Change or Lose

CHANGE OR LOSE 001

Penulis: Prof. Dr. Abdul Karim Bakkar

Penerbit: Dakwah Corner Publications Sdn Bhd

Harga: RM16

Jumlah Halaman: 90

Buku ini bermanfaat bagi orang yang sedang menghadapi tekanan, keliru mengenai sesuatu atau jemu terhadap sesuatu. Ayat-ayatnya yang memberikan saya semangat dan kekuatan. Adakalanya ketika saya serba-salah, saya mendapat jawapan melalui buku ini. Kita mesti meletakkan matlamat yang mampu dicapai. Ya, ada yang perlu dikorbankan untuk mendapatkan sesuatu yang lebih baik. Namun, jika niat kita betul, insya-Allah pilihan kita tidak akan disia-siakan.

Semua pihak perlu melakukan perubahan jika ingin mewujudkan persekitaran yang lebih baik, terutamanya untuk mencapai kebahagiaan dan kegemilangan dalam institusi. Ibu-anak, bapa-anak, anak-ibu bapa, pemimpin-orang bawahan, orang bawahan-pemimpin dan sebagainya.

Ada orang tidak mampu berubah kerana mereka dibesarkan dalam persekitaran yang terhad. Pendidikan yang terhad, kemajuan yang terhad. Namun itu bukanlah alasan semetelah dunia ini bukan hanya sebiji tempurung yang gelap.

Cubalah berubah ke arah yang lebih baik. Jika tidak, kamu kalah.

Madani

madani 001

Penulis: Mohd Fadzil Yusof

Penerbit: ITBM

Harga: RM20.00

Ulasan:

Madani merupakan kumpulan cerpen Islamik. Falsafah yang digunakan agak tinggi. Walau bagaimanapun, saya tetap asyik ketika membacanya. Mengangkat tema kehidupan yang pelbagai namun pada akhirnya yang dicari hanyalah redha Allah SWT. Kejayaan, cinta, kebahagiaan…itulah antara keasyikan yang tidak pernah jemu dikejar oleh manusia. Tetapi setiap kelazatan dan kerja keras itu tetap akan terhenti secara tiba-tiba, apabila maut datang menyapa.

Hidup bukan kepastian. Tetapi mati adalah satu kepastian. Saat kematian kita amat tepat. Tidak terlewat sedetik, tidak juga tercepat sedetik.

Buku ini…amat menginsafkan bagi hati-hati yang ingin berubah.

Sofa Biru

 

 sofa biru 001

Penulis: Nadhira Brundage

Penerbit: SeLUT Press

Harga: RM20.00

Ulasan:

Himpunan puisi terbaik yang pernah saya baca. Amat mudah memahaminya. Terasa dekat di hati. Indah. Ringkas. Padat.  Berkesan sekali!

Contohnya:

lain

bau kau lain

bau dia kah?

lain

senyum kau lain

untuk dia kah?

lain

mata kau lain

kau nampak dia kah?

Contoh lain:

yang puji

kita lupa

esok pagi

yang caci

kita ingat

sampai mati

Contoh lain lagi:

pernah sakit

tapi tak pernah sesakit itu

kerana pernah cinta

tapi tak pernah sedalam itu.

Contoh ini pula:

kalau kau nak pergi

pergi

tapi bila pergi

tolong tutup pintu senyap-senyap

kunci rapat-rapat

Nak lagi? Ini juga:

minta minta

jatuhku nanti

tak sejatuh dia

mohon mohon

sayangku nanti

tak sesayang dia

harap harap

sakitku nanti

tak sesakit dia.

Pengakuan:

1. Barangkali puisi-puisi dalam buku ini ada kena-mengena dengan kehidupan saya, sebab itulah ia serasi dengan jiwa saya ketika saya membacanya.

2. Himpunan puisi ini menyemarakkan semula minat saya untuk menulis puisi setelah lama meninggalkan genre berkenaan. Semoga Tuhan perkenan.

Cerpen

cerpen 001

Penulis: Khairulnizam Bakeri

Penerbit: FIXI

Harga: RM18.90

Ulasan:

Ini merupakan kumpulan cerpen terbaik yang pernah saya baca. Tajuk cerpen di dalam buku ini semuanya satu perkataan sahaja, contohnya Rahsia, Temu bual, Ceroboh, Pilih, Gebang, Irama, Jenazah, Kelapa dan Pujaan. Walau bagaimanapun, setiap cerpen memberikan ppengajaran lebih daripada satu. Beribu-ribu. Semua kisah di dalamnya sangat realistik. Pernah berlaku dalam hidup kita.

Mengejar Ajal

mengejar ajal 001

Penulis: Khairulnizam Bakeri

Penerbit:ROMAN

Harga: RM19.90

Ulasan:
Novel ini amat mengujakan! Penuh misteri namun mengungkap kasih sayang cinta rindu suami isteri yang tiada tandingannya. Novel ini menyebabkan saya sering ternanti-nanti karya baharu daripada penulis berkenaan.

Desaturasi Merah Jambu

desaturasi 001

Penulis: Ladynoe Mohamed

Penerbit: Dubook Press & Publication

Harga: RM20.00

Ulasan:

Isi kandungan buku ini sangat menyeronokkan, apatah lagi ia amat dekat dengan kehidupan kita. Begitu menusuk. Sangat terkesan.

Contohnya:

Tiba-tiba time mandi pagi tadi aku teringat. 8-9 bulan yang lepas. The moment mak aku menghampiri Fandi untuk mintak kebenaran ke atas aku;

“Fandi, mak nak mintak izin nak bawak Deknoe pergi umrah, boleh?” dan saat itu aku terlihat mata mak aku bergenang.

Hati aku jadi sayu.

Betapa anak yang dikandung 9 bulan dan 10 hari ini. Kemudian dilahirkannya, dan ditatang semenjak lahir. Didodoi tidurku. Didakap sejukku. Dipapah tatihku. Diusap demamku. Disuap makanku. Dibelai sedihku. Dipujuk tangisku. Diturut kehendakku. Bertahun lamanya;

sekelip mata, hanya dengan satu lafaz akad keramat seorang lelaki asing yang hadir entah dari mana, memadam hampir seluruh hak seorang wanita terhadap anaknya sendiri. Aku dapat membayangkan, betapa pedihnya hati seorang ibu yang terpaksa; memang terpaksa, mintak izin orang lainke atas anak perempuannya sendiri.

Beginilah adanya. Anak hanya pinjaman.

*sobs*

Fandi jawab tanpa membantah, “Boleh mak, bawak la…”

“Alhamdulillah…” kata ibu tua lalu tersenyum tawar.

Pesanan:

Abaikan kesalahan tatabahasa kerana adakalanya kita ingin mendakap pengajaran cerita, bukannya belajar tatabahasa.

My Love-25 Kisah Inspirasi Diri

my love 001

Penerbit: Sektor Pendidikan Islam, Jabatan Pendidikan Selangor

Ulasan:

Buku ini merupakan buku motivasi yang diinspirasikan daripada kisah-kisah sirah tokh-tokoh silam, antaranya Imam Syafi’e, Iyas al-Qadhi, Saidatina Aisyah, Saidina Umar, Imam Abu Hanifah, Saidatina Fatimah dan Saidina Ali, Ibnu Taimiyah dan Zinnirah.

Buku ini diedarkan ke semua sekolah menengah di negeri Selangor Darul Ehsan.

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.