Kasih Ibu

Semalam, seorang rakan sekerja datang ke kelas saya untuk meminta sedikit pertolongan. Seperti biasa, saya menolongnya dengan rasa besar hati. Selepas itu, sebelum balik, dia singgah sekejap di kelas saya. Rupa-rupanya dia hanya ingin berkata, “Saya nampak muka u bersih saja, macam orang yang tiada masalah.”

Saya terpinga-pinga. Waktu itu dia sudah pergi. Saya hanya sempat mengucapkan terima kasih dan syukur…di dalam hati.

Hari ini, dia datang ke kelas saya lagi, dengan sehelai sapu tangan di tangan. Saya lihat matanya merah. Ya TUHAN, tentu ada sesuatu yang tak kena.

Saya tak berani bertanya. Dia yang buka mulut dahulu.

“Susah la…saya ni orang tak kesian langsung. Dengan status macam ni, saya susah nak didik anak. Anak-anak pun tak mau dengar cakap saya,” katanya.

Saya terkedu. Tak tahu bagaimana sebaik-baik cara untuk memujuk dia bercerita lebih lanjut dalam keadaan dia tidak berasa tersinggung. Saya dapat lihat matanya makin merona merah namun air mata belum tumpah.

Dia mula bercerita. Saya mendengar sahaja. Tak berani nak beri apa-apa pendapat.

Katanya, semalam anak sulungnya telah melukakan hatinya. Hendak isi minyak keretapun minta wang ibu sedangkan anaknya itu sudah bekerja. Lagi, anaknya mahu menggunakan kad kreditnya pada hari bekerja dan akan memulangkannya pada hujung minggu. (Sebelum ini dia pernah bercerita bahawa dialah yang membayar wang pendahuluan ketika anak sulungnya itu mahu membeli kereta) 

Spontan saya merespon: “Kalau dalam Islam tak boleh macam ni.” Dia juga respon dengan serta-merta: “Saya tau dalam Islam tak macam ni.”

Dia bertegas untuk tidak mahu membantu anaknya lagi. Sebaik sahaja bertegas begitu, anaknya mengugut untuk keluar dari rumah dan tinggal sendirian. Katanya, biarlah. Biar anaknya itu belajar hidup sendiri. Dia sudah dewasa, sudah bekerja pulak tu. Tak kira gaji besar atau kecil, pandai-pandailah dia urus wang.

“Saya sedih tau. Sebelum ini anak saya tak pernah melawan cakap saya. Dia selalu bandingkan saya dengan ibu kawannya. Ibu kawannya selalu minta duit daripada anak tapi ibunya tak pernah begitu. Ibunya semua guna wang sendiri. Saya sudah banyak habiskan wang untuk dia tau, tapi ini saja balasan dia pada saya,” rintih rakan saya ini.

“Orang yang tak pernah jadi balu tak akan boleh faham apa yang saya lalui ini tau. Tanpa suami saya besarkan anak-anak. U bayangkan sejak suami saya meninggal, saya tak dapat menyimpan banyak tau. U tengok ha, orang lain boleh simpan banyak duit. Tapi, duit saya habis untuk anak-anak. Itupun mereka tak boleh fikir. Tiap-tiap hari saya yang kemas bilik mereka, masak untuk mereka. Kesian saya tau,” ujarnya lagi.

Ya, saya kesian. Teramat kesian. Dengan statusnya itu, terasa beban sungguh berat. Maklumlah, tiada suami tempat bergantung dan mengadu masalah. Wang boleh dicari tetapi hati yang luka, siapa mahu ubati?

Tengahari. Selepas dia mengadu, diapun balik. Kebetulan loceng akhir sudah berdering. Sebagai seorang manusia yang punya hati dan perasaan, saya mendoakan dia selamat dan tabah.

Oh! Teramat banyak pengajarannya. Paling utama, saya bersyukur kerana saya seorang Muslim. Islam mewajibkan kita taat dan berbakti kepada ibu bapa pada setiap masa, bukannya menyusahkan mereka. Tak terkira banyaknya hadis yang menyebut tentang perkara ini, terutama kewajipan berbakti kepada ibu. Pada pendapat saya, jika Islam tidak mewajibkannya, nescaya umat Islam juga lebih  kurang sama dengan agama lain yang tidak meletakkan ibu di tempat paling teratas selepas ALLAH dan Rasul-NYA.

Saya sendiri, ketika dia bercerita tadi, terus terbayang wajah ayah bonda. Jika saya, tak tergamak langsung untuk memperlakukan ayah bonda begitu, walaupun saya berada dalam keadaan amat terdesak. Saya tahu, ayah bonda telah banyak bersusah-payah ketika membersarkan anak-anak, dahulu. Takkanlah anak-anak sudah bekerja pun mahu menyusahkan ayah bonda lagi. Sepatutnya, bila sudah bekerja, inilah masanya untuk membalas jasa pula.

Alhamdulillah. Dengan adanya ajaran tersebut, saya yang kini bergelar ibu tidaklah risau sangat tentang anak-anak. Insya-ALLAH mereka yang sudah diberi didikan di rumah dan sekolah tidak akan menghala ke arah penderhakaan. Atau sekurang-kurangnya mereka ada rasa kasihan lalu tidak menjadikan ibu mereka sebagai kuli dalam kehidupan mereka.

Lebih penting lagi, mereka ada rasa kasih terhadap ibu bapa. Secara normalnya setiap ibu bapa tidaklah mengharap sangat anak-anak membantu dari segi harta benda atau wang ringgit. Dapat jaga hati merekapun sudah cukup.

Indahnya menjadi orang Islam. Semakin hari saya menemui semakin banyak kelebihan menjadi umat Islam. Anda pula bagaimana? Bersyukurlah dan peganglah Islam kuat-kuat.

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: