Bantulah Pasangan Mendapatkan Hidayahnya…

 

Ramai orang percaya bahawa jodoh itu di tangan Tuhan. Bila mendapat jodoh yang cantik, kacak, baik, kaya dan sebagainya…lupa nak berterima kasih kepada Tuhan. Tetapi bila ada masalah dalam perkahwinan, barulah ingat kepada Tuhan. Sehingga ada yang berani menuduh masalah itu berpunca daripada ‘jodoh di tangan Tuhan.

Ramai yang tidak sedar; tindakan, perbuatan, tingkah laku, lintasan hati, matlamat dan keputusan kitalah yang membawa kita kepada jodoh yang sudah kita nikahi itu. Contohnya peniaga pasar malam yang berniaga dengan niat hendak meningkatkan ekonomi diri, sambil berniaga sambil cari pasangan hidup, maka tidak lama selepas itulah ada lah insiden yang membawa kepada pertemuan dengan bakal pasangan hidup.

Pelajar IPT yang pernah terlintas di hatinya untuk mendapatkan ijazah dan cinta pastilah akan sentiasa membuka hatinya untuk mengintai-intai pelajar berlainan jantina. Kebetulan pula orang diminati itu satu persatuan pula. Mula-mula berkawan kemudian berputiklah cinta.

Seorang lelaki yang membuat keputusan supaya ibunya yang mencarikannya jodoh, tentulah akan menerima sahaja siapa jodoh yang ditemui ibunya tanpa banyak soal tanya. Kadang-kadang tak kisah langsung tentang peribadi, perwatakan dan kelulusan bakal pasangannya. Sebab dia sudah buat keputusan:ibu yang carikan jodoh aku (tanpa meletakkan apa-apa syarat…)

Melalui berbagai-bagai faktor itulah Allah menghantar jodoh kepada kita. Ada kalanya seseorang itu sangat berkira tentang ciri-ciri pasangan yang ingin dikahwini, contohnya apa yang digariskan oleh agama kita: keturunan, harta, kecantikan dan pengetahuannya dalam agama. Walau bagaimanapun, lebih banyak yang hanya menilai 3 ciri sahaja. Pengetahuan tentang agama sering diletak jauh-jauh.

Pabila sudah berkahwin, barulah tahu akibat tidak memilih pasangan yang mendalam ilmu agamanya…sudah terlambat untuk berpatah-balik. Pasangan anda mungkin hanya sekufu dari segi keturunan, kekayaan dan keelokan rupa paras. Bagaimana pula dengan keislamannya?

Memang sudah hendak didik pasangan sendiri. Lebih susah daripada melentur buluh. Bukan hanya patah, tetapi…

Hidayah sememangnya ada di tangan Tuhan. Tetapi kita boleh merintis jalan untuk mendapatkannya. Mengetahui bahawa rupa-rupanya pasangan anda seorang yang jahil tentang agamanya sesudah bernikah memang menyedihkan. Apatah lagi jika suami jahil, isteri faham tentang Islam. Susah hendak menegur suami, berat untuk melentur suami. Disebabkan egonya sebagai ketua rumah tangga. Jika isteri berkasar, bimbang perkara buruk pula akan berlaku.

Jika berada dalam situasi ini (saya percaya ramai isteri menghadapi dilema ini), isteri janganlah terlalu banyak menangis atau putus asa atau berkeluh kesah atau mengeluh. Suami memang sukar untuk diubah tapi percayalah, jika anda berusaha, kekerasan suami nescaya dapat dilenturkan jua…dengan kehendak Allah s.w.t.

Apa kata hadiahkan kain pelekat atau sejadah mahal pada hari istimewa (hari lahir, hari bapa, ulang tahun perkahwinan dsb) daripada menghadiahkan jam tangan, minyak wangi atau dompet berjenama. Semua harta keduniaan yang mahal ini, pabila rosak akan dibuang juga. Sedangkan kain pelekat atau sejadah, begitu jarang kita melihat orang sanggup membuangnya.

Bukan hendak menyindir suami, tetapi memberi hadiah tersebut pada hari istimewa tentulah akan dihargai. Ketika itu hati suami sedang berbunga-bunga, tentulah dia gembira menerima apa sahaja hadiah yang diberi oleh isterinya.

Kemudian, ajaklah anak-anak mengaji bersama-sama. Jika semua anak duduk dalam bulatan untuk mengaji bersama ibu mereka, tidakkah si bapa berasa malu kerana dia seorang sahaja yang tidak berada dalam bulatan tersebut?

Wahai isteri, memasaklah dengan hati yang ikhlas sambil bibir mengalunkan zikir atau asmaul husna. Mudah-mudahan melalui makanan itu suami akan tergerak hati untuk bersyukur lantas kembali kepada Tuhan yang sudah lama dilupakan.

Boleh juga membeli cd atau vcd nasyid dan alunan bacaan al-Quran. Pasang di dalam kereta atau di rumah, ketika suami ada. Buat sekali, jika hatinya tidak lembut, ulanglah lagi. Jika anda melakukan perkara yang sama setiap hari, insya-Allah suatu hari nanti anda akan terperanjat mendengar bibirnya sudah hafal nasyid Maheer Zain yang selalu anda perdengarkan itu!

Di hujung malam, ringankanlah diri untuk bangun bertahajud dan bermunajat. Suatu hari, suami akan terjaga hendak ke toilet ketika anda sedang berdoa dengan khusyuk. Agak-agak, hatinya akan lembut atau tidak? Jika aduan anda kepada Tuhan tentang suami anda itu tidak juga berjaya menyentuh hatinya, benarlah sebenarnya lelaki itu sudah lama mati…iaitu hatinya.

Jika suami pula mendapat isteri yang jahil agama, tolonglah, jangan biarkan perkara ini berpanjangan. Kerana isteri adalah ibu yang bakal mengandungkan zuriat anda. Bagaimana hendak mendapatkan zuriat solehah jika ibunya tidak solehah?

Apatah lagi suami sebagai ketua keluarga. Allah s.w.t. memberi amaran kepada kaum lelaki supaya menjaga diri dan ahli keluarganya daripada bakaran api neraka. Jika isteri tidak mengamalkan Islam kerana kejahilannya, maka suamilah yang wajib mendidik isteri. Ajar isteri tentang ilmu agama, bimbinglah isteri tentang akhlak Islam yang mulia.

Hak isteri yang menjadi tanggungjawab suami ialah nafkah batin. Nafkah batin ialah bimbingan tentang Islam. Maksudnya, orang pertama yang mesti membimbing isteri ialah suami, bukan tok guru di masjid. Tradisi yang menular dalam masyarakat kita kini ialah suami terlalu mudah membenarkan isteri belajar agama di luar rumah. Mengapa tidak suami sendiri yang  membimbing isteri? (Adakah suami juga jahil? Suami yang  jahil ilmu agama tak layak jadi ketua keluarga)

Maksudnya, nafkah batin yang lebih penting daripada seks adalah bimbingan ilmu agama. Seks hanyalah keperluan, bukan kewajipan. Jika seks menjadi kewajipan, maka tiada bezalah manusia dengan haiwan.

Untuk melembutkan isteri yang tidak suka kepada ajaran Islam, suami bolehlah bawa isteri membeli-belah di galeri pakaian dan tudung yang tumbuh dengan banyak akhir-akhir ini. Bagi suami yang kaya, tentu tiada masalah untuk membelanja isteri busana yang mahal. Pujilah isteri ketika kali pertama dia menyarung tudung di kepala. Cantiknya sayang abang kalau pakai tudung….inilah bakal bidadari abang di syurga nanti.

Jika isteri suka mengumpat, apa kata para suami turut menemani para isteri pada waktu petang. Dengan kehadiran lelaki, biasanya perempuan lebih kekok untuk mengata-ngata.

Ajarlah anak dan isteri mengaji. Itu lebih baik daripada membiarkan lelaki ajnabi mengajar isteri anda ataupun hanya mengharap sepenuhnya kepada guru di sekolah untuk mengajar anak-anak anda. Ajaklah mereka solat berjemaah sekurang-kurangnya sekali sehari. Bercakap dengan lembut dan bercerita kepada isteri tentang  sirah wanita-wanita solehah zaman silam juga boleh membawanya ke jalan hidayah.

Daripada menggantung frem ayat kursi, ayat seribu dinar, empat qul dalam rumah banglo anda itu, ada baiknya juga buat pertandingan sesama ahli keluarga tentang ayat-ayat tersebut. Siapa dah hafal ayat kursi? Siapa tahu ayat seribu dinar dalam surah apa? …itu lebih bermakna daripada membiarkan frem tersebut berhabuk di dinding. Dengan menghafal ayat-ayat itu, insya-Allah lebih mudahlah hidayah masuk ke dalam rumah.

Hidayah wajib dicari. Jangan tunggu ia datang sendiri. Jika  tidak berusaha mendapatkannya, ia tidak akan datang bergolek ke tangan anda. Allah sudah berjanji: setiap usaha pasti ada hasilnya. Sama seperti iman, hidayah wajib dicari. Sama seperti rezeki, hidayah wajib diusahakan!

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: