Kurasai Hadir-MU Dalam Munajatku…

 

Tuhan

pada malam syahdu ini aku bersimpuh di hadapan-Mu.

 Ibadahku terlalu sedikit.

Namun kumohon daripada-Mu, dengan limpah rahmat-Mu agar menerima amalanku yang sedikit ini.

Puas kubina keikhlasan, ternyata amat payah.

Seluruh usia sudah kupersembahkan demi sebuah keikhlasan ketika beramal.

 

Syaitan tidak mahu lekang dari diriku.

Hawa nafsu juga meronta-ronta supaya aku tidak terlalu hidup untuk ibadah.

Kukuatkan tekad, ya Allah.

Kepada-Mu kuberserah bahawa Engkau berhak meletakkan diriku di mana-mana sahaja di sana nanti.

Apa yang kudambakan adalah rahmat-Mu kerana hanya dengan rahmat-Mu sahajalah aku layak masuk syurga.

 

Melalui lisan nabi-Mu yang mulia, Muhammad s.a.w., aku pernah belajar bahawa manusia masuk syurga bukan kerana amalan mereka.

Termasuk baginda juga.

 Baginda beribadah tanpa henti.

Baginda solat hingga bengkak kaki, tetapi bukan itu jaminan masuk syurga.

 Hanya rahmat-Mu semata-mata.

 

Itulah yang kudambakan ya Allah

…seluruh usiaku ini hanya untuk meraih rahmat kasih sayang-Mu.

 Pandanglah aku ya Allah

…semoga dalam diri ini ada sebab untuk meraih rahmat-Mu.

 

Ya Allah,

sepanjang kujalani usiaku dengan bahagia di atas muka bumi ini, apakah aku sudah lulus ujian-Mu?

Aku sangat bimbang jika hatiku tersasar oleh matlamat duniawi.

Aku bimbang jika aku tidak mampu bersabar.

Aku risau jika dengan ujian-ujian itu, aku semakin jauh daripada-Mu.

 

Tunjukkanlah aku jalan yang benar.

Jalan yang pernah Engkau tunjuk kepada hamba-hamba-Mu yang terpilih.

Semoga semua dugaan dan kepahitan yang pernah menimpa diriku mampu menjadi kaffarah, penghapus dosa dan peningkat darjat sebagai hamba.

 

Sebaik-baiknya, biarlah aku hidup sederhana asalkan Kau redha.

Biarlah aku menyarungkan diri dengan sifat qanaah, warak dan zuhud asalkan Kau sudi memandangku di sana kelak.

 Kehidupan dunia hanyalah umpama setitik air di hujung jarum.

 Apalah yang hendak dibanggakan pada kehidupan yang fana ini

…ingin sekali aku nikmati kehidupan yang tiada akhirnya nanti.

 Biarlah aku bersusah-susah di sini, asalkan aku dapat berbahagia di alam abadi nanti.

Tuhan,

 aku mengakui dosa-dosaku.

 Dan sesungguhnya aku selalu menzalimi diri sendiri.

Andai tiada rahmat dan keampunan-Mu nescaya rugilah aku…

 

 

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: