dinding pun ada telinga…

 

suami saya selalu nasihat: hidup kita ni perlulah sentiasa buat baik. kemudian, jangan pula mengharap orang membalas setiap kebaikan tersebut. dah memang buat baik itu tanggungjawab kita. terpulanglah sama ada orang nak balas baik, atau sebaliknya.

satu hal lagi: bila kita sudah buat baik, lupakanlah. jika kebaikan kita kena pada tempatnya, tentu akan dikenang jua. tetapi sebaliknya jika kita buat baik pada tempat yang salah (p/s: buat baikpun kena pilih tempat jugakah?), barangkali balasan yang patah balik kepada kita adalah sebaliknya.

pada suatu masa, saya tak dapat terima nasihat beliau. tetapi pabila saya pujuk hati (memakan masa bertahun-tahun juga nak pujuk hati sendiri), saya mula cool down. saya terima nasihat tersebut dan hadamkannya ke dalam perjalanan darah.

pada saya, setiap kebaikan hendaklah dibalas dengan kebaikan, betul kan? banyak yang saya perhati…kenapa orang tak mahu kenang budi? bak kata bidalan susu dibalas tuba. sepatutnya, bila kita diberi susu, balaslah dengan madu lebah (balasan yang lebih baik). ataupun jika tidak mampu, balaslah sekadarnya…jangan pula balas dengan benda yang lebih buruk.

pada saya, orang yang tak mahu (bukan tak tahu) kenang budi ini adalah manusia yang tak sedar diri. waktu susah, dia dibantu kemudian pijak-pijak pula kepala orang yang membantunya. islam tidak ajar seni muamalat yang rendah begini. islam mengajar umatnya mengenang budi dan meraikan jasa orang lain. al-Quran sentiasa mengingatkan kita bahawa kebaikan hendaklah dibalas dengan kebaikan yang seumpama dengannya. kita selalu memerlukan bantuan dairpada orang lain. selagi hidup, selagi itulah kita memerlukan orang lain. dan ingatlah  selalu bahawa biasanya nikmat yang kita kecapi setiap hari ini, biasanya disampaikan allah melalui orang lain; tak semestinya berhasil dari usaha tangan kita semata-mata.

sejak kecil saya sudah dengar pepatah wall has ears ataupun peribahasa cakap siang pandang-pandang, cakap malam dengar-dengar. pepatah/peribahasa ini begitu rapat dengan budaya mengumpat dalam kalangan masyarakat kita. maksudnya, jika serendah manapun suara ketika mengumpat, perkara yang diumpat itu tetap akan diketahui oleh orang yang diumpat. kemudian, berlakulah pergaduhan atau selisih faham atau putus saudara. hal yang asalnya remeh boleh bertukar jadi berat dan besar.  akibat daripada perangai mengumpat itulah!

adakah dinding benar-benar ada telinga?

suatu hari, saya mengunjungi sebuah saloon. saya berada di situ selama sejam. beberapa minit sebelum selesai, saya terdengar suara seorang pelanggan masuk ke dalam saloon tersebut. saya amat kenal suaranya. sebaik sahaja dia masuk ke dalam bilik di sebelah bilik saya, saya terus mendengar dia bertanya macam-macam tentang saya. dan soalannya itu bukan hanya ingin tahu, tetapi juga hendak korek rahsia, bernada sinis dan tidak hormat kepada yang lebih tua daripadanya.

patutkah saya memarahinya? dia tidak tahu yang saya ada di dalam bilik  sebelah. saya sangat terkilan tetapi cuma mampu bersabar. saya beristighfar. dia bukanlah orang lain kerana dialah yang selalu mencari saya jika ada masalah. tapi apa balasannya? tanpa kehadiran saya, rupa-rupanya dia tidak sedikitpun mahu mengenang bantuan yang pernah saya beri. meskipun tidak mampu membalas sebaik yang saya bantu, tidak bolehkah membalasnya dengan bantuan yang lebih mudah? kepada pekerja saloon, dia merisik hal saya dengan menyebut nama saya sahaja, tidak terselitpun sedikit panggilan hormat dengan menyebut ‘kak’ di awal nama saya.

mulai hari itu, rasa kasihan padanya agak terhakis. cepat-cepat saya teringat pesanan suami. dalam hati saya tertanya-tanya; mengapa ada jenis manusia yang ketika susah tak malu merayu meminta bantuan tetapi selepas itu cuma buat tak tahu? barangkali prinsip yang dipegang adalah ‘accept and forget’ sedangkan  saya pula  WAJIB mengamalkan ‘give and forget’. adilkah?

barangkali anda akan berkata: bukankah  Tuhan ciptakan manusia ini berbeza wataknya? kita tak boleh expect semua manusia mencapai KPI yang kita mahukan.

jawab saya: ya, Tuhan ciptakan manusia berbeza-beza. sebab itulah Tuhan bekalkan hati, akal, agama dan iman. manusia mesti bergantung kepada semua ini, barulah dia menjadi manusia yang sedar diuntung. jika tidak, sebab itulah berlambak-lambak manusia yang diberi kenikmatan dalam hidup  masih berani melawan Penciptanya sendiri. jika begitu perangainya dengan Tuhan, apatah tingkah lakunya sesama manusia…

pada saya, kebenaran akan terserlah jua. bukan hanya dinding yang ada telinga, tetapi memang sepasang telinga saya yang ada di sebalik dinding tersebut. mungkin saya membantu orang tak kena pada tempatnya. pada asalnya niat saya ikhlas. jika begini caranya orang menerima kebaikan saya, kepada Allah sahajalah saya serahkan segala perkara.

p/s: kepada orang yang suka mengumpat, mengumpatlah dengan suara yang lebih perlahan daripada sebelumnya. pastikan dinding di tepi anda tidak mendengar suara anda. pastikan juga Allah tidak mendengar umpatan anda…