Saya…dan Karya Bestari

 

Poster buku Ruhana Kg Jelai

Alhamdulillah TUHANku…

Terima kasih Karya Bestari.

Advertisements

Hidup Untuk Mati

Hidup untuk mati? Gerunnya membaca kenyataan ini. Namun itulah hakikat yang wajib dihadapi setiap yang bernama manusia. Saya perasan pada bulan Ramadhan yang lalu, sangat banyak kemalangan jiwa berlaku di jalan raya. Begitu juga dengan kejadian tembak-menembak yang semakin berleluasa. Nyawa seolah-olah tiada harganya lagi.

Sebenarnya, kematian yang berlaku di sekeliling kita hanya dekat di hati orang-orang yang berkenaan dengannya sahaja. Contohnya mangsa tembak di Kedah, Pulau Pinang dan Kelantan. Polis atau orang awam hanya boleh mengaitkan motif kejadian dengan bukti-bukti zahir. Sedangkan yang tahu tentang kebenarannya tentulah ahli keluarga si mati. Maka, keluarga si matilah yang lebih menangisi kehilangan tersebut.

Hari ini (22.08.13), saya menerima kematian salah seorang daripada staf Karangkraf, iaitu Molee Kamal. Saya ada juga mengikuti perkembangan beliau. Dalam hati terdetik sesuatu. Mati itu pasti. Kata salah seorang pengikut facebook, penyakit beliau hanyalah asbab. Betul. Sangat betul. Siapapun kita, hebat pada mata manusia atau tidak, kita sama sahaja di sisi ALLAH SWT jika bersangkut-paut dengan ajal maut.

Oleh sebab itu, ketika mendengar berita kematian, janganlah hanya menunjukkan rasa simpati. Menziarahi jenazah boleh menimbulkan keinsafan pada diri sendiri. Mereka sudah pergi. Itu tandanya rezeki mereka sudah sempurna. Dan mereka juga sudah tahu di mana tempat mereka di akhirat kelak.

Bagaimana pula dengan kita? Soal rezeki sudah sempurna atau belum, itu tidak berada dalam pengetahuan kita. Yang penting, persediaan kita. Setiap kali mendengar kematian, sebaik-baiknya cepat-cepatlah menilai diri kita pula: bila masa aku? Sudah cukupkah persediaanku? Di mana tempat aku?

Diri kita adalah kebiasaan apa yang kita lakukan. Jika diri penuh dengan sifat mazmumah, tidak mustahil dalam keadaan itulah ia kembali kepada penciptanya. Jika diri sering terarah melakukan kebaikan, insya-ALLAH ia akan kembali kepada TUHAN dalam keadaan baik juga. Sangat mustahil, sesaat sebelum malakulmaut mencabut nyawa, seseorang itu berubah drastik daripada jahat menjadi baik. Ada berlaku tetapi sangat sedikit bilangannya. Atau…hanya jika ALLAH mengizinkannya…

Kematian…amat terkesan buat jiwa saya. Ini kerana saya pernah mendepani kematian orang-orang terdekat. Kesedihannya amat meruntun naluri. Kenangannya amat mendalam. Kesannya pula…amat menyakitkan. Mungkin kerana mereka dekat dengan kita, sementelah mereka orang yang baik-baik.

Setelah mendepani kematian beberapa orang yang dekat dengan saya, saya begitu insaf. Ketiadaan mereka amat dirasa. Lantas saya terfikir, apakah nanti jika saya tiada, kehilangan saya turut diratapi?

Ah…saya masih belum banyak berbuat baik untuk membuatkan orang lain meratapi kehilangan saya. Tak mengapa. Bukan itu matlamat saya. Yang penting, saya tahu persediaan apa yang mesti saya bawa untuk masuk kubur. Penilaian manusia bukanlah apa yang saya kejar selama hidup ini.

Hidup untuk mati…itulah yang akan berlaku kepada diri saya. Dan…saya mohon supaya dapat bertemu lagi dengan mereka yang sudah pergi…di sana nanti. Mereka sungguh baik. Saya amat merindui mereka…

Ragam Raya

Alhamdulillah. ALLAH SWT masih mengizinkan saya menyambut aidilfitri 1434H. Aidilfitri merupakan hari kemenangan buat setiap umat yang benar-benar menghidupkan Ramadhan. Iaitu menghidupkannya dengan ibadah dan peningkatan kualiti iman. Jika menghidupkannya dengan meningkatkan pendapatan atau kualiti bisnes, saya tidak yakin tahap kehausan iman turut diberi perhatian.

Bagi saya, Ramadhan dan Syawal pada setiap tahun sentiasa mengingatkan diri ini terhadap beberapa peristiwa yang menusuk hati. Lazimlah bagi orang yang ‘berhati dalam’ seperti saya. Di sudut hati yang lain, memanglah saya menganggap aidilfitri sebagai kemenangan untuk diri sendiri. Namun di satu sudut hati lagi, ada kesedihan-kesedihan yang tidak dapat saya lupai…tentang perbuatan-perbuatan orang di sekeliling kita…antaranya:

1. Tetamu yang enggan minum air yang dibancuh kerana katanya minuman sejuk tidak elok untuk kesihatan. Saya tersentak. Tetapi saya masih boleh tersenyum. Saya bangun menuju ke dapur lalu membancuh minuman panas pula. Tetapi tetamu tersebut tidak minum walau setitikpun air panas tersebut.

2. Saya dan keluarga dihalau ketika hendak beraya. Rumah yang kami pergi itu bukanlah orang lain. Pendek kata, sedarah sedaging juga malah kami memang rapat dengan keluarga ini. Kami dihalau balik kerana kata si anak, tiada sesiapa di rumah itu pada waktu tersebut. Jadi, tiada siapa boleh buat air atau melayan kami. Hah? Macam tu pun ada???

Itulah ragam raya bagi setiap manusia. Kadangkala kita geleng kepala apabila menyedari perbuatan mereka salah. Namun, pernahkah kita sendiri terfikir, apakah kita juga pernah menyebabkan orang lain terluka? Ingat, luka pasti ada parutnya. Biarpun luka sudah sembuh, parutnya akan kekal lama. Di situ. Di tempat yang sama.

Peristiwa dihalau itu berlaku pada tahun 2012. Pada tahun ini, ketika saya melewati rumah yang sama, pada waktu kebiasaan kami tiba di rumah itu, nyata penghuninya tiada. Tak mengapalah. Kita sudah jejak rumah mereka. Kita sudah pergi mencari sanak-saudara. Jika keluarga saya dipersalahkan, itu bukan salah kami. ALLAH dan malaikat tahu kami sudah jejak halaman rumah itu. Masuk tahun ini, sebenarnya sudah 3 tahun berturut-turut kami tidak dapat beraya di rumah itu.

Ya ALLAH, semoga kami masih mampu menjaga hati-hati kami ini daripada berprasangka buruk.

Pada hari raya pada setiap tahun, biasanya akan berlaku kelainan. Begitu jugalah yang berlaku dalam keluarga ibu bapa saya. Hmm…sedih memanglah sedih. Sakit hati memanglah sakit. Namun apakan daya apabila masing-masing mendabik dada mengatakan cara merekalah yang betul. Orang lain tidak berhak masuk campur.

Apa-apapun yang berlaku pada setiap tahun, jauh di sudut hati, saya tetap menangis mengenang peristiwa pahit yang telah berlaku dalam hidup saya berbelas-belas tahun yang lalu. Ketika itu bulan Syaaban. Ketika itu saya sedang hamil anak pertama. Masya-ALLAH. Semua yang berlaku adalah kehendak ALLAH. Semoga hati saya tetap kuat untuk menghadapi masa-masa mendatang.

Salam Aidilfitri 🙂