Mengapa doa anak, bukan doa suami?

 

Entah mengapa, secara tiba-tiba sahaja saya teringatkan seorang sahabat yang sudah meninggal dunia. Barangkali kerana ulangtahun hari kematiannya sudah hampir tiba.

Agaknya, dari tarikh kematiannya itu hingga ke saat ini, siapakah yang belum pernah berhenti mendoakan kesejahterannya di alam sana? Hendak mengharapkan suami, suaminya pun sudah beristeri baru. Tentulah doa bertindih-tindan dari suami  itu dihimpun untuk isteri baru, mertua baru dan ipar-duai baru pula.

Bagaimana pula dengan handai taulan…mungkin mereka akan menitipkan doa dan ‘hadiah’ pabila teringat sahaja, dan mustahillah handai taulan akan ingat kepada arwah setiap masa.

Yang ada, mungkin ayah ibu yang melahirkan arwah, kerna kasih ayah ibu tak pernah pudar walaupun sudah dipisahkan oleh kematian. Itulah sahaja yang diharapkan untuk menitipkan doa dan hadiah, semoga pusara arwah sentiasa luas dan bercahaya…

Muhasabah buat kita semua juga. Jika ketika hidup tidak memiliki zuriat, siapa lagi yang boleh diharapkan untuk terus-menerus menghantar doa? Doa anak yang soleh tidak terhijab untuk ibu bapanya yang sudah meninggal dunia. Itulah peri pentingnya zuriat.

Melalui ilmu saya yang cetek ini, dapatlah saya fahami bahawa ada hikmah besar tentang mengapa Nabi s.a.w menyebut anak dalam hadis baginda tentang tiga perkara yang membantu si mati. Dan mengapa baginda tidak menyebut suami/isteri, ibu bapa, saudara-mara, mertua, ipar-duai, jiran atau sahabat handai?

Itulah…kerana hubungan anak dengan ibu bapanya tidak akan putus walaupun sudah terpisah dua dunia. Begitu juga dengan ibu bapa yang kematian anak ketika anak masih belum baligh, anak ini jugalah yang akan  menanti mereka di pintu syurga nanti…

Hebat dan besarnya peranan zuriat.

Begitu juga dengan peranan sedekah jariah dan ilmu yang dimanfaatkan. Mengapa tidak disebut zakat? Kerana ada perbezaan besar antara zakat dan sedekah. Zakat itu wajib dikeluarkan sedangkan sedekah, tidak ramai yang sanggup melakukannya dengan beranggapan harta semakin berkurangan dari segi fizikal jika disedekahkan.

Dan, mengapa ilmu yang dimanfaatkan? Kerana tidak ramai orang yang mampu mengajarkan ilmu yang bermanfaat, dengan sepenuh keikhlasan hatinya. Tidak ramai juga yang sanggup mempelajari ilmu yang boleh dimanfaatkan dari segi spiritualnya berbanding ilmu yang berbentuk fizikal dengan beranggapan ilmu spiritual (keagamaan) tidak boleh memberikan kekayaan harta-benda. Sedangkan ilmu duniawi yang boleh dibeli dengan wang ringgit, begitu mudah diperoleh di mana-mana.

Walau bagaimanapun, bagi sesiapa yang tidak sempat meninggalkan zuriat sewaktu meninggal dunia, janganlah terlalu bersedih. Masih ada ‘back up’ yang boleh membantu di alam barzakh nanti, sebagaimana sabda Nabi s.a.w:

Tiga perkara yang akan mengiringi orang mati ialah keluarganya, hartanya dan amalannya. Dua perkara akan pulang dan satu perkara akan menetap dengannya. Keluarga dan hartanya akan pulang dan amalnya akan tetap dengannnya. (HR Bukhari, at-Tirmizi dan an-Nasa’ie)

Nah! Itulah persediaan yang perlu dilakukan oleh semua orang sebenarnya. Pernah saya mendengar ada orang berkata, jika ada anak pun belum tentu soleh. Ah, dangkal sungguh dakwaan tersebut! Jika tidak yakin akan mampu membesarkan anak sebagai anak yang soleh, beramallah banyak-banyak semoga ia dapat membantu di alam barzakh kelak.

Apa-apapun, kembalilah semula kepada fitrah kita diciptakan, iaitu untuk beribadah kepada-Nya. Berkenaan hubungan dengan manusia, marilah kita cuba sedaya-upaya untuk membentuk keluarga yang penuh dengan roh keislaman. Buanglah hobi suka mencela orang lain. Adalah lebih baik jika kita menghitung cela sendiri…kerana itulah yang akan menjadi kesibukan kita di padang Mahsyar nanti…

Kepada arwah sahabat saya, semoga Allah s.w.t mengampuni dosa-dosanya kerana ketika hidup, beliau sangat baik kepada semua orang. Dan saya berfikir, kematian itu lebih baik untuknya kerana jika beliau terus hidup, tentu beliau akan dikecewakan dengan teruk sekali…

Al-Fatihah.

 

 

One Response

  1. minta share…

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: