Lebih Baik Tiada Anak?

 

Saya pernah mendengar orang berkata, “Lebih baik tak ada anak daripada ada anak, tapi tak soleh.” Hah? Boleh ke cakap macam tu?  Atas dasar apa orang tersebut cakap begitu, saya sendiri tak tahu. Telahan saya, mungkin kerana dia melihat ramai sangat remaja yang rosak zaman sekarang ni. Ataupun, dia belum pernah jumpa dengan ibu bapa yang benar-benar berjaya mendidik anak. (Bagaimana dengan ibu bapanya sendiri?) Jika begitu alasannya, bukankah ibu bapa itu bermula daripada pasangan suami-isteri? Bukankah dia juga termasuk dalam golongan tersebut? Kenapa hendak menyalahkan anak-anak jika ibu bapa sendiri yang ‘tidak mahu’ mendidik anak? …sedangkan anak-anak itu semuanya dilahirkan dalam keadaan fitrah. Ibu bapalah yang mencorakkan dirinya menjadi yahudi atau majusi. Jika anak-anak dididik mengikut jalan yang lurus, tentulah anak-anak itu masih tetap bersih sesuci fitrah mereka dilahirkan.

Ataupun, dia sendiri yang tidak mahu mengaku, dirinya itu yang gagal memberi zuriat? Mana tidaknya, berkahwin sudah lebih dari sekali. Namun anak yang dinanti, untuk menghias rumah tangga tetap tak kunjung tiba. Bila orang bertanya, sesedap jari telunjuk menuding ke arah isteri. Kononnya, kelemahan datang dari pihak isteri. Kasihan si isteri…jika harta dan kasih sayang dilimpah ruahkan seperti banjir sekalipun, tak ada maknanya jika tiada zuriat. Wajah boleh senyum, atau dipaksa tersenyum tetapi dalam hati? Allah sahajalah Yang Maha Mengetahui.

Jadi, jika kaum lelaki sudah tahu dirinya ada kelemahan, berusahalah. Jangan hanya isteri sahaja dipaksa  buat pemeriksaan. Bila dah terang-terang isteri tiada masalah, jelaslah masalah ‘itu’ berpunca daripada suami. Jadi, mengaku sajalah. Apa nak dimalukan jika itu takdir Ilahi. Tentu ada hikmah-Nya…

Daripada asyik menyalahkan orang itu, orang ini, orang sana, orang sini atas kelemahan sendiri, lebih baiklah berfikir…apa bekalan yang akan aku bawa ke dalam kubur nanti? Sebelum tiba hari kiamat, berapa lama aku akan reput hancur dalam kubur? Jika tanah kubur menjadi sempit, berbahang ketika musim kemarau dan berselut ketika hujan, adakah amalan yang boleh membantuku?

Bagi orang yang mempunyai anak, tentulah boleh senyum ketika meninggalkan dunia kerana, insya-Allah ada anak yang sentiasa mendoakan ayah bondanya. Mustahillah dalam lima orang anak, tiada satupun yang menjadi betul tak? Biasanya yang tak menjadi sorang saja, sedangkan yang menjadi empat orang lagi. Ibarat setandan kelapalah…jadi, jika ada anak, bolehlah kita bersandar harapan kepada mereka, mengharapkan doa mereka supaya kubur tidak menghimpit, supaya kubur menjadi salah satu taman daripada taman syurgawi yang luas, harum dan indah.

Nabi s.a.w  kan pernah meninggalkan sabdanya: Pabila mati anak Adam, terputuslah amalannya kecuali tiga: anak soleh (baik) yang mendoakannya, sedekah jariah dan ilmu yang dimanfaatkan (au kamaa qaal). Jadi, jika sudah lupus satu syarat, rebutlah 2 syarat yang masih berbaki…buatlah persediaan. Itu kan lebih baik daripada menyalahkan orang sana sini. Ataupun, peliharalah anak angkat. Lebih baik lagi, jika anak itu yatim. Teramat besar pahalanya…dan rahmat di sebalik mengasihi anak yatim tidak boleh dinafikan lagi. Manalah tahu, berkat memelihara anak angkat/anak yatim, Allah s.w.t mengubah takdir diri anda? Daripada ‘tidak mampu’ kemudian tiba-tiba saja jadi ‘mampu’? Biasanya begitulah yang berlaku dalam masyarakat kita…

Sebenarnya, tak perlu fikir  jauh sangat.Jika ada anak, adalah juga yang akan memelihara kita bila sakit atau sudah tua. Belum meninggal lagipun, kepentingan ‘ada’ anak itu sudah boleh dilihat. Waktu muda memanglah enjoy sebab tak perlu fikir tentang duit untuk beli pampers, susu, upah mengasuh, yuran sekolah, baju sekolah, komputer & telefon bimbit untuk anak dan segala. Duit dan harta melimpah-ruah boleh dihabiskan untuk bersukaria atau melancong. Bila dah tua? Tak akan terasa  sunyikah? bayangkanlah…tiada anak yang datang bertanya khabar apatah lagi riuh-rendah cucu-cicit yang keletah. Tentulah hari raya juga tidak semeriah  jiran sebelah rumah.

Saya bukannya mahu prejudis. Pada saya, tiada siapapun akan menghina jika seseorang itu sedar kekurangan yang ditakdirkan buat dirinya. Janji, mengaku dan insaf. Jangan menyalahkan orang lain. Perbuatan menyalahkan orang lain itulah yang menjatuhkan maruah anda hingga serendah-rendahnya. Saya ada ramai kawan yang sudah lama berkahwin dan masih belum dikurniai zuriat. Tetapi setahu saya, tidak pula mereka menyalahkan orang lain. Mereka masih lagi boleh bergaul dengan kawan-kawan, ikut program Hari Keluarga dan sebagainya. Ada juga yang menjadikan anak rakan-rakan sebagai anak angkat. Bukankah kehidupan begini lebih indah?

Pada pendapat saya, tiada ibu bapa yang mahu anak mereka bermasalah, tidak soleh atau gagal dalam hidup. Sebagai ibu bapa, tentu sekali mereka mahu mendidik anak-anak sebaik mungkin. Mereka sudah berusaha.  Cuma, apa yang akan berlaku di kemudian hari, tidak kita ketahui.  Kita hanya layak berusaha. Itulah pernan seorang hamba. Kita tidak layak untuk menentukan hasilnya. Allah jualah yang menentukan hikmah di sebalik segala yang terjadi. Maknanya, ibu bapa yang tidak berjaya membentuk anaknya menjadi soleh, itu dugaan Tuhan. Lelaki yang ditakdirkan tidak mampu menghasilkan zuriat, itu juga dugaan Tuhan. Jadi, insaflah.

Ada baiknya kita memandang kekurangan orang lain sebagai iktibar buat kita, barulah orang memandang kekurangan kita sebagai teladan buat diri mereka. Jika anda memandang kekurangan orang lain sebagai bahan untuk menjatuhkan mereka,  tahukah apa yang diperkatakan  orang tentang kekurangan anda pula? Orang Islam seperti sebuah bangunan, saling menguatkan antara satu sama lain, sama-sama menutup keaiban dan bantu-membantu ke arah kebaikan. Dengan itu, barulah umat kita akan gah semula…

Jagalah lidah yang satu. Jangan lidah yang hanya satu melebihi fungsi mata dan telinga yang ada dua. Mendengar dan memerhati lebih baik bagi manusia daripada bercakap perkara yang melukakan hati orang lain…wallaahu a’lam.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: