Dilema Hati

Kita ni…tak habis-habis berperang dalam hati. Berapa banyakpun baca al-Quran, berapa banyakpun memahami al-Quran, pabila datang masalah-masalah yang melibatkan hati, pemahaman terhadap al-Quran ditolak jauh-jauh ke tepi. Keyakinan terhadap benarnya ayat-ayat ALLAH mula merudum jatuh seperti bangunan yang runtuh. Mengapa agaknya?

…kerana tubuh gagah manusia memang sangat mudah dikalahkan oleh hatinya sendiri. Hati yang saiznya berkali-kali ganda jauh sangat kecil daripada saiz tubuh. Hati ialah raja bagi tubuh badan. Hati yang baik akan mendidik tubuh menjadi baik. Hati yang jahat akan mendorong tubuh melakukan kejahatan. Anehnya, hati baik sekalipun tidak terlepas daripada sifat berbolak-balik. Sebab itulah hati mudah terpengaruh oleh sifat dan sikap hasad dan kesedihan yang melampau.

Al-Quran mengajar kita selengkapnya tentang cara-cara menjaga hati. Menjaganya daripada perasaan hasad, keluh-kesah, marah-marah dan sebagainya. Namun…jika keadaan sekeliling negatif, apakah hati tetap akan senyum dan menggalakkan tubuh supaya tenang dan bersabar?

Tetap ada dalam ruang hati untuk berasa kecewa dan terkilan terhadap apa-apa yang berlaku di sekeliling kita. Umpamanya tingkah laku pasangan yang telah lama hidup bersama-sama dengan kita. Sebanyak manapun seseorang itu berusaha untuk bersabar, tetap terjentik juga hatinya oleh rasa kecewa jika pasangan tidak mahu menghargai dirinya.

Umpamanya jika adik-beradik yang sering dibantu ketika mereka susah. Tak terkilankah kita jika mereka hanya buat tak tahu saja ketika kita pula susah? Umpamanya rakan-rakan sekerja yang kita jaga hati mereka pada setiap masa. Tiba-tiba mereka tak sudi lagi berbaik-baik dengan kita. Umpamanya saudara-mara yang pernah kita dedikasikan wang dan masa untuk mereka, tup-tup mereka buruk-burukkan kita di belakang kita. Apakah semua ini mampu dilalui dengan hati yang tenang, tanpa sedikitpun terasa badai bergelombang di pantai hati? Hebatlah jika anda mampu. Saya sebagai insan lemah, sudah semestinya tidak berapa kuat untuk menghadapi badai-badai seumpama ini. Hati saya cepat digoncang oleh kesedihan. Entah mengapa…barangkali saya pernah tidak ikhlas membantu mereka yang datang merayu-rayu kepada saya sebelum ini. Barangkali saya terfikir mahu kebaikan diri dikenang. Barangkali. Entahlah.

Atau barangkali, ini juga ujian buat diri saya. Ujian yang tak pernah-pernah putus dalam kehidupan saya. Apa-apapun, ingin saya katakan bahawa, sebenarnya al-Quran adalah penawar yang paling mustajab bagi hati yang sedang lara. Yakini kata-kata ALLAH. Usah terlalu yakin terhadap kata-kata manusia. Kerana manusia bisa saja berkata manis saat mereka memerlukan kita. Serentak dengan itu juga, kita mula menaruh harapan terhadap mereka. Saat itulah kita mula melakukan kesilapan, iaitu meletakkan harapan di tempat yang salah.

Jika dari awal kita meletakkan harapan kepada ALLAH, nescaya hati kita tidaklah terlalu kecewa sangat saat dibuang oleh manusia. Menenangkan hati bukannya mudah. Perasaan sering kalah oleh runtunan hati. Nak buat macam mana yea? Bukan senang hendak meyakinkan hati bahawa sokongan manusia tidaklah penting sangat. Yang penting adalah sokongan ALLAH. Sokongan ALLAH bermaksud redha-NYA. Jika ALLAH tak redha, apalah ertinya sokongan manusia seluruhnya…

Tapi masalahnya, susah sungguh nak meyakinkan hati! Saat melihat orang yang pernah menyayangi kita mula menjauhkan diri, saat melihat orang yang rapat dengan kita mula mencari sokongan lain, saat mengetahui orang yang sering berkongsi masalah dengan kita mula berkongsi masalah dengan orang lain, saat mendapat tahu orang yang pernah kita bantu mula menikam kita dari belakang…oh alangkah pilunya!!!

Yang selalu ada, yang tidak pernah lari, yang tidak pernah jauh, yang sentiasa mengasihi kita tanpa syarat, yang tidak pernah membanding-bandingkan kita dengan orang lain…hanya DIA. Jika benar cara kita betul, jika betul orang di sekeliling mahu ‘menguji’ kita dengan cara mereka, serahkanlah diri sebulat-bulatnya kepada DIA. Hanya dia yang mampu merawat hati kita yang kecewa dan sedih ini. Walau hati kita telah hancur sekalipun, hanya DIA yang mampu mencantumnya semula. Subhaanallaah…

La haula walaa quwwata illaa billaahil ‘aliyyil ‘aziim…

Apakan daya. Jika sudah tiada jalan lain, ternyata satu-satunya jalan yang ada adalah menyerahkan hati kita yang hancur-lebur ini kepada-NYA sahaja. Menangislah semahu-mahunya saat manusia mula membenci. Mungkin ini berlaku kerana keizinan-NYA. Kita tak mampu menelah. Apakah mereka yang salah, atau kitalah puncanya…

Masya-ALLAH…hebatnya dugaan terasa apabila dijauhi manusia. Dan inilah dugaan yang membuatkan hati mudah goyah. Manusia punca kita berasa bahagia. Manusia punca kita mampu ketawa. Manusia jugalah punca kita derita lara. Manusialah punca hati kita hilang keyakinan terhadap al-Quran. Oh…

Adakah benar kita perlu sangat bergantung kepada manusia? Umpamanya pasangan, ipar-duai, saudara-mara dan ibu bapa? Apakah benar jika mereka benci, kebahagiaan kita terus berakhir?

Entahlah…sayapun tak tahu. Yang saya tahu, saya pernah dan selalu terguris oleh perbuatan manusia. Ah, betapa lemahnya jiwa saya.

Pesanan buat diri sendiri, sudah-sudahlah bergantung harap terhadap manusia. Kasih-sayang boleh berubah sekelip mata. Jika terlalu berharap terhadap mereka, setiap hari saya akan kecewa. Sedangkan sepatutnya apabila usia semakin meningkat begini, saya sibuk menggandakan ibadah. Bukannya sibuk memikirkan sokongan manusia. Sujud saya tetap kepada DIA juga. Sujud kepada manusia tidak menguntungkan pun. Sampai masanya mereka akan tinggalkan saya juga.

Ubatnya, saya harus cepat-cepat kembali kepada al-Quran. Saya mesti membina keyakinan yang sepenuhnya terhadap ayat-ayat suci-NYA yang tidak pernah berubah itu. Ubat hati lara saya ini ada dalam al-Quran. Saya yakin, memang ada!

TUHAN, izinkanlah hamba-MU ini. Saya sudah penat mengejar restu manusia. Sudah sampai masanya saya hanya perlu senyum sedikit saja di hujung bibir melihat perangai mereka. Selepas itu saya harus bangkit normal semula untuk meneruskan kehidupan. Ada hikmahnya jalan hidup saya begini. Menangis, menangis juga namun air mata ini bukan untuk manusia semata-mata. Saya masih kurang amalan untuk dibawa ke dalam kubur. Jadi, tak perlulah nak kejar sangat restu manusia.

Untuk kamu, kamu dan kamu, beruntunglah jika anda sekalian ada ramai kawan dan banyak pengaruh.

Buat diri saya, yang saya ada hanyalah al-Quran. Itulah pengaruh yang saya ada. Jadi, saya akan selalu pesan kepada diri: Selama-lamanya, ubatilah hati dengan al-Quran. Al-Quran bisa membuat hati kita tersenyum tanpa dipinta.

p/s Semoga masih ada senyuman dalam hati saya…

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: