Cuit Sikit (iii)

 

Mengapa ya, manusia menjadi tamak haloba? Mengapa ya, manusia saling berhasad dengki untuk perkara yang tidak berkaitan dengan urusan agama? Mengapa ya, bila tiba bab kekayaan duniawi, manusia cepat hilang kewarasannya?

Nahas jika ada yang berani bertanya. Alamatnya nanti, berperanglah. Manusia suka sangta bersifat ujub. Gemar menimbunkan harta untuk kesenangan sementara. Kemudian berbangga-bangga dengannya. Sedangkan bersederhana itu jalan yang terbaik, berbanding membazir tak tentu hala. Bila ditegur, tingkahnya: suka hatilah aku mampu. Lagipun aku murah rezeki sebab Tuhan sayang aku.

Amboi, celuparnya! Kau murah rezeki tu, puncanya daripada siapa? Bukankah Tuhan yang memberikan engkau rezeki tersebut? Tak reti nak bersyukur pulak. Jika begitu cara anda menjawab teguran orang tentang kemewahan yang sedang kaukecap, berhati-hatilah. Duduklah menghadap kiblat sekejap, kemudian tanya diri sendiri. Ada sesuatu yang tak kena tentang cara engkau menjawab tadi.

Fikirkan begini. Di sekeliling kita hari ini, kita dapat lihat bangsa asing yang kaya-raya. Mereka mampu membeli rumah besar yang kebanyakannya orang Islam tak mampu. Mereka tidak pendang pun kenderaan  berjenama nasional kerana mereka mampu membeli kenderaan jenama import. Hanya tinggal bangsa kita sahaja yang mengagung-agungkan kenderaan nasional, kononnya sayangkan negara padahal tidak mampu membeli kereta berjenama import.

Sedangkan mereka orang kafir. Allah s.w.t. limpahkan lebih banyak rezeki kepada mereka, adakah kerana Tuhan sayang kepada mereka? Adakah kerana rezeki mereka murah, jadi mereka hidup mewah atas dunia? Jadi, andapun begitu?

Jangan tak tahu, Allah s.w.t boleh memberikan anda rezeki yang melimpah-ruah itu melalui istidraj-Nya. Anda syok sendiri dapat hidup mewah, sedangkan Dia memberimu rezeki itu beserta dengan kemurkaan-Nya.

Lainlah pula keadaannya jika anda menggunakan kemewahan yang dianugerahkan itu ke jalan yang baik. Umpamanya, bersedekah dan berzakat. Ingat ya, dalam kekayaan kita ada hak orang lain. Rezeki mereka yang didatangkan melalui harta kita. Sedekah juga begitu. Harta yang banyak bukan untuk dimegah-megahkan kerana hisabnya panjang di padang mahsyar nanti.

Berikan senyuman kepada orang miskin melalui sedekahmu. Percayalah, golongan itulah yang akan membantumu di akhirat nanti, melalui sedekahmu yang ikhlas. Bukannya kroni dan saudara-mara yang mennyokongmu atas dunia kerana engkau kaya. Di akhirat, kroni dan saudara-mara itulah yang akan menjadi sebab kau bersedih ketika amalanmu ditimbang. Nescaya engkau kesal kerana pernah mempunyai kroni dan saudara-mara yang tidak ikhlas seperti mereka. Kau akan berkata, lebih baik aku bergaul dengan orang miskin sepanjang hidupku daripada bergaul dengan mereka yang banyak menyusahkanmu pada hari ini. Sudahlah matahari terik atas kepala, hisabku pula panjang kerana harta, kroni dan saudara-mara yang tak tahu diuntung ini!

Jadi, bimbinglah hati untuk hidup secara sekadarnya. Ada rumah yang lengkap untuk membina bahagia bersama keluarga, ada kereta yang boleh menyampaikan tubuh kepada rezeki, ada sedikit harta sebagai bekalan ketika kecemasan.

Rumah sekecil 1300 kaki dipasang dua unit pendingin hawa? Untuk apa? Dengan satu unit, tak cukup sejuk lagi? Orang yang lalu-lalang pun akan tertanya-tanya, malah akan mengutuk pula. Membazir! Lebih baik bil api yang berlebihan itu digunakan untuk buat kebaikan lain. Mereka tak tahu, tuan rumah tersebut berasa bangga dapat mempamerkan kemampuannya. Dia ada duit, suka hatilah kan?

Hanya suami sahaja bekerja tetapi membeli dua buah kereta? Untuk apa? Dengan sebuah kereta, tak bolehkah mengabulkan semua keperluan harian? Masyarakat sekeliling akan berkata, oh, dapatlah isterinya keluar menghilangkan kebosanan sementara suami pergi bekerja. Jika betul, tak mengapa. Bagaimana jika isteri menggunakan kereta yang sebuah lagi itu untuk melakukan maksiat? Mereka tak tahu, tuan punya kereta sekadar nak menunjukkan kemampuannya membeli dua buah kereta. Hanya untuk suka-suka. Adik aku mampu, takkan aku abangnya tak mampu? Malulah.

Itu sebahagian senario manusia hidup berdasarkan kemahuan, bukan keperluan. Sedangkan dengan pembaziran itu, tidak pula iman mereka bertambah. Masjid terasa jauh walaupun ada dua kereta. Rumah masih panas walaupun sudah ada dua unit pendingin hawa. Itu tandanya manusia tak pernah puas. Tak akan pernah puas hinggalah ditanam dalam tanah nanti. Yang dikepit, dikendong, dijunjung, semua dah berat tapi masih hendak lagi. Kalau boleh nak heret pula. Itulah sifat manusia jika mahu lari dari fitrahnya.

Sedangkan fitrah sudah mengajar, jaga diri. Jaga diri daripada api neraka. Harta yang boleh menjerumuskan diri ke dalam neraka itu jugalah yang dikejar tak henti-henti. Masya-Allah…malulah sikit pada malaikat di kiri kanan bahumu. Semakin hari semakin kurang tugas malaikat raqib menulis pahala. Semakin hari semakin bertambah pula tugas malaikat atid mencatat dosa. Malulah kepada Allah s.w.t yang sudah menyediakan panduan hidup bersyariat buatmu tetapi kau sanggah tanpa rasa bersalah. Jika begitu, Tuhan juga tidak akan rasa bersalah membalas perbuatanmu dengan azab-Nya yang amat pedih.

Ada orang yang tidak takut diancam dengan neraka. Memanglah, sebab dia tak tahu dan belum pernah tengok neraka. Siapapun belum pernah tengok neraka kecuali Nabi Muhammad s.a.w sahaja. Selaklah lembaran sejarah. Bacalah sekurang-kurangnya tentang kisah nabi melihat neraka ketika Israk Mikraj. Hayatilah pada frasa…baginda menangis melihat umatnya diseksa dalam neraka. Nabi menangis untuk umatnya? Sedangkan kita umatnya bagai tidak tersentuh oleh kisah tersebut. Masih lagi hanyut dengan runtunan nafsu, masih lagi hanyut oleh bisikan syaitan yang direjam itu. Bila nafsu dan syaitan merajai itu, agak jauhlah tubuh badan daripada mengingati Tuhan. Sebab dalam hati sudah ada pemerintah yang lain, iaitu nafsu dan syaitan itulah!

Apa kata, say no kepada nafsu dan syaitan. Sudah tugas syaitan menghasut manusia hingga hari kiamat. Biarkan dia. Jangan kita pula menjadi sekutunya. Kita berhak memusuhi syaitan. Kita wajib memeranginya juga, kerana syaitanlah penyebab ayah bonda pertama kita, iaitu Adam dan Hawa terpaksa turun ke dunia. Jika tidak, kita yang bernama manusia ini enak-enak menikmati keindahan syurga sejak dahulukala lagi.

Nafsu bukan semuanya jahat. Ada yang baik tetapi malangnya manusia sering tewas pada nafsu yang jahat. Sebab itulah manusia turut menjadi jahat, kerana dirinya sudah ditunggangi nafsu yang jahat itu. manakala potensi nafsu baik ditolak ke tepi. Jadilah nafsu mutmainnah terpinggir dan dilupai…

Apa kata, kita jemput nafsu mutmainnah kembali pada diri. Kerana nafsu mutmainnah sangat dicintai oleh Allah s.w.t. Nafsu mutmainnah diiktiraf oleh-Nya sebagai hamba yang soleh dan layak memasuki syurga. Tidak menyesalkah terlepas peluang menjadi hamba yang soleh dan layak masuk syurga?

***sekadar peringatan bersama***

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: