Dimensi Israk dan Mikraj

 

Begitu cepat masa berlalu, Israk dan Mikraj datang lagi. Mengingatkan kita tentang peristiwa besar yang berlaku dalam kehidupan Junjungan Mulia, Muhammad s.a.w.

Sejak kecil saya sudah mempelajari peristiwa sejarah ini. Dahulu, saya hanya dengar dan ingat. Saya diajar untuk percaya. Iktibarnya, saya masih kurang faham. Apa yang saya dengar, ingat dan percaya itu, saya pegang hingga ke saat ini. Alhamdulillah, semakin matang usia, saya semakin mendalami iktibar yang ingin disampaikan oleh peristiwa besar tersebut.

Aneh sekali, anak-anak pada hari ini ramai yang tidak tahu apa itu Israk dan Mikraj. Malah, apabila diceritakan Nabi menunggang buraq, mereka tercengang. Apabila diceritakan seketul batu mahu ikut Nabi naik ke langit, lagilah mereka sukar untuk percaya.

Ayah ibu, terapkanlah dalam jiwa anak-anak kita bahawa kenabian ialah perkara spiritual yang wajib kita percaya. Memang kita tak mampu hendak membayangkannya, apatah lagi Nabi sudah wafat lebih 1400 tahun yang lalu. Namun, perkara sam’iyyat seperti inilah yang membezakan kekuatan iman kita dengan penganut agama lain.

Bayangkan sahaja, pada masa Nabi masih hidup lagi, ada golongan yang tidak mahu percaya bahawa Nabi s.a.w boleh naik ke langit dalam masa satu malam sahaja. Ini perkara sam’iyyat, ini perkara yang berkait dengan iman. Memang tak dapat disentuh atau dilihat, tetapi dapat dirasa. Pabila al-Quran menyatakannya sebagai BENAR, maka janganlah terlalu banyak bertanya. Terima dan percaya, itu sudah memadai.

 Dalam perjalanan yang agung ini, Nabi  melihat ramai ahli syurga terdiri daripada orang miskin, manakala ramai ahli neraka terdiri daripada wanita. Masya-Allah…jatuh air mata memikirkannya. Jika pun ramai wanita, janganlah kita atau ahli keluarga kita menjadi sebahagian daripadanya. Itulah yang sedang kita usahakan sepanjang hidup ini.

Jangan singgah lama atas dunia hanya untuk jadi penghuni neraka. Dunia dan segala nikmatnya memang mengasyikkan. Yang tiada mahu diadakan. Yang tidak mampu, bekerja sekuat mungkin untuk mendapatkan kehidupan yang mewah dan berada. Dalam usaha tersebut, janganlah sampai tersasar ke simpang yang terlarang. Ingatlah selalu bahawa jalan yang lurus tak semestinya berakhir dengan indah. Dan jangan pula beranggapan jalan beronak duri akan berakhir dengan gaung yang dalam. Siapa tahu, di hujung onak durilah ada syurga. Itu yang dipesan oleh Nabi kita.

Jalan ke neraka penuh dengan kenikmatan dan hawa nafsu. Jadi, berwaspadalah. Apa-apa sahaja kelebihan yang ada pada diri, sandarkanlah kepada Ilahi supaya tidak menjadi riyak atau istidraj. Allah s.w.t memberi  nikmat, harta, kebijaksanaan dan kecantikan kepada semua manusia tetapi Allah s.w.t tidak mengurniakan rahmat-Nya kepada sebarang manusia. Hanya untuk yang terpilih sahaja. Jadi, jangan terlalu alpa jika diri lebih daripada orang lain. Barangkali itu ujian semata-mata.

Ambillah inti daripada peristiwa sebesar Israk dan Mikraj. Kita diharuskan menghibur hati dengan membuat perjalanan yang berfaedah jika hati gundah. Kita boleh menjadikan solat sebagai penguat semangat jika dilanda masalah. Kita boleh menjadi wanita terhebat jika mahu mengambil iktibar daripada seksaan terhadap wanita, yang ditunjukkan kepada Nabi dalam peristiwa tersebut.

Hanya saja, jika hati terlalu keras, Israk dan Mikraj akan tinggal menjadi sejarah. Wanita tetap dengan nalurinya hendak melawa, memikat dan menyusahkan suami. Tak guna Nabi menangis untuk umatnya jika umatnya sendiri tidak mahu menyelamatkan diri mereka sendiri.

Jika tiada peristiwa Israk dan Mikraj, wanita tiada panduan bagaimana untuk mengelakkan seksaan azab neraka yang pedih. Sesungguhnya, kita boleh mengelak. Manfaatkanlah peristiwa besar ini untuk membentuk keperibadian yang besar dalam diri kita. Jangan hanya menjadikannya bahan sejarah yang diceritakan setahun sekali.

Sematkanlah iktibarnya dalam hati, setiap detik setiap masa. Insya-Allah dengan itu kita akan merasakan sunnah Nabi sentiasa hidup dalam jiwa kita. Insya-Allah dengan itu kita akan sentiasa berwaspada setiap kali mahu melangkah. Ingatlah, wanita adalah pendorong semangat yang paling kuat melalui peranannya sebagai ibu dan isteri. Jangan pula menjadi penyebab ketua keluarga diazab dalam neraka.

Perbetulkan niatmu, tundukkan pandanganmu, berhiaslah secara sederhana sahaja. Yang berhak terhadap dirimu ialah Allah, Rasul, suami dan ahli keluargamu sahaja. Jangan dengan sukarelah kau mencampakkan dirimu ke lembah kehancuran.

Jadilah qurrata ain sepanjang zaman…

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: