In Loving Memories…We MISS You So Much

 

 

Hari ini hatiku diburu sedih, sayu, pilu, syahdu. Aku mengenang seseorang yang sungguh bermakna. Pemergiaannya tiada ganti. Dirinya terlalu istimewa. Kerana dia adalah seorang yang lain daripada yang lain.

Dia penyayang, dia rajin, dia unik. Dia juga penyabar. Hanya orang yang mengenalinya sahaja yang mengetahui betapa sabar dan tabahnya dia menghadapi kehidupannya yang berliku. Fitnah dan tohmahan ditelan tanpa keluh. Berapa banyak beban yang disimpan, hanya Allah s.w.t sahaja Yang Maha Mengetahui.

Dia periang. Dia…sangat baik.

 

Dia…yang tabah dan unik

 

Masih kuingat lagi, kali pertama dia menawarkan diri menjaga anak bongsuku. Ketika itu kami sekeluarga hendak pergi bercuti di Melaka. Anak bongsuku masih kecil, dua bulan. Aku dan suami bercadang hendak membawa kedua-dua orang anak bercuti bersama. Tetapi melihatkan anakku itu yang masih merah, katanya, biarlah dia yang jaga. Anak itu masih tak sesuai dibawa berjalan jauh.  Tentu akan menangis. Bersungguh-sungguh dia menawarkan diri.

Jadi, dengan rasa berat hati, aku dan suami bersetuju akhirnya. Dia sangat gembira. Dia mendukung anakku dan mengambil baju yang sudah kami letak dalam kereta. Maka, dua malamlah dia menjadi ‘ibu’ kepada anak bongsuku.

Balik dari bercuti, dia banyak bercerita. Anakku berjaga tengah malam, menangis dan sebagainya. Tapi dia gembira. Walaupun terpaksa bangun tengah malam untuk membancuh susu, tak lena tidur sampai ke pagi dan perlu menukar pampers, itulah pengalaman yang mengujakan dirinya. Kerana dia tidak pernah ada anak walaupun sudah berkahwin lebih 10 tahun.

Itulah Along, birasku. Sejak pengalaman pertama menjadi ‘ibu’ itulah dia menggelarkan dirinya pada kedua-dua orang anakku. Anak-anakku sangat rapat dengannya. Mereka selalu dibawa keluar, dibawa pergi makan, pergi pasar malam, pergi shopping dan sebagainya. Pendek kata, anak-anakku sangat dimanjakannya.

Disebabkan hubungan rapat ini, kami banyak berkongsi rahsia. Dia dan aku saling menasihati. Dan semuanya menjadi ‘rahsia kami berdua’.

 

Geng biras kepoh semasa bercuti di Terengganu

 

Walau bagaimanapun, suasana berubah. Along mula menyendiri. Aku cuba memahami perubahan itu walaupun terasa janggal. Kupujuk diri dengan mengatakan Along kurang sihat, sebab itu dia banyak berkurung dalam rumah. Along memang ada banyak penyakit. Darah tinggi, antaranya. Jadi, perubahan diri Along aku cuba terima. Badan Along mula susut. Along makin bergaya.

 

Fasa buang tabiat sudah bermula waktu ini

 

Pernah dia mengadu, “Penat la kerja. Rasa nak berhenti je.” Ungkapan itu penuh makna. Namun ketika dia mengucapkannya, aku ketawa mendengarnya. Kataku, rugi berhenti kerja nanti tak  ada duit nak belanja. Kami ketawa.

Kami semakin kurang bersembang. Bila sakit dan tidak pergi kerja, Along akan duduk dalam rumah dan menonton televisyen. Sesekali dia akan pergi ke rumah mertua yang terletak di depan rumahnya.

Pagi itulah! Kali terakhir aku melihat wajah cerianya. Ketika itu aku hendak ke sekolah sebab ada Kem Bestari Solat. Aku bawa kedua-dua anakku, tidak seperti selalu. Selalunya, jika aku ada hal di sekolah, anak bongsuku akan tinggal dengan ibunya. Tetapi tidak kali ini. Fikirku, biarlah Along berehat. Sempat kusapa Along seperti biasa sebelum aku pergi ke sekolah.

Kem Bestari Solat berlangsung dengan jayanya namun badanku sangat penat. Selepas balik dari sekolah, aku berehat agak lama. Malamnya, aku terlena di hadapan televisye, agak awal daripada biasa. Kerana terlalu penat, movie menarik di TV pun tidak erjaya menongkat kelopak mataku.

Sedar-sedar sahaja suami menggoncang badanku sambil berkata, “Yang, Along masuk wad,” suara itu sayup-sayup kudengar. Mungkin mimpi sebabnya…mustahil Along masuk wad? Badanku terasa bergoncang lagi. Malas-malas saja kubuka mata.

Hakikatnya, aku tidak bermimpi! Waktu itu, jam menunjukkan tepat angka 12:30 malam.

“Along koma.”

“KOMA?” Rasa terputus nyawaku mendengar kalimah itu. Mustahil! Mustahil! Baru paga tadi saja aku bersembang dengan dia!!!

“Kenapa?”

“Entah, tadi dia jatuh masa makan,”

Kami tiba di Hospital Sungai Buloh sebelum pukul satu pagi. Susah pula hendak masuk ke bilik kecemasan. Entah apa-apa prosedur tak masuk akal ditetapkan oleh attendan yang bertugas pada ketika itu.

Agak lama juga selepas itu, aku dapat masuk melihat Along. Benar, Along koma. Matanya terpejam rapat. Along, apa dah jadi…rintihku. Wayar berselirat di kepalanya. Kepala Along sudah botak. Along…air mataku mengalir laju.

Tak pernah kusangka perkara sedahsyat ini akan berlaku. Along sahabat baikku. Along ‘ibu’ kepada anak-anakku. Along penghidup suasana. Jika ada jamuan, Alonglah orang penting yang paling sibuk memasak. Kini?

 

Along memang ringan tulang

 

Apa yang sedang kuhadapi adalah tubuh Along yang kaku tidak sedarkan diri. Koma itu kondisi yang sangat membimbangkan. Dan ia jarang berlaku untuk penyakit yang biasa-biasa.

Kata suaminya, Along akan dibedah untuk membuang darah beku. Aku berasa sayu. Darah beku? Aku pernah menulis banyak cerita tentang kemalangan atau penyakit yang membawa kepada terjadinya darah beku. Dan keadaan ini tidaklah baik sangat…kecuali ada miracle dan semangat yang kuat.

Kubisik pada diri, Along kuat. Sebanyak-banyak dugaan dihadapi waktu sedar dahulu dengan senyuman manis di wajahnya. Along boleh bertahan. Along akan buka mata semula.

Bilik pembedahan masih penuh. Maksudnya, Along kena tunggu. Kenapalah begini keadaannya? Doktor kecemasan tak cukup, bilik bedah tak cukup, jururawat banyak songeh? Bukankah pesakit ini sedang meniti benang halus antara hidup dan matinya?

Oh…barangkali sebab mereka sudah terbiasa menghadapi macam-macam karenah pesakit, malah kematian. Sebab itulah mereka lengah-lengah sahaja buat kerja!

Sebelum Along ditolak ke bilik pembedahan, suami mengajakku pergi minum. Aku akur. Mungkin boleh segarkan mata dan badan yang masih penat ini. Di warung tepi hospital, kukunya berbungkus-bungkus kacang tanah tanpa kusedari (waktu itu). Bimbang sangat akan keadaan Alaong…

Suami membawa anak-anak balik ke rumah, setelah lama menunggu tetapi along belum ditolak ke bilik pembedahan. Pada mulanya anak-anak tidak mahu balik tetapi kupaksa juga kerana memang tidak selesa tidur dalam kereta. Lagipun kereta terpaksa parkir jauh dari bilik kecemasan. Aku berdegil untuk menunggu. Jadi, aku menunggu di bilik tetamu bersama ibu, ayah, nenek dan suami Along.

Hampir 4:00 pagi barulah Along ditolak ke bilik pembedahan. Kami beredar pula untuk menunggu di hadapan bilik pembedahan. Sangat tidak selesa. Kerusi menunggu hanya ada sedikit, tidak cukup untuk bilangan kami. Lagi pula, kerusi itu rosak. Dugaan, dugaan.

Dalam debar dan takut, kami terus menunggu, hinggalah siang. Pembedahan bagai tiada gunanya kerana Along tidak sedar-sedar juga. Dia dihantar ke ICU.

Harapan masih ada. Semua orang mahu Along ‘kembali’ semula. Pelawat Along sangat ramai, saudara mara dan sahabat handai. Itu buktinya Along orang yang baik…

Air mata tidak mahu kering! Suratan sudah ditetapkan. Dua hari Along berada di ICU. Sampai akhirnya, masa dia pergi menghadap Penciptanya, pada hening Subuh yang sepi.

Along disemadikan dengan sempurna. Kami bermandi air mata. Namun…setelah dia tiada dan apabila kufikirkan semula, Along memang patut ‘pergi’. Aku tahu penderitaannya. Zahir nampak bahagia dan gembira tetapi sebenarnya Allah mahu menyelamatkannya daripada fitnah yang lebih besar jika dia masih hidup.

Alhamdulillah, walaupun kami menangisinya…hingga ke hari ini, kami percaya, rahmat Ilahi lebih besar melebihi segala-galanya.

 

Sewaktu menghadiri perkahwinan adikku di Perak

 

Hingga saat ini, aku dan adik iparku selalu menyebut-nyebut kebaikan Along. (Semuanya tentang Along adalah baik belaka). Kami mula menilai tabiat Along sebelum dia ‘pergi’. Antaranya, patutlah dia mengubah kerusi taman yang diletak antara rumahku dan rumahnya, rupa-rupanya dia sudah tahu, dia akan dimandikan di situ…

Sedih, pedih, hilang…

 

Percutian akhir bersama… di Kuantan

 

Anak-anakku masih ‘taat’ membelek album gambar yang ada foto mereka bersama ‘ibu’ mereka. Foto sejak anak-anak itu masih kecil hinggalah ke tahun 2009. Banyak kenangan indah dengan ibu…

 

Singgah di Gua Kelam selepas balik dari Langkawi

 

Tahun ini, kurang satu hadiah hari lahir buat anak-anak sebab ibu tiada. Ibu tak pernah lupa membeli hadiah untuk mereka sejak dia rapat dengan mereka.

Hari ini, 18 Mei 2010 genap setahun Along pergi meninggalkan kami semua. Banyak yang masih tak terluah. Namun aku sentiasa mendoakan Along bahagia di sana kerana sewaktu di sini, sudah banyak kebaikan dilakukan walaupun bersulam keperitan. Aku sangat merinduinya. Begitu juga dengan anak-anakku. Mereka pernah ada seorang ‘ibu’. Kini ‘ibu’ sudah tiada, tak mungkin ada lagi ‘ibu’ lain yang serupa. Bagi mereka, ‘ibu Along’ tiada galang gantinya. Kata anak saya, ‘ibu Along’ sudah masuk syurga…Alhamdulillah.

 

Di samping suami tercinta pada pagi raya

 

 

Hari Raya terakhir buat Along… tahun 2009

 

Jasad Along sudah tiada, namun Along tetap hidup dalam jiwa dan memori kami buat selama-lamanya. Begitu juga dengan rahsia Along yang terlalu banyak itu. Aku dan adik iparku akan menyimpannya teguh dalam kenangan kami. Rahsia yang, ‘hanya kami yang tahu dan kami yang faham’. Kami sentiasa mendoakan Along tenang dan bahagia di sana…

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: