Erti Hidup

 

Suatu pagi, ketika saya bermalas-malas di dalam bilik kerja, saya mendapat panggilan telefon.

“Assalamu alaikum k. Su,” ucap saya. Dalam hati rasa teruja kerana sahabat saya yang seorang ini biasanya hanya akan menelefon jika ada perkara penting.

“Wa alaikumussalam. Ana kat mana ni?”

“Ana kat sekolah la, k. Su. Kenapa?”

“Ana balik pukul berapa?” tanya k. Su lagi. Soalan berbalas soalan pada saat soalan sebelumnya masih belum kami jawab. Biasalah, setiap kali kami berjumpa dalam talian atau di ruang nyata, terlalu banyak soalan hendak ditanya dan begitu banyak cerita hendak dikongsi. Bukan sekali tapi sudah berkali-kali kami berlaga kata, disebabkan terlalu banyak isu untuk dibincangkan.

“Macam biasa la, pukul 12:30.”

“Jom kita pergi lepak,” kata k. Su. Hah? Hati saya makin teruja. Inilah kali pertama! Kali pertama beliau mengajak saya keluar bersama. Terasa malu juga, sebabnya dia kakak sedangkan saya lebih muda. Sepatutnya sayalah yang mengajukan cadangan.

“Jom. Anapun ingat nak pergi IKEA lepas balik sekolah nanti. Nak merayau beli buku.”

“Okey.”

“Ana ambik k. Su kat sekolah tau. K. Su tunggulah.” Putus saya. Disebabkan jalan untuk pulang mesti melalui sekolah k. Su, jadi saya fikir lebih senang saya yang singgah mengambil k. Su. Biasapun begitu setiap kali kami keluar makan di kedai-kedai berdekatan. Lagipun, atas dasar kasih dan hormat, saya tak pernah kisah setiap kali menjemput dan menghantarnya selepas setiap kali bertemu janji.

Tengah haripun tiba.

Kami pergi ke Mutiara Damansara sebagaimana yang dijanjikan.

“Ha, pandai Ana bawak k. Su pergi kedai buku. K. Su memang nak beli bukupun. Buku tuisyen untuk petang ni,” saya senyum. Saya kagum. K. Su sebenarnya seorang guru yang sangat bagus. Bakatnya banyak, pengalamannya luas, ilmunya juga hebat. Jadi tak hairanlah jika banyak tuition centre berebut-brebut hendakkan khidmat beliau. Selain itu, k. Su juga banyak mengajar tuisyen di rumah murid-murid itu sendiri.

Sebelum sampai ke rak buku pelajaran, kami singgah di rak novel. Biasalah, perempuan memang begitu. Suka survey dulu sebelum sampai ke matlamat sebenar.

Saya sengaja meninjau novel-novel yang disusun megah di rak. Begitu juga dengan buku-buku agama. Maklumlah, saya tengah pening hendak mencipta judul untuk buku terbaru yang sedang berada di tangan editor. Skripnya sudah siap namun judulnya masih belum ada. Sebab itulah saya kena merayau di kedai buku. Sebab saya hendak mencari idea sambil melihat judul apa yang sudah ada dalam pasaran.

K. Su pula nampaknya begitu berminat membelek novel genre seram.

“Eh, best la buku ni.” Katanya sambil memegang sebuah novel. Kemudian jarinya meleret pula pada novel-novel yang lain.

“K. Su ada penulis tertentu yang k. Su minat. Novel seram ni pun sama. K. Su mula rasa minat dengan cara penulis tu, lepas tu barulah k. Su minat novelnya.”

“Ha, k. Su, ni pun seram jugak,” kata saya. Saya mengunjukkan sebuah novel bermuka depankan grafik ala-ala ‘gadis dalam cermin’. K. Su garu dagu. Di tangannya sudah ada dua buah novel seram tetapi nampaknya ada lagi novel seram yang menarik minatnya.

“K. Su nak try baca yang ni lah, mana tahu kot sedap,” cadang saya. Kami berlegar-legar di rak novel selama sejam. Banyak juga buku yang menarik. Bila ada teman begini, saya mulalah terpengaruh. Melihat k. Su pegang buku agama, sayapun nak beli buku agama juga. Akhirnya, sebelum sampai di rak buku pelajaran, tangan k. Su sudah penuh dengan novel dan buku agama. Agak banyak juga.

“Ana la ni…tengok, hari ni duit k. Su habis beli buku,” selorohnya.

“Tapi takpe, k. Su suka beli buku. Bulan ni biar habis duit beli buku lepas tu tunggu gaji dua bulan lagi baru beli buku pulak.”

“Bila ada buku kat rumah, sekurang-kurangnya anak-anak saudara boleh baca. Adik k. Su pun boleh baca…” saya maklum. K. Su wanita hebat. Wawasannya jauh. Di rumah, dialah ayah dan ibu kepada adik dan anak-anak saudaranya. Beliau terlalu banyak memikirkan kebaikan dan masa depan mereka.

“K. Su tengok ni, sedap la buku ni tapi tajuknya…” kata saya.

“Ana nak belilah buku ni. Tapi kalau nak baca kena balutlah kulitnya,” k. Su angguk.

“Ye ah. Nanti apa pulak kata orang yang tengok padahal buku ni positif,” akhirnya saya pegang terus buku tersebut. Saya mahu tahu dan saya mahu belajar. Pada saya, waktu melihat tajuknya sahaja, hati saya sudah berdetik dengan berkata: memang betul pun. Sebab itu saya ingin mendalami isi di dalamnya.

Dua jam di kedai buku, kami keluar dengan menjinjing plastik yang berat.

“K. Su punya berapa?” tanya saya.

“Ana?”

“RM132.”

“Oh, k. Su menang lagi,” balasnya sambil tersengih lebar. Serasa saya, k. Su beli lebih daripada 10 buah buku. Hati saya rasa lapang melihat wajah k. Su yang cerah. Alangkah seronoknya mendapat sahabat yang mempunyai minat yang sama. Dalam hal ini, minat membeli buku. Membacanya? Itu hal lain.

“Kita nak hantar  buku kat kereta dulu ke, atau nak terus jalan-jalan? Buku k. Su berat tu,”

“Memangpun. Ada dua ekor hantu dengan kayu balak ni. Berat sungguh,” gurau k. Su.

“Ha..ah la, memang berat. Dua ekor hantu dengan kayu balak,” balas saya merujuk kepada novel seram dan beberapa buku tebal lain yang begitu banyak dibeli oleh k. Su.

“Ana lapar dak?”

“K. Su? Kita nak makan kat mana?” Disebabkan kami tiada banyak masa, maka kami buat keputusan

K. Su memperkenalkan saya dengan Bread Story. Katanya, dia mula jatuh cinta dengan roti di kedai ini selepas diperkenalkan oleh ibu kepada salah seorang murid tuisyennya.

Memangpun, roti di kedai ini sedap dan unik. Sedap kerana krimnya tersendiri malah belum pernah saya temui di sekian banyak kedai roti yang lain. Unik kerana nama bagi setiap roti itu juga berbeza walaupun ada yang bentuknya sama dengan roti di kedai lain. Saya tersengih bila melihat roti yang bernama “C U Again” dengan bentuk bulan sabit. Kreatif, bisik hati saya.

Kami duduk sambil makan di kedai tersebut.

“Nak bungkus untuk anaklah. Ni ada satu je balance, kot balik nanti berebut pulak,” kata saya. Saya bangun untuk membeli. Tidak lama selepas itu, k. Su juga bangun.

“Nak tambah lagi,” katanya. Melalui ceritanya tentang Bread Story sebentar tadi, saya tahu yang k. Su memang sudah obsess dengan jenama ini.

Waktu kami beratur di kaunter bayaran (barisan agak panjang), saya melihat kerusi yang k. Su duduk tadi ditarik oleh seorang pelanggan. Darah saya menyirap.

“K. Su, tengok orang tu ambik kerusi k. Su,” adu saya. K. Su mencerlung wanita tersebut tapi malangnya wanita itu buat lagak selamba. Saya tahu perangai k. Su. Beliau bukanlah jenis yang suka marah-marah secara berdepan atau protes, walaupun dibuli. K. Su boleh menerima semua keadaan dengan tenang meskipun beliau layak buka mulut.

Kami tidak dapat berlama-lama di situ kerana kerusi k. Su sudah diambil orang.

“Orang tu tak faham ke? Barang ada banyak atas meja, air pun ada lagi mesti la meja tu ada orang. Kurang adab betullah,” akhirnya terluah juga rasa tak puas hati k. Su. Pendapat saya juga sama dengannya.

“Tak reti beradab. Ataupun kedai tu dia punya. Tak malu, kan?” tambah saya.

Begitulah. Bila manusia hanya pentingkan diri dan tidak mempedulikan langsung masyarakat di sekelilingnya. Baginya, erti hidup hanyalah memuaskan hati sendiri dan tidak perlu menghormati hak orang lain. Bagaimana agaknya jika saya atau k. Su pergi kepada wanita itu dan berkata, “Excuse me, awak ambil kerusi saya. Boleh pulangkan?”

Agaknya apa reaksi wanita itu?

Tiga jam berjumpa sangat sekejap rasanya. Saya perlu menghantar k. Su ke keretanya semula kerana beliau ada kelas tambahan setengah jam selepas itu. Tiga jam tidak memberi peluang untuk kami berkongsi banyak perkara. Masih banyak yang tersimpan tak sempat diluahkan. Biarlah ia tersimpan rapi sementara menunggu pertemuan seterusnya. Biar kami menyimpul rindu untuk dirungkai pada kesempatan yang lain pula…

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: