Usah Menyukarkan Urusan Yang Mudah

Perkahwinan adalah sunnah yang mulia dan sangat dituntut oleh agama kita. Islam mengiktiraf perkahwinan supaya keturunan dapat diteruskan dalam keadaan suci. Selain itu, perasaan dan nafsu dapat disalurkan ke tempat yang betul.

Ibu bapa hendaklah berasa gembira dan bersyukur jika anak-anak mereka sudah menemui jodoh. Tiada alasan yang membenarkan ibu bapa menghalang jodoh tersebut, walaupun dicari oleh anak-anaknya sendiri, asalkan kriteria bakal pasangan mereka menepati kehendak syariat.

Islam menetapkan ‘insan beragama’ sebagai kriteria utama. Tidak pula disebut seseorang itu mesti kaya dan memegang jawatan tertentu, barulah layak menikahi anak-anak mereka yang berpendidikan tinggi. Islam tidak sekejam ini kerana manusia ada pelabagi status. Jika mereka merasakan anak-anak mereka terlalu hebat sehingga wajib bertemu jodoh yang hebat juga, mereka sebenarnya lupa bahawa  ALLAHlah YANG MAHA HEBAT.

Nabi s.a.w bersabda: Jika datang seorang lelaki (untuk meminang anak gadismu) dan kamu berpuas hati dengan agama serta akhlaknya, nikahkanlah dia. Jika kamu tidak melakukannya, maka akan terjadi fitnah di atas muka bumi dan kerosakan yang amat besar.

Islam sama sekali tidak mensyaratkan kekayaan dan rupa paras sebagai jaminan kebahagiaan setiap pasangan. Apabila mereka bertemu jodoh, maka ALLAH akan menjamin rezeki mereka disebabkan jalan mulia yang mereka ambil, iaitu perkahwinan. ALLAH S.W.T berfirman: Jika mereka miskin, ALLAH akan memberikan kekayan kepada mereka daripada limpah kurnia-NYA, kerana ALLAH MAHA LUAS dan lagi MAHA MENGETAHUI. (Surah An-Nur:32)

Walau bagaimanapun, Islam amat melarang ibu bapa menikahkan anak perempuan mereka dengan lelaki yang fasik kerana kefasikan suami akan mendatangkan keburukan kepada isteri. Nabi s.a.w bersabda: Sesiapa yang mengahwinkan anak perempuannya dengan lelaki fasik, bererti dia telah memutuskan hubungan silatulrahim dengan anaknya sendiri. (HR Ibnu Hibban)

Perkahwinan adalah urusan yang besar tetapi Islam menjadikannya mudah. Mahar yang rendah membuktikan Islam tidak mahu membebankan umatnya. Walau bagaimanapun, amalan umat Islam kini sudah terpesong jauh daripada ajaran ini. Ya, mahar masih rendah tetapi hantaran sudah mencanak naik begitu tinggi. Alasannya, perbelanjaan masa kini yang serba mahal. Alahai, nak jual anakkah? Tidak pernah disebut, kenduri yang besar itu wajib. Yang wajib ialah mengumumkan pernikahan walaupun sekadar menyembelih seekor kambing.

Jika benar nak menjual anak kepada bakal menantu, tak mengapalah letak hantaran mahal-mahal. Selepas itu tak perlulah anak perempuan itu balik ke rumah ibu bapanya lagi kerana ibu bapanya sendiri sudah menjualnya kepada keluarga bisan.

Sering juga terjadi, apabila ibu bapa tidak merestui pilihan anak-anak, mereka akan meletak hantaran yang melampau-lampau dengan harapan anak itu tidak jadi bernikah dengan pilihan hatinya. Namun jika sudah jodoh, bakal suami pasti akan mengusahakannya jua. Apa lagi, puaskah hati ibu bapa jika berhasil menyatukan anaknya bersandarkan kebencian kepada menantu?

Ingatlah, Islam tidak pernah membebankan kita. Kita sendiri yang meletakkan beban pada urusan yang mudah. Kita hampir-hampir menggadaikan kewarasan fikiran  hanya kerana kehendak peribadi. Lebih dahsyat lagi, ada yang berani mengabaikan suruhan agama juga, hanya kerana kemahuan yang berbentuk kebendaan.

Bagi yang sudah terlanjur mempermain-mainkan agama dalam urusan perkahwinan, cepat-cepatlah bertaubat. Jalan kebenaran masih terbuka. Jika tak mahu TUHAN murka, atau hilang anak, janganlah ego sangat.

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: