Membuktikan Cinta

 

Ramadhan sudah tiba ke pertengahannya. Bagaimana dengan prestasi kita semua sepanjang 15 hari yang sudah berlalu?

Puasa, jika sekadar tidak makan dan minum, semua orang boleh buat, apatah lagi kepada insan-insan yang target hendak kurus melalui terapi ‘tak makan’ selama sebulan.

Tetapi, itu sahajakah yang kita kejar? Dari sudut kesihatan, puasa memberi peluang kepada organ dalaman untuk berehat buat seketika. Disebabkan anggota badan perlu sihat supaya tuan punya badan ‘dapat hidup lama’, maka wajarlah kita memberi kerehatan kepadanya selama sebulan. Bukan lama pun, sebulan sahaja berbanding 11 bulan lagi untuk memaksanya bekerja.

Ramadhan adalah bulan rahmat (kasih sayang) Tuhan turun mencurah-curah. Rugilah jika kita membiarkannya turun tidak ditakung. Sama seperti hujan, jika tidak ditakung, ia akan mengalir ke tempat lain yang lebih memerlukan. Allah kasih kepada hamba-Nya dengan memberi peluang merebut pahala berganda-ganda. Tawaran yang  hanya ada dalam bulan mulia ini. Jika Allah kasih, mengapa tidak kita membalas kasih tersebut? Jika Allah memberi peluang dengan merantai semua syaitan, menutup pintu neraka dan membuka pintu-pintu syurga, mengapa kita tidak merebut peluang tersebut? Ruginya…

Buktikanlah cinta kita semua kepada Tuhan Yang Mencipta kita dengan sempurna. Berpuasa dengan jujur tak kiralah di hadapan khalayak atau ketika sendirian. Berpuasa dengan niat paling ikhlas yang pernah kita lafazkan. Berpuasa dengan harapan yang paling tinggi terhadap iman diri sendiri. Kita tak perlukan orang lain untuk menilai. Kita hanya perlukan kejujuran diri sendiri semata-mata. Siapa tahu apa niat sebenar kita berpuasa? Siapa tahu apa yang kita mahu di sebalik puasa ini? Hanya diri kita dan Allah sahaja yang tahu.

Buktikanlah cinta melalui kesan puasa selama sebulan ini, sebaik sahaja fajar Syawal menjelma. Jika sewaktu Ramadhan kita rajin mengaji sampai dapat khatam pada hujung bulan, masihkah amalan sama kita praktikkan di luar Ramadhan? Jika sewaktu Ramadhan kita ada masa untuk makan berjemaah dengan ahli keluarga, masihkah keadaan sama, berlaku selepas Ramadhan? Jika sewaktu Ramadhan kita sangat rajin berulang ke masjid, apakah masjid masih lagi dekat selepas bulan tersebut? Jika sewaktu Ramadhan, Allah sungguh dekat di hati, apakah selepas Ramadhan kita masih menjadikan Allah itu dekat di hati dan matlamat hidup yang terutama?

Itulah cara membuktikan cinta pada Yang Maha Esa. 

Pada bulan Ramadhan, semua orang automatik jadi baik. Nak buat jahat pun sorok-sorok. Tudung yang sudah jauh terperosok dalam gerobok pun digeledah sampai dapat. Tapi, apa jadi sebaik Syawal tiba? 

Semua kita…walaupun tidak sempurna tetapi sangat dituntut untuk menuju kesempurnaan. Jika setiap saat mulut mengucapkan, “apa nak buat, manusia tu kan lemah dan selalu buat silap,” sampai bila baru orang Islam akan maju?

Tak perlu riyak ketika beribadah dalam bulan Ramadhan. Buat-buat rajin pergi masjid atau menunjuk-nunjuk waktu bersedekah hanya akan mengundang pujian manusia yang bersifat sementara. Apa yang penting adalah penilaian Allah Yang Maha Mengetahui lintasan hati kita. Jadi, setakat hari ini, di manakah tahap cinta kita semua???

 

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: