FAKTA BIASA yang sering kita abaikan

 

Ketika saya mengumpulkan isi, hujah dan dalil untuk karya saya yang ke-13, saya menemui satu fakta menarik untuk dikongsi bersama. Barangkali fakta ini biasa sahaja bagi sesetengah orang, namun bagi saya, fakta biasa juga boleh diulang berkali-kali supaya ia sebati dalam diri. Fakta biasa, adalah tazkirah yang paling dekat dengan jiwa manusia. Fakta biasa, jika tidak diambil berat, lama-kelamaan akan dilupakan jua.

Oleh itu, biarlah fakta biasa sentiasa berlegar dalam minda sihat kita. Dalam masa yang sama, kita berusaha pula menggali fakta luar biasa untuk memperteguhkan iman dalam dada.

Fakta biasa ini berbunyi:

Setiap manusia pernah melalui ujian dalam hidup. Tak kiralah, ujian yang berbentuk kegembiraan mahupun kesedihan. Pernahkah kita terfikir, mengapa Allah s.w.t menguji kita? Adakah mentakdirkan sesuatu itu sia-sia? Tentu sekali tidak.

Hujahnya:

Saya pernah mendengar cerita, ada rakan-rakan yang tidak pernah bersedih. Hidupnya sentiasa bahagia, sentiasa beruntung, sentiasa bernasib baik. Mereka hanya ketawa sahaja sepanjang hidup. Nikmat sentiasa cukup malah melimpah-ruah. Jadi, pada mereka, mereka tidak pernah ditimpa ujian Tuhan. Benarkah? Jika tidak diuji, bagaimana pula Allah s.w.t mahu menilai keimanan setiap hamba-Nya?

Ada juga rakan-rakan yang sentiasa dirundung malang. Lepas satu, satu kesedihan menimpa. Baru hendak rasa senang sikit, datang pula musibah lain. Pendek kata, semua jenis musibah pernah dialami. Hingga hidupnya matang dengan makan musibah sahaja. Kemuncak segala musibah, mereka digelar pembawa sial. Masya-Allah…

Sesiapa sahaja boleh menuduh sembarangan tanpa mengetahui letak duduk perkara yang sebenar. Senang-senang pula menuduh  orang sebagai pembawa sial sedangkan orang yang dituduh itu sudah bekerja bermati-matian untuk meningkatkan taraf hidupnya. Jangan mudah menuduh orang sebagai pembawa sial kerana sesiapapun tak tahu, apa pula taraf orang yang dituduh itu di sisi Allah s.w.t.

Ulama zaman silam juga pernah dinista dengan segala tohmahan. Namun di sisi Tuhan, kedudukan mereka mulia. Jadi, jangan terlalu mudah menilai orang lain tanpa pertimbangan.

Berbalik kepada ujian Tuhan. Tak semestinya yang susah, miskin, sakit, hilang itu ini, dan rugi sahaja yang diuji. Bahkan sebenarnya, orang yang merasakan dirinya senang, bahagia, disayangi, kaya, luas rezeki, itulah orang yang paling diuji Tuhan.

Allah s.w.t mahu melihat apakah dengan kesenangan, kekayaan, kemewahan, kasih sayang melimpah-ruah sesama manusia dan hidup beruntung, manusia sedar dirinya lalu memperteguhkan keimanannya. Jika dengan semua kelebihan itu manusia semakin jauh dari Tuhan dan berani mendabik dada, yakinlah bahawa manusia itu telah gagal dalam ujian Tuhannya.

Maksudnya, kesenangan, kekayaan, kemewahan, kasih sayang melimpah-ruah sesama manusia dan hidup beruntung juga ujian daripada Allah s.w.t. Semua itu pinjaman semata-mata. Malah dalam kemewahan hidup mereka, ada hak tertentu untuk orang miskin. Jika tidak dikongsi (dengan membayar zakat atau memberi sedekah), lambat-laun Allah s.w.t akan  menarik nikmat kemewahan itu dengan pelbagai cara.

Wahai orang yang beruntung, sedarlah bahawa anda sedang diuji. Fikir-fikirkan bahawa, mustahillah hidup anda tak pernah susah langsung walaupun itu hakikatnya. Mengapa ya? Adakah kerana Allah s.w.t. menyayangimu atas dunia ini lantas dikurniakan segala macam kesenangan dan kegembiraan? Jika begitu, adakah Allah s.w.t juga menyayangi orang kafir kerana atas dunia ini mereka juga dikurniakan segala macam kesenangan dan kegembiraan? Bandingkan begitu sahaja. Anda akan sedar bahawa, nikmat atas dunia tak semestinya membuktikan keredhaan Ilahi. Lagipun, Allah s.w.t sudah berfirman:

Maksudnya: Dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan; dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan. (Surah Al-Anbiyak:35)

  Oleh itu, berwaspadalah bahawa, ujian Tuhan bukan hanya kesusahan. Kesenangan itu juga satu daripada bentuk ujian.

Jangan hanya menghukum orang yang susah sahaja sedang diuji Tuhan. Tahun lepas hilang pekerjaan, kemudian ibu/bapa meninggal dunia, kemudian anak sakit tenat, kemudian tak cukup wang belanja, kemudian dihalau dari rumah sewa. Macam-macam. Kebetulan berlaku pada orang yang sama pula. Masakan tidak orang akan menuduh, kan?

Hakikatnya tidak begitu.

Mengapa kita sering lihat, orang yang sama sahaja jatuh ditimpa tangga? Sedangkan jiran sebelah rumahnya tak pernah susah langsung?

Hakikatnya, Allah menguji mengikut kemampuan masing-masing. Jika seseorang itu tahan diuji dengan cara kesusahan, maka Allah s.w.t. akan mengujinya dengan kesusahan. Hasilnya bila selalu diuji, iman makin kental, peribadinya makin ampuh dan sikapnya semakin matang. Berbanding orang yang hidupnya senang-lenang, belum tentu dia mampu menghadapi walaupun sekecil-kecil kesukaran seperti lipas masuk dalam rumah. Habis  dihempas semua perabot hanya untuk membunuh seekor lipas kecil. Itulah perumpaan orang yang tidak matang. Masalah kecil sahaja, habis semua terlibat.

Awal-awal lagi Allah s.w.t menenangkan jiwa hamba-Nya dengan firman-Nya:

Maksudnya: Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Dia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan dia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya. (Surah Al-Baqarah:286)

 Jadi, selagi kita mampu menanggungnya, itulah ujian yang paling sesuai buat diri kita. Fikir dari sudut yang positif. Tolonglah, jangan sesekali menyalahkan apa sahaja yang berlaku, kerana walau betapa buruk di mata kita, kejadian itu tetap ada hikmahnya. Itulah cara orang yang beriman berfikir.

Mari kita bincangkan tentang mengapa Allah s.w.t suka menguji kita. Bahkan seluruh kehidupan kita atas dunia ini adalah ujian. Ahli keluarga adalah ujian bagi kita. Pasangan kita juga ujian buat kita. Pekerjaan, rakan sekerja, majikan malah pendapatan bulanan juga merupakan ujian buat kita. Apa yang Zat Pencipta mahu daripada ujian tersebut:

1. Dia mahu kita mengecap indahnya nikmat KESABARAN. Bukan semua orang mampu bersabar. Hanya orang terpilih sahaja yang boleh bersabar menghadapi segala yang berlaku dalam hidupnya. Sabar ketika susah, malah sabar ketika mendapat nikmat yang banyak.

2. Sebenarnya Allah s.w.t sentiasa dekat dengan hamba-hamba-Nya dalam apa-apa jua keadaan sekalipun.

3. Allah s.w.t mahu hamba-Nya pertama sekali mencari Tuhannya pabila ditimpa musibah seperti firman-Nya dalam hadis qudsi:

 Allah berfirman kepada malaikat-Nya: Pergilah kepada hamba-Ku lalu timpakanlah bermacam-macam ujian kepadanya kerana Aku mahu mendengar suaranya. (HR Tabrani dari Abu Umamah r.a.)

 4. Allah s.w.t meyakinkan bahawa kuasa doa itu sangat luar biasa, apatah lagi bagi orang yang teraniaya. Doanya tidak dihijab. Berdoalah untuk setiap keperluan dan bantuan kerana Dia sudah berfirman:

Maksudnya: Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku. Maka hendaklah mereka menyahut seruan-Ku (dengan mematuhi perintah-Ku), dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku supaya mereka menjadi baik serta betul. (Surah Al-Baqarah:186)

 5. Tujuan utama setiap ujian adalah untuk menguji amalan dan keimanan seseorang. Firman-Nya dalam Surah al-Mulk ayat 2:

 Maksudnya: Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) – untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Dia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat).

 6. Dapat mengetahui pergantungan manusia. Sebab selalunya, pabila senang, sedikit sahaja ingatan dan pergantungan manusia kepada Tuhannya. Namun adakala, ketika susah juga manusia tidak mahu bergantung pada Tuhannya.

7. Manusia tak habis-habis meminta-minta daripada tuhannya. Nikmat yang sudah cukup minta ditambahkan lagi, sedangkan dia tahu, nikmat yang terlalu banyak akan menyusahkannya ketika hisab di padang Mahsyar nanti.

8. Orang yang banyak diuji atas dunia merupakan orang yang beruntung pada hari mahsyar, apatah lagi jika dia bersabar menghadapi ujian tersebut. Orang yang sabar menghadapi ujian Tuhan akan berasa pendek masa yang dilalui di padang mahsyar nanti (Kata Imam Al-Ghazali dalam Kasyfu Ulumil Akhirah). Jadi, janganlah mengeluh jika selalu sangat bertemu dengan kesukaran dalam hidup. Kesan daripada ujian tersebut, kita beruntung di akhirat. Ketika orang lain sedang berpanas, kita sudah selesai dihisab.

9. Setiap ujian perlu dihadapi secara berbeza. Sebab itulah orang yang sentiasa diuji akan menjadi matang dengan cepat. Cara bertindak lebih baik daripada orang yang hidup senang-lenang. Cara berkomunikasi juga lebih bagus. Semua itu adalah kesan baik daripada mehnah yang pernah dilaluinya. Dalam setiap ujian, biasalah, sesuatu terpaksa dikorbankan. Tetapi, di sebalik pegorbanan itu, akan menjelma kebaikan yang tak ternilai.

10. Manusia yang berjaya dalam ujiannya merupakan manusia yang paling tenang. Ingat ya, ketenangan amat sukar dicapai. Perlu berusaha keras untuk mendapatkannya. Tetapi, ujian Tuhan merupakan fast track untuk mencapai ketenangan jiwa.

Bukankah semua ini fakta biasa sahaja? Yang sudah anda ketahui, yang pernah anda lalui, yang pernah anda pelajari?

Memang ia biasa sahaja. Namun ada kalanya kita terlupa. Terlupa untuk berpesan pada diri tentang perkara-perkara yang biasa-biasa seperti ini.

Belaian  Rohani

Pabila engkau memandang segalanya dari Tuhanmu,

Yang telah mencipta segala-galanya,

Yang menimpakan ujian,

Yang menjadikan hatimu sakit,

Yang membuat keinginanmu terhalang,

Serta menyusahkan hidupmu.

Pasti akan damailah hatimu,

Kerana, masakan Allah sengaja mentakdirkan semuanya,

Untuk sesuatu yang sia-sia.

Bukaan kerana Allah tidak tahu derita hidupmu,

Betapa retaknya hatimu,

Tetapi mungkin itulah yang Dia mahu,

Kerana Dia tahu,

Hati yang sebeginilah yang lebih lunak,

Dan mudah untuk akrab dan dekat dengan-Nya.

5 Responses

  1. Salam,

    Boleh tak kalau sy gunakan tulisan ini untuk diletakkan di blog sy?

    • silakan…
      mari kita berkongsi pendapat utk kebaikan bersama🙂

  2. Salam, minta izin utk share ye🙂

    • boleh…

  3. Salam..

    saya terkesan dengan artikel ini. saya mohon kebenaran untuk memasukkannya dalam blog saya . terima kasih..

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: