Darjat Solat Berjemaah

Kita pernah membaca buku atau mendengar kuliah yang membicarakan tentang fadilat solat berjemaah. Ada penulis/penceramah yang berpegang kepada hadis solat berjemaah melebihi solat bersedirian dengan 25 darjat. Walau bagaimanapun, ramai yang berpegang kepada hadis solat berjemaah melebihi solat bersedirian sebanyak 27 darjat.

Mana satu yang betul? Saya sudah membuat rujukan dan kajian mengenai solat berjemaah pada tahun 1999, ketika menulis tesis peringkat ijazah. Kedua-duanya betul. 25 darjat untuk solat sirr (zuhur dan asar) dan 27 darjat untuk solat jahar (subuh, maghrib dan isyak).

Walaupun kita tahu jumlah darjat/fadilat tersebut, adakah kita tahu perinciannya. Selama ini, pernahkah kita semua tertanya-tanya tentang darjat/fadilat solat berjemaah? Setiap hari berulang-alik ke masjid. Setiap hari terbayang-bayangkan 25/27 darjat/fadilat yang bakal ditulis oleh malaikat. Namun tidak pernah tahu apakah ia.

25 darjat/fadilat tersebut adalah:

1. Menjawab azan sambil berniat mahu berjemaah (akan mendapat syafaat Nabi di akhirat kelak)

2. Berusaha sampai ke masjid seawal mungkin (akan mendapat naungan TUHAN pada hari yang tiada naungan selain naungan-NYA)

3. Berjalan ke masjid dengan tenang (setiap langkah adalah hasanah, meningkatkan darjat dan menghapus dosa)

4. Masuk ke masjid sambil berdoa (doa adalah pelindung orang mukmin)

5. Solat tahiyyatul masjid

6. Menunggu solat dimulakan

7. Mendapat selawat, doa dan istighfar daripada malaikat

8. Malaikat menjadi saksi pada hari akhirat terhadap orang yang pergi berjemaah

9. Menjawab laungan iqamah

10. Terhindar daripada gangguan syaitan kerana syaitan bertempiaran lari ketika iqamah

11. Berdiri sambil menunggu imam memulakan solat

12. Dapat mengangkat takbiratul ihram yang pertama

13. Menyamakan dan merapatkan saf

14. Membalas bacaan imam ketika imam menyebut sami’allaahu lima hamidah

15. Selamat daripada lalai dan lupa

16. Mampu khusyuk

17. Memperelokkan pergerakan dalam solat

18. Mendapat naungan dan pemeliharaan malaikat sepanjang berada di masjid

19. Melatih dan mengelokkan bacaan dengan tajwid

20. Menzahirkan syiar Islam

21. Kebencian syaitan kerana umat Islam berkumpul dalam kebaikan

22.Terpelihara daripada sifat-sifat munafik

23. Membalas bacaan salam imam

24. Mengambil manfaat berkumpul untuk berdoa dan berzikir

25. Menyuburkan rasa kasih sesama umat

Manakala bagi solat jahar pula, darjat/fadilat yang ditambah:

1. Diam, mendalami bacaan imam dan mengaminkan bacaan imam. Jika amin tersebut bersamaan dengan amin malaikat maka dosa-dosa diampunkan

2. Nur buat Muslim pada hari kiamat kelak

3. ALLAH menyediakan syurga kepadanya.

Darjat/fadilat ini pula ada pahala dan kelebihannya yang tersendiri. Darjat/fadilat ini bukan untuk disenarai panjang semata-mata. Ia lebih bermanfaat jika kita memulakan langkah untuk pergi solat berjemaah pada hari ini juga.

Jom. 

Pembunuh 100 Nyawa

 

 

Seorang lelaki dari Bani Israel yang telah membunuh 99 orang. Setelah bergelumang dengan dosa dan noda, lelaki tersebut mula insaf. Dia mula teringatkan Tuhan. Dia mula berasa takut setiap kali teringatkan saat keberangkatannya menemui Maha Pencipta. Dia mengetahui bahawa hanya Allah s.w.t sahajalah yang dapat mengampuni dosa. Hanya Dialah sahaja yang menyeksa kerana dosa. Dialah penghisab dosa berhak berasa murka. Maka, dia berfikir untuk bertaubat kepada Allah s.w.t, supaya dapat diselamatkan daripada api neraka.

Diapun keluar dari kampungnya. Dalam perjalanan, dia menemui ramai penduduk kampung lalu diapun bertanya, “Apakah aku boleh bertaubat?”

Jawab orang kampung, “Kami akan menunjukkan kamu seorang pendita. Kamu pergi menemui dia dan tanyalah kepadanya,”

Tanpa membuang masa, dia pergi berjumpa dengan pendita tersebut. ”Wahai pendita ahli ibadah, aku sudah membunuh 99 nyawa. Adakah aku masih boleh bertaubat?” tanya lelaki itu penuh pengharapan.

“Tidak!” jawab pendita itu dengan tegas. Jawapan tersebut nyata amat mengecewakan lelaki tadi. Dia berasa putus asa. Dunia gelap-gelita di hadapan matanya. Sejurus selepas itu, dia mengangkat pedangnya lalu membunuh pendita tadi. Maka genaplah masa bunuhnya 100 orang.

Kemudian, dia kembali ke kampungnya. Dia masih dahagakan taubat. Dia bertanya lagi kepada penduduk kampungnya, “Apakah pintu bertaubat masih terbuka untukku?”

Jawab orang kampung, “Kami akan menunjukkanmu kepada si Fulan. Dia seorang alim, bukan pendita.”

Diapun berangkat menemui seorang alim yang sedang mengajar dalam halaqahnya. Sebaik melihat lelaki itu, orang alim itu berasa sangat gembira. Lelaki itu dipeluk dengan mesra. Kemudian dia bertanya, “Apa keperluanmu datang ke sini?”

“Aku telah membunuh 100 jiwa, apakah aku masih boleh bertaubat?”

Kata alim itu, “Apa yang membuatmu tidak boleh bertaubat? Siapa yang menghalangmu bertaubat? Pintu Allah sentiasa terbuka untukmu. Aku ingin memberi khabar gembira dengan ampunan, kegembiraan dan taubat yang tulus,”

Lelaki itu lantas berkata, “Aku bertaubat dan memohon ampun kepada Allah.” Kemudian disahut pula oleh orang alim itu, “Aku memohon keampunan Allah untukmu,”

Pesan orang alim itu, “Dulu kamu tinggal di kampung yang jahat. Penduduk tempat kita menghuni memang boleh membuat seseorang itu terpengaruh dan mudah berbuat jahat. Jika orang yang lemah  iman berada di tempat seperti itu, dia akan mudah melakukan maksiat. Dosa menjadi mudah untuk dilakukan dan melanggar perintah Allah menjadi perkara yang sangat enteng baginya.

“Kerana itu, tepislah kegelapan, kehinaan dan lembah-lembah kesesatan. Jika masyarakat dibangunkan atas amar ma’ruf nahi mungkar, maka akan tertutuplah pintu-pintu kejahatan. Dengan itu, kamu pergilah ke kampung yang baik. Tukarlah tempat tinggalmu dan carilah pemuda-pemuda soleh untuk membantumu.” Lelaki itupun berangkatlah dengan senang hati kerana orang alim tadi sudah memberikannya suatu nasihat yang sangat berguna. Sayang sekali, di pertengahan jalan, ajal datang menjemput lelaki ini.

Lelaki ini sempat memperbaharui syahadahnya sebelum meninggal dunia. Tetapi dia tidak pernah mendirikan solat, berpuasa, bersedekah, menyucikan diri dan sebagainya. Dia sama sekali tidak pernah membuat kebaikan. Dia hanya sempat bertaubat dan menyesal beberapa detik sahaja sebelum sakaratul maut menjemputnya.

Setelah itu, datanglah malaikat untuk membawa roh lelaki ini ke destinasi akhirnya. Kata Malaikat Rahmat, “Dia telah bertaubat, menuju Allah dan menuju kehidupannya yang taat. Dia baru sahaja menjual dirinya kepada Allah, sehingga dia sama seperti bayi yang baru lahir. Akulah yang berhak ke atasnya.”

Malaikat Azab tidak mahu mengalah. Katanya, “Dia sama sekali belum pernah melakukan amal soleh. Belum pernah sujud, mendirikan solat, mengeluarkan zakat dan bersedekah. Jadi, dengan apa dia boleh mendapatkan rahmat? Kamilah yang lebih berhak ke atasnya.”

Kemudian, Allah s.w.t mengutuskan malaikat dari langit untuk memutuskan perkara ini. Kata malaikat itu, “Tenanglah, aku mempunyai jalan keluarnya. Ukurlah daerah tempat dia mati, bandingkan jaraknya dengan tempat buruk yang dia tinggalkan dan tempat mulia yang dia tuju. Daerah mana yang paling dekat, itulah jalan keluarnya.”

Kedua-dua malaikat tadi segera mengukur antara dua tempat itu dari tempat lelaki itu meninggal dunia. Lalu Allah s.w.t mewahyukan kepada tanah yang buruk agar menjadi jauh dan tanah yang baik agar menjadi dekat. Kemudian kedua-dua malaikat tersebut mendapati tanah yang baik lebih dekat jaraknya, maka Malaikat Rahmatlah yang berhak ke atas jenazah lelaki tadi, lalu diapun dibawa ke syurga.

(Riwayat Bukhari, Muslim dan Ahmad)

 

 

Wasiat Hassan Al-Banna

 

1. Segeralah menunaikan solat  pada awal waktu. Usahakanlah semampu yang terdaya. Ini membuktikan kesungguhan anda. Di situ ada sumber kejayaan, pertolongan dan taufik.

2. Bacalah al-Quran dan cubalah memerhati mesejnya. Selalu berzikir dan carilah ilmu walaupun sedikit. Sesungguhnya al-quran adalah sumber asli lautan ilmu, sumber hidayah kepada anda dan saya. Bacalah al-Quran, kelak ia memberi syafaat.

3. Dorong diri untuk menguasai bahasa al-Quran. Mulakan dulu walaupun sepatah perkataan. Sebenarnya anda sudah lama mula, iaitu sejak anda solat setiap hari. Sebut dulu walaupun tidak faham. Antara malapetaka yang menimpa umat kita adalah kecuaian menguasai bahasa agamanya.

4. Usahlah bertarung idea tanpa adabnya. Berdebatlah jika kiranya perdebatan tersebut membuahkan kebaikan. Awasilah pertengkaran kerana di sana pasti ada unsur yang akan membisikkan…syaitan namanya!

5. Senyumlah selalu tetapi bersederhanalah dalam ketawa. Rasulullah s.a.w adalah yang paling banyak senyum.

*Kata Plato: Pementasan hiburan yang tidak bermutu, terlalu banyak ketawa dan lawak bodoh hanya layak disaksikan golongan abdi dan orang upahan asing.

*Kata Aristotle: Tegahlah belia menyaksikan hiburan yang menyebabkan perbuatan ketawa berlebih-lebihan agar keburukan tidak menular dalam diri.

6. Seriuslah selalu dan berguraulah secara berpatutan. Tanpa serius, hilanglah kesungguhan. Tanpa bergurau, tawarlah kehidupan.

Pesan penyair: Berikan kerehatan kepada jiwamu. Yang sibuk dengan berfikir, ubati dengan bergurau. Tapi kalau mengubatinya dengan bergurau, mestilah dalam batas seperti memasukkan garam ke dalam gulai.

7. Kawal nada suaramu setakat yang diperlukan oleh pendengar di depanmu. Janganlah jadi seperti orang bodoh, bahkan menyakitkan hati orang lain pula. Luqman Al-Hakim juga mencela orang yang tidak pandai menjaga nada suara pada tempatnya….itu katanya, suara keldai!

8. Usahlah mengumpat dan usahlah merendah-rendahkan pertubuhan lain. Bercakaplah jika ada unsur kebaikan. Bertaubatlah jika anda mengumpat tapi mesti minta ampun terhadap orang umpatanmu. Boleh mengumpat apabila ada tujuan syar’ie, iaitu ketika menuntut keadilan apabila dizalimi, untuk menghapuskan kemungkaran atau memberi amaran tentang kejahatan dan mengisytiharkan kefasikan Muslim lain.

9. Luaskan interaksimu dengan umat manusia sekalipun mereka tidak meminta berbuat demikian. Salam kasih sayang adalah untuk semua. Salam kemesraan adalah untuk sejagat. Hulurkanlah salam perkenalan. Lihatlah pensyariatan ibadah haji-tidak mengenali tapi tak sepi.

10. Maksimumkan faedah waktu anda dan tolonglah orang lain supaya mereka memanfaatkan masa. Biasakan hidup berjadual di hadapan. Berlaku bijaksanalah ketika menggunakan masa. Sayangilah masa saudaramu, usahlah berbicara meleret-leret tanpa haluan dan noktah.

 

Sumber: Datuk Mohd Zawawi Jusoh (Harian Metro 30 Disember 2011)

 

 

Si Pendengki

Kata Imam Nawawi, jika seseorang itu tidak mencintai saudaranya sebagaimana dia mencintai dirinya sendiri, maka dia digelar pendengki. Si pendengki ada tiga jenis, iaitu:

1. Bercita-cita supaya nikmat hilang terus daripada seseorang dan berpindah kepadanya.

2. Bercita-cita supaya nikmat itu hilang terus sekalipun dia sendiri belum mendapatnya.

3. Tidak bercita-cita nikmat itu hilang daripada orang lain tetapi dia tidak suka melihat orang itu lebih tinggi daripadanya atau lebih beruntung daripadanya. Apa yang disukai, biarlah sama taraf. Jenis ini juga haram kerana terang-terang tidak suka kepada pembahagian Allah yang diterangkan dalam firman-Nya:

“Adakah mereka berkuasa membahagi-bahagikan rahmat Tuhanmu? Kamilah yang membahagi-bahagikan antara mereka segala keperluan mereka dalam kehidupan dunia ini…” (Az-Zukhruf:32)

 

Untuk si pendengki, cubalah untuk mengubah tabiat dan perangai buruk tersebut, kerana sifat hasad dengki boleh menghapus segala kebaikan yang pernah dilakukan, sama seperti api marak yang membakar kayu kering…

Mengasihi Anak Yatim

 

Hati saya pasti  akan tersentuh jika menyebut, mengenang  atau melihat anak yatim. Pernahkah anda berasa begitu? Pernahkah kita cakna tentang anak yatim yang ada di sekeliling kita? Barangkali dia anak kita sendiri, saudara-mara kita, jiran kita atau sesiapa sahaja…

Sesiapapun atas dunia ini tidak meminta dirinya dilahirkan yatim, atau kehilangan ibu bapa waktu menginjak usia. Pada sesetengah orang, tiada ayah atau tiada ibu itu maknanya kekurangan. Jika ia ditafsirkan sebagai kekurangan, tugas siapa untuk menampung kekurangan tersebut? Jawapan saya, tentulah orang yang berada di sekelilingnya.

Mengasihi anak yatim banyak kebaikannya. Allah akan menghantar keberkatan kepada orang yang pengasih itu tanpa diduga. Hanya sekadar menyentuh lembut kepala anak yatim, pahalanya sudah cukup besar. Apatah lagi mengambil anak itu sebagai anak sendiri, membesarkannya dengan limpahan kasih sayang, memberikannya pelajaran duniawi dan ukhrawi…masya-Allah! Umpama mendapat segunung emas layaknya! Cuma, disebabkan kita tidak nampak pahala tersebut, juga hati buta untuk memilih jalan yang baik, ataupun sebenarnya tak ambil endah tentang takdir yang dilalui anak  tersebut, maka ada yang sanggup berkasar, mengherdik atau tidak peduli akan anak yatim yang ada dalam masyarakat mereka.

Mengapa tidak mahu faham? Adakah menjadi anak yatim itu dipilih sendiri oleh anak tersebut? Tidak ingatkah bahawa Nabi kesayangan kita  juga yatim? Kehilangan ayah ketika belum lahir, ibu pula pergi selama-lamanya ketika berusia 6 tahun. Enam tahun? Bayangkan anak kita sendiri, jika kita pergi ketika usianya baru 6 tahun, apa yang dia tahu? Ke mana dia akan pergi?

Janganlah menghina. Cuba bayangkan pula jika kita seenak-enak mulut menghina anak yatim orang lain, tidakkah bila kita meninggal, kita juga akan meninggalkan anak yatim? Jika menghina anak yatim orang lain, apa rasanya orang pula menghina anak yatim kita?

Putaran hidup kita berbentuk bulat. Maksudnya, pada akhir perjalanan, kita akan menemui titik di mana kita bermula. Dan apa yang pernah kita kata tentang orang lain, tidak mustahil akan berbalik pada diri kita semula.

Jika hari ini  lidah sesuka hati membenci anak yatim  dan ibunya yang bergelar balu itu, bukankah jika para suami mati nanti, dia juga akan meninggalkan anak yatim dan balu? Jadi, apa bezanya?

Seorang lelaki sudah empat tahun menghidap kanser tetapi dia masih survive. Dia ada seorang anak saudara. Anak saudaranya itu yatim, masih kecil lagi. Suatu hari anak kecil itu meminta sesuatu. Entah mengapa, dia jadi berang. Dia marah. Suaranya meninggi. Bergenang air mata anak kecil itu. Barangkali dia sudah jemu melayan anak itu yang sering meminta-minta. Anak itu juga selalu tidur di rumahnya. Tak lama selepas peristiwa itu, penyakitnya semakin tenat. Tidak lama, hanya 100 hari selepas itu, dia pergi selama-lamanya. Sama ada dia sempat memohon maaf daripada anak kesil itu atau tidak, Allah sahaja yang mengetahui. Masyarakat setempat mungkin membuat kesimpulan dia meninggal kerana penyakit kansernya itu. Siapa tahu apa yang dia buat kepada anak yatim yang pernah tidur dalam rumahnya?

Dia juga pernah bersangka buruk tentang anak itu, iaitu ketika dia masih sihat. Siapa tahu? Tidak lama pun masa berputar, pabila dia pergi dan dia juga meninggalkan balu dan beberapa orang anak yatim…(jikalah dia lebih berwaspada…)

Satu perkara sahaja, Nabi kita anak yatim. Biasanya anak yatim kuat menghadapi cabaran sebab itulah dia dilahirkan begitu. Lihatlah Nabi yang begitu tabah berdakwah, mengapa? Kerana baginda sudah biasa diuji sejak mula, iaitu sejak dalam kandungan lagi…

Dan perkara lain yang lebih penting, tahukah apa yang berlaku di tanah kontang perkampungan Bani Saad sebaik sahaja Halimatus Saadiah membawa Muhammad ke tempat itu? Tanahnya serta-merta menjadi subur, ternakan juga subur. Penduduk kampung jadi hairan. Rupa-rupanya itulah rahmat yang dibawa oleh seorang anak yatim. Maksudnya, anak yatim bukanlah beban. Anak yatim adalah rahmat.

Dalam buku Keajaiban Mengasuh Anak Yatim, saya membaca testimoni tentang rahmat dan  keajaiban ini. Rumah-rumah kebajikan yang dibuka khusus untuk anak yatim  dan tidak mengutip yuran tidak pernah putus makanannya. Anak yatim yang mereka pelihara tak pernah kelaparan. Anak-anak ini juga sangat mudah memahami ilmu agama, pandai mengaji malah mudah menghafal al-Quran. Itulah rahmat namanya…Allah sentiasa membantu golongan ini. Allah juga sentiasa membantu orang yang ikhlas melindungi  golongan ini.

Akhir-akhir ini, begitu banyak berita tentang kemalangan. Lihatlah berapa banyak anak-anak yang ditinggalkan yatim kerana kematian ayah atau ibu dalam kemalangan tersebut. Mari kita insafi. Kematian tak tertangguh walaupun sesaat. Dan apa yang akan kita tinggalkan nanti…tentulah pasangan kita dan anak-anak kita. Kita tak mahu takdir keluarga berlaku begitu, tetapi siapa kita untuk menolak takdir? Jadi, mohonlah kesudahan yang baik. Antaranya dengan cara mengasihi anak yatim yang ada berdekatan dengan tempat tinggal kita. Dengan itu, insya-Allah Tuhan akan memberi izin untuk kita berbahagia bersama ahli keluarga hinggalah anak-anak dewasa. Dengan itu, mereka sudah pandai bawa diri, dan tidak lagi dianggil yatim.

Anak yatim memanglah tidak termasuk dalam golongan asnaf zakat. Walau bagaimanapun, kedudukannya yang mulia itulah yang menyebabkan mereka termasuk dalam golongan yang wajib dibantu…juga dikasihi.

Kerja Sebagai Ibadah

 

Setiap hari, sarapan pagi kita sering disajikan  dengan berita-berita kurang enak tentang orang yang bekerja. Jika berpangkat tinggi pecah amanah, manakala yang berpangkat rendah pula makan rasuah. Dan tanpa mengira pangkat, sebahagian besar kurang berjaya menguruskan masanya di tempat kerja dengan efektif. Maksudnya, ramai sebenarnya yang curi tulang ketika bekerja, sama ada rehat lebih masa, masuk kerja lewat tetapi keluar awal, sembang terlalu banyak, menggunakan telefon pejabat untuk urusan peribadi, buat kerja yang tiada kaitan dengan core-business mahupun melayari facebook.

Diri kita, kita sendirilah yang menilainya. Jika pernah culas ketika bekerja, fikir-fikirlah semula. Mungkin sudah sebati dalam diri lalu jadi tabiat. Tetapi tabiat masih boleh diubah. Lagipun, kita berhak memilih untuk stick kepada tabiat yang baik. Saya teringat kata-kata seorang sahabat, merangkap seorang pegawai kanan yang hebat: Al-Quran dan hadith saja yang tak boleh diubah. Benda lain, semua boleh ubah.

Agama yang kita junjung ini menekankan amalan bekerja sebagai suatu ibadah. Jika ibadah, mestilah dibuat dengan baik, berhati suci, memikirkan kesan, amanah dan memberi refleksi baik kepada diri sendiri dan orang-orang yang berada di bawah tanggungan kita. Jika seorang lelaki, barangkali wang pendapatannya digunakan untuk isteri, anak, ibu bapa dan saudara-mara terdekat yang amat memerlukan. Jika seorang wanita pula, wang pendapatan barangkali akan dibelanjakan untuk ibu bapa, adik-beradik yang masih kecil dan saudara-mara terdekat yang kurang mampu. Jadi, jika kita tidak menganggap kerja kita sebagai ibadah, tentulah kita turut tidak memikirkan wang yang kita terima itu ‘bersih’ atau sebaliknya. Bersih dalam ertikata halal sepenuhnya sebanding dengan apa yang kita lakukan di tempat kerja.

Seorang kawan saya sering menasihati rakan-rakan facebook begini: Mungkin ada kalanya kita tidak bekerja dengan baik. Itu akan dipersoalkan. Jadi, untuk cover semula kekurangan tersebut, apa salahnya kita infakkan sesuatu untuk kegunaan di tempat kita bekerja. Apabila sesuatu yang kita infakkan itu  digunakan ketika bekerja (dengan tidak bergantung kepada kemudahan yang disediakan oleh majikan sepenuhnya), sekurang-kurangnya akan terbayarlah juga hutang kita terhadap dedikasi atau amanah di tempat kerja.

Dr. Tuah pernah berkata, sebaik-baiknya kita menjadikan kerja sebagai kerjaya, barulah potensi akan terbuka dan prestasi akan meningkat. Bina minat dalam kerjaya. Minat boleh dipupuk, contohnya dengan cara  memakai baju yang cantik, menyembur wangian supaya badan tidak berbau, bangun tidur awal dengan harapan berbunga-bunga untuk pergi bekerja dan memasang niat hari ini lebih baik daripada semalam. Perkara-perkara ini, walaupun nampak simple tetapi impaknya besar. Apatah lagi jika dipuji ikhlas oleh rakan sekerja tentang penampilan atau kerajinan kita bekerja. Tentulah perasaan makin menggebu dan minat terhadap kerja makin hari akan makin subur pula.

Kerja kita bermula dengan niat. Jika niat kita baik, insya-Allah Tuhan akan memudahkan setiap urusan. Niat itu ibadah. Kemudian, kita memakai pakaian yang menutup aurat, itu juga ibadah. Menghidupkan enjin kenderaan dan menggunakan kenderaan tersebut menuju ke tempat yang baik (tempat kerja) juga ibadah. Melihat dan menginsafi apa yang berlaku di sekeliling ketika dalam perjalanan ke tempat kerja juga ibadah. Menggunakan anggota badan yang diberi percuma untuk menyiapkan kerja juga ibadah. Membantu rakan-rakan sekerja yang kesusahan juga ibadah. Setiap atur langkah untuk pergi rehat pada masa yang ditetapkan juga ibadah. Memilih makanan yang berkhasiat dan halal di kantin juga ibadah. Sering melihat jam untuk memastikan solat dilakukan pada awal waktu ketika di pejabat juga ibadah. Belum lagi kita berbicara tentang menunaikan solat itu sendiri. Solat memanglah ibadah. Tetapi menanti masa masuk waktu solat  juga tergolong dalam ertikata beribadah.

Jadi, sebenarnya seluruh masa kerja kita adalah ibadah. Oleh sebab itu, tiada maknanya kita membeza-bezakan antara solat dengan kerja, atau puasa dengan kerja, atau pergi haji dengan kerja. Bekerja itu sememangnya  ibadah. Bayangkan berapa banyak pahala yang boleh kita kumpul setiap hari dengan hanya pergi dan balik kerja. Selain itu, sama-samalah kita berdoa lewat setiap solat supaya rezeki yang diberi Allah s.w.t melalui kerja kita itu, halal dan diberkati. Gaji seseorang, adakalanya sedikit tetapi cukup untuk mengenyangkan setiap ahli keluarga. Itu namanya berkat. Apatah lagi gaji yang banyak dan bisa memenuhi keperluan setiap anak-isteri. Itu namanya berkat berganda.

Jangan pula begini: Gaji sedikit dan tak cukup, ataupun gaji banyak tapi tetap tak cukup. Tentu ada salah di mana-mana, yang kita harus selidiki dan koreksi. Peringatan untuk kita semua, sebenarnya bukan susah untuk merebut pahala ibadah. Walau bagaimanapun, jika hati tidak berwaspada, berbuat dosa juga tidak susah. Hati mana tidak teringin bila klien menawarkan ganjaran lumayan yang dinamai ‘hadiah’. Jiwa mana boleh tenteram pabila pelanggan menjanjikan kesenangan, apatah lagi waktu terbayangkan anak isteri yang hidup susah di rumah yang sempit. Waktu itulah nafsu mula memainkan peranan. Iman yang nipis mudah sahaja berkata ya kepada rasuah dan pecah amanah tanpa berfikir panjang.

Nasihat untuk kita semua lagi, berfikirlah panjang sedikit. Tak mengapa fikir akibat, daripada hanya memikir perkara baik sahaja. Jadilah negative-thinker buat seketika jika keputusan yang perlu dibuat itu melibatkan tempat yang akan kita huni selama-lamanya di akhirat kelak. Ingat, hidup kita bukan hanya di dunia. Kita akan hidup lagi buat kali kedua…

Contoh Hadis Palsu (Maudhu’)

 

1. Akulah kota ilmu dan Ali adalah pintunya.

2. Melihat kepada muka yang cantik itu satu ibadat.

3. Tiada sesiapapun yang berpuasa pada hari Khamis awal bulan Rejab kemudian solat antara Isyak dan 1/3 malam, 12 rakaat, ia memisahkan tiap-tiap dua rakaat dengan satu salam, ia membaca Fatihah dan surah Al-Qadr (3 kali) kemudian surah Al-Ikhlas (12 kali), maka demi Allah yang diriku di dalam tangan-Nya, tiada seorangpun yang mengerjakan solat itu melainkan Allah mengampuni semua dosanya walaupun dosanya sebanyak buih di laut, sebanyak pasir, seberat timbangan gunung-ganang atau sebanyak timbangan dedaunan, dan ia akan memberi syafaat pada hari kiamat kepada 700 ahli rumahnya yang telah diwajibkan masuk neraka.

4. Tiada pertaruhan kecuali pada anak panah, unta atau kuda atau burung.

5. Sesiapa mengucapkan ‘laailaaha illallah’ nescaya Allah menjadikan setiap kalimahseekor burung, paruhnya dari emas dan bulunya dari marjan (bunga batu karang).

6. Aku mengadu kepada Jibril kerana tidak kuat bersetubuh, maka ia menyuruhku supaya memakan bubur Harisah.

7. Anak zina tidak akan memasuki syurga sampai 7 keturunan.

8. Barangsiapa melahirkan anak lelaki kemudian menamakannya Muhammad, maka dia dan anaknya akan memasuki syurga.

9. Sesuap makanan yang diberi kepada orang yang lapar lebih baik daripada membinaa seribu masjid.

10. Sesiapa melakukan solat dhuha (sekian) rakaat akan akan diberi kepadanya pahala 70 orang nabi.

11. Cintakan tanah air sebahagian daripada iman.

12. Sesiapa mengenal dirinya, maka kenallah dia akan Tuhannya.

13. Iman itu dua bahagian. Satu bahagian terletak pada sabar dan sebahagian lagi terletak pada syukur.

14. Bencana agama itu tiga: ahli fekah yang jahat, imam yang zalim dan mujtahid yang jahil.

15. Kemuncak iman ialah warak. Maka barangsiapa yang merasa cukup dengan apa yang telah direzekikan Allah nescaya ia masuk syurga, dan barangsiapa yang menghendaki syurga dan tiada syak maka ia tidak akan merasa takut di jalan Allah akan celaan orang yang mencela.

* hadis palsu sengaja direka kemudian disandarkan  sebagai sabda  Nabi s.a.w  atas kepentingan tertentu seperti politik, fadilat amal, melariskan perniagaan,  menyanjung sabahat Nabi dan sebagainya. Hadis palsu tidak boleh digunakan dalam pensyariatan hukum sama ada hukum itu wajib mahupun yang sunat*

-bersambung-