Mensyukuri Jasa Ibu

Bulan Mei, bulan yang penuh dengan sambutan. Hari ibu, Hari Belia, Hari Guru dan bonus: Hari Lahir bagi mereka yang turut lahir dalam bulan ini.
Saya ingin menyentuh tentang Hari Ibu. Setahu saya, hanya akhir-akhir ini sahaja negara kita mewar-warkan sambutan Hari Ibu. Bagus juga, sekurang-kurangnya, anak-anak yang tak pernah terfikir untuk mengharagai ibunya, kecoh sekejap memikirkan apa yang perlu dibuat untuk menghargai ibunya pada hari tersebut.
 
Ya, sekurang-kurangnya ada sehari dalam setahun, seseorang anak akan memberi lebih perhatian terhadap ibunya. Memberi hadiah, ambil cuti untuk meluangkan masa bersama ibu, atau belanja ibu makan di restoren yang lebih mahal daripada biasa.
 
Penghargaan memang mesti dizahirkan. Walaupun ibu tahu anak-anak menyayanginya, tetap juga penghargaan dan kasih sayang mesti dizahirkan. Lafazkan rasa kasih itu. Jangan biar rasa itu berlegar-legar dalam hati sahaja, dengan harapan ibu akan faham sendiri.
 
Ibu manusia ‘miracle’. Dia akan faham. Tetapi dia juga mahu mendengarnya dari mulut anak-anaknya sendiri. Mulut yang disuap dengan makanan ‘keramat’ yang membesarkan anak-anak lalu menjadi insan yang berguna. Dari mulut itulah perlu keluar suara yang menggambarkan penghargaan dan seluruh perasaan.
Tidak salah menyambut Hari Ibu, dengan cara dan budaya kita. Sebab ibu ialah insan yang wajib kita taati dan hormati selama-lamanya. Jika sekalipun kerajaan tidak mewar-warkan sambutan Hari Ibu, apa salahnya penghargaan itu kita beri tanpa sebab atau alasan.
 
Ziarahi ibu sekerap mungkin jika tidak tinggal bersamanya. Kadangkala, apa yang ibu mahukan, bukanlah wang ringgit kita. Ibu hanya mahu anak-anak sentiasa hampir. Kalau boleh, ada di depan mata setiap ketika. Ibu masih merindui bau badan anak-anak. Setiap anak ada bau yang berbeza. Setiap anak ada perangai tertentu yang membezakan setiap orang daripadanya. Dan perbezaan itu, apabila dikumpulkan, membentuk sebuah kesempurnaan yang tidak terungkapkan. Itulah yang setiap ibu mahu.
 
Ayah dan ibu membesarkan kita dengan keringat dan wang ringgit yang tak terkira. Bagi anda yang berasal daripada keluarga miskin, anda pasti memahami kesukaran itu. Oleh itu, cubalah seboleh mungkin, untuk menghargai jasa pengorbanan mereka itu dengan sehabis daya usaha kita pula. Membesar sebagai anak yang berbudi, belajar, mengejar cita-cita dan mempunyai kerjaya yang terjamin. Untuk membalas jasa mereka berdua 100%, tak mungkin. Tetapi untuk membantu dan menjadi anak yang berbudi, insya-Allah pintunya terbuka luas.
 
Jika boleh, bajetkan sedikit daripada pendapatan kita setiap bulan itu, untuk ayah dan ibu. Sedikitpun tak mengapa, asalkan bantuan tak putus setiap bulan. Sesiapapun tahu, kos sara hidup di bandar sangat tinggi sedangkan pendapatan tidak sebanyak mana. Tetapi, ingat pula tentang tanggungjawab sebagai anak terhadap ayah ibunya. Dahulu, mereka juga orang susah sewaktu membesarkan kita. Lagilah pula tidak berpendapatan tetap. Tidak pula mereka merungut untuk memberi makan sebanyak-banyak mulut anak mereka. Dapat juga kita membesar dengan sempurna.
 
Sebab itulah, jangan sesekali beralasan pabila sudah dewasa. Tugas kita pula membantu mereka. Dengan kasih sayang, dengan sedikit sebanyak harta yang kita ada.
 
Suatu hari, sewaktu sedang menulis di kelas, saya ditegur seorang guru berbangsa Cina. Mula-mula dia puji kelas saya yang cantik dan kemas seperti rumah sendiri. Saya gelak dan rasa teruja sebab, ada juga yang sudi memerhati dan menghargai apa yang saya lakukan di sekolah baru ini.
Dia ramah berbual dengan saya. Cerita punya cerita, terkeluarlah kisah yang mengharukan. Rupa-rupanya dia seorang balu. Sudah tiga tahun dia menjadi balu. (Saya faham perasaannya itu). Katanya, dia ada dua orang anak yang sudah besar dan akan bekerja. Anaknya melarang dia bekerja. Kata anaknya, dia boleh sara mummy bila dia kerja nanti.
 
Tetapi naluri si ibu sangat berbeza. Apa yang dia kata kepada anaknya? Tak apalah, biar mummy kerja. Mummy boleh cari duit belanja sendiri. Mummy tak mau susahkan anak-anak.
 
Terharu saya mendengarnya. Seorang ibu seboleh-bolehnya mahu menolak kebaikan anak sendiri. Dia tidak mahu menyusahkan anak sendiri meskipun waktu membesarkan anak-anak, ramai ibu yang susah dan menderita. Itulah kemuliaan seorang ibu, tak kira apa bangsa dan apa agamanya.
 
Anak-anak, hargailah ibu anda jika mereka masih hidup. Ibu adalah manusia paling mahal nilainya dalam jiwa kita. Tidak tahu betapa besarnya kekosongan dalam hati jika ibu tiada. (Mereka yang sudah kematian ibu tahu perasaan ini). Jika rasa sukar hendak mengucapkan sayang, ucapkanlah melalui kebaikan yang mampu anda lakukan terhadap ibu anda.
 
Kenang semula, apa yang ibu telah dan masih buat untuk anda. Waktu anda bersekolah, ibulah yang mengejutkan anda dari tidur setiap hari. Jika tidak, alamat lewatlah atau ponteng sekolah lah jawabnya. Bayangkan berapa lama rutin itu berlangsung? Dari sekolah rendah, sekolah menengah dan kolej??? Ibu yang memasak setiap hari sejak dia mula berkahwin hinggalah selama-lamanya…masakan ibulah yang paling sedap kan? Masakan hotel ternama pun tak boleh lawan masakan ibu. Bila berjauhan, air tangan ibulah yang paling dirindui. Pernahkah anada terfikir tentangnya? Rutin inilah yang kita anggap biasa, tetapi sangat besar maknanya jika sudah tiada.
 
Ibu yang menjahitkan baju kita…(seperti ibu saya). Setiap minggu hantar kain untuk ibu jahit. Hinggakan tidak ada pakaian siap yang dijual dapat menandingi baju yang dijahit ibu sendiri…
 
Ibu yang membasuh kasut sekolah walaupun anaknya sudah besar panjang, ibu yang menseterika baju sekolah setiap hari, ibu yang mengemas bilik tidur seramai-ramai anaknya, ibu yang menemani anak-anak buat kerja sekolah sebab tak sanggup anak-anaknya dimarahi guru, ibu tidak tidur semalaman bila anaknya sakit, ibu itu, ibu ini. Ibu yang buat semuanya!
 
Bila anak sudah dewasa, ibu jugalah orangnya yang susah hati jika anak mahu menghadiri temuduga. Ibu yang baca Yaasin dan buat solat hajat minta urusan temuduga anaknya dipermudahkan Tuhan. Waktu anak hendak kahwin, ibulah yang ke sana ke sini menguruskan majlis tersebut. BIia anak sakit nak bersalin, ibu jugalah yang risau. Ibu akan jaga anak dan cucunya dengan baik dalam masa berpantang. Bila anak sakit, ibu yang bimbang walaupun anaknya sudah ada pasangan sendiri.
 
Begitulah, dalam dunia, hanya ada seorang insan sahaja yang sanggup buat semuanya untuk kita. Itulah ibu kita. Hal dapur, hal rumah tangga, hal anak-anak, hal suaminya, hal kerjaya…dari sekecil-kecil urusan hingga sebesar-besar urusan, kudrat dan otak ibu boleh ingat dan uruskan semuanya. Bukankah ibu kita hebat? Masih adakah insan serba-boleh atau superwoman lain dalam hati anda selain ibu anda?
 
Kepada anda yang sudah menjadi ibu, anda pasti sudah tahu, nikmatnya menjadi ibu. Dan sukarnya menjadi ibu. Bermula seawal anak membenih dalam kandungan lagi. Pahit, getir, sakit, sedih, susah, sedaya-upaya akan dikesampingkan demi anak-anak tercinta. Yang terlihat pada zahir hanyalah harapan dan kegembiraan membesarkan anak dengan sempurna.
 
Sebab itulah, sebagai seorang ibu, kita tahu, jauh di sudut hati, apa rasanya pabila tidak dihargai anak-anak sendiri…bukan rasa kesal. Tetapi rasa sayu kerana tidak dijadikan insan terutama dalam hati mereka.
 
Setiap hari adalah Hari Ibu. Namun Ahad kedua bulan Mei setiap tahun lebih bermakna kerana pada hari itu, Hari Ibu disambut di seluruh negara kita.
 
Selamat Hari Ibu buat mak, Rogayah binti Hj Shaari. Terima kasih, kerana mak, kami berjaya. Kami tak mampu membalas jasa mak. Tetapi kami berusaha sedaya-upaya untuk sentiasa buat mak restu pada kami. Restu itu penting untuk kebahagiaan dan masa depan kami semua…
 
 
Note:
 
Berikut adalah tarikh Hari Ibu bagi seluruh dunia:
 
9 Mei 2010 (Ahad minggu kedua dalam bulan Mei) bagi negara MALAYSIA, Anguilla, Aruba, Australia, Austria, Bahamas, Bangladesh, Barbados, Belgium, Belize, Bermuda, Bonaire, Brazil, Brunei, Bulgaria, Canada, Chile, China, Colombia, Croatia, Cuba, Curaçao, Cyprus, Czech Republic, Denmark, Ecuador, Estonia, Finland, Germany, Ghana, Greece, Grenada, Honduras, Hong Kong, Iceland, India, Italy, Jamaica, Japan, Latvia, Malta, Myanmar, The Netherlands, New Zealand, Pakistan, Peru, Philippines, Puerto Rico, Singapore, Slovakia, South Africa, St. Lucia, Saint Vincent and the Grenadines, Suriname, Switzerland, Taiwan, Trinidad and Tobago, Turkey, Ukraine, United States, Uruguay, Venezuela, Zimbabwe
 
1 Mei 2010 (Ahad pertama dalam bulan Mei) bagi negara Hungary, Lithuania, Portugal, Spain
 
29 Mei 2010 (Ahad terakhir dalam bulan Mei) bagi negara Algeria, Dominican Republic, France,Haiti, Mauritius, Morocco, Sweden, Tunisia.
 
22 Mac 2010 bagi negara Ireland, Nigeria, United Kingdom
 
12 Ogos 2010 bagi negara Thailand yang juga merupakan tarikh lahir Queen Sirikit
 
22 Disember 2010 bagi negara Indonesia.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: