Meminjam Kekasih Dari Ilahi

 

Pernahkah anda kehilangan orang tersayang? Tak kiralah ibu bapa, adik-beradik, saudara-mara, sahabat yang paling rapat, anak-anak malah pasangan sendiri.

Kehilangan orang tersayang sesungguhnya sangat memilukan. Namun itulah suratan Ilahi. Susunan takdir Ilahi berlaku sesudah perancangannya ditentukan sejak azali lagi. Kita tidak berhak membantah atau menghalang. Setiap yang hidup ada ajalnya (tempoh masa) dan pasti merasai mati. Begitu juga dengan orang yang kita sayangi.

Pemergian orang tersayang, sama ada secara terancang (sakit yang lama, terlantar dsb) atau tidak terduga (kemalangan, mati bersalin, serangan jantung dsb) memberikan impak berbeza. Seorang kawan pernah bercerita tentang sejarah silamnya menjaga suami selama berbelas-belas tahun kerana penyakit kanser. Dalam tempoh itu, dia mempelajari banyak perkara terutama sekali tentang kesabaran dan persediaan. Disebabkan terlalu lama sakit, jadi dia berserah kepada Tuhan tentang apa sahaja yang terbaik untuk suaminya itu. Akhir sekali, suaminya kembali ke rahmatullah. Dia redha kerana sudah bersedia.

Apa pula kesan orang yang menghadapi kematian orang tersayang secara tiba-tiba? Pagi tadi orang tersayang itu duduk bersama-sama untuk bersarapan. Tetapi pada waktu petang hari yang sama, orang tersayang sedang diusung dalam keranda. Tidakkah kesedihannya berbeza? Malam tadi kita melihat orang tersayang senyum dan ketawa, pagi ini orang tersayang terbujur kaku tanpa suara. Tanyalah pada sesiapa sahaja yang pernah mengalaminya, tentu sekali kesedihannya berbeza malah lebih lama dan lebih terasa.

Bagaimana sekalipun, orang kesayangan kita adalah pinjaman semata-mata. Kita hanya meminjam daripada Allah s.w.t untuk suatu tempoh yang tidak lama. Sampai masanya, Allah s.w.t akan mengambil semula apa yang dipinjamkan kepada kita. Tak kiralah orang itu pasangan kita sekalipun, sama ada yang memberi nafkah kepada kita ataupun yang memberikan kita zuriat. Sama ada orang itu kita anggap sebagai soulmate atau kekasih selama-lamanya. Alam dunia ini tidak kekal, begitu jugalah dengan kekasih yang dipinjamkan kepada kita.

Apa-apapun, pada pendapat saya, jika kehilangan orang tersayang, kita berhak mengenangnya untuk beberapa tempoh yang kita suka. Dan sepatutnya tempat itu tidak diganti dengan cepat. Apa salahnya kita mengenang orang tersayang yang begitu banyak berjasa kepada kita…ingatlah bahawa Nabi kita juga menangis ketika kematian anaknya Ibrahim. Dan baginda terus mengenang, menyebut dan menghormati sahabat-sahabat Khadijah meskipun selepas lama Khadijah meninggalkan dunia fana, hingga Aisyah berasa cemburu. Nabi mengenang Khadijah atas pengorbanannya membantu dakwah Islam. Nabi juga mengenang Khadijah kerana Khadijahlah isteri baginda yang berupaya memberikan baginda zuriat.

Apa-apapun, orang tersayang yang telah pergi  sudah menemui hasil amalannya ketika di dunia. Pemergian mereka pula adalah ujian kesabaran buat kita yang ditinggalkan. Kesabaran itu sukar tetapi buahnya manis.

Firman Allah s.w.t:

Dialah yang mentakdirkan adanya mati dan hidup untuk menguji kamu;siapakah antara kamu yang lebih baik amalannya; dan Dia Maha Berkuasa membalas amalan kamu, lagi Maha Pengampun bagi orang yang bertaubat. (Al-Mulk:2)

Firman-Nya lagi:

Dan sesungguhnya kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut dan kelaparan dan kekurangan dari harta-benda, jiwa dan tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. (Al-Baqarah:155)

Jadi, redhalah dengan apa yang berlaku. Tempat mereka boleh sama ada hendak diganti atau tidak diganti selama-lamanya…

Pada malam yang barakah ini, hadiahilah mereka ayat-ayat suci al-Quran supaya mereka tidak ternanti-nanti, dan semogalah pusara mereka akan bercahaya hingga ke hari kiamat…

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: