasa risau jika tidak sempat bertaubat ketika ajal tiba. Maka kita kembali kepada-Nya dalam keadaan berdosa.

Dan kita sepatutnya sentiasa berasa risau jika kita sudah lali melakukan maksiat lalu kita sukar benar untuk meninggalkannya.

Buku ini jalan penyelesaiannya.

Ia sangat sesuai dibaca oleh sesiapa sahaja, sama ada yang baru mahu kenal rapat dengan Islam, atau orang yang sudah lama bergelumang dalam ibadah tetapi masih belum ketemu jalan takwa.

Mencari Jalan Hidayah Menuju Keredhaan

mencari jalan hidayah 001

Judul: Mencari Jalan Hidayah Menuju Keredhaan

Penerbit: Majlis Agama Islam Selangor

Harga: Percuma

Jumlah Halaman: 88

Secara keseluruhannya, buku ini mudah difahami. Ia mengumpulkan empat kisah yang berkaitan dengan kecelaruan hidup yang seterusnya membawa kepada longgarnya pegangan akidah.

Selain itu, buku ini  juga mengumpulkan beberapa tazkirah yang boleh kita gunakan sebagai panduan harian untuk menjadi muslim terbaik. Di antara tajuk tazkirah yang menarik adalah:

 1. Islam itu Fitrah, Fitrah itu Islam

2. Mukmin Duta Islam

3. Idolaku

4. Allah Sentiasa Bersama

Pada pendapat saya, buku ini sesuai dibaca oleh orang awam yang baru hendak berjinak-jinak dengan Islam.

 

Aidilfitri 1438H/2017M

Alhamdulillah, Aidilfitri kali ini sungguh membahagiakan kerana dapat menyambutnya di sisi keluarga di Batu Kurau.

20170625_134405

 

20170625_141152

 

20170625_142418

Selain itu, amat tidak dijangkakan apabila kawan-kawan  dan murid-murid juga sudi bertandang pada hari raya kali ini.

20170629_142114_001

 

20170629_143337

 

20170629_193233

 

Semoga kita masih berjodoh pada Aidilfitri akan datang.

 

Fragile

fragile 001

Penulis:Syira Lokman

Penerbit: Komrad Buku

Harga: RM20.00

Jumlah Halaman: 95

Melalui buku ini, penulis terjun begitu dalam untuk mengungkapkan sesuatu. Sebilangan besar perasaan yang diluahkan adalah mengenai kehidupan mahasiswa. Apa yang dikejar dalam hidup?

Jika ketika  di sekolah menengah kita mampu ikut peraturan sekolah, mengapa ketika menjadi mahasiswa, tidak lagi?

Apakah ijazah itu segala-galanya?

Dalam mengejar cita-cita, jangan ketepikan peranan doa dan ibadah kepada Tuhan. Jangan juga kesampingkan kemanusiaan.

Paling utama, tak kira di manapun tahap kita, jangan pernah lupa Allahlah yang paling setia. Membantu jatuh-bangun hamba-Nya.

Saat aku jatuh terduduk tanpa sesiapa membantu

Allah setia bersamaku.

Saat jiwa ini sakit hingga aku rapuh dalam sendu

Allah alirkan rasa tenang demi mengubatiku.

Saat aku mula mengalah dengan langkahku

Allah papah aku hingga mampu bergerak perlahan selangkah demi selangkah menuju kiblatku.

Syabas, penulis!

Aku Nabi Isa

 

 

aku nabi isa 001

Penulis: Dr. Rozanizam Zakaria

Penerbit: Puteh Press

Harga:RM15.00

Jumlah Halaman:202

Buku ini sangat menarik apabila seorang doktor mendedahkan pengalaman dirinya menyantuni pesakit jiwa ketika bertugas di luar negara.

Amat banyak pengajaran boleh kita ambil daripada 10 kisah benar yang dinukil di dalam buku ini. Paling utama, rasa syukur kita kerana diberikan kesihatan jasmani dan emosi. Ramai yang pandang enteng terhadap nikmat ini, bahkan mudah pula memandang rendah terhadap mereka yang diuji dengan penyakit mental.

Hakikatnya, ada penyakit mental masuk ke dalam tubuh seseorang bukan kerana salah dirinya. Faktor persekitaran turut memainkan peranan. Tekanan hidup, masalah keuarga, malah masalah negara juga boleh menjadi penyebab penyakit mental boleh dihidapi oleh sesiapa sahaja.

Pada pendapat saya, ajaran Islam adalah penawar terbaik untuk membimbing emosi kita. Tak mampu buat banyak, istiqamahlah walaupun kecil. Membaca al-Quran, solat dan zikir, ia memainkan perana yang cukup besar untuk membelai emosi kita.

Pesan penulis:

Buku ini bukan ditulis khusus untuk bakal doktor, pesakit mental atau keluarganya. Buku ini hakikatnya ditujukan untuk setiap insan yang memiliki kewarasan dan bercita-cita mahu melakukan sesuatu yang bermakna dalam kehidupan daripada kewarasan yang mereka miliki.

Syabas, penulis!