Dengarlah Kata-kata Guru…

 

Apa yang saya katakan ini, mewakili guru-guru sekolah rendah…tentang cabaran guru sekolah rendah untuk membentuk rebung menjadi buluh yang berguna. Buluh yang bukan hanya menakutkan ular,  dijadikan lemang, ataupun tabung, malah lebih daripada itu. Apa yang saya katakan ini, tidaklah menafikan peranan guru-guru prasekolah kerana mereka juga penting, kerana menjadi orang pertama mengenalkan anak-anak kita kepada ilmu (jika ibu bapa tak pernah hirau untuk mengenalkan anak-anak mereka dengan sebarang ilmu berguna pada usia rebung…)

Menjadi guru yang mengajar sekolah rendah memang mencabar, terutama sekali jika mengajar murid-murid Tahun Satu. Pada tahap ini, hanya kecekalan hati dan kesabaran guru sahajalah yang mampu jadi pengubat. Jika tidak sabar, jika tidak cekal, tentulah sangat sukar hendak mengajar murid-murid yang tiada asas tentang a.b.c…1,2,3…alif, ba, ta.

Aneh, kan? Masih adakah murid-murid millenium ini yang tak kenal huruf-huruf dan abjad? Jawapannya ya. Memang ada dan jumlahnya bukan sedikit. Saya sendiri tak faham, apakah murid-murid ini tak belajar apa-apa di tadika/prasekolah, tidak  masuk tadika/prasekolah atau ada alasan lain?

Ataupun ada ibu bapa yang memasang niat bahawa guru-guru sekolah rendah nantilah yang bertanggungjawab mengajar  anak mereka segala-galanya? Tidakkah mereka membantu di rumah walaupun sedikit?

Hendaklah difahami bahawa senario pendidikan hari ini tidaklah sama seperti pendidikan pada zaman 80-an, di mana anak-anak mula mengenal a,b,c pada hari pertama sekolah rendah. Pendidikan hari ini menuntut anak-anak tersebut sekurang-kurangnya sudah boleh membaca ketika mendaftar Tahun Satu. Bukannya baru hendak kenal huruf. Jika Tahun Satu baru nak kenal huruf, bila baru anak-anak ini akan pandai membaca?

Ibu bapa biasanya mahu anak mereka dilayan seperti raja di sekolah. Ataupun lebih tepat lagi, guru menjadi  bibik secara percuma. Lebih teruk lagi,  semua kerja kotor yang bibik buat di rumah, itulah yang wajib guru buat di sekolah. Jika di rumah bibik boleh beri perhatian 25 jam kepada anak mereka, itulah yang mereka mahu guru lakukan.

Sedangkan mereka tidak faham suasana yang ada di sekolah. Seorang guru (guru kelas umpamanya) ada 40 orang murid untuk dijaga. Memanglah guru hendak menjaga murid-muridnya sehabis baik (lebih baik daripada menjaga anak sendiri) tapi guru juga manusia yang ada had tenaga, had perhatian, had kesabaran dan sebagainya. Ada kalanya guru terlupa atau terleka. Bukan sengaja tetapi oleh kerana penat dengan urusan perkeranian menyebabkan perhatian  guru untuk SEMUA muridnya agak berkurangan.

Pernah suatu ketika, pihak sekolah dimarahi kerana ada seorang murid demam dan tidak disedari oleh guru kelasnya. Ibunya marah kerana kononnya guru tak ambil berat. Bayangkan, siapa yang tak ambil berat sebenarnya? Guru atau ibu murid ini? Kemudian marah sekolah lagi kerana tidak membawa anaknya ke klinik. Eh?

Ada pula masalah lain di mana ibu bapa memarahi pihak sekolah kerana menghantar anak mereka ke klinik tanpa memberitahu mereka lebih dahulu. Jadi, mana satu tindakan sekolah yang betul? Ataupun, tiada satupun yang betul?

Hakikatnya, ibu bapa mestilah bertolak-ansur. Hantar anak ke sekolah untuk dididik, dan diajar. Sekolah bukan nurseri. Sekolah tempat menjana akhlak mulia, bukan tempat ibu bapa melepas marah. Jika ada masalah, selidiklah dahulu berbanding terus menyalahkan guru atau pihak sekolah. Barangkali anak-anak kita yang salah, barangkali sekolah yang salah. Jadi, tolak ansur itu penting.

Harus diingati, adakalanya tingkahlaku anak-anak kita berbeza. Dan adakalanya guru lebih kenal anak-anak kita, berbanding kita, ibu bapanya sendiri. Janganlah hairan jika di sekolah, ada murid yang nakalnya tidak terbanding. Bila dilaporkan, ibu bapa melenting kononnya anak mereka pendiam dan baik sahaja di rumah. Sekolah dan rumah berbeza. Jadi janganlah pelik jika ada murid yang boleh bercerita tentang kepincangan keluarganya kepada guru tanpa dipinta. Dia sendiri yang tarik kerusi, duduk dekat  dengan cikgu, kemudian mula berlipur-lara.

Sebab itulah kita perlu selidik. Jangan terus marah guru, atau jangan terus marah anak.

Kenapa saya menyokong guru? Adakah kerana saya juga guru? Adakah kerana saya cari makan dengan kerjaya guru?

Ya, jawapan saya: ya untuk semua soalan di atas. Lebih daripada itu, saya menyanjung institusi pendidikan sebagai sebuah gedung yang mulia. Pada saya, jika ibu bapa sengaja mencari masalah dengan sekolah, sebenarnya ibu bapa itulah yang bermasalah. Saya sangat menyanjung guru kerana melalui gurulah manusia menjadi hebat seperti apa yang anda jadi hari ini. Percayalah, tiada seorang pun manusia jahat akan mengaku kejahatannya itu berpunca daripada guru. Tetapi berapa ramai yang mengaku mereka jadi jahat berpunca daripada ibu bapa, contohnya ibu/bapa yang tidak mengamalkan agama, bapa tidak bekerja, ibu terlalu mementingkan kerjaya, bapa pemabuk, ibu kuat berleter, ibu itu, bapa ini….

Saya memang cari  makan melalui kerjaya ini. Tapi bukan sekadar cari makan. Guru adalah profesyen dan kerjaya. Dengannya saya mencipta kejayaan dan dengannya hati saya terdidik ke arah kebaikan. Cari makan hanyalah perkara fizikal tapi yang lebih penting adalah aspek spiritualnya. Saya rasa bahagia setiapkali melihat murid-murid mendengar saya bercerita kisah sirah. Saya rasa tenang melihat mereka senyum dan ketawa. Lebih bahagia jika mereka sudi memahami apa yang saya ajar.

Jika saya katakan guru sangat banyak mengeluarkan duit sendiri untuk murid-muridnya, tentu ramai rakan guru lain yang setuju. Bayangkan kelas mesti bersih, cantik, ceria dan sebagainya tetapi fikirlah sendiri caranya sebab peruntukan untuk menghias kelas tidak disediakan. Setiap tahun sekolah wajib buat program HEM, Kokurikulum, Panitia dan sebagainya, yang jumlahnya melebihi 10 tetapi….fikirlah sendiri caranya asalkan program dijalankan dan mesti hantar laporan.

Masyarakat begitu mudah menuding jari bahawa guru golongan yang tak tahu bersyukur. Cubalah masuk ke dalam bidang ini barulah tahu sebenarnya siapa yang lebih bersyukur?

Jangan terkejut pula jika “MEMANG ADA RAMAI  IBU BAPA  SUKA HARI PERSEKOLAHAN SEBAB ANAK-ANAK TIADA DI RUMAH. MEREKA AKAN RASA RIMAS JIKA CUTI SEKOLAH BERMULA KERANA  TAK SUKA ANAK  ADA DI RUMAH…”

Jangan rasa pelik jika “PIHAK YANG SUKA SAMAN SEKOLAH BIASANYA MEMPUNYAI ANAK-ANAK YANG BERMASALAH. MEREKA TAK MAHU MENGAKUI KENAKALAN ANAK SENDIRI SEBALIKNYA LEBIH SUKA MENYALAHKAN PIHAK SEKOLAH”

Guru-guru sebenarnya tahu, “MURID-MURID YANG BAGUS, BIASANYA IBU BAPA MEREKA  TAHU MENGHARGAI JASA SEKOLAH TERHADAP ANAK-ANAK MEREKA”

Apa yang guru mahu, “TAK SEMESTINYA MURID TERSEBUT PANDAI KERANA KEPANDAIAN BOLEH DIAJAR DI SEKOLAH. YANG PENTING MURID BERAKHLAK MULIA”

Pada pendapat saya, semua guru mahu menabur bakti yang terbaik kepada murid-murid yang diajar. Pada pendapat saya lagi, lebih baik ibu bapa berganding bahu membantu pihak sekolah, demi kebaikan anak mereka juga, berbanding mencipta kesalahan pihak sekolah  secara sembrono. Sebenarnya, banyak kesan buruk akan dirasai oleh anak jika ibu bapanya terdiri daripada manusia yang ‘sering tak puas hati tentang sekolah’.

Mulai tahun 2011 ini, pendidikan sekolah rendah sudah berubah. Silibus baharu. P&P yang pada zaman KBSR adalah Pengajaran & Pembelajaran, kini sudah bertukar menjadi Pembelajaran dan Pengajaran. Maksudnya: guru hanya pemudah cara dan murid harus meneroka sendiri ilmu yang mereka hendak pelajari. Dengan silibus baru ini, lebih-lebih lagilah pihak sekolah mengharapkan kerjasama daripada ibu bapa.  Ibu bapa perlu memantau anak-anak di rumah. Ibu bapa perlu membantu anak-anak mereka menyiapkan kerja kursus. Anak-anak akan dinilai dengan kerap mengikut standard baru ini, sekurang-kurang sekali sebulan bagi setiap subjek. Jadi, jangan lagi sesuka hati mengatakan tugas mengajar terletak di bahu guru semata-mata.

Lagipun, tugas mengajar anak-anak secara teorinya harus bermula di rumah, betul, kan?  Anak-anak mula belajar mengaji di rumah, mula belajar solat di rumah, mula mengenal dunianya di rumah…

Walau dunia berubah moden bagaimana sekalipun, keberkatan guru tetap tidak hilang…jadi, berdoalah semoga anak-anak kita dipayungi keberkatan guru-guru mereka. Bagaimana cara nak dapatkan keberkatan guru?

Anda kan golongan korporat, profesional, berpendidikan….tak kan tak tahu caranya???

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: